Categories
NASIONAL SELANGOR

Tiada Maklumat Lengkap, Punca Pasukan PM Tewas Di Selangor

mb

DAMANSARA 20 MEI : Tiada maklumat lengkap tentang negeri Selangor, adalah punya utama Umno-BN yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak gagal menawan Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 yang lalu.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Perdana Menteri tidak diberikan penerangan yang sangat lengkap oleh mereka yang membuat kajian di Selangor.

“Saya dapati Najib dalam kenyataan akbar dan kempen ke Selangor tidak mempunyai maklumat yang betul dan terperinci. Jadi kenyataan beliau itu  nampak sangat, beliau tidak mempunyai maklumat yang betul-betul menggambarkan negeri Selangor,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Media Selangorku di kediamannya di sini.

Tambahnya, adakala dia (Najib) dalam keadaan kelam kabut, misalnya ‘Pembangkang di negeri Selangor’ sangat tidak baik kerana tidak memantau keadaan negeri dan sebagainya.

“Sebenarnya, kenyataan itu menujukkan dia silap bahawa ‘Pembangkang di negeri Selangor’ adalah Barisan Nasional. Bererti beliau tidak disalurkan maklumat sebenar mengenai Selangor.

“Boleh jadi beliau diberikan maklumat oleh orang Selangor yang tidak suka kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Secara berseloroh, Abdul Khalid menjelaskan situasi ini memberi pengajaran kepada Pakatan Rakyat agar tidak mudah mempercayai profesor dan pakar akademik dari universiti yang duduk jauh dari Selangor.

Categories
SELANGOR

Wang Rakyat Patut Labur Ke Pendidikan Bukan Kapal Selam

MB pink songkok 01

BANDAR TUN RAZAK, 16 DIS : Semua negeri sewajarnya mencontohi negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang membelanjakan dana awam kepada program yang betul-betul beri manfaat kepada rakyat dan bukan kepada dasar hanya menguntungkan segelintir individu.

Misalnya, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Selangor melabur di dalam sektor pendidikan menerusi peruntukkan dana kepada sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama dan hadiah anak masuk universiti.

“Kita patut banyakkan peruntukan di pendidikan bukan banyakkan wang rakyat untuk membeli kapal selam.

“Kita harus berperang dengan menggunakan pendidikan bukan senjata. Kita harus bertanding dengan pakar-pakar yang dididik oleh negara,” ujar beliau lagi.

Semalam, Kerajaan Negeri juga membantu belia yang berpendapatan rendah dengan menanggung kos majlis perkahwinan dengan mengadakan kenduri dan majlis bersanding serentak yang melibatkan 61 pasangan.

“Kos perkahwinan sekarang semakin tinggi dan ini telah mengakibatkan ramai belia berhutang untuk menanggung kos tersebut.

“Oleh itu, Negeri Selangor yang di bawah Pakatan Rakyat mempunyai banyak program membantu rakyat.

?Terkini adalah membantu belia yang ingin berkahwin dengan mengadakan majlis berkahwin secara ramai,” katanya lagi, yang juga MP Bandar Tun Razak.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Khalid turut menyampaikan sumbangan kelengkapan sesi persekolahan peringkat Parlimen Bandar Tun Razak.

Seramai 200 orang pelajar yang kurang berkemampuan menerima sumbangan berkenaan yang terdiri daripada beg sekolah dan alat tulis.

Categories
SELANGOR

Selangor Bagi Insentif Perkahwinan Tahun Depan

MB belia insentif perkahwinan 01

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan insentif perkahwinan kepada belia-belia Negeri Selangor yang mendirikan rumahtangga pada tahun hadapan.

Belia Selangor yang memenuhi syarat yang dijangka diumumkan tidak lama lagi bakal menerima RM 200 sumbangan dari Kerajaan Negeri.

Selain itu, mereka yang terlibat dalam program insentif perkahwinan ini juga bakal ditawarkan program perumahan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri.

Pengumuman tersebut dibuat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika melancarkan Majlis Perkahwinan Belia Mengikut Adat Resam Melayu Negeri Selangor yang diadakan di pentas utama Selangor Agrofest 2012, perkarangan Stadium Shah Alam hari ini. Turut hadir Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan Dr Ahmad Yunus Hairi.

“Insentif itu kita tak dapat mulakan kali ini sebab ia menggunakan peruntukan dari Belanjawan 2013 baru-baru ini, sebab itu kita mulakan mulai 1 Januari 2013.

“Dalam program itu juga nanti, Kerajaan Negeri akan membiayai dengan konsep perkongsian,” ujar Abdul Khalid.

Program yang dianjurkan Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan itu meraikan 61 pasang pengantin dari seluruh Selangor yang mengadakan majlis mereka bertemakan adat resam Melayu Selangor.

Kos bagi pakaian dan majlis bagi setiap pasangan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Sementara itu, pengumuman Abdul Khalid itu mendapat reaksi positif dari beberapa pasangan pengantin yang ditemui TV Selangor.

“Pengumuman Tan Sri Abdul Khalid tadi betul-betul membuatkan kami terharu dan bangga kerana program ini dapat mengurangkan kos perkahwinan sebab belanja perkahwinan begitu tinggi dengan cara ini dapat meringankan beban.

MB belia insentif perkahwinan 04“Saya sebagai warga Selangor, mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan dan penghargaan Kerajaan Negeri dengan mengadakan majlis ini,” ujar Hizami Burhanuddin dan pasangannya Ilyna Mohd Ghazali dari Klang.

Abdul Kahar Ahmad Marwai dan Siti Sara Azraie dari Kampung Delik Klang pula berpendapat majlis tesebut wajar diteruskan bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan kesederhanaan dalam mengadakan majlis perkahwinan.

“Dapat meringankan beban kewangan sebab lepas ini kalau sebelah pihak perempuan atau pihak lelaki tak nak buat kenduri lagi pun tak apa, sebab dah selesai dah, yang penting akad nikah,? Abdul Kahar berkata.

Antara adat perkahwinan tradisi Melayu yang diketengahkan, termasuklah persembahan pencak silat, kompang dan bunga telur.

Pasangan juga ditrampilkan di dalam busana tradisional rakyat Selangor iaitu pakaian sikap Selangor yang dikenakan pengantin lelaki serta kebaya labuh yang digayakan pengantin perempuan.

MB belia insentif perkahwinan 03

Categories
SELANGOR

Penduduk Jeram Lega Peroleh Masjid Baru

 

KUALA SELANGOR, 12 OKT : Dulu, penduduk Pekan Jeram terpaksa berhimpit-himpit dan mendirikan solat berjemaah di luar perkarangan masjid lama mereka yang kecil dan serba kekurangan.

Sehingga pada satu solat Hari Raya Aidilfitri, jemaah yang berdiri di luar masjid tersebut lari bertempiaran apabila hujan lebat pada hari itu.

Tetapi situasi masa dulu diharap tidak berulang lagi selepas mereka menerima sebuah Masjid baru yang lebih luas, selesa dan tersergam indah akhir bulan lepas.

Masjid yang baru itu mampu menampung kira-kira lebih 2,000 jemaah dengan kemudahan meletak kereta lebih luas serta ruang solat berhawa dingin.

Ia dibina dengan kos RM 6.4 juta dan menyediakan bilik pengurusan jenazah, bilik persediaan jenazah, bilik penyediaan makanan dan bilik mesyuarat.

Seorang penduduk Rahmat Shafie, 71, berkata, semasa menggunakan masjid lama kerap berlaku situasi tatakala waktu Solat Hari Raya yang jemaahnya melebihi kapasiti ruang masjid itu walaupun disediakan khemah tambahan di luar masjid.

“Alhamdulillah hari ini penduduk Jeram mendapat kemudahan sebuah masjid baru yang lebih besar yang mana masyarakat Islam di sini lebih 90 peratus terdiri daripada masyarakat Islam,” ujarnya.

Beliau ditemui semasa majlis penyerahan masjid itu daripada Kerajaan Negeri yang dirasmikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Nama rasmi masjid tersebut akan diumumkan semasa upacara perasmian yang bakal disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Rahmat, yang sebelum ini ahli jawatankuasa masjid berkata, permohonan untuk mendapatkan masjid baru telah dikemukakan sejak 2002 kepada negeri pada masa itu, tetapi pelbagai rintangan yang perlu dihadapi.

Ianya menjadi kenyataan selepas kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat meluluskan pembinaannya pada tahun 2010 dan akhirnya boleh digunakan untuk Solat Jumaat kira-kira dua minggu yang lalu.

Selangor Guna Kaedah Psikologi Kurangkan Kemalangan Jalan Raya

SHAH ALAM 13 OGOS : Kerajaan Selangor akan menaja satu kajian psikologi bagi mengurangkan kemalangan jalan raya di Malaysia.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana khas dan akan melantik badan bagi mejalankan kajian tersebut.

Menurut Abdul Khalid, kajian tersebut penting bagi menentukan bagaimana kaedah psikologi dapat mampu membantu mengurangkan kejadian kemalangan yang saban tahun meningkat.

“Contohnya sekarang pusat membeli belah juga menggunakan kaedah psikologi muzik di mana mereka akan memasang lagu yang membuat pengunjung gembira dan senang hati untuk membeli.

“Kita boleh mengambil pendekatan sama juga seperti menggunakan muzik yang mampu menenangkan pemandu dan mendorongnya untuk lebih tenang dan bersabar di jalan raya,” jelas beliau sambil menambah dana yang akan diperuntukkan adalah sekitar RM 30,000.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya yang diadakan di Plaza Tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Guthrie ke arah Shah Alam pagi tadi.

Sejurus selesai melancarkan kempen, Menteri Besar turut berkesempatan menyampaikan pek “Kit Balik Raya” kepada para pengguna lebuhraya yang antara lain berisi Edisi Khas Balik Kampung Selangor Kini.

Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi, Ketua Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Kempen yang diadakan sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor ini turut mendapat kerjasama SUK Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKJR) Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.

Agensi yang turut terlibat adalah Prolintas, Nestle (Malaysia) Berhad, Kumpulan Media Karangkraf dan Telekom Malaysia.