Categories
NASIONAL

Perbincangan perjanjian air Malaysia-Singapura perlu lebih masa

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Perbincangan mengenai Perjanjian Air 1962 di antara Singapura dan Malaysia dilihat positif dan kerajaan optimis ia mampu diselesaikan dengan baik walaupun memerlukan lebih masa lagi sebelum dimuktamadkan, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, paling penting mengenai isu air itu, kerajaan telah berjaya melangkah ke depan serta berjaya mengadakan pertemuan dan memulakan perbincangan dengan negara republik terbabit.

“Mengenai isu air ini, saya dengan Menteri Luar Singapura sedang mencari tarikh sesuai untuk bertemu dan berbincang lanjut dalam masa terdekat. Kesudian republik itu juga adalah sesuatu yang cukup memberangsangkan berbanding sebelum ini yang seolah-olah tiada perkembangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kampus baharu Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur di Ampang Hilir hari ini, lapor BERNAMA.

Semalam, jurucakap Kementerian Luar (MFA) Singapura dalam kenyataan berkata, ketika pertemuan di antara Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 November tahun lalu, kedua-dua pemimpin menyatakan kesediaan mereka untuk membenarkan pegawai masing-masing berbincang dengan lebih lanjut bagi lebih memahami kedudukan setiap pihak ke atas hak menyemak semula harga air bawah Perjanjian Air 1962.

Jurucakap itu berkata, Peguam Negara dari kedua-dua negara kemudian mengadakan pertemuan pada Disember tahun lalu, namun perbincangan mereka dibayangi oleh isu baharu yang timbul berhubung Had Pelabuhan Johor Bahru dan prosedur Sistem Pendaratan Instrumen Seletar (ILS).

Saifuddin berkata, bagaimanapun daripada lapan isu membabitkan Malaysia dan Singapura seperti isu ILS, Perjanjian Ruang Udara 1974, Maritim dan Had Pelabuhan, ada satu atau dua yang dilihat berpotensi untuk diselesaikan dalam masa terdekat.

“Buat masa ini saya melihat Isu Had Pelabuhan Johor Bahru adalah satu daripada lapan isu membabitkan hubungan antara Malaysia dengan Singapura yang boleh diselesaikan terlebih dahulu.

“Saya percaya akan hubungan baik dengan Singapura dan setiap rundingan akan berjalan dengan lancar. Mengenai port limits ini, dijangka mampu selesai dalam masa terdekat berbanding isu air yang pada jangkaan saya akan ambil masa lebih lagi kerana ia agak rumit,” tambahnya.

Categories
NASIONAL

Batal ECRL tidak jejas hubungan dengan China

KUANTAN, 26 JAN: Keputusan kerajaan memuktamadkan pembatalan kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pada Julai, tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, hal itu kerana kerajaan sudah memberi gambaran berkenaan keputusan itu kepada kerajaan China semasa lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara itu, pada Ogos tahun lalu.

“Mereka memahaminya dan sebab itu bermula masa itu lagi, kita tumpu kepada usaha untuk menarik lebih ramai pelabur China ke kawasan pelaburan lain di negara ini termasuk Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Sehari Menyemai Bakti di Kampung Sungai Ular, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Kenyataan itu bagi mengulas keputusan Kabinet minggu ini yang memuktamadkan pembatalan projek ECRL setelah mendapati kosnya terlalu besar serta di luar kemampuan kewangan kerajaan, buat masa ini.

Pada masa sama, Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata, bagi mengimbangi soal kekurangan peluang pekerjaan di daerah Kuantan khasnya ekoran pembatalan itu, pihaknya akan mempergiatkan usaha menarik pelabur China di MCKIP.

“Walaupun ECRL dibatalkan, namun kita tetap mahu meneruskan agenda untuk menjadikan Kuantan sebagai hab perindustrian Pantai Timur dan untuk tujuan itu kita akan beri tumpuan kepada pembangunan MCKIP.

“Setakat ini hanya satu tapak dibangunkan daripada tiga tapak yang disediakan di MCKIP dan satu tapak itupun hanya 25 peratus sahaja digunakan iaitu untuk membina kilang Alliance Steel. Kita masih banyak ruang untuk memajukannya.

“Kita juga masih mempunyai ruang yang besar di Pelabuhan Kuantan dan semua ini mampu menarik pelaburan baharu khususnya pelabur China dan ini fokus kita, ” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Malaysia-negara EU bincang isu minyak sawit

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengulangi komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit secara mampan semasa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari negara Kesatuan Eropah (EU) dan anggota Parlimen blok ekonomi itu, baru-baru ini.

Mesyuarat berasingan dengan menteri luar Hungary, Itali, Luxembourg, Romania, Sepanyol dan EU; serta Jawatankuasa Luar Negeri dan dua naib presiden Parlimen Eropah itu diadakan semasa lawatan kerja beliau ke Brussels, Belgium pada 21 hingga 23 Januari lalu, bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN-EU ke-22.

“Agenda utama Malaysia ialah isu minyak kelapa sawit. Menteri Luar menggariskan komitmen negara terhadap pengeluaran minyak kelapa sawit secara mampan dalam usaha meraih pengiktirafan antarabangsa bagi skim pensijilan Minyak Kelapa Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Beliau seterusnya menyeru EU dan negara anggotanya menjadi pemudah cara bagi usaha Malaysia membangunkankan industri minyak kelapa sawit, termasuk dengan menyebarkan maklumat tepat berkenaan minyak kelapa sawit selain menekankan sistem perdagangan bebas perlu bersifat adil,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Saifuddin sekali lagi menekankan bahawa industri minyak kelapa sawit negara kini tertumpu kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan hasil, bukannya memperluas pembukaan ladang baharu seperti diuar-uarkan sesetengah pihak di Eropah.

Beliau turut menerangkan bahawa MSPO adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mempertimbangkan aspek alam sekitar, sosial dan ekonomi secara komprehensif, menurut kenyataan tersebut.

“Menteri Luar seterusnya menjelaskan kerjasama berterusan antara Malaysia dan badan pensijilan antarabangsa seperti Pensijilan​ ​​​​​​Kemampanan dan Karbon Antarabangsa menunjukkan MSPO dilaksanakan secara integratif dan bukan satu usaha persendirian” katanya.

Wisma Putra berkata, Saifuddin turut mengalu-alukan tindakan Itali menandatangani Perjanjian Pengisytiharan Amsterdam pada 2017 sebagai tanda sokongan kepada minyak kelapa sawit mampan di Eropah.

Bagi isu lain, Saifuddin menyatakan sokongan negara terhadap demokrasi penyertaan berasaskan kedaulatan undang-undang, selain menyuarakan agenda utama Malaysia termasuk melaksanakan pembaharuan serta mempromosikan perlindungan hak asasi manusia.

Beliau turut berkongsi berkenaan program bantuan kemanusiaan yang disampaikan Malaysia kepada pelarian Rohingya, termasuk mengendalikan hospital lapangan di Cox’s Bazar dan memberi peluang pendidikan kepada kanak-kanak Rohingya di negara ini.

“Isu Laut China Selatan juga telah dibangkitkan. Dalam hal ini, Menteri Luar mengulangi pendirian Malaysia bahawa Laut China Selatan harus bebas daripada sebarang aktiviti ketenteraan,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saifuddin ketuai delegasi Malaysia ke Thailand

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengetuai delegasi Malaysia ke Thailand bagi menghadiri Sesi Permukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN di Chiang Mai, Thailand, hari ini.

Saifuddin turut dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Bangkok, pada Sabtu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Thailand merupakan Pengerusi ASEAN pada tahun ini dengan tema ‘Advancing Partnership for Sustainability’ dan sesi permukiman tersebut merupakan mesyuarat berjadual pertama negara-negara anggota ASEAN.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Luar Negeri Thailand itu turut melibatkan penyertaan Menteri-Menteri Luar ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN dan Pegawai-Pegawai Kanan dari kesemua negara anggota ASEAN.

“Sesi permukiman yang akan didahului oleh Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN itu akan membincangkan inisiatif-inisiatif untuk menggerakkan lagi agenda pembinaan Komuniti ASEAN dan susulan pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura tahun lepas.

“Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa serta langkah-langkah bagi mengukuhkan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan dialognya,” kata kenyataan itu.

Semasa di Bangkok, Saifuddin akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai bagi membincangkan isu-isu kerjasama dua hala terutamanya mengenai projek infrastruktur di sempadan Malaysia-Thailand.

Selain itu, proses rundingan damai di Selatan Thailand serta isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama, khususnya mengenai usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan kedua-dua negara dalam agenda mampan, akan turut dibincangkan.

“Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan kerjasama yang kukuh dalam pelbagai sektor termasuklah perdagangan dan pelaburan, keselamatan dan pertahanan dan juga pelancongan.

“Thailand merupakan rakan dagang Malaysia yang kelima terbesar dan jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada 2017 adalah sebanyak RM98.69 bilion, dengan jumlah perdagangan di sempadan sahaja melebihi 60 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada keperluan bawa pulang rakyat Malaysia di Sudan

KUANTAN, 5 JAN: Belum ada keperluan untuk mengeluarkan arahan membawa pulang rakyat Malaysia di Khartoum, Sudan kerana keadaan di negara itu masih terkawal pada masa ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau seterusnya berharap pergolakan di negara itu akan berakhir dan keadaan kembali tenang dalam masa terdekat.

Katanya, dianggarkan kira-kira 150 rakyat Malaysia termasuk 109 penuntut, berada di negara berkenaan dan mereka dinasihatkan untuk mengelak daripada mengunjungi kawasan berhampiran lokasi bergolak tersebut.

“Kita minta supaya ibu bapa tidak bimbang dan jangan panik dengan keadaan di sana kerana laporan mutakhir daripada wakil kita di sana menyatakan keadaan masih terkawal. Memang ada penuntut di sana yang sudah kembali ke Malaysia.

“Tetapi ia secara kebetulan sekarang musim universiti bercuti dan mereka yang pulang sudah membuat perancangan awal untuk pulang (ke Malaysia)…bukan disebabkan keadaan bergolak,” katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Dialisis kendalian Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Cenderawasih di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pertikaian ruang udara dengan Singapura ekoran pendaratan pesawat di Lapangan Terbang Seletar, Saifuddin sekali lagi menegaskan isu yang akan diberi keutamaan pada pertemuan dengan rakan sejawatnya, Vivian Balakrishnan di negara berkenaan pada Selasa depan.

Beliau berkata, Malaysia akan mengemukakan cadangan supaya pesawat yang hendak mendarat di Lapangan Terbang Seletar melalui arah lain, dan bukannya menggunakan ruang udara Pasir Gudang, Johor bagi menyelesaikan keadaan itu.

“Selain isu pendaratan di Seletar, antara isu lain akan dibincangkan ialah perjanjian berkaitan pengurusan ruang udara yang dimeterai dengan Singapura pada 1974, garis pelabuhan Johor dan perjanjian air yang terletak di bawah kuasa Peguam Negara.

“Peguam Negara kedua-dua negara ada bertemu pada akhir tahun lalu dan pada pertemuan Selasa ini, saya berharap sekurang-kurangnya mendapat tempoh masa untuk perkara ini,” katanya.

Saifuddin menambah isu berkaitan sempadan adalah ‘urusan berpanjangan’ yang biasa berlaku antara dua negara bersempadan dan berharap penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’ dapat dicapai oleh kedua negara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Serangan Lahad Datu Melenyapkan Pendedahan Bala

Lahad Datu

SHAH ALAM 1 MAC: Serangan polis ke atas kubu kumpulan penceroboh dari selatan Filipina hari ini dipercayai bermotifkan politik dengan cubaan Kerajaan Umno-BN melenyapkan pendedahan P. Balasubramaniam berkenaan misteri pembunuhan Altatunya.

Menurut Ketua Angkatan Muda PKR Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin, tanggapan rakyat akan ke arah ini kerana Kerajaan Pusat seharusnya tidak membenarkan perkara ini berlanjutan jika tindakan diambil daripada awal.

“Kerajaan Umno-BN tidak boleh menyalahkan rakyat dengan persepsi ini, kelemahan ketara dalam kabinet apabila Menteri Luar, Datuk Anifah Aman gagal menggunakan saluran diplomatik menyelesaikan isu ini sehingga mengancam keselamatan rakyat Sabah.

“Dan rakyat berhak menyatakan tindakan serangan ini sebagai sesuatu yang dirancang ditengah-tengah kehangatan manifesto Pakatan Rakyat dan kepulangan penyiasat persendirian Bala yang mahu mendedahkan siapa sebenarnya terlibat dalam pembunuhan wanita Monggolia Altantuya Shariibu,” kata Iskandar.

Tambahnya, tidak timbul ia berlaku secara kebetulan atau tidak, masa yang diambil terlalu lama dan kesan akibat serangan ini amat besar terhadap rakyat Sabah khususnya yang ada kaitan kuat dengan Kesultan Sulu.

“Kini rakyat cemas, saya dimaklumkan pada ketika ini beberapa sekatan polis berlaku di daerah Papar terhadap penduduk yang ada pertalian darah tadi. Perkara ini tidak baik untuk negara.

“Saya sanjung tinggi usaha polis menjaga keamanan, tetapi saya tidak dapat lari daripada berasa simpati dan bersedih dengan kematian yang berlaku. Dan saya ingin tegaskan sekali lagi Kerajaan Pusat terutama Menteri Dalam Negeri perlu bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan,” katanya.

Hari ini menurut laporan Bernama, dua komando polis Malaysia terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata  dari selatan Filipina.

Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.