Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka teruskan aliran naik berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Ringgit dijangka meneruskan aliran meningkatnya berbanding dolar AS minggu depan dan mencuba sekali lagi untuk melepasi paras penting di bawah 4.00 minggu depan, kata seorang penganalisis.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata ringgit dijangka meneruskan pergerakan meningkatnya sekiranya sentimen minat risiko kekal kukuh.

“Bagaimanapun, sekiranya dolar AS meneruskan lantunan semulanya atau sekiranya senario politik tempatan panas semula, gandingan dolar AS berbanding ringgit mungkin kembali semula ke paras ketahanan 4.05 sekali lagi,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu depan, katanya, pasaran akan bergantung kepada perkembangan Rizab Persekutuan AS bagi mencari sebarang petunjuk bila ia mungkin mengurangkan program pembelian aset mereka.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, Hong Leong Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata ringgit diniagakan setinggi 3.9957 berbanding dolar AS semasa hari pertama dagangan tahun ini tetapi ia kemudiannya menyusut kembali berikutan sentimen positif dolar AS.

“Bagaimanapun, kami percaya ia mungkin hanya sementara kerana dolar AS terus melemah. Kami menyasarkan kemungkinan jajaran 3.98-4.04 pada minggu depan,” kata bank itu.

Bagi asas Khamis ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS pada 4.0300/0340 berbanding 4.0200/0250 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan diniagakan kukuh berbanding mata wang utama kecuali dolar Singapura.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8813/8863 daripada 3.9018/9078, naik berbanding pound Britain kepada 5.4804/4875 daripada 5.4905/4977 dan menokok berbanding euro kepada 4.9319/9384 daripada 4.9358/9427 pada Khamis minggu sebelumnya.

Ringgit, bagaimanapun, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0420/0459 daripada 3.0395/0444 sebelumnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan, didorong oleh jangkaan pengeluaran yang lebih rendah pada minggu akan datang.

Menurut seorang peniaga, pedagang menjangkakan pengeluaran yang lebih rendah akibat musim monsun yang boleh menyebabkan simpanan stok berkurangan di negara ini.

“Malahan, mereka turut menantikan laporan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang akan dikeluarkan pada Isnin,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini laporan media memetik satu kajian yang memaklumkan simpanan stok minyak sawit Malaysia pada Disember 2020 merosot kepada 1.18 juta tan daripada November 2020, berkurangan 24 peratus, berkemungkinan merupakan paras terendah dalam tempoh 13 tahun.

Sementara itu, data oleh Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menunjukkan bahawa pengeluaran MSM pada Disember 2020 turun 12.23 peratus kepada 1.3 juta tan daripada November 2020.

Bagi minggu baru berakhir, kebanyakan harga MSM adalah tinggi berikutan harga minyak kacang soya yang lebih kukuh serta output dan stok minyak sawit yang lebih rendah.

Pada asas mingguan, kontrak niaga hadapan MSM bagi Januari 2020 meningkat RM106 kepada RM3,997 satu tan, Februari 2021 naik RM210 kepada RM3,974 satu tan, Mac 2021 menokok RM230 kepada RM3,830 satu tan dan April 2021 meningkat RM235 kepada RM3,709 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 370,671 lot daripada 138,285 lot pada minggu sebelum ini manakala kepentingan terbuka menokok kepada 206,172 kontrak daripada 196,440 kontrak pada minggu sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan naik RM160 kepada RM4,030 satu tan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan emas dijangka tidak berubah minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Urus niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tidak banyak berubah minggu depan berikutan ketiadaan pemangkin baharu, kata peniaga.

Bagaimanapun, Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd Lee Pei Wan berkata emas tempatan akan menjejaki prestasi niaga hadapan emas COMEX Amerika Syarikat (AS) yang diunjur terus kukuh berikutan kelemahan dolar AS dan ketidaktentuan pasaran.

“Kelemahan dolar AS akan menyaksikan jongkong emas dalam denominasi mata wang itu lebih murah bagi pelabur yang akan meningkatkan lagi permintaan terhadap logam berharga itu.

“Pasaran juga menunggu maklumat awal data tuntutan pengangguran AS bagi mengukur sejauh mana keadaan ekonomi negara itu,” katanya kepada Bernama.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat bersempena cuti umum Tahun Baharu 2021 dan dagangan dibuka semula pada Isnin ini.

Bagi perbandingan Khamis hingga Khamis, niaga hadapan emas di Bursa Malaysia bagi Disember 2020 susut 65 mata asas kepada RM244.25 segram manakala Januari 2021, Februari 2021 dan Mac 2021 tidak berubah pada RM235.60, RM233.60 dan RM233.60.

Jumlah dagangan mingguan sifar berbanding empat lot minggu lepas bernilai RM97,250 manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 24 kontrak daripada 25 kontrak, sebelum ini.

Dalam pada itu, harga emas fizikal merosot 75 sen kepada RM236.66 segram daripada RM237.41 segram pada minggu lepas.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka uji paras 4.0 berbanding dolar AS minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Ringgit dijangka diniagakan mengukuh berbanding dolar AS minggu depan, didorong oleh sentimen positif membabitkan vaksin Covid-19 selain peningkatan prestasi harga minyak mentah, kata penganalisis.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata jangkaan peningkatan komoditi pada tahun baharu ini, terutamanya kenaikan harga minyak mentah, akan memberi dorongan berganda untuk ringgit.

“Ringgit misalnya menjadi mata wang yang telah dinilai lebih rendah bagi kebanyakan tempoh 2020. Namun, kaitan kukuhnya dengan pasaran komoditi kini menjadikan mata wang itu lebih di hadapan.

“Malah, ini membolehkan ringgit untuk menguji paras psikologi 4.0 berbanding dolar AS seawal minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sepanjang minggu ini, ringgit terus meningkat berbanding dolar AS yang merupakan pengukuhan untuk 10 minggu berturut-turut ketika pasaran tempatan bergerak seiringan dengan prestasi positif harga minyak.

Peningkatan minat terhadap risiko turut memacu peningkatan mata wang Asia sehinggakan ada di antaranya mencecah paras tertinggi sejak beberapa minggu lepas.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat sempena cuti umum Tahun Baharu 2021 dan akan kembali beroperasi pada 4 Jan, 2021.

Bagi asas perbandingan mingguan bermula Khamis lepas, ringgit menokok 390 mata asas kepada 4.0200/0250 berbanding dolar AS daripada 4.0590/0620 pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama kecuali dolar Singapura.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun pada 3.9018/9078 daripada 3.9153/9193, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4905/4977 daripada 5.5186/5243 dan meningkat berbanding euro kepada 4.9358/9427 daripada 4.9479/9528, Khamis lepas.

Namun berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.0395/0444 daripada 3.0537/0571, sebelum ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka niaga rendah, dagangan lengang minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Ringgit dijangka rendah sedikit berbanding dolar AS minggu depan di tengah-tengah permintaan lemah menjelang cuti panjang hujung tahun, kata seorang penganalisis.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata sentimen risiko yang bertambah baik dan harga minyak tinggi dijangka memberi sokongan kepada ringgit minggu depan tetapi aktiviti agak terhad memandangkan majoriti peniaga sedang bercuti panjang.

Beliau berkata data ekonomi Amerika Syarikat yang rendah dan jangkaan pound sterling yang tingggi berikutan keyakinan terhadap perjanjian perdagangan Brexit menyaksikan dolar AS diniagakan kebanyakannya rendah.

“Pasaran tempatan dipengaruhi kebanyakannya oleh faktor luaran, terutamanya perjanjian perdagangan Brexit dan perkembangan vaksin Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat sempena cuti umum sambutan Hari Krismas dan dagangan akan disambung semula pada 28 Dis.

Bagi asas Jumaat ke Khamis, ringgit rendah berbanding dolar AS pada 4.0590/0620 berbanding 4.0375/0415 pada minggu sebelumnya.

Mata wang tempatan juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0537/0571 pada Khamis daripada 3.0389/0428 pada Jumaat minggu sebelumnya dan turun berbanding pound Britain kepada 5.5186/5243 daripada 5.4474/4540.

Unit tempatan berkurangan berbanding euro kepada 4.9479/9528 daripada 4.9451/9512 dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.9153/9193 daripada 3.8983/8029.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dijangka diniaga tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Bursa Malaysia dijangka melantun semula untuk diniagakan kukuh minggu depan dengan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur menguji paras psikologi 1,700 di tengah-tengah aktiviti memperelokkan akaun dan sentimen pasaran yang bertambah baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata indeks utama itu dijangka melangkah ke tahun baharu dengan catatan tinggi apabila para pelabur mendapat keyakinan ke arah penghujung tahun.

“Kebiasaannya, minggu terakhir Disember dan minggu pertama tahun baharu adalah minggu yang paling kukuh sepanjang tahun, oleh itu saya percaya KLCI akan bergerak lebih tinggi antara paras 1,680 dan 1,700,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sentimen pasaran dijangka positif berikutan peningkatan harga komoditi, kekukuhan ringgit berbanding dolar AS, keyakinan terhadap pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia pada tahun depan serta perjanjian perdagangan bebas antara Britain dan Kesatuan Eropah.

Nazri Khan berkata keseluruhan jumlah dagangan pasaran dijangka kecil dalam tempoh dua minggu akan datang kerana majoriti pembeli institusi tidak memasuki pasaran berikutan cuti panjang hujung tahun, tetapi momentum pasaran akan disokong oleh belian dalam saham permodalan kecil.

Bursa Malaysia bermula lemah pada minggu yang baru berakhir ini apabila sentimen pelabur terjejas oleh kebimbangan terhadap tinjauan ekonomi global dan minat risiko terus merosot pada hari berikutnya susulan berita kemunculan varian baharu Covid-19 di United Kingdom yang boleh menjangkiti dengan pantas selain penurunan harga minyak dunia.

Bagaimanapun, pasaran tempatan kembali pulih pada Rabu disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah menjelang cuti panjang hujung minggu, berikutan berita positif penghantaran vaksin Covid-19 oleh syarikat famaseutikal AstraZeneca, yang dijangkakan pada separuh pertama 2021.

Namun pada Khamis, FBM KLCI susut kembali berikutan aktiviti pengambilan untung di tengah-tengah sentimen pasaran yang berhati-hati sebelum cuti pada Jumaat sempena sambutan Hari Krismas.

Bagi asas Jumaat ke Khamis, petunjuk pasaran FBM KLCI turun 11.32 mata kepada 1,641.17 pada Khamis daripada 1,652.49 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 79.57 mata kepada 11,810.92, Indeks FBMT 100 susut 80.12 mata kepada 11,569.93, FBM 70 berkurangan 106.06 mata kepada 15,112.54 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 51.29 mata kepada 13,283.18.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE melonjak 209.65 mata kepada 10,657.3.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 57.48 mata kepada 7,407.28, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.2 mata kepada 175.89 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 164.63 mata kepada 15,260.37.

Indeks Tenaga jatuh 28.58 mata kepada 879.47, Indeks Penjagaan Kesihatan turun 29.95 mata kepada 3,672.36 manakala Indeks Teknologi berkurangan 0.46 mata kepada 67.41.

Jumlah dagangan mingguan jatuh kepada 28.99 bilion unit bernilai RM14.05 bilion dripada 50.37 bilion unit bernilai RM26.15 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 17.26 bilion saham bernilai RM10.7 bilion daripada 32.40 bilion saham bernilai RM22.03 bilion sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah dagangan waran meningkat kepada 7.85 bilion unit bernilai RM364.77 juta daripada 4.97 bilion unit bernilai RM804.71 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 9.52 bilion saham bernilai RM2.99 bilion daripada 13.04 bilion saham bernilai RM3.31 bilion.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dijangka niaga 1,640-1,650 minggu depan

KUALA LUMPUR, 6 DIS: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan antara paras 1,640 dan 1,650 minggu depan mendapat rangsangan daripada aktiviti memperelokkan akaun.

Bagaimanapun, reaksi spontan dijangkakan pada Isnin berikutan penurunan penarafan kredit negara Malaysia kepada ‘BBB+’ daripada ‘A-‘ dengan tinjauan stabil oleh Fitch Ratings.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan berkata Disember kebiasaannya adalah bulan yang positif bagi FBM KLCI, justeru, pasaran dijangka meningkat perlahan-lahan daripada sebelumnya.

Beliau berkata antara pemangkin positif yang akan menggerakkan pasaran adalah keyakinan terhadap vaksin Covid-19 dan Belanjawan 2021, keputusan suku ketiga yang lebih baik daripada dijangkakan serta minat berterusan terhadap saham syarikat yang dijangka menerima manfaat daripada jangkaan pemulihan ekonomi.

“Kita dibanjiri dengan mudah tunai dan lebih banyak dijangka akan masuk. Aliran masuk asing bagi minggu ini adalah lebih baik, yang bermakna kita berada di landasan untuk kembali kepada keadaan normal,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim percaya reaksi spontan kepada penurunan penarafan kredit negara itu hanya sementara waktu sahaja.

“Kemungkinan hasil bon bagi Sekuriti Kerajaan Malaysia akan turun kerana ramai pelabur beralih kepada pasaran bon.

“Ringgit juga dijangka terjejas tetapi keadaan dijangka pulih segera selepas itu,” katanya sambil menambah kekalutan politik tempatan kemungkinan akan menjejaskan sentimen di Bursa Malaysia.

Selain itu, Adam berkata sebarang perkembangan berkaitan vaksin Covid-19 turut akan dipantau dengan rapat.

Semasa minggu yang baru berakhir ini, perkembangan vaksin dan harga minyak mentah memberi pengaruh besar kepada prestasi saham tempatan.

Pasaran memberikan reaksi negatif selepas pengeluar ubatan Pfizer Inc mengurangkan sasaran pelancaran vaksin Covid-19. Awal minggu ini, United Kingdom mengumumkan penggunaan vaksin Pfizer bagi kegunaan kecemasan di negara itu bermula minggu depan.

Pasaran minyak turut mendapat rangsangan dengan harga minyak mentah penanda aras Brent meningkat hampir kepada US$50 setong selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu-sekutunya bersetuju mengurangkan pengeluaran pada jumlah yang lebih rendah daripada yang dijangkakan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, Indeks FBM KLCI naik 14.26 mata kepada 1,621.85 daripada 1,607.59.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 198.69 mata kepada 11,740.72, Indeks FBMT 100 naik 172.81 mata kepada 11,493.96 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 238.26 mata kepada 13,507.17.

FBM 70 melonjak 509.16 mata kepada 15,249.55 dan Indeks FBM ACE menokok 35.48 mata kepada 10624.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 281.35 mata kepada 14,517.45, Indeks Perladangan naik 113.51 mata kepada 7349.40 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 11.31 mata kepada 173.79.

Indeks Teknologi naik 2.21 mata kepada 67.14, Indeks Tenaga meningkat 116.45 mata kepada 919.81 dan Indeks Penjagaan Kesihatan susut 43.63 mata kepada 3,922.73.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 54.02 bilion unit bernilai RM31.40 bilion daripada 45.97 bilion unit bernilai RM23.18 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 34.65 bilion saham bernilai 25.85 bilion berbanding 20.46 bilion saham bernilai RM17.16 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 3.72 bilion unit bernilai RM687.85 juta daripada 3.30 bilion unit bernilai RM586.75 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menguncup kepada 15.63 bilion saham bernilai RM4.85 billon daripada 19.39 bilion saham bernilai RM5.40 bilion.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kontrak hadapan minyak sawit mentah dijangka tidak berubah

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka tidak berubah minggu depan dengan aktiviti pengambilan untung walaupun asas aliran peningkatan kekal kukuh susulan bekalan dan pengeluaran yang rendah.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata harga komoditi itu dijangka dalam jajaran RM3,200 hingga RM3,300 satu tan.

“Kebanyakan pembeli hanya membeli minyak sawit sekiranya terdapat keperluan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) pula berpendapat bahawa harga minyak sawit terus meningkat dalam separuh pertama 2021 berikutan penyusutan ketara soya di Argentina dan kenaikan harga minyak bunga matahari.

Faktor lain pula bergantung kepada corak aliran cuaca dan sejauh mana seriusnya fenomena cuaca La Nina di masa depan.

Bagi minggu baru berakhir, harga MSM kebanyakannya tinggi dipengaruhi oleh prestasi kukuh minyak kacang soya di Bursa Komoditi Dalian China dan Lembaga Perdagangan Chicago AS (CBOT).

Harga tersebut naik daripada penurunan sebelum ini apabila Indonesia berusaha mengenakan levi ke atas MSM bermula pertengahan bulan ini, sekali gus menjadikan MSM Malaysia lebih menarik.

Peningkatan itu juga seiring dengan aliran kenaikan harga fizikal yang mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih sembilan tahun.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi Disember 2020 meningkat RM140 kepada RM3,645 satu tan, Januari 2021 melonjak RM151 kepada RM3,552 satu tan, Februari 2021 naik RM99 kepada RM3,437 satu tan dan Mac 2021 menokok RM74 kepada RM3,337 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 282,610 lot daripada 347,718 lot pada minggu sebelum ini manakala kepentingan terbuka susut kepada 240,256 kontrak daripada 275,355 kontrak.

Di pasaran fizikal, November Selatan berada pada RM3,690 satu tan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan emas dijangka lengang, harga mungkin susut

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Pasaran niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal lengang minggu depan berikutan kekurangan permintaan, kata para peniaga.

Sebaliknya, penanda aras niaga hadapan emas COMEX Amerika Syarikat dijangka diniagakan tinggi berikutan penurunan dolar AS susulan ketidakpastian berhubung prospek ekonomi global, kata seoarang peniaga.

“Para pelabur dijangka mengambil pendekatan tunggu dan lihat susulan keadaan pasaran global yang tidak menentu.

“Dengan jangkaan ringgit diniagakan tinggi minggu depan, terdapat kemungkinan harga emas akan menyusut,” katanya.

Sementara itu, pasaran emas tempatan ditutup minggu ini tidak diniagakan berikutan kekurangan minat belian.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, niaga hadapan emas di Bursa Malaysia bagi kontrak Disember 2020 dan Januari 2021 turun 120 mata setiap satu masing-masing kepada RM252.50 dan RM250.00 segram manakala Februari 2021 susut 180 mata kepada RM231.00 segram dan bulan jauh baharu Mac 2021 berada pada RM231.00 segram.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada satu lot bernilai RM25,000 daripada dua lot bernilai RM49,600 pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat sedikit kepada 23 kontrak daripada 22 kontrak sebelumnya.

Sementara itu, harga emas fizikal meningkat kepada RM232.29 segram berbanding RM228.96 segram pada Jumaat minggu sebelumnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga pasaran getah dijangka tidak menentu minggu depan

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan tidak menentu pada minggu depan berikutan faktor cuaca, penyakit pokok serta penularan pandemik Covid-19 global yang kian buruk.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata pengeluaran getah basah dan kering terjejas berikutan impak musim tengkujuh yang kini melanda kawasan penanaman getah dan menjejaskan usaha penorehan serta pengeluaran.

Menurutnya, keadaan cuaca berterusan itu serta berita mengenai kemungkinan hasil getah susut akibat masalah pokok, turut memberi kesan terhadap harga komoditi tersebut.

“Tidak dinafikan bahawa keadaan sedemikian akan menjadikan pasaran lebih lemah. Kita melihat faktor cuaca dan penyakit pokok itu lebih ketara berbanding sekatan pergerakan akibat Covid-19.

“Sehubungan itu, harga getah dijangka meningkat minggu ini dengan belian stok simpanan menerajui permintaan bagi getah basah dan kering,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, SMR 20 naik 5.50 sen kepada 645.5 sekilogram manakala susu getah pukal menokok 10.00 sen kepada 586.00 sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 mencatat 647.00 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 589.50 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Data ekonomi dijangka pacu prestasi ringgit minggu depan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Ringgit memberi reaksi positif serta mengukuh sebanyak 0.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat – paras paling kukuhnya berbanding unit negara maju itu dalam tempoh seminggu.

Bagi minggu akan datang, prestasi ringgit dijangka mendapat dorongan menerusi pengumuman data ekonomi terbaru yang dilihat memberi kejutan positif untuk unit tempatan itu.

Penganalisis Pasaran FTXM Han Tan berkata ringgit berserta semua mata wang utama Asia mencatatkan aliran peningkatan mingguan berbanding dolar AS yang sebaliknya susut daripada kenaikan awal sebelum pemilihan presiden negara itu.

Menurutnya, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman tidak berubah pada awal minggu yang seiringan dengan jangkaan pasaran, juga membantu prestasi ringgit bagi tempoh tersebut.

“Selain itu, kejutan positif data ekonomi Malaysia yang akan diumumkan minggu depan seperti pengeluaran perindustrian bagi September dan Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku ketiga juga boleh mempengaruhi jangkaan sekitar pemulihan ekonomi dan memberi sokongan untuk ringgit.

“Ekonomi Malaysia dijangka menguncup sebanyak 6.5 peratus pada suku ketiga yang lebih baik daripada prestasi suku kedua yang menguncup sebanyak 17.1 peratus,” katanya.

Bagi minggu depan, tukaran ringgit dan dolar AS dijangka dalam sentimen lemah sementara menunggu sebarang perubahan besar membabitkan pilihan raya Presiden AS.

“Ini kerana kemenangan Joe Biden akan menyaksikan dolar AS menyederhana lagi yang sebaliknya membuka ruang tukaran ringgit-dolar pada 4.11 seperti pada pertengahan September.

“Namun, jika Donald Trump berjaya mengubah keadaan dan menuntut kemenangannya atau tuntutan undang-undangnya terhadap undian terbukti membantunya, ini boleh memulihkan dolar AS dan menyebabkan ringgit-dolar AS ke arah paras rintangan pada 4.17,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh semula berbanding dolar AS kepada 4.1275/1325 daripada 4.1530/1570 pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0624/0668 daripada 3.0427/0468 Jumaat lepas, rendah berbanding yen kepada 3.9918/9978 daripada 3.9757/9814 sebelum ini.

Ringgit turun berbanding pound Britain kepada 5.4231/4313 daripada 5.3806/3866 dan susut berbanding euro pada 4.8923/8995 daripada 4.8470/8529 sebelum ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Tindak balas spontan pengaruhi Bursa Malaysia, diniaga rendah

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Bursa Malaysia dijangka menyaksikan beberapa tindak balas spontan dalam kalangan pelabur minggu depan, sekali gus menolak turun FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan mengekalkannya di bawah paras 1,500 mata.

Menurut Bank Islam Malaysia Bhd, indeks barometer diunjurkan bergerak dalam julat 1,400 dan 1,500 mata dengan ketidakpastian situasi politik terus menjadi kebimbangan utama para pelabur.

“Sentimen secara keseluruhannya dijangka lemah dengan peserta pasaran terus menantikan keputusan mesyuarat dan pertemuan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat,” ahli ekonomi Adam Mohamed Rahim memberitahu Bernama.

Terdahulu semalam, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya bagi membincangkan isu-isu semasa.

Berdasarkan aliran keluar pasaran daripada saham permodalan kecil dan sederhana pada Jumaat, papan skor menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 894 berbanding 311, manakala 352 kaunter tidak berubah, 610 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Menurut penganalisis, penurunan ini disebabkan oleh situasi tidak menentu dalam perkembangan ekonomi dan politik negara yang menyaksikan para pelabur keluar daripada pasaran.

Namun begitu, saham berkaitan indeks disokong oleh pelabur institusi.

Sementara itu, untuk perkembangan luar pula, pilihan raya presiden AS yang akan berlangsung pada 3 November depan merupakan satu lagi faktor yang akan mempengaruhi pasaran kerana pemenangnya akan mempunyai dasarnya sendiri yang akan menentukan bagaimana hubungan perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Untuk minggu baru berakhir, bursa tempatan kebanyakannya bergerak dalam zon merah, dikuasai oleh keadaan politik semasa yang masih berkocak dan kemunculan semula kes Covid-19 seluruh dunia.

Bursa tempatan turut mengambil petunjuk daripada pergerakan bursa Asia serantau yang lain sejak beberapa minggu lepas dan prestasi semalaman Wall Street, dipacu oleh rundingan pakej rangsangan yang masih belum selesai.

Rakuten Trade dalam notanya berkata harapan untuk rangsangan itu masih tidak menentu sejak beberapa minggu lepas dan makluman terkini ialah perjanjian itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Sementara itu, CGS-CIMB Futures Sdn Bhd pula berkata memandangkan Lembah Klang memasuki minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, pelabur runcit terus memasuki pasaran saham dan ini juga disebabkan oleh kadar faedah yang rendah, dan ia dijangka dikurangkan lagi pada November.

“Urus niaga selama empat hari minggu ini sehingga Khamis mencatatkan jumlah dagangan 35.75 bilion, meningkat 5.21 peratus berbanding 33.98 bilion minggu lepas,” katanya.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, FBM KLCI ditutup 9.20 mata lebih rendah pada 1,494.64 berbanding 1,503.84 sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas menyusut 110.84 mata kepada 10,827.23, Indeks FBMT 100 susut 108.59 mata kepada 10,631.63 dan Indeks FBM Emas Shariah lemah 186.50 mata kepada 12,954.11.

FBM 70 jatuh 313.37 mata kepada 14,258.34 dan FBM ACE kehilangan 365.11 mata kepada 10,606.77.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 50.51 mata kepada 12,359.16 dan Indeks Perladangan turun 3.51 mata kepada 6,855.00 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.76 mata kepada 144.36.

Indeks Teknologi menambah 32.37 mata kepada 60.78 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 68.43 mata kepada 4.021.86.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 42.67 bilion unit bernilai RM25.89 bilion daripada 33.97 bilion unit minggu lalu bernilai RM23.47 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama mengukuh kepada 23.18 bilion saham bernilai RM20.43 bilion berbanding 19.81 bilion saham bernilai RM17.91 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran lebih tinggi pada 4.82 bilion unit bernilai RM1.24 bilion berbanding 4.06 bilion unit bernilai RM988.80 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE juga meningkat kepada 14.66 bilion saham bernilai RM4.22 bilion daripada 10.08 bilion saham bernilai RM4.57 bilion.

-BERNAMA