Categories
NASIONAL

Bekas model pulang barangan kemas USD8.1 juta babit 1MDB

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 JUN: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah memuji bekas model Victoria Secret, Miranda Kerr yang memulangkan barangan kemas bernilai USD8.1 juta kepada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) selepas barangan tersebut didedahkan dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Izzah berkata, barangan kemas itu sebelum ini dilapokan dihadiahkan kepada Kerr oleh watak utama di sebalik skandal 1MDB, Jho Low sewaktu beliau cuba memikat model kelahiran Australia itu.

Nurul Izzah“Model ini lebih bermaruah berbanding pemerintah negara yang terlibat skandal merosakkan imej negara.

“Kita harap perompak dalam negara sendiri juga diberi kesedaran untuk memulangkan ‘permata’ yang dirampas hasil kepunyaan rakyat Malaysia,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam satu kenyataan.

Menurut akhbar The Wall Street Journal memetik jurucakap Kerr yang memaklumkan bahawa model tersebut memulangkan hadiah itu Jumaat lalu kepada ejen kerajaan dari peti deposit keselamatannya di Los Angeles.

“Sejak permulaan siasatan, Miranda Kerr bekerjasama sepenuhnya dan berjanji akan menyerahkan hadiah barangan kemas itu kepada kerajaan.

“Kerr akan terus membantu siasatan dengan semampunya,” katanya.

DoJTambah Nurul Izzah lagi, DOJ dalam saman terbarunya, pada 16 Jun lalu mendakwa Low dan rakannya Eric Tan membelanjakan USD200 juta untuk membeli kemas.

“Low dilapor membelanjakan sekurang-kurangnya USD9.9 juta untuk barang kemas buat Miranda Kerr serta untuk ibunya sendiri.

“Menurut DOJ, pembelian pertama direkodkan ahli perniagaan itu menggunakan wang penyelewengan 1MDB bermula sejak 2012 apabila beliau membeli cincin dan anting-anting berlian untuk ibunya,” katanya.