Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Individu hina ATM jijik, musuh negara

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Mana-mana pihak yang didapati menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disifatkan sebagai musuh negara dan rakyat.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, tindakan menghina ATM juga adalah jijik dan tidak boleh diterima.

“Bagi saya, sesiapa saja tidak kira mana-mana kaum, jika menghina ATM, maka dia adalah musuh negara.

“Mana-mana individu boleh memberi tunjuk ajar, pandangan dan mengkritik anggota tentera, namun tidak sampai ke tahap menghina.

“Jangan ambil kesempatan membangkitkan isu perkauman,” katanya memetik laporan asal BH Online.

Beliau ditemui pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin didakwa melabelkan anggota tentera sebagai pemalas dan ‘kerja makan tidur’.

Kenyataan itu sekali gus turut dilihat menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Pemerintah ATM.

Mengulas itu terbabit, Mohamad Sabu berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kenyataan ahli perniagaan berkenaan.

“Laporan polis sudah dibuat oleh pelbagai pihak, kita serah kepada polis untuk siasat. Kita tunggu apa tindakan mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kewajaran lanjut operasi Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar dipertimbang

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Kerajaan akan mempertimbangkan kewajaran melanjutkan pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh sehingga 2021.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Bangladesh menyambut baik sumbangan Hospital Medan Malaysia dan mencadangkan supaya ia meneruskan pengoperasiannya.

“Bagi cadangan ini, kerajaan masih lagi mempertimbangkan akan kewajaran meneruskan pengoperasian sehingga 2021 dengan mengambil kira kesan utama ke atas pelarian Rohingya itu sendiri,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang ingin tahu keberkesanan pengoperasian Hospital Medan Malaysia dan hala tuju penglibatan Malaysia dalam usaha kemanusiaan terhadap krisis Rohingya.

Pada masa ini, Mohamad berkata, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan pengoperasian hospital berkenaan sehingga 31 Disember tahun ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, isu pertambahan pelarian Rohingya di Malaysia dan di Cox’s Bazar sentiasa dibangkitkan dalam perbincangan di peringkat Kementerian Pertahanan Malaysia dan Myanmar.

Katanya, negara itu memberi jaminan beberapa kali bahawa mereka bersedia menerima kembali pelarian yang mempunyai identiti.

“Namun begitu, masalah yang kita hadapi sekarang bagi mereka yang berhijrah ini di antaranya mereka tidak mempunyai identiti, tidak punyai kad kerakyatan dan sebagainya.

“Perkara ini sama ada disengajakan supaya mereka tidak ada kad kerakyatan atau tidak, itu perlu kepada penyelidikan. Tetapi menjadi kesukaran termasuk yang berada di Malaysia lebih daripada 160,000 pelarian sekarang. Kerajaan Malaysia membantu mereka sekadar yang termampu,” katanya.

Mohamad menjawab soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) mengenai sama ada kementerian akan menggunakan kaedah diplomasi ketenteraan dalam menyelesaikan masalah pelarian Rohingya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Koperasi Tentera umum dividen 10% kepada ahli

SUNGAI BULOH, 30 JUN: Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) hari ini mengumumkan pulangan dividen sebanyak 10 peratus membabitkan pembayaran berjumlah RM145 juta kepada 154,620 ahlinya.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pembayaran dividen itu diperoleh berdasarkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM184.33 juta hasil daripada pendapatan bersih operasi berjumlah RM313.5 juta bagi tahun kewangan 2018.

Beliau berkata Koperasi Tentera mempunyai rekod cemerlang dan konsisten termasuklah untuk tahun 2018 yang mempunyai prestasi kewangan koperasi kekal positif.

“Koperasi Tentera juga mengumumkan jumlah keuntungan sebanyak RM13.6 juta ke atas simpanan anggota bagi tahun 2018,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera ke-54 di Dewan PERHEBAT, Kem Sungai Buloh, di sini.

Mohamad berkata walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan, Koperasi Tentera terbukti masih mampu memberikan pulangan yang tinggi secara konsisten.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Koperasi Tentera, Mej Jen (B) Datuk Zulkiflee Mazlan, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang.

Pada majlis itu, turut diperkenalkan Perkhidmatan Dalam Talian dan Aplikasi Perbankan Mudah Alih (KTOnline) yang dibangunkan dengan objektif memberi kemudahan kepada anggota yang berada jauh daripada cawangan atau bandar di samping menyediakan pengalaman lebih baik kepada semua anggotanya.

Pengenalan itu menjadikan Koperasi Tentera antara koperasi terawal memperkenalkan perkhidmatan tersebut seiring dengan pelan mengoptimumkan penggunaan teknologi digital dalam penyediaan perkhidmatan serta produk buat anggota dan pelanggannya.

Pada majlis itu juga Zulkiflee menyampaikan zakat perniagaan Koperasi Tentera berjumlah RM450,000 kepada Tabung Zakat Yayasan Veteran ATM.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sedia beri kerjasama kepada SPRM isu ‘land swap’

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata kementerian yang diterajuinya sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan siasatan urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.

Beliau berkata SPRM bebas memanggil siapa sahaja daripada kementerian itu untuk membantu siasatan.

“Kalau SPRM minta kerjasama untuk kita bagi maklumat tambahan kita akan bekerjasama,” katanya ketika ditemui pemberita pada satu majlis rumah terbuka Aidilfitri, di sini malam ini.

Mohamad berkata kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu.

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilapor memberi keterangan selama tujuh jam kepada SPRM di Putrajaya semalam berhubung isu berkenaan.

Februari lalu, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM diyakini dengar kritikan, nilai prestasi Latheefa

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diyakini akan mendengar pandangan dan kritikan terhadap keputusannya melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata beliau yakin Dr Mahathir akan memantau dan menilai prestasi Latheefa dari masa ke semasa dan jika pencapainya tidak memenuhi hasrat pengkritik, maka beliau percaya pelantikan berkenaan akan dinilai semula.

“Saya berkeyakinan penuh Perdana Menteri mengambil perhatian tentang cara pelantikan dan menjadikan kritikan serta pandangan itu sebagai satu ujian kepada kewibawaan Latheefa untuk menjalankan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pelantikan Latheefa adalah untuk tempoh kontrak dua tahun berkuasa kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa, yang memulakan tugas hari pertama, hari ini, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal daripada sepatutnya pada 17 Mei 2020. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

Mohamad beri penghormatan terakhir Allahyarham Ani Yudhoyono di Singapura

SINGAPURA, 1 JUN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu meluangkan masa menziarah jenazah Allahyarham Ani Yudhoyono, isteri bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, di Kedutaan Besar Indonesia di Singapura.

Mohamad kebetulan berada di Singapura untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-18, Dialog Shangri-La (SLD) selama tiga hari bermula semalam.

Ani Yudhoyono, 66, meninggal dunia pada 11.50 pagi tadi akibat kanser darah di National University Hospital.

Beliau menjalani rawatan penyakit kanser darah di hospital itu sejak Februari lepas.

Dilahirkan pada 6 Jun 1952, Ani Yudhoyono menjadi wanita pertama Indonesia semasa pemerintahan suaminya bagi tempoh 2004 hingga 2014.

Sementara itu, Minister Councellor Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Singapura Berlianto Situngkir memberitahu Bernama terdapat perubahan waktu untuk membawa pulang jenazah.

“Jenazah Ibu Ani akan di bawa pulang malam ini juga dengan pesawat khas Hercules dari pangkalan udara Paya Lebar,” katanya.

Terdahulu dilaporkan waktu ditetapkan pada pukul 7 pagi esok sebelum disemadikan di Taman Makam Pahlawan Nasional Utama Kalibata di Jakarta.

Turut mengiringi jenazah pulang ke Jakarta adalah suaminya Yudhoyono dan Duta Besar Indonesia ke Singapura Gusti Ngurah Swajaya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Mohamad Sabu: Risiko keselamatan bukan tradisional jadi tumpuan utama

SINGAPURA, 1 JUN: Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu hari ini mengkategorikan senario orde keselamatan kepada tiga pandangan strategik dengan meramalkan isu-isu berkaitan risiko bukan tradisional dan trend yang muncul memberi kesan kepada rantau Asia.

“Pandangan ini bakal menjadi tumpuan utama pada masa akan datang kerana ia menimbulkan cabaran besar. Jenayah maritim, keganasan dan keselamatan siber adalah cabaran utama yang perlu ditangani dengan sewajarnya,” katanya ketika berkongsi perspektifnya mengenai tajuk “Asia’s Evolving Security Order and Its Challenges” pada sesi pleno Dialog Shangrila-la IISS ke-18 2019 di sini.

Mohamad yang berada di sini untuk Dialog selama tiga hari yang berakhir esok berkata, jenayah maritim, terutama kegiatan lanun dan perampasan di laut, memerlukan pendekatan yang lebih kolaboratif di kalangan negara.

Beliau berkata, isu-isu maritim berpotensi menjadi ancaman kepada negara-negara jika usaha bersepadu tidak digerakkan secara efektif.

“Jelas, perairan di Asia Tenggara menghadapi pelbagai cabaran, meliputi ancaman tradisional dan bukan tradisional di dalam dan luar pesisir,” katanya.

Mohamad menarik perhatian bahawa persaingan kuasa-kuasa besar meningkatan lagi ketegangan di Laut China Selatan.

“Akibatnya, timbul risiko lebih besar bagi kepada kapal-kapal tentera laut dan pesawat yang menimbulkan kemungkinan berlaku pertembungan yang boleh mencetuskan konflik besar yang mengheret negara-negara anggota ASEAN ke kancah peperangan.

“Satu daripada isu itu ialah laut China selatan yang melibatkan keselamatan dan kelangsungan hidup kebanyakan negara jiran,” katanya.

Mohamad menegaskan bahawa Laut China Selatan harus kekal sebagai kawasan aman persahabatan dan perdagangan bukan sebaliknya rantau konfrontasi serta konflik yang ASEAN juga seluruh dunia dapat memanfaatkan lokasi strategiknya.

Menurut Mohamad, pandangan strategik kedua meramalkan senario di Asia Tenggara dan intra-Asia yang nmelibatkan tuntutan bertindih, pergerakan besar pelarian serta kebangkitan konflik dalaman.

“Isu pelarian Rohingya adalah bukti nyata konflik dalaman yang bertukar menjadi krisis kemanusiaan utama. Pendirian Malaysia mengenai isu Rohingya diketahui umum dan konsisten. Kami percaya bahawa keadaan di Rakhine tidak lagi menjadi konflik dalaman.

“Piagam ASEAN menyatakan dengan keras mengenai prinsip tidak campur tangan, dan Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip ini,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad berkata di luar dimensi kemanusiaan, terdapat juga dimensi keselamatan dan strategik yang menyaksikan pergerakan Rohingya secara meluas mewujudkan ketidakstabilan di rantau ini.

Sementara itu, satu lagi tinjauan strategik menggambarkan cabaran untuk mengawasi ketidaktentuan dan orde serantau yang kompleks akibat persaingan geopolitik.

“Pandangan ini terbit disebabkan oleh struktur kuasa multipolar yang dimanifestasikan oleh pentadbiran baharu Amerika Syarikat dan objektif dasar ekonomi dan keselamatan China untuk rantau ini.

“Ketidakpastian dalam hubungan antara Amerika Syarikat dan China akan kekal sebagai faktor yang jelas dalam membentuk kestabilan rantau Asia Pasifik khususnya negara-negara Asia Tenggara,” katanya.

Turut berucap di landasan sama ialah rakan sejawatannya dari Perancis dan Britain.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Mohamad ke Singapura hadiri 18th IISS Asia Security Summit Shangri-La Dialogue

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu menghadiri 18th IISS Asia Security Summit Shangri-La Dialogue selama tiga hari dan berakhir esok di Hotel Shangri-La, Singapura.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan, persidangan itu adalah program tahunan bertaraf antarabangsa membabitkan tokoh-tokoh penting dalam kalangan kerajaan dan bukan kerajaan di rantau Asia Pasifik serta di luar rantau

Persidangan ini juga membuka peluang kepada semua pihak membincangkan isu-isu keselamatan semasa dan akan datang.

Mohamad dijadualkan menyampaikan ucapan bertajuk ‘Asia’s Evolving Security Order and its Challenges’ semasa sesi plenari ketiga pada hari ini bersama-sama Menteri Pertahanan France dan United Kingdom.

Beliau akan turut mengadakan pertemuan dua hala dan pelbagai hala sesama rakan sejawatan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan polisi pertahanan dan juga berkaitan cabaran dalam mengekalkan keselamatan serantau di samping menubuhkan jaringan hubungan serta kerjasama pertahanan antara negara terlibat.

Mohamad turut berpeluang bertemu dengan Menteri Pertahanan New Zealand, Ron Mark dalam satu mesyuarat dua hala, semalam.

Kedua-dua Menteri ini menyelar tindakan keganasan di Christchurch dan mengakui hubungan baik antara kedua-dua negara serta memastikan hubungan itu akan terus maju terutama melalui platform Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Selain itu, Mohamad turut bertemu beberapa pemimpin lain seperti Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan Kanada, Harjit Singh Sajjan dan Setiausaha Pertahanan United Kingdom, Penny Mordant.

Categories
NASIONAL

Tingkat pemantauan perairan negara menjelang Aidilfitri

KUANTAN, 28 MEI: Kerajaan akan meningkatkan pemantauan perairan negara ketika musim sambutan Aidilfitri bagi memastikan pendatang asing tanpa izin tidak mengambil peluang ketika musim perayaan untuk pulang ke kampung halaman mengikut saluran yang tidak sah.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pemantauan itu dilaksanakan kerana penggunaan laluan perairan negara tanpa kebenaran yang sah membawa banyak ancaman keselamatan kepada negara.

“Penguatkuasaan di perairan negara akan ditingkatkan ketika musim perayaan secara bersepadu oleh semua agensi termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen.

“Kita amat mengambil berat isu pendatang asing ini malah baru-baru ini Kabinet mengadakan mesyuarat khas mengenai isu imigran,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bungkusan Hari Raya kepada warga TLDM di atas kapal KD Pahang di perairan Kuantan, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Markas Wilayah Laut 1 Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis.

Bagi TLDM, Mohamad berkata, pasukan itu akan menggerakkan kapal KD Perdana dan KD Pendekar untuk tugasan memantau perairan negara. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

95,111 veteran ATM terima Bantuan Harapan Negara mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Sejumlah 95,111 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima Bantuan Harapan Negara (BHN) berjumlah RM500 seorang mulai hari ini sebagai usaha berterusan kerajaan menjaga kebajikan golongan itu, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata pembayaran bantuan peringkat pertama itu melibatkan peruntukan sebanyak RM47.5 juta kepada veteran berpencen dan tidak berpencen.

“Pembayaran inisiatif ini diharap dapat meringankan sedikit bebanan veteran yang terlibat terutama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.

Veteran ATM yang telah menerima surat daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dimohon untuk mengemas kini maklumat berkaitan dengan nombor kad pengenalan baharu dengan menghubungi pusat panggilan JHEV ATM bagi memudahkan proses kelulusan BHN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan di Wisma Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Mohamad berkata pembayaran peringkat kedua BHN akan dilaksanakan pada Oktober.

Sementara itu, sejumlah 50 daripada 143 persatuan veteran layak menerima bantuan khas kerajaan sehingga Mei tahun ini.

Mohamad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 27 persatuan telah menerima bantuan dengan peruntukan berjumlah RM500,500.

“Bantuan ini bagi membantu persatuan menjalankan aktiviti berkaitan. Selain itu, persatuan juga diingatkan untuk memajukan laporan tahunan sebagaimana yang dikehendaki sebagai syarat untuk menerima peruntukan itu, ” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Cadang beri elaun bulanan kepada penerima PJM tentera

KUANTAN, 4 MEI: Kementerian Pertahanan mencadangkan supaya anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) diberikan elaun bulanan.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, perkara itu adalah berdasarkan keputusan yang diperoleh daripada mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) pada Februari lepas.

“Kita akan panjangkan perkara ini kepada jemaah menteri secepat mungkin kerana berharap keputusan dapat dicapai tahun ini dan bayarannya boleh bermula tahun hadapan

“Kita berharap pemberian elaun ini boleh dimasukkan dalam peruntukan Bajet 2020,” katanya pada sidang media Majlis Penganugerahan PJM kepada Veteran ATM peringkat Pahang di Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohamad menyempurnakan istiadat pengurniaan pingat itu kepada 310 veteran ATM, selain menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM90,700 kepada 19 persatuan veteran ATM.

Beliau berkata elaun itu yang akan dikenali sebagai ‘Elaun Kenangan’ itu juga adalah penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan anggota tentera yang berjuang menentang komunis.

“Usaha (pemberian elaun) ini juga dapat mengurangkan jurang pencen antara veteran di samping sedikit sebanyak membantu veteran tidak berpencen,” katanya.

Setakat ini, 6,781 veteran ATM menerima PJM. PJM diberikan kepada anggota ATM yang berkhidmat menentang komunis dari 1969 sehingga 1990 dan anggota pengaman dari luar negara yang berkhidmat di negara ini dari 1957 sehingga 1968.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mat Sabu: Lihat Sri Lanka, ISIS belum berakhir

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kekalahan kumpulan pengganas ISIS di Iraq dan Syria bukanlah satu pengakhiran kepada keganasan mereka, kata Menteri Pertahanan.

Mohamad Sabu juga berkata pengganas kumpulan itu berada di merata dunia dan terus menjadi ancaman utama kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Walaupun ISIS sudah tewas di Iraq dan Syria, ia bukanlah pengakhiran kepada aktivis keganasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyampaikan ucapannya bertajuk Implikasi Selepas Kekalahan ISIS di Syria dan Iraq bersempena Persidangan Keselamatan Antarabangsa Moscow kali ke-8 di Moscow semalam.

Menghuraikan intipati ucapannya, Mohamad juga menegaskan ISIS dan kumpulan pengganas ini mempunyai “ibu dan bapa” mereka yang wajib diambil tindakan oleh masyarakat antarabangsa.

“Saya menyeru kepada semua pihak agar bersatu bagi memerangi ancaman ISIS yang boleh mendatangkan kemusnahan dan pembunuhan orang awam seperti yang berlaku di Sri Lanka baru-baru ini.

“Jangan biarkan fahaman ekstremisme sebegini merosakkan keharmonian negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan untuk media Malaysia.

Lebih 350 orang penganut Kristian dan pelancong terkorban dan ratusan lagi cedera dalam siri pengeboman di lapan lokasi di Sri Lanka pada pagi Ahad lalu.

Dalam ucapannya di Moscow, Mohamad berkata kemajuan teknologi internet yang meluas mencetuskan serangan siber sebagai senjata baharu mengancam keselamatan negara.

“Dunia siber, tanpa sempadan, menjadi medan peperangan baharu untuk kita dalam usaha menentang keganasan. Keganasan kini lebih daripada kawasan fizikal seperti Syria dan Iraq.

“Serangan siber boleh menjadi sukar untuk ditangani dan memerlukan satu doktrin yang baharu untuk kita atasinya secara berkesan,” katanya seperti dilaporkan Bernama semalam.

Beliau berkata negara memerlukan tentera baharu yang mempunyai pengetahuan meluas dalam teknologi maklumat.

“Kita kini memerangi keganasan melalui penceritaan di sosial media. Kita kini berhadapan dengan puak pelampau yang penuh dengan kemarahan dan kebencian dan dalam kejadian baru-baru ini di New Zealand menunjukkan keganasan tidak mempunyai agama.

“Selagi pemikiran radikal dibenarkan untuk berada dalam kalangan masyarakat, sesiapa juga boleh jadi pengganas,” katanya.