SHAH ALAM, 2 JULAI : Program tonton bolasepak final Euro 2012 anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Restoran Hakim, Seksyen 7 di sini pagi tadi mendapat sambutan hebat dengan hampir 1,000 orang menghadirinya.
Ia adalah di luar dugaan kerana pihak penganjur menjangkakan hanya sekitar 500 orang akan hadir dalam program tersebut.
Pengerusinya, Muriza Azrul menjelaskan berikutan sambutan hebat itu, pihaknya menambah tiket cabutan nombor bertuah sehingga lebih 900 keping bagi memberi peluang mereka yang hadir terlibat dengan aktiviti dijalankan ketika program itu berlangsung.
“Kita mengadakan aktiviti sampingan antaranya cabutan nombor bertuah, kuiz dan sepakan penalti supaya program ini menjadi lebih meriah. Ini kerana majoriti yang hadir adalah golongan belia di bawah 40 tahun.
“Program tonton bolasepak final Euro 2012 ini mendapat sambutan hebat kerana ia adalah perlawanan akhir menampilkan dua pasukan terkuat, Sepanyol dan Itali. Kita berpuashati dengan sambutan diterima dan kita merancang mengadakan lebih banyak lagi program seperti ini contohnya Liga Super Malaysia dan Liga EPL 2012/13 yang akan bermula nanti,” katanya kepada TVSelangor.
Program tonton bolasepak final Euro 2012 itu juga dijalankan dengan kerjasama Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.
Muriza berkata, tonton bolasepak final Euro 2012 itu adalah yang ke 10 di mana program sebelumnya tetap mendapat sambutan dengan kehadiran antara 200 hingga 500 orang.
Seorang penonton, Mohd Hafiz Mohd Zain, 23 dari Seksyen 18 berkata dia tidak melepaskan peluang menyaksikan acara final Euro itu kerana dilangsungkan empat tahun sekali.
“Saya datang untuk menonton bersama kawan-kawan. Ia bertambah meriah bila acara seperti ini diadakan dengan semua penonton dapat berkumpul di satu tempat yang strategik. Saya puji usaha PeBT ini dan saya akan menyokong bila acara lain diadakan selepas ini,” katanya.
Begitu juga Azidah Zamli, 23, dari seksyen sama yang merasakan suasana pada pagi itu amat meriah bila ramai yang hadir dalam program berkenaan.
“Hebat rasanya dapat hadir kali ini. Kalau menonton di rumah tentu tak semeriah ini. Lokasi yang dipilih juga saya rasa amat sesuai dengan program ini dan PeBT diharapkan akan lebih aktif dengan acara lain demi kemajuan belia di Selangor,” katanya.