Categories
NASIONAL

Batal Perjanjian Air : Selangor Minta Pahang Surat ‘Hitam-Putih’

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor menyokong dan gembira jika Kerajaan Negeri Pahang berhasrat membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke negeri ini jika pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak diteruskan.

Perkara ini ditegaskan oleh Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyatakan pihaknya akan membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke Selangor.

Sebelum ini Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas untuk tidak meneruskan projek yang menelan belanja sebanyak RM6 bilion itu.

Dr Xavier berkata Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat itu kerana tidak perlu membayar sebanyak RM60 juta setahun royalti air mentah kepada Kerajaan Pahang jika Langat 2 diteruskan.

“Kalau dia(Adnan) dah cakap macam itu, lebih baik dia tulis ‘black and white’ kepada kita.

“Selangor memang gembira sebab kita tidak perlu membayar RM60 juta setahun kepada dia dan dia boleh jawab kepada perjanjian-perjanjian yang dia(Adnan) sudah buat,” katanya kepada TV Selangor.

Sebelum ini, perjanjian itu ditandatangani antara Kerajaan Negeri Pahang dan Selangor yang ketika itu diwakili Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo pada kadar harga 10 sen bagi setiap meter padu dengan kuantiti 1.6 juta meter padu sehari.

Malah, Adnan juga mengugut jika Kerajaan Negeri Selangor tidak meneruskan Projek Langat 2 pada masa sekarang dan ingin menyambungnya pada masa hadapan, harganya akan dinaikkan kepada RM1 bagi setiap meter padu.

Membidas perkara ini Dr Xavier berkata Kerajaan Pahang tidak boleh hanya bercakap sahaja tanpa mengemukakan hasil keputusan yang ingin diputuskan.

“Ini semua ada perjanjian, dia kena tulis kepada kita,” katanya yang juga Adun Sri Andalas.