Categories
SELANGOR

PKR Selar Iklan Fiksyen “Krisis Air Selangor”

 

SHAH ALAM 25 SEPT : Pemimpin PKR hari ini terus menyelar usaha untuk memburukkan imej kerajaan negeri dengan iklan yang kononnya bekalan air di Selangor tidak cukup.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor berkata tindakan itu hanya akan menambah kebencian rakyat kepada gabungan Umno-BN yang beliau dakwa membiayai iklan tersebut.

Manakala naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata penggambaran itu dan kenyataan Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini mengesahkan yang Umno-BN menggunakan taktik kotor untuk rampas Selangor.

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata keburukkan Umno-BN terserlah apabila ia memperalatkan orang awam dan pelakon yang dipercayai diupah bagi ‘menjayakan’ video tersebut.

“Sebagai sebuah parti ‘antik’ yang mempunyai pelan politik, AMK negeri merasakan Umno-BN sedang benar-benar goyah dan hanya menunggu masa untuk dikuburkan,” katanya dalam kenyataan media.

Tambahnya, AMK negeri sedia menyambut sebarang bentuk kempen politik yang matang, tetapi menolak jika Umno-BN bersikap penakut dengan menggunakan orang awam.

Semalam, sebuah produksi dikesan menjalankan penggambaran berbentuk rekaan yang kononnya wujud krisis bekalan air di Selangor.

Penggambaran yang dijalankan di sebuah pangsapuri yang terletak di Petaling Jaya itu melibatkan kira-kira 300 pelakon yang majoritinya bukan penduduk di situ.

Iklan pendek yang berdurasi 40 saat itu memaparkan adegan orang ramai yang sedang berbaris panjang ditengah panas terik matahari untuk mendapatkan bekalan air dari sebuah lori tangki yang disediakan.

Beberapa orang di antara mereka berlakon dengan merungut dan memekik marah kerana terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan air bagi keperluan harian.

Tujuan iklan tersebut seolah-olah untuk membentuk satu persepsi yang bekalan air di Selangor kerap menghadapi ganguan. Walhal di lokasi pengambaran tersebut, tidak ada langsung masalah bekalan air.

Sebelum ini, Umno-BN cuba wujudkan persepsi bahawa Selangor dilanda krisis air kerana bekalan tidak mencukupi.

Ekoran itu, Kerajan Selangor telah membuktikan bahawa bekalan air mentah lebih daripada mencukupi.

Masalahnya berpunca daripada pengedaran, di mana, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak menyelengara tugasnya dengan baik sehingga ada pangsapuri di Sri Kembangan dan Cheras mengalami ganguan air terawat.

Sementara itu, Nurul Izzah, apabila ditemui di Dewan Rakyat, menyelar kenyataan Adnan yang Pahang akan membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke Selangor sekiranya Projek Langat 2 tidak diteruskan.

Nurul Izzah berkata, usaha bersungguh-sungguh Umno-BN itu bagi memastikan projek yang mampu memberi pulangan tinggi kepada mereka dapat dijalankan seperti Projek Langat 2.

Categories
NASIONAL

Batal Perjanjian Air : Selangor Minta Pahang Surat ‘Hitam-Putih’

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor menyokong dan gembira jika Kerajaan Negeri Pahang berhasrat membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke negeri ini jika pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak diteruskan.

Perkara ini ditegaskan oleh Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyatakan pihaknya akan membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke Selangor.

Sebelum ini Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas untuk tidak meneruskan projek yang menelan belanja sebanyak RM6 bilion itu.

Dr Xavier berkata Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat itu kerana tidak perlu membayar sebanyak RM60 juta setahun royalti air mentah kepada Kerajaan Pahang jika Langat 2 diteruskan.

“Kalau dia(Adnan) dah cakap macam itu, lebih baik dia tulis ‘black and white’ kepada kita.

“Selangor memang gembira sebab kita tidak perlu membayar RM60 juta setahun kepada dia dan dia boleh jawab kepada perjanjian-perjanjian yang dia(Adnan) sudah buat,” katanya kepada TV Selangor.

Sebelum ini, perjanjian itu ditandatangani antara Kerajaan Negeri Pahang dan Selangor yang ketika itu diwakili Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo pada kadar harga 10 sen bagi setiap meter padu dengan kuantiti 1.6 juta meter padu sehari.

Malah, Adnan juga mengugut jika Kerajaan Negeri Selangor tidak meneruskan Projek Langat 2 pada masa sekarang dan ingin menyambungnya pada masa hadapan, harganya akan dinaikkan kepada RM1 bagi setiap meter padu.

Membidas perkara ini Dr Xavier berkata Kerajaan Pahang tidak boleh hanya bercakap sahaja tanpa mengemukakan hasil keputusan yang ingin diputuskan.

“Ini semua ada perjanjian, dia kena tulis kepada kita,” katanya yang juga Adun Sri Andalas.

Categories
NASIONAL

Himpunan Hijau 2.0: Umno-BN Jangan Flip-flop

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Penganjur perhimpunan membantah loji nadir bumi di Gebeng, Pahang menyelar tindakan Kerajaan Umno-BN yang berdolak dalik tentang kebenaran bagi mengadakan protes itu pada Ahad ini.

Menurut Pertubuhan Himpunan Hijau 2.0, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah mengeluarkan satu perintah bagi menghalang protes itu di
di Padang Kuantan walaupun Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang telah membenarkan himpunan itu berlangsung.

Menurut Pertubuhan itu sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob telah memberikan kebenaran untuk perhimpunan itu dijalankan dengan syarat ianya tidak dibuat di jalan raya.

Sementara itu, beberapa NGO telah menyuarakan sokongan padu kepada perhimpunan tersebut dan bertekad akan mengadakan demonstrasi-demonstrasi yang sama di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, Penang dan Perak.

Pengerusi Pertubuhan Himpunan Hijau 2.0, Wong Tack mengesa Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang agar mengotakan janji untuk membenarkan perhimpunan dijalankan di atas padang mengikut syarat yang ditetapkan sebelum ini.

“Tetapi nampaknya, MPK pula yang menghalang Perhimpunan Hijau untuk diadakan tanpa diberi sebarang alasan penolakan ini, cuma dinyatakan dalam surat yang dihantar ialah ‘tidak dapat dipertimbangkan.’

“Adakah kuasa yang ada pada MPK lebih besar berbanding kuasa PM dan MB atau satu dolak-dalik mereka untuk menggagalkan perhimpunan ini?

“Apa yang berlaku dalam isu Perhimpunan Hijau ini, sama seperti yang dihadapi oleh Bersih 2.0 dahulu.

“Sekejap boleh buat di stadium, tapi bila Ahli Jawatan Kuasa minta kebenaran guna stadium tak beri pula,” beritahu Pengerusi Pertubuhan Himpunan Hijau 2.0, Wong Tack di dalam satu sidang media di sini hari ini.

Perhimpunan itu bagi membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) oleh Lynas Corporation yang bernilai RM700 juta.

Jumlah sisa buangan radioaktif projek itu dikatakan mampu mencecah keluasan dua buah padang bola dan mengancam kesihatan masyarakat di Kuantan dengan risiko terdedah kepada penyakit barah, leukimia dan lain-lain.

Selain itu, projek yang mendapat keistimewaan kerajaan dengan pengecualian cukai kerajaan selama 12 tahun dikatakan boleh mencemar alam sekitar termasuk sungai yang menjadi sumber bekalan air.

Wong juga melahirkan kekesalan dengan sikap MPK dan pihak PDRM yang dilihat tidak memberi kerjasama yang baik dalam isu ini.

“Sebelum ini, bila kami jumpa MPK mereka kata, dapatkan surat sokongan dari polis, tetapi bila kami tanya pada pihak polis, mereka suruh kami tanya MPK pula.

“Tindak-tanduk mereka seperti orang bermain ping pong tolak ke sana ke mari, sepatutnya MPK dan polis sama-sama selesaikan masalah komunikasi sesama mereka itu,” beritahunya lagi.

Dalam sidang media itu beliau turut menegaskan Perhimpunan Hijau 2.0 tetap akan diteruskan meskipun tidak mendapat kebenaran dari MPK.

“Perhimpunan Hijau 2.0 tetap akan kami teruskan pada Ahad ini, walaupun tidak mendapat lampu hijau dari MPK atau mana-mana pihak berkenaan.

“Perhimpunan ini diteruskan di padang seperti yang dirancang, tetapi sekiranya MPK bertindak menutup padang, jangan pula salahkan kami sekiranya kami terpaksa turun ke jalan raya,” ujar beliau lagi.

Di dalam satu sidang media yang lain, beberapa NGO mengumumkan perhimpunan solidariti turut diadakan secara serentak bermula jam 9 pagi di Kuala Lumpur (Maju Junction), Pulau Pinang (Esplanade), Perak (Bukit Merah) dan Sabah (Kota Kinabalu).

“Saya percaya Himpunan Hijau 2.0 ini merupakan platform semua orang yang mengambil berat mengenai alam sekitar, yang peduli tentang hak tinggal dalam persekitaran yang selamat untuk datang berhimpun.

“Hadirlah beramai-ramai bagi menunjukkan hak dan keprihatinan kita dalam isu ketidaktelusan penjagaan alam sekitar,” seru Pegawai Perhubungan penganjur Himpunan Hijau 2.0, Clement Chin.

Antara NGO yang menyokong Perhimpunan itu adalah Pusat Pembangunan Budaya LLG (LLGCDC) Asalkan Bukan Umno, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Kumpur dan Selangor, Kumpulan Kemajuan India Kebangsaan, Parti Rakyat Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Jawatankuasa Selamatkan Jalan Sultan.