Categories
AGENDA SUKANKINI

Pusat latihan daerah cungkil bakat atlet pelapis

SHAH ALAM, 25 DIS: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mewujudkan lebih 50 pusat latihan daerah (PLD) untuk mencungkil bakat atlet pelapis.

Pengarah eksekutifnya berkata setiap daerah memiliki sekitar lima pusat latihan antaranya olahraga, memanah, sepak takraw, wushu, petanque dan boling padang.

Mohamad Nizam Marjugi menjelaskan bakat yang dikesan menerusi acara dipertanding bakal mengikuti latihan pembangunan sukan dan mendapat pendedahan berterusan.

“Kita juga bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara untuk mewujudkan pusat latihan bagi renang, menembak dan boling yang tidak dapat dijalankan di daerah,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata kejayaan MSN Selangor mewujudkan pusat latihan di sembilan daerah membuka peluang kepada atlet pelapis mengembangkan bakat dengan dibimbing jurulatih bertauliah.

“Kita juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Selangor untuk mencungkil bakat baharu di peringkat sekolah selain merancang menambah PLD serta jenis sukan,” kata Mohamad Nizam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Pastikan kekal fokus, MSN Selangor bincang prestasi atlet secara maya

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengadakan perbincangan secara maya bersama jurulatih dan atlet sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata langkah tersebut bertujuan memantau prestasi atlet serta mendengar cadangan untuk menambah baik program latihan.

“Setakat ini MSN sudah mengadakan mesyuarat dalam talian melibatkan lebih 10 jenis sukan kerana kita mahu mereka kekal fokus dan berdisiplin.

“Kita juga sedang mempertimbang untuk mengadakan sesi motivasi secara maya atau bersemuka awal tahun depan, cadangan ini akan dibincangkan lebih lanjut,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohamad Nizam berkata MSN sebelum ini menganjur kem berpusat dengan menjemput pakar psikologi bagi menguatkan mental atlet dan memastikan mereka kekal bersemangat meskipun tiada kejohanan besar.

Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya diadakan pada 6 hingga 14 Mac dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan,
pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MSN Selangor harap KBS longgar syarat umur atlet SUKMA

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Sukan Negeri Selangor berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan atlet melebihi had umur bertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2022.

Pengarah Eksekutif Mohamad Nizam Marjugi berkata langkah itu memberi peluang atlet yang berlatih sejak dua tahun lepas bertanding pada kejohanan yang ditangguhkan susulan penularan Covid-19.

“Atlet menjalani proses latihan yang sangat sukar dengan norma baharu dan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi.

“Malah atlet yang sudah sampai had umur menjadikan SUKMA sebagai pentas terakhir untuk membuktikan mereka memiliki potensi ke peringkat lebih tinggi, jadi kita wajar beri peluang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk merangka program latihan baharu untuk atlet pelapis sekiranya KBS enggan meminda had umur.

Had umur untuk penyertaan SUKMA adalah 21 tahun ke bawah, namun terdapat acara sukan seperti gimnastik yang menetapkan had umur 15 tahun ke bawah.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya diadakan pada 6 hingga 14 Mac dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan,
pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

MSN anjur sesi kaunseling, pantau mental dan fizikal atlet

SHAH ALAM, 28 NOV: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bakal mengadakan sesi kaunseling melibatkan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) bulan depan, kata pengarah eksekutifnya.

Mohamad Nizam Marjugi berkata pihaknya sentiasa memantau tahap kesihatan mental atlet selain memberi sokongan moral susulan pembatalan SUKMA Johor 2020.

“Kita memahami atlet sudah lama berlatih tetapi tiada kejohanan disertai. Keadaan ini memberi kesan kepada mereka, jadi MSN perlu mengambil tanggungjawab menjaga kesihatan atlet sama ada fizikal atau mental.

Mohamad Nizam Marjugi

“Insya-Allah sesi psikologi atlet diadakan bulan depan, aspek ini harus diberi penekanan kerana kita mahu atlet negeri sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya kepada SelangorKini.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 Johor dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

SUKMA yang sepatutnya berlangsung pada Julai ditangguh ke 6 hingga 14 Mac 2021, sebelum dijadualkan semula pada 2 hingga 10 April.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

SUKMA Johor tunda, MSN Selangor kaji semula program latihan atlet

SHAH ALAM, 10 NOV: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan mengkaji semula program latihan atlet susulan pembatalan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor tahun depan.

Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata langkah itu bagi memudahkan atlet membuat persiapan untuk berdepan saingan kejohanan akan datang.

“Kita menerima seadanya keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membatalkan SUKMA dan Para SUKMA dengan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Justeru, MSN Selangor akan kaji semula program sukan lebih-lebih lagi Johor diberi hak penganjuran bagi edisi 2022 cuma kita tidak tahu tarikh sebenar termasuk had umur yang belum diputuskan,” katanya ketika dihubungi.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi

Semalam, KBS memutuskan temasya dwitahunan itu terpaksa dibatalkan selepas menerima cadangan daripada Sekretariat Sukma Johor dan kerajaan negeri susulan ketidaktentuan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Johor diberi tawaran untuk edisi 2022 kerana negeri itu sudah bersedia hampir 99 peratus daripada aspek perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Berhubung isu kerugian susulan pembatalan tersebut, Mohamad Nizam berkata pihaknya tidak mengalami masalah meskipun sudah menghantar atlet berbasikal menjalani latihan di trek velodrom nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya, semua atlet diarah pulang selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali kedua dikuat kuasa pada 28 Oktober bagi mengurangkan kos penginapan.

“Trek dicaj mengikut apa yang mereka (atlet) guna dan tempat penginapan berdasarkan bilangan hari atlet menetap tetapi kita minta mereka balik kerana PKPB dijangka berterusan serta diperluas ke negeri lain.

“Kalau latihan harian, kita memang guna velodrom sebab paling hampir, malah peruntukan latihan setiap sudah tersedia cuma tambahan kos lebih kepada penyediaan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman,” katanya lagi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Atlet terus berlatih, jurulatih digesa uji kecergasan secara maya

SHAH ALAM, 8 NOV: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor meminta semua atlet ke Sukan Malaysia (Sukma) terus mengikuti modul latihan susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember hadapan.

Pengarah eksekutifnya berkata jurulatih turut disaran membuat ujian kecergasan secara maya dan melaporkannya kepada MSN bagi memastikan atlet terus berada pada tahap kecergasan diperlukan.

“Tempoh PKPB bersambung empat minggu bermula esok memang menjejaskan persiapan atlet ke Sukma. Dua bulan tanpa latihan secara intensif akan mempengaruhi kemahiran atlet.

“Corak latihan juga telah diubah sesuai dengan tatacara operasi piawai (SOP) seperti menghadkan jumlah pelatih pada satu-satu masa dan latihan fizikal di kawasan terbuka,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Beliau berkata MSN Selangor akan sentiasa akur dengan keputusan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 dengan atlet dinasihatkan mematuhi SOP PKPB serta mengekalkan kecergasan dan menjaga pemakanan.

Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini mengarahkan semua fasiliti sukan dan rekreasi ditutup sementara susulan perintah kawalan tersebut.

Bagaimanapun Majlis Keselamatan Negara memaklumkan aktiviti sukan tidak bersentuhan dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang serta di kawasan terbuka masih dibenarkan.

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor: Atlet disaran terus ikuti modul latihan sepanjang PKPB

SHAH ALAM, 29 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menggesa semua atlet mengikuti modul latihan disediakan jurulatih masing-masing selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambung hingga 9 November.

Pengarah eksekutifnya berkata disiplin memainkan peranan penting untuk atlet kekal cergas ketika ini dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Dengan penyambungan PKPB, atlet disarankan terus mengekalkan disiplin dengan patuh SOP dan menjaga kecergasan masing-masing di samping mengikuti program latihan individu ditetapkan jurulatih,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Beliau berkata atlet turut dinasihatkan kekal di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting sepanjang tempoh PKPB.

Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini mengarahkan semua fasiliti sukan dan rekreasi ditutup sementara susulan perintah kawalan tersebut.

Bagaimanapun Majlis Keselamatan Negara memaklumkan aktiviti sukan tidak bersentuhan dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang serta di kawasan terbuka masih dibenarkan.

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor: Susunan semula jadual tingkat kos latihan

SHAH ALAM, 20 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menyusun semula jadual latihan atlet yang membuat persiapan ke Sukan Malaysia (Sukma) di Johor susulan pandemik Covid-19.

Pengarah eksekutifnya berkata langkah berkenaan menyebabkan kos latihan meningkat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut memaksa atlet berlatih sendirian di rumah.

“Sukma tahun ini telah ditunda ke tahun hadapan menyebabkan semua program persediaan kontinjen Selangor terpaksa diatur semula.

“Ia menyaksikan kos meningkat kerana perlu menempuh norma baharu dengan latihan atlet juga melibatkan saringan Covid-19, penyediaan kelengkapan alat pencegahan dan proses sanitasi ke atas kemudahan,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan keutamaan kini memastikan atlet mengikut modul latihan serta mengelak kecederaan dengan mementingkan penjagaan pemakanan bagi mengekalkan kecergasan supaya beraksi cemerlang seterusnya mampu merealisasikan impian Selangor merangkul pingat emas pada temasya dwitahunan di Johor.

“Di kala situasi tidak menentu akibat pandemik Covid-19 ini cabaran besar menanti program sukan pada 2021. Kita berharap keadaan akan lebih baik selepas ini supaya industri sukan dapat diteruskan,” katanya.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada Sukma Johor yang dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakana Para Sukma bermula 5 hingga 10 April.

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: MSN Selangor harap dana bangunkan atlet pelapis

SHAH ALAM, 20 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berharap peruntukan bagi pembangunan atlet pelapis diberi perhatian dalam Belanjawan 2021.

Pengarah eksekutifnya berkata program pembangunan bakat penting bagi meneruskan kesinambungan atlet untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

“MSN berharap belanjawan kali ini menyediakan dana bagi program persediaan bakat dan pelapis juga untuk berdepan kejohanan SUKMA pada 2022 dan 2024,” kata Mohamad Nizam Marjungi ketika dihubungi.

Bagi kemudahan sukan, katanya, ia hanya boleh dipertimbang selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya kerana melibatkan kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi.

Mohamad Nizam berkata kemudahan sukan sedia ada yang dimiliki pihak berkuasa tempatan memadai untuk atlet meneruskan latihan sepanjang tempoh perintah kawalan.

“Kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi akan membebankan MSN. Kita tidak mahu mengambil risiko dalam keadaan tidak menentu sekarang. Lebih baik tumpu pembangunan atlet,” kata beliau lagi.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri pada 30 Oktober.

Selangor menyasar kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa dalam SUKMA Johor yang akan berlangsung pada 2 hingga 10 April.

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor galak latihan atlet Sukma dipendekkan

SHAH ALAM, 3 OKT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menggalakkan latihan atlet Sukan Malaysia (Sukma) dipendekkan susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Pengarah eksekutifnya, Mohamad Nizam Marjugi berkata jurulatih juga perlu memastikan hanya atlet terlibat sahaja hadir sesi latihan bagi mengelak ramai berkumpul di pusat latihan.

“Jurulatih dan atlet diingatkan terus patuh tatacara operasi piawai (SOP) seperti mula-mula kebenaran latihan diberikan kepada mereka pada Julai lalu, kita tidak mahu mereka leka sehingga abaikan SOP.

“MSN akan memantau perkembangan dari semasa ke semasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan kerjasama semua pihak terlibat amat diperlukan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam kes baharu Covid-19 naik dua kali ganda dengan 31 kes berbanding 13 pada hari sebelumnya.

Susulan peningkatan kes tersebut, Kerajaan Negeri tidak menggalakkan sebarang aktiviti persidangan mahupun perhimpunan beramai-ramai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat dinasihat mengikut SOP sekiranya berada di tempat melibatkan orang ramai.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mural #SelangorPower terima penyertaan 35 pelukis – MSN Selangor

SHAH ALAM, 30 SEPT: Seramai 35 pelukis menghantar penyertaan pertandingan mural #SelangorPower anjuran Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Pengarah eksekutifnya berkata penyertaan tersebut turut melibatkan 20 penuntut Fakulti Seni Lukis Dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan peserta diminta menghantar contoh lukisan mural bertema Kecemerlangan Sukan, Atlet Dan Generasi Muda Selangor.

“Pertandingan ini antara lain bertujuan mencungkil bakat dan mengangkat potensi pelukis tempatan. Pemilihan ke peringkat akhir adalah terhad atas faktor ruangan dinding yang akan digunakan nanti,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini hari ini.

Pertandingan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 19 hingga 40 tahun dan tarikh tutup penyertaan pada 9 Oktober.

Peserta perlu menghantar idea lukisan mural bersaiz A4 (format PDF) berdasarkan skala mural berukuran 2.5 meter tinggi x 5 meter lebar ke e-mel [email protected].

Senarai 15 peserta terpilih ke peringkat akhir diumum pada 13 Oktober manakala pertandingan akhir bakal berlangsung pada 24 dan 25 Oktober.

Pemenang hadiah pertama membawa pulang wang tunai RM1,000, kedua (RM800), ketiga (RM600), keempat (RM400), tempat kelima hingga ke-10 (RM200) dan ke-11 hingga ke-15 (RM100).

Keterangan lanjut berkenaan syarat pertandingan dan penyertaan boleh layari www.msnselangor.gov.my atau imbas Kod QR yang tertera.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor giat acara persahabatan, uji prestasi atlet SUKMA

SHAH ALAM, 4 SEPT: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mempergiat perlawanan persahabatan bagi menguji prestasi atlet Sukan Malaysia (SUKMA).

Pengarah eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata langkah tersebut diambil susulan penganjuran acara besar masih dilarang berikutan penularan Covid-19.

“Ini (prestasi) membimbangkan semua negeri namun kita kena akur. Jadi dengan perlawanan persahabatan sekurang-kurangnya dapat menilai prestasi atlet walau tidak sepenuhnya.

“Kita sudah kenal pasti atlet untuk semua acara namun mereka belum diuji. Atlet tidak tahu tahap kemampuan dan ia cabaran besar untuk SUKMA kali ini,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Program Ceria Atlet Selangor 2020 di sini semalam.

SUKMA Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para SUKMA berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.