Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN Selangor bantu Farah Ann, Gavin hadapi Olimpik Tokyo

SHAH ALAM, 29 JUN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan memantau dan membantu dua atlet negeri ini yang akan mewakili negara dalam temasya Olimpik di Jepun pada Julai.

Pengarah Eksekutifnya Mohammad Nizam Marjugi berkata dua atlet berkenaan adalah gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi dan pemain golf profesional Gavin Kyle Green.

“Walaupun selepas mereka diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan dan semua urusan berkaitan bawah Majlis Sukan Negara, namun MSN Selangor biasanya pantau atlet negeri kita.

“Kita akan beri bantuan seperti kewangan sebelum dan selepas menyertai Olimpik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Olimpik Tokyo bakal menjadi pentas pertama bagi Farah Ann beraksi dalam kejohanan sukan paling berprestij itu manakala kali kedua buat Gavin.

Farah Ann mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Gavin secara rasminya layak selepas menduduki ranking ke-56 daripada 60 pemain golf dalam ranking Olimpik yang tempoh kelayakannya berakhir pada 22 Jun.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MSN Selangor terima dana RM7 juta untuk pembangunan sukan

SHAH ALAM, 28 MAC: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menerima peruntukan tahunan RM7 juta daripada Kerajaan Negeri untuk program pembangunan sukan.

Pengarah eksekutifnya berkata dana digunakan untuk menaik taraf kemudahan, program peringkat akar umbi, pembelian peralatan sukan serta elaun atlet dan jurulatih.

“Peruntukan turut digunakan untuk pembangunan atlet pelapis serta mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi selain sistem sokongan sukan merangkumi peralatan, makanan tambahan, analisa prestasi dan kem motivasi.

“Namun, susulan penularan Covid-19, kita perlu menyemak semula agihan peruntukan melibatkan keperluan luar jangka seperti ujian calitan untuk atlet yang menyertai kejohanan,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini hari ini.

Pada Mac tahun lepas, EXCO sukan berkata sejumlah RM7 juta diperuntuk pada setiap tahun untuk melaksanakan pelbagai program sukan di negeri.

Mohd Khairuddin Othman berkata dana itu disalurkan kepada MSN dengan hampir separuh digunakan untuk persiapan atlet SUKMA.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

RiDE: MSN, pejabat DUN kerjasama kenal pasti golongan sasar

SHAH ALAM, 16 MAC: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan bekerjasama dengan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjayakan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).

Pengarah eksekutifnya berkata usaha itu bagi mengenal pasti golongan yang benar-benar layak mendapat manfaat dan bekerja dalam sektor e-panggilan.

“Selain kerjasama dengan pejabat DUN, kita juga boleh mendapat khidmat Penggerak Belia Tempatan Selangor untuk mengenal pasti golongan sasar,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata seramai 500 individu menerima manfaat program RiDE dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Jelasnya, masih banyak kekosongan yang perlu diisi bagi memenuhi sasaran 3,000 peserta, justeru mengalu-alukan orang ramai membuat permohonan.

Program RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, wang tunai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Pada 14 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari berkata seramai 1,980 individu mendapat manfaat program itu sejak dilancarkan pada 1 Ogos tahun sama.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta bagi meneruskan inisiatif berkenaan. Permohonan boleh dibuat melalui pautan http://msnselangor.gov.my .

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN RENCANA SELANGOR

RiDE tawar insentif RM150, bantu penunggang ganti alatan rosak

SHAH ALAM, 15 MAC: Penunggang e-panggilan dipelawa memohon insentif berjumlah RM150 melalui program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor berkata bantuan itu boleh digunakan untuk menggantikan beg atau alatan yang lusuh dan rosak.

“Program ini ditambah baik bagi meringankan beban penunggang dan mereka yang memenuhi syarat boleh memohon melalui pautan http://msnselangor.gov.my,” kata Mohamad Nizam Marjugi.

Antara syarat ditetapkan ialah pemohon lahir di Selangor atau pemastautin tetap, mempunyai lesen motosikal B2 dan berdaftar dengan syarikat e-panggilan.

Program RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, wang tunai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Pada 14 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari berkata seramai 1,980 individu mendapat manfaat program itu sejak dilancarkan pada 1 Ogos tahun sama.

Program itu diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM2 juta menerusi Belanjawan Selangor 2021.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

MSN Selangor harap atlet boleh lakukan latihan berkumpulan selepas PKP

SHAH ALAM, 28 FEB: Majlis Sukan Negeri (MSN) berharap atlet dibenar menjalankan latihan sukan sentuhan atau berkumpulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 4 Mac.

Pengarah eksekutifnya berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) wajar mempertimbangkan perkara itu kerana hampir dua bulan atlet menjalani latihan bersendirian.

“Sudah tentu kita harap ada perubahan selepas PKP tamat sebab ketika ini latihan lebih tertumpu kepada mengekalkan kecergasan atau stamina.

“Tempoh lama tanpa latihan khusus boleh menjejaskan atlet dalam semua aspek, memang mereka berlatih sendiri tetapi ia jauh berbeza kalau dilakukan secara berkumpulan,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Pada 9 Februari MKN membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga-M), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) memulakan latihan namun pemain perlu mematuhi kuarantin di kem atau kediaman ditetapkan pasukan.

Dua hari kemudian MKN membenarkan sukan seperti tenis, badminton dan ping pong melibatkan acara perseorangan manakala latihan kemahiran atlet bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw dibenar tanpa melibatkan sentuhan fizikal.

Categories
AGENSI SELANGOR

MSN Selangor terima laporan prestasi atlet SUKMA, kekal berdisiplin

SHAH ALAM, 16 FEB: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menerima laporan prestasi atlet Sukan Malaysia (SUKMA) yang menjalani latihan persendirian daripada jurulatih setiap bulan.

Pengarah eksekutifnya berkata kesemua mereka kekal berdisiplin melakukan latihan di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui pemantauan dalam talian.

“Kita akui latihan dijalankan atlet ketika ini tidak teratur yang menyebabkan kesukaran mengukur tahap kecergasan namun saya yakin mereka tahu tanggungjawab masing-masing.

“Misalnya bekas pemegang pingat sudah tentu enggan mensia-siakan peluang jadi mereka tahu apa harus dilakukan untuk kekal cergas,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, beliau menasihati atlet supaya meneruskan latihan secara konsisten meskipun syarat kelayakan umur menyertai temasya tersebut masih menjadi tanda tanya.

“Walau apa sahaja keputusan, kita kena terima cuma diharap mereka boleh jaga diri dengan baik supaya tidak dijangkiti Covid-19 yang berkemungkinan akan menjejaskan prestasi,” katanya.

SUKMA 2020 yang dijadual pada Julai dan Ogos tahun lalu ditunda ekoran ketidaktentuan dalam penularan pandemik Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Johor diberi tawaran untuk edisi 2022 kerana negeri itu sudah bersedia hampir 99 peratus daripada aspek perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Segera putus had umur penyertaan SUKMA – MSN Selangor

SHAH ALAM, 15 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diminta segera memutuskan had umur penyertaan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Johor.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata pihaknya sedang menunggu keputusan jawatankuasa tertinggi bagi menentukan atlet yang layak mewakili negeri ke temasya dwitahunan.

“Kita masih belum terima peraturan itu (had umur). Difahamkan, lembaga jawatankuasa sudah bermesyuarat pada Disember lalu cuma hal tersebut tidak diputuskan.

“Jadi, kita minta mereka buat keputusan dan maklumkan segera supaya kita dapat mempersiapkan atlet,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, syarat kelayakan tersebut penting bagi memberi keadilan kepada atlet yang sudah membuat persediaan lebih dua tahun sebelum pandemik melanda negara.

“Kita faham dengan situasi ketika ini sekalipun penganjurannya belum tentu selamat tahun hadapan. Apatah lagi selepas setahun mereka (atlet) menjalani latihan yang tidak teratur dan luar daripada kebiasaan.

“Susulan itu juga, untuk mendapat keputusan prestasi yang maksimum agak mustahil memandangkan latihan dan persiapan seperti kecergasan, fizikal serta kemahiran tidak cukup,” katanya.

SUKMA 2020 yang dijadual pada Julai dan Ogos tahun lalu ditunda ekoran ketidaktentuan dalam penularan pandemik Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Johor diberi tawaran untuk edisi 2022 kerana negeri itu sudah bersedia hampir 99 peratus daripada aspek perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Had umur untuk penyertaan temasya itu adalah 21 tahun ke bawah namun terdapat acara sukan seperti gimnastik yang menetapkan had umur 15 tahun ke bawah.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Jurulatih pastikan atlet negeri cergas, berat badan kekal

SHAH ALAM, 9 FEB: Jurulatih di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor perlu mengemukakan laporan kecergasan atlet sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah eksekutifnya berkata laporan secara berkala penting untuk memastikan berat badan atlet tidak naik serta mengikut jadual pemakanan sepanjang berada di rumah.

“Jurulatih akan menyediakan laporan berserta gambar dan rakaman video atlet berlatih di rumah. Kita tidak mahu atlet mengalami kesukaran untuk menyambung semula latihan intensif yang disediakan jurulatih sebelum PKP,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Beliau turut mengingatkan kunci kejayaan atlet adalah disiplin tinggi dan tidak berputus asa.

Sebelum ini, MSN Selangor turut menilai indeks prestasi utama (KPI) jurulatih kendaliannya pada setiap bulan bagi mencapai sasaran ditetapkan.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN Selangor harap sektor sukan diberi kelonggaran ketika PKP

SHAH ALAM, 9 FEB: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berharap sektor sukan dan rekreasi diberi kelonggaran sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah eksekutifnya berkata kebenaran menganjurkan aktiviti sukan dan rekreasi memberi kelegaan kepada pelbagai pihak sekaligus merancak semula industri sukan negara.

“Kita menyokong usaha kerajaan untuk memutuskan perebakan Covid-19 namun dalam masa sama kita perlu mengekalkan masyarakat Malaysia yang aktif dan cergas.

“Jadi kita berharap industri sukan tanah air diberi pembelaan sewajarnya untuk mendepani pendemik yang belum tahu penghujung,” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Beliau yakin penggiat sukan komited untuk menjaga dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

“Kita berharap industri sukan diaktifkan semula dan seimbangkan dengan langkah keselamatan yang digariskan kerajaan demi kepentingan bersama,” katanya.

Pada Khamis lepas, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melonggarkan sekatan aktiviti sukan dan rekreasi.

Beliau berkata pihaknya dan MKN sedang meneliti dan memperinci beberapa perkara berkaitan SOP serta pendekatan yang terbaik untuk pertimbangan dan keputusan muktamad dalam masa terdekat termasuk cadangan serta SOP melibatkan aktiviti sukan ‘outdoor’ dan gimnasium.

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN Selangor nilai prestasi jurulatih setiap bulan, pastikan capai sasaran

SHAH ALAM, 27 JAN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor menilai indeks prestasi utama (KPI) jurulatih kendaliannya pada setiap bulan bagi mencapai sasaran ditetapkan.

Pengarah eksekutifnya berkata penilaian itu untuk memastikan pengendali dilantik bertanggungjawab terhadap tugas masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohamad Nizam Marjugi menjelaskan elaun jurulatih dan atlet juga dibayar mengikut laporan kehadiran serta latihan yang dikemukakan kepada MSN pada setiap bulan.

“Kita memahami keadaan atlet yang berdepan keadaan tidak menantu susulan pembatalan SUKMA 2020 dan pelbagai kejohanan lain, namun atlet yang hebat berusaha mengekalkan prestasi pada setiap masa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata MSN bakal menilai semula program latihan atlet susulan penundaan beberapa kejohanan berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya diadakan pada 6 hingga 14 Mac dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Bagaimanapun, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

SUKMA 2022: MSN Selangor rangka program latihan baharu atlet

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor giat merangka program latihan baharu untuk atlet susulan penundaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2020.

Pengarah eksekutif berkata terdapat perubahan baharu termasuk kekangan atlet untuk menyertai latihan dan melanjutkan pelajaran.

“Perancangan akan dibincangkan bersama persatuan negeri dan jurulatih dalam masa terdekat bagi memutuskan pendekatan perlu diambil menerusi program bakal dilaksana,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya juga akan menggantikan atlet pelapis untuk diserap ke dalam pasukan utama.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan memutuskan temasya dwitahunan di Johor terpaksa dibatalkan ekoran ketidaktentuan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Johor diberi tawaran untuk edisi 2022 kerana negeri itu sudah bersedia hampir 99 peratus daripada aspek perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MSN Selangor rancang benar atlet tertentu berlatih sepenuh masa

SHAH ALAM, 30 DIS: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor merancang membenarkan atlet bagi sukan tertentu memulakan latihan harian secara sepenuh masa bermula 4 Januari ini.

Pengarah eksekutifnya berkata perancangan itu dengan mengambil kira acara sukan yang memiliki kemudahan dan fasiliti sendiri.

“Sukan disasarkan antaranya renang, menembak, olahraga, tenpin boling, badminton, gimnastik dan gimrama serta beberapa sukan kombat namun kesemua latihan dijalankan perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan kebenaran latihan sama bagi sukan lain juga akan dilaksanakan secara berperingkat.

Kelmarin, Pengarah Bahagian Atlet MSN Jefri Ngadirin mengumumkan khabar gembira apabila semua atlet kebangsaan tidak lagi menjalani latihan harian secara kuarantin mulai Isnin ini.

Menurutnya, saringan Covid-19 akan dijalankan ke atas atlet terbabit untuk melihat sama ada mereka mematuhi SOP atau sebaliknya ketika bercuti sebelum dibenar berlatih seperti biasa.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan sektor sukan dan rekreasi dibuka semula berkuat kuasa 1 Januari kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).