Categories
AGENDA NASIONAL

Jual kad pengenalan, sijil lahir pengkhianatan besar kepada negara

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Tindakan menjual kad pengenalan dan sijil kelahiran kepada warga asing adalah satu pengkhianatan besar kepada negara, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau bersubahat dalam perkara ini.

“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (Datuk Ruslin Jusoh) memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatan yang membabitkan kes berkenaan atau kes seumpama ini.

“Kementerian bertanggungjawab ke atas proses permohonan kad pengenalan diri di Malaysia. Proses permohonan sedia ada adalah jelas dan semua permohonan yang lengkap akan diproses secara adil,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya hari ini.

Justeru, Muhyiddin menasihatkan orang ramai supaya mengikut proses tersebut dan tidak sama sekali cuba mendapatkan sebarang jenis dokumen melalui saluran yang tidak betul.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket pengeluaran dokumen secara tidak sah boleh menyalurkannya kepada PDRM.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas penahanan 20 individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan (MyKad) secara penipuan baru-baru ini.

Pada Khamis, Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang dan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas sebar isu perkauman, agama – Muhyiddin

MUAR, 13 SEPT: Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menimbulkan atau menyebar isu perkauman dan keagamaan melalui media sosial, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh berkata perbuatan seumpama itu bukan sahaja akan memecahbelahkan perpaduan kaum, malah boleh memberi ancaman besar terhadap keselamatan negara.

“Saya mahu bagi amaran, saya bagitahu Ketua Polis Negara (Datuk Seri Abdul Hamid Bador) jangan bagi amaran-amaran, jika sudah ada bukti yang cukup individu itu telah melanggar undang-undang hasut orang dan buat perkara tidak baik sehingga boleh menjahanamkan negara, kita tidak akan bagi kompromi walaupun orang Pagoh yang buat, kita akan ambil tindakan tegas.

“Ini kerana kita nak pastikan apa yang kita bina selama 62 tahun tidak diruntuhkan, dirosakkan dan dihancurkan,” katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Parlimen Pagoh di Dataran Bukit Pasir, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Dr Sahruddin berkata kerajaan negeri mengarahkan semua sekolah di negeri ini menghadkan sementara aktiviti luar kelas, berikutan fenomena jerebu yang sedang melanda ketika ini.

Beliau berkata selain itu, masyarakat di negeri ini juga dinasihatkan agar sentiasa memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di luar rumah selain elak melakukan pembakaran terbuka.

“Bagi individu yang ada alahan, atau mudah kena semput pastikan guna ‘mask’ ketika buat aktiviti luar. Kita juga tidak galakkan masyarakat untuk sementara membuat kegiatan atau aktiviti luar, termasuk sekolah,” katanya.

Menurut laman web, Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), lima lokasi mencatatkan bacaan tidak sihat setakat 6 petang ini iaitu Tangkak merekodkan bacaan IPU 160, Segamat (133), Batu Pahat (118), Kluang (109) dan Larkin (106).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mat Sabu : Sambutan Merdeka Paling Hambar, Najib ‘Syok Sendiri’

JENJAROM 8 SEPT : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan sambutan Kemerdekaan Ke-55 baru-baru ini sebagai sambutan yang paling hambar.

Katanya, rakyat dapat menilai kerana menjelang sambutan itu pemasangan bendera Jalur Gemilang tidak mendapat sambutan hangat.

“Ia merupakan sambutan paling teruk. Jika kita lihat, tidak banyak bendera yang dipasang di kenderaan, bangunan-bangunan dan perumahan juga kawasan sekitar.

“Jika kata Pakatan Rakyat (PR) pengkhianat negara maka Umno-BN juga pengkhianat kerana pemimpin mereka juga tidak memasang bendera,” katanya dalam ucapannya di Ceramah Perdana, Sungai Rambai baru-baru ini.

Malah, katanya, sambutan yang sepatutnya menjadi sambutan rakyat dilihat bertukar menjadi sambutan perayaan ulang tahun Umno-BN.

Beliau berkata laungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya sambutan itu adalah merupakan sambutan yang luar biasa kerana kehadiran penonton mencecah 150,000 adalah ‘syok sendiri’.

“Jika sudah beri duit, sediakan bas untuk mengajak orang datang, sudah tentulah orang mahu datang, tetapi hakikatnya Najib sendiri yang tahu,” katanya.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata Prof Datuk Dr Zainal Kling boleh dipersalahkan berhubung masalah itu kerana sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah.

“Jadi mungkin daripada kenyataan itu anak muda khususnya, kurang kesedaran mengenai kemerdekaan. Jadi tindakan perlu diambil ke atas Prof itu,” katanya.

Justeru, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin untuk mengkaji semula sejarah Malaysia disambut baik.

“Harap beliau akan melaksanakannya dengan betul bukannya hanya kerana pilihan raya sudah hampir. Laksanakannya dengan betul supaya rakyat mengetahui mengenai sejarah,” katanya.