Categories
AGENDA NASIONAL

Khutbah Jumaat: Bersatu lindungi Islam, jangan permain isu murtad

SHAH ALAM, 19 MAC: Umat Islam di seluruh negara diminta bersatu melindungi agama daripada individu atau kumpulan yang cuba mempermainkan isu murtad.

Memetik khutbah Jumaat bertajuk ‘Berhati-hati dengan ucapan murtad’, perkara berkenaan perlu dipandang serius bagi memastikan Islam terus dipandang tinggi.

“Jangan jadikan murtad sebagai isu politik sebaliknya ia isu seluruh umat Islam yang cintakan agama. Setiap individu berperanan mengatur strategi mengikut kemampuan masing-masing bagi memastikan Islam terpelihara dari unsur negatif,” menurut khutbah itu.

Teks diterbitkan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor mengingatkan ucapan murtad tidak wajar dijadikan kontroversi demi populariti atau simpati kerana ia dianggap sensitif.

Jelasnya, tindakan itu bukan sahaja memberi kesan besar kepada penutur malah kepentingan Islam, agama dan negara yang dikhuatiri boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Pada akhir khutbah, umat Islam diseru menyakini Islam adalah ajaran benar yang membawa kesejahteraan dan wajib dipelihara keharmoniannya serta kemurniaan iman.

“Umat Islam juga perlu sedar iman adalah kurniaan Allah kepada hamba terpilih yang tiada tolok banding nilainya dengan harta seisi dunia,” menurut khutbah itu.

Pada Selasa, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa amat dukacita dengan sikap segelintir umat Islam yang mengeluarkan kata-kata yang dibimbangi boleh menjejaskan akidah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berpesan apa jua hasrat, percakapan atau perbuatan untuk
meninggalkan Islam dikhuatiri boleh merosakkan asas kepercayaan agama.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Cari jalan penyelesaian masalah agama dengan agensi berkaitan

SHAH ALAM, 18 MAC: Umat Islam di negara ini khususnya di Selangor diseru menyalurkan sebarang masalah kepada agensi berkaitan, kata EXCO hal ehwal agama Islam.

Zawawi Ahmad Mughni berkata gesaan itu dilakukan setelah DYMM Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita berikutan terdapat segelintir umat lslam khususnya di negeri ini yang mengugut untuk keluar agama apabila berdepan masalah.

“Berkongsilah masalah anda dengan pihak berkaitan termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atau Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kerana mereka bersedia berkhidmat untuk anda.

“Janganlah sesuatu masalah diselesaikan melalui emosi yang tidak menentu kerana ia boleh memberikan jalan keluar yang salah. Melalui perkongsian rasa dan pengalaman ia akan memberikan jalan keluar terbaik,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam kenyataan bertitah baginda dukacita terhadap segelintir umat Islam yang tidak berhati-hati dalam berkata-kata hingga menjejaskan akidah dan agama.

Tuanku bertitah apa jua iktikad (pernyataan dalam hati), percakapan atau perbuatan untuk keluar dari agama dikhuatiri boleh tergelincir akidah.

Justeru Zawawi Ahmad berkata pihaknya menyambut baik ingatan baginda terhadap umat Islam itu.

“Sebagaimana titah Tuanku, Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat dari Allah SWT kepada umat Islam, maka hendaklah kita menjaganya dengan baik dan penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa atau kepayahan.

“Sesungguhnya tanda iman dan Islam seseorang itu adalah melalui perkataan, perbuatan dan penerimaan hati. Oleh itu hendaklah berhati-hati dengan tiga perkara ini agar tidak terlanjur meruntuhkan Iman dan Islam,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Titah Sultan Selangor dalam isu murtad

Berikut kenyataan akhbar Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Alhaj

DYMM Sultan Selangor melahirkan rasa amat dukacita dengan sikap dan tingkah laku segelintir individu umat Islam di Negara kita khususnya di Selangor yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang boleh menjejaskan aqidah dan keislaman mereka. Baginda menegaskan apa-apa juga iktikad (pernyataan dalam hati) atau percakapan atau perbuatan oleh mana-mana orang Islam yang berhasrat untuk keluar dari agama lslam dikhuatiri boleh membawa kepada tergelincirnya aqidah dan menyebabkan terkeluarnya seseorang itu dari agama Islam.

Asas kepada kepercayaan umat Islam adalah mengakui akan keesaan Allah SWT dengan mengucap kalimah syahadah dan seorang Islam perlulah sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa hanya Allah S.W.T. yang berhak disembah dan nabi Muhammad S.A.W. sebagai pesuruh Allah S.W.T. Seseorang yang berpegang dengan Islam sebagai agamanya adalah berpegang secara mutlak terhadap prinsip tauhid dan aqidah sepanjang kehidupannya.

Sehubungan dengan itu tindakan segelintir umat lslam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar dari agama Islam apabila berhadapan dengan sesuatu masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka terhadap agama Islam dan Allah S.W.T. Baginda Sultan sangat berpegang kepada keyakinan bahawa Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat dari Allah SWT kepada umat Islam, maka hendaklah kita menjaganya dengan baik dan penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa (aman) atau kepayahan.

Malah, betapa seriusnya kesalahan perbuatan murtad ini digambarkan di dalam bentuk hukuman mengikut hukum syara’ bagi seseorang yang murtad atau keluar dari agama Islam dan yang telah diberi peluang untuk bertaubat namun tidak mahu bertaubat adalah boleh dihukum mati menurut pendapat majoriti para ulamak termasuk mazhab imam Syafi’e.

Sehubungan dengan itu Baginda menasihatkan umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada aqidah Islam dan tidak mudah terpesong dari aqidah Islam sebenar. Tindakan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menguatkuasa undang-undang adalah suatu tindakan dan proses biasa berlandaskan peruntukan undang-undang. Malah Baginda telah menitahkan agar semua tindakan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jais hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip yang mendukung keutamaan dakwah, mendidik, mencegah dan meningkatkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat. Kita sebagai umat lslam dan rakyat di Negara ini khususnya di Selangor seharusnya akur kepada proses undang-undang dan mematuhi setiap prosidur yang telah digariskan di bawah undang-undang.

Baginda turut menegaskan bahawa Mais dan Jais sentiasa terbuka untuk mendengar dan berbincang dengan umat Islam di negeri Selangor ini atas sebarang perkara mengenai hal ehwal Islam, sama ada yang bersifat umum atau peribadi.

Akhir kata, Baginda juga menitahkan agar Mais dan Jais sentiasa memelihara dan mempertahankan Aqidah Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sebarang unsur dan ideologi yang boleh merosakkannya.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani