Categories
AGENDA NASIONAL

Ancaman laman web digodam, agensi kerajaan diberi notis amaran – MKN

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

MKN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan serius itu diambil berikutan ancaman untuk menggodam laman web kerajaan menerusi penularan satu video di media sosial dikeluarkan ‘ Anonymous Malaysia’ di platform media sosial baru-baru ini.

Menurut MKN, NACSA juga sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengkoordinasi dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan amat mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap keselamatan infrastruktur teknologi maklumat kerajaan serta sistem kritikal negara dengan menggariskan tindakan pengukuhan sistem teknologi maklumat, termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai berkaitan,“ menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut tindakan itu jelas digariskan menerusi Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dilancarkan pada Oktober 2020.

Antara dakwaan ‘Anonymous Malaysia’ dalam video berdurasi 55 saat itu ialah sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga hari ini.

Sementara itu, CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dalam satu kenyataan, memaklumkan pautan https://www.mycert.org.my/portal/advisory?id=MA-798.122020 boleh dirujuk bagi mengetahui amalan terbaik mengelak daripada menjadi mangsa pencerobohan dan penggodaman.

Antara cadangan menerusi pautan itu termasuk memastikan perisian antivirus sentiasa dikemas kini dan kerap melakukan salinan sandar terhadap semua maklumat kritikal.

Semua organisasi juga dicadang untuk sentiasa membuat penilaian kelemahan dan ujian penembusan terhadap sistem masing-masing, selain melaporkan insiden sekuriti kepada pihak berwajib supaya tindakan pemulihan dapat dilakukan secepat mungkin.

Selain itu, orang ramai juga boleh melaporkan insiden keselamatan siber ke Cyber999 menerusi saluran e-mel kepada [email protected]; hubungi Cyber999 di talian 1-300-88-2999 (waktu pejabat) atau +60 19 2665850; faks kepada +603 8008 7000 (waktu pejabat); atau melapor aduan melalui pesanan ringkas (SMS) ke 15888.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan laksana Strategi Keselamatan Siber Negara pertengahan tahun ini

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Kerajaan melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan mengeluar dan melaksanakan Strategi Keselamatan Siber Negara pada pertengahan tahun ini bagi menangani ancaman keselamatan siber secara komprehensif, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Strategi itu katanya akan dilaksanakan melalui penggemblengan sumber tenaga, dan pembangunan prasarana yang memfokuskan kepada pembentukan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Siber Kebangsaan bagi memastikan negara dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada.

“Ancaman keselamatan siber akan terus memberi cabaran kepada pengurusan keselamatan negara, apabila berlaku peningkatan kebergantungan kepada teknologi-teknologi baharu yang bermanfaat, tetapi pada masa yang sama mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara,” katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai usaha kerajaan membendung ancaman siber yang boleh menggugat kedaulatan negara.

Media awal tahun lepas melaporkan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkata dasar dan strategi itu adalah bagi mengekang serangan siber dari dalam dan luar negara termasuk mengawal maklumat peribadi pengguna internet.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Wan Azizah berkata kerajaan juga mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman dan serangan siber melalui pembangunan dan pelaksanaan Pelan Pengurusan Krisis Siber Negara (NCCMP).

Pelan itu katanya, dibangunkan berdasarkan kepada rangka kerja pengurusan risiko yang menggariskan strategi bagi mengurangkan kesan serangan siber dan tindakbalas yang perlu dilaksanakan agensi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) yang terdiri daripada pelbagai agensi awam dan swasta.

Katanya, antara yang dilaksanakan adalah Latih Amal Krisis Siber Negara (X-Maya) bertujuan menguji keberkesanan prosedur dan membiasakan agensi CNII dengan mekanisme pengendalian insiden siber, serta meningkatkan tahap keupayaan dan kesiapsiagaan agensi bagi menghadapi sebarang ancaman siber. -BERNAMA