Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Lima individu termasuk Datuk ditahan godam sistem pangkalan data Imigresen

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kegiatan mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu akhirnya berjaya dilumpuhkan selepas lima individu termasuk ketua sindiket bergelar Datuk ditahan dalam operasi besar-besaran yang dilaksanakan awal pagi tadi.

Penahanan individu berkenaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut berjaya merungkai permasalahan yang dihadapi Jabatan Imigresen sebelum ini terhadap sistem PLKS mereka yang telah digodam sindiket berkenaan.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek berusia 33 hingga 43 tahun itu ditahan bersama dua perisian sistem komputer klon dan transmitter (pemancar) yang digunakan sindiket, dalam operasi di 22 lokasi di sekitar ibu kota, hasil risikan suruhanjaya itu bersama Jabatan Imigresen.

“Kegiatan yang dilakukan oleh kesemua suspek telah menyebabkan kerugian sehingga ratusan juta Ringgit kepada kerajaan dalam bentuk levi pekerja asing.

“Sindiket ini turut berkerjasama dengan ‘orang dalam’ dengan mengodam pangkalan data imigresen dengan memasang transmitter bagi membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai dan memasukkan nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapat PLKS secara sah,”kata sumber itu.

Menurutnya lagi, pas berkenaan akan dicetak di pusat operasi sindiket, yang beroperasi di sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail, di sini, sebelum menjualnya dengan bayaran antara RM6,000 hingga RM8,000 bagi setiap PLKS kepada warga asing yang bekerja di negara ini secara haram.

“Bagaimanapun pusat operasi mereka sentiasa berubah dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk menyasarkan hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sumber berkata selain itu, sindiket juga berupaya membuka dan menutup status ‘senarai hitam’ seseorang individu bagi membolehkan mereka melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang negara ini dengan bayaran tertentu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

“Siasatan ke atas kes ini akan dibuat secara menyeluruh selain memastikan kesemua ahli sindiket termasuk ‘orang dalam’ dikenakan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ancaman laman web digodam, agensi kerajaan diberi notis amaran – MKN

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

MKN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan serius itu diambil berikutan ancaman untuk menggodam laman web kerajaan menerusi penularan satu video di media sosial dikeluarkan ‘ Anonymous Malaysia’ di platform media sosial baru-baru ini.

Menurut MKN, NACSA juga sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengkoordinasi dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan amat mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap keselamatan infrastruktur teknologi maklumat kerajaan serta sistem kritikal negara dengan menggariskan tindakan pengukuhan sistem teknologi maklumat, termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai berkaitan,“ menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut tindakan itu jelas digariskan menerusi Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dilancarkan pada Oktober 2020.

Antara dakwaan ‘Anonymous Malaysia’ dalam video berdurasi 55 saat itu ialah sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga hari ini.

Sementara itu, CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dalam satu kenyataan, memaklumkan pautan https://www.mycert.org.my/portal/advisory?id=MA-798.122020 boleh dirujuk bagi mengetahui amalan terbaik mengelak daripada menjadi mangsa pencerobohan dan penggodaman.

Antara cadangan menerusi pautan itu termasuk memastikan perisian antivirus sentiasa dikemas kini dan kerap melakukan salinan sandar terhadap semua maklumat kritikal.

Semua organisasi juga dicadang untuk sentiasa membuat penilaian kelemahan dan ujian penembusan terhadap sistem masing-masing, selain melaporkan insiden sekuriti kepada pihak berwajib supaya tindakan pemulihan dapat dilakukan secepat mungkin.

Selain itu, orang ramai juga boleh melaporkan insiden keselamatan siber ke Cyber999 menerusi saluran e-mel kepada [email protected]; hubungi Cyber999 di talian 1-300-88-2999 (waktu pejabat) atau +60 19 2665850; faks kepada +603 8008 7000 (waktu pejabat); atau melapor aduan melalui pesanan ringkas (SMS) ke 15888.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Sistem keselamatan perbankan perlu sentiasa diperkemas, elak digodam

TAPAH, 21 DIS: Sistem keselamatan perbankan di negara ini perlu sentiasa diperkemas dan menggunakan teknologi terkini bagi mengelak ia mudah digodam serta diceroboh, kata bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar.

Beliau berkata walaupun sehingga kini tiada sistem keselamatan perbankan yang selamat untuk jangka panjang namun usaha perlu dilakukan bagi mengekang aktiviti penggodaman dan pencerobohan yang berlaku di seluruh dunia.

“Ini berlaku di seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, China, Rusia dan negara lain. Tiada siapa yang tahu secara muktamad (cara untuk melawan penggodam daripada) mendapatkan pelbagai rahsia.

“Jadi, kita terpaksalah memutakhirkan keselamatan tembok api sistem-sistem dan semua ini memerlukan perbelanjaan yang besar untuk memastikan sistem yang sedia ada selamat digunakan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai lawatan kebajikan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini hari ini.

Mohammed Hanif mengulas kenyataan bekas penggodam Aman Shah Ahmad yang mendakwa sistem digunakan beberapa bank di negara ini bersifat salin dan tampal daripada sistem terdahulu dengan sesetengah institusi menggunakan perisian serta program bersifat sumber terbuka yang mengakibatkan kelompongan sehingga terdedah kepada ancaman penggodam.

Aman Shah, 54, merupakan seorang bekas eksekutif bank bank yang dihukum penjara lima tahun pada 1990 setelah didapati bersalah melakukan pecah amanah membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit sewaktu bertugas di Kuala Lumpur.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Telefon digodam, ramai hubungi Khalid marah mesej hina Melayu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 MEI: Perbuatan pihak terdesak menggodam telefon bimbit milik Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bukan sahaja percubaan melagakan PAS dan DAP tetapi urut memainkan sentimen perkauman melalui mesej yang dihantar kepada orang ramai.

Khalid berkata, beliau hanya menyedari telefon bimbitnya digodam apabila menerima banyak sistem mesej ringkas (SMS) dan dihubungi pihak yang tidak dikenali bagi bertanyakan mesej yang dihantar melalui nombor telefonnya.

“Tiba-tiba saya menerima banyak mesej, ada lebih kurang 30 mesej dan panggilan telefon bertanyakan hal ini. Ada juga yang marah sebab mesej itu.

khalid samad“Mereka kata mesej yang diterima itu menggunakan perkataan kesat seperti bangsat, Melayu bodoh dan sebagainya. Bukan sahaja melagakan PAS dan DAP, bahkan hubungan antara kaum Melayu dan Cina.

“Saya terkejut, tetapi selepas mendapat tahu telefon bimbit saya digodam dan menerangkan kepada pemanggil baru mereka dan semua yang menghantar sms lega,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Katanya, beliau sudah membuat laporan di pejabat pengendali talian telefon mudah alih, Maxis dan Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, petang semalam (23 Mei) berhubung perkara itu bagi tindakkan pihak berkuasa.

“Saya rasa perkara ini ada hubung kait dengan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sedang berlangsung sekarang. Tujuannya untuk menimbulkan kononnnya saya mahu pengundi menolak DAP dan keduanya mahu menimbulkan kemarahan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat (PR), bahkan kejadian sama pernah berlaku di PRK Kajang,” katanya.

haxor-250x250Khalid turut menggesa pihak polis mengambil tindakan segera terhadap pihak terdesak demi kepentingan politik itu kerana membabitkan keharmonian antara kaum di negara ini.

Sebelum ini, perkara sama turut dialami barisan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi tujuan menjejaskan sokongan rakyat terhadap PR dalam PRK Kajang.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak memberi kesan apabila rakyat negara ini mampu memperoleh maklumat dengan melayari internet bagi mengetahui keadaan sebenar.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PKR: 11 telefon bimbit digodam, SKMM berdiam

SHAH ALAM 18 MAC: Pemimpin PKR menuntut kawalan keselamatan lebih ketat daripada pihak berwajib apabila telefon bimbit 11 pemimpin dan penggiat parti itu digodam minggu lalu.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR Fuziah Salleh berkata, syarikat telekomunikasi dan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) seolah-olah tiada sebarang isu dengan masalah itu.

“Isu yang rasa lebih penting ialah isu keselamatan. Bagaimana senangnya nombor telefon kita digunakan oleh sesiapa untuk hantar mesej bukan dari kita. Hal ini harus dilihat serius oleh syarikat telekomunikasi.

“Hal ini amat serius dan lebih besar dari kandungan SMS itu sendiri. Siapa tahu mesej yang dihantar itu boleh digunakan untuk memerangkap kami pada masa depan,” kata beliau dalam sidang media di Kajang hari ini dipetik Malaysiakini.

Menurut maklumat daripada Bilik Gerakan Utama PKR untuk pilihan raya kecil Kajang, setakat ini telefon bimbit 11 pemimpin dan ahli parti itu digodam.

Selain Fuziah sendiri, turut dikatakan menjadi mangsa Timbalan Presiden Azmin Ali, naib presiden Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin, beberapa wakil rakyat serta pemimpin akar umbi di Kajang.

Azmin, Tian Chua dan Izzah pada 14 Mac lalu mendakwa, penggodam menggunakan telefon mereka untuk menyampaikan SMS memecahbelahkan parti.

Categories
NASIONAL

PRK Kajang: Telefon bimbit lima pimpinan PKR digodam

Oleh : NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 14 MAC: Telefon bimbit lima pimpinan kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha merenggangkan hubungan baik parti itu dengan PAS.

Tian Chua melalui twitternya menyatakan ramai mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada beliau kononnya memberi amaran PAS cuba sabotaj Pilihan Raya Kecil (PRK Kajang).

Nurul-Tian-Chua“Ramai terima SMS kononnya amaran dari saya yang dakwa PAS sabotaj PRK Kajang, Nombor telefon bimbit saya kena hack atau klon dan edarkan SMS atas nama saya.

“Waspada: ada SMS kononnya arahan daripada saya yang cuba menanam syak wasangka antara jentera PKR & PAS – ini taktik kotor BN!,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turutmengakui perkara sama berlaku pada telefon bimbit beliau.

azmin-ali-3“Nombor telefon bimbit saya telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bertujuan untuk memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat.

Pengarah Biro Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, melalui twitternya @fahmi_fadzil, berkata akaun milik Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar juga digodam.

“Lepas hp (handphone) @azminali digodam, kini hp @n_izzah pula!” katanya.

Selain itu, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor , Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin turut mengalami nasib sama.

“Saya,  Tian Chua & Shamsul Iskandar Mohd Akin menjadi mangsa klon sim card. SMS palsu dihantar dgn menggunakan nombor telefon kami,” kata Nik Nazmi melalui Facebooknya.

Fahmi pada kenyataan media petang ini mengesahkan kejadian itu dan menegaskan pimpinan PKR tidak pernah mengirim SMS sedemikian.

Beliau menyelar sekeras-kerasnya taktik kotor yang diguna pihak tidak bertanggungjawab yang berniat jahat dan cuba mewujudkan rasa tidak puas hati di kalangan parti dalam Pakatan Rakyat.

“Usahlah guna taktik sebegini, mari bertarung di pentas politik yang sah!,” katanya.