Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Giat promosi Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu, tawar lokasi cuti menarik

SUBANG JAYA, 5 OKT: Kerajaan Negeri giat mempromosikan kempen pelancongan domestik Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu bagi meningkatkan jumlah kemasukan pelancong.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata inisiatif itu diambil susulan kadar vaksin lengkap dua dos rakyat dewasa dalam negara mencapai 88 peratus setakat semalam.

“Saya berasakan usaha ini adalah langkah tepat bagi menarik minat pelancong dalam negara untuk berkunjung ke Selangor.

“Malah, kempen tersebut menjadi buah mulut orang ramai khususnya pengguna media sosial sejak dilancarkan pada 17 Disember tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di Sunway Lagoon di sini hari ini.

Aktres popular Che Puan Juliana Evans dilantik sebagai duta pelancongan Selangor bagi mempromosikan kempen berkenaan.

Beliau berkata antara lokasi pelancongan menarik adalah Air Terjun Lata Medang dan Fraser Valley di Hulu Selangor; Greenhouse D Jeram dan Sembilang Eco Resort (Kuala Selangor); Air Terjun Sungai Lepoh dan Kolam Air Panas Sungai Serai (Hulu Langat) serta Kelong Paradise dan Sungai Limau Resort (Sabak Bernam).

Maklumnya, pelancong juga boleh berkunjung di Rubinga Heritage dan Golek Golek Suasana Kampung (Gombak); Ladang Buah Naga (Sepang), Pantai Batu Laut (Kuala Langat), Mural Safari (Klang) dan Taman Persahabatan Selangor-Jepun (Petaling).

Sementara itu, Loy Sian berkata jumlah ketibaan pelancong ke Selangor dijangka mengalami penurunan tahun ini berikutan sekatan rentas negeri yang masih berkuat kuasa.

Beliau turut menjelaskan prestasi kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini tahun lalu susut kepada 3.34 juta berbanding 7.62 juta pada 2019 ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 1 Oktober.

Peralihan fasa memberi kelonggaran kepada rakyat yang mendapat suntikan dua dos vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

10,000 baucar melancong di Selangor habis ditebus

SHAH ALAM, 5 APRIL: Sebanyak 10,000 baucar pelancongan Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! habis ditebus.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata sambutan terhadap penebusan baucar bernilai RM200 itu amat memberangsangkan sejak mula dilancar pada 8 Januari lalu.

“Walaupun pemulihan sektor ini hanya terbuka kepada pengunjung domestik tetapi ia sedikit sebanyak dapat membantu pengusaha pelancongan menambah pendapatan.

“Orang awam yang menebus baucar ini juga diminta terus kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika berkunjung ke destinasi yang hendak dituju,” kata Azrul Shah Mohamad kepada SelangorKini.

Pada 13 Julai, Kerajaan Negeri mengumumkan subsidi baucar pelancongan bernilai RM2 juta boleh ditebus menggunakan platform e-dompet Lazada dan Touch ‘n Go untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.

Sementara itu, Azrul berkata agensi tersebut giat mempromosi kempen pelancongan `Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu’ menerusi media sosial rasminya.

“Kita turut memaparkan beberapa destinasi menarik di negeri ini secara maya dan boleh ditonton menerusi YouTube rasmi Tourism Selangor.

“Menerusi paparan tersebut orang ramai khususnya mereka dari luar Selangor dapat merasai keindahan dan sudah pasti tidak sabar untuk ke sini apabila dibenar merentas negeri akan datang,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Tebus baucar pelancongan Selangor RM200 mulai Jumaat

SHAH ALAM, 6 JAN: Orang ramai boleh mula menebus baucar pelancongan Selangor bernilai RM200 mulai Jumaat ini.

EXCO kerajaan tempatan berkata rakyat diminta mengambil peluang berkenaan dan terokai pelbagai tempat menarik di negeri ini.

“Jom, Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! Kerajaan Negeri bagi baucar pelancongan RM200. Tebus segera dan terokai destinasi percutian menarik serta unik di negeri ini,” kata Ng Sze Han di Facebook.

Baucar boleh ditebus menggunakan platform e-dompet Lazada dan Touch ‘n Go.

Pada 18 Disember lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu bermula 8 hingga 31 Januari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 7,000 baucar boleh ditebus untuk hotel, inap desa berlesen serta taman tema di negeri ini.

.