103 pelajar UNISEL, KUIS terima manfaat Biasiswa Selangorku

Seramai 103 pelajar Universiti Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) terima manfaat RM4.95 juta Biasiswa Selangorku

Categories
SELANGOR

Exco: Martabat Bahasa Melayu dalam pendidikan tanggungjawab bersama

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri mengalukan usaha murni Universiti Selangor (UNISEL) sekiranya mahu memfokuskan Bahasa Melayu dalam pembelajaran di intitusi itu.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melihat usaha memartabatkan bahasa kebangsaan diambil perhatian.

State assemblyman for Seri Setia and Deputy Speaker of the Selangor state assembly, Nik Nazmi Nik Ahmad arrives at the Court of Appeal in Putrajaya on April 25, 2014. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli

Katanya, UNISEL sebagai pusat kecemerlangan pendidikan Selangor perlu memainkan peranan itu sebagai usaha memartabatkan kepentingan bahasa ibunda.

“Jika ia dilaksanakan, saya fikir ia sebagai usaha yang baik yang sebenarnya perlu diambil peranan semua pihak,” katanya kepada pemberita.

Nik Nazmi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman yang mahu penggunaan Bahasa Melayu dalam pembelajaran dan pengajaran diutamakan khususnya dalam bidang pendidikan bagi memastikan penggunaannya dipertingkatkan.

Hal itu bagi memastikan Bahasa Melayu kekal terpelihara walaupun dalam era globalisasi masa kini.

Pada masa yang sama, Nik Nazmi turut mahu Kerajaan Persekutuan mengkaji secara mendalam sebelum membuat perubahan dasar dalam isu Dual Language Program (DLP).

DLP adalah dasar baru diperkenalkan Kerajaan Persekutuan tahun ini yang dipercayai penjenamaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Selain itu, satu demonstrasi besar-besaran bagi membantah program DLP akan diadakandi Stadium Merdeka pada 9 April depan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Pengalaman Prof Redzuan mampu suburkan ilmu kaji selidik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 JAN: Pelantikan Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) yang baru memberikan tambah nilai menyuburkan budaya ilmu di kalangan kakitangan dan pelajar universiti itu.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata antara bidang mendapat manfaat terbesar bagi pelantikan bekas Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu termasuk bidang kaji selidik, penerbitan dan syarahan.

NC unisel baru“Saya ada perancangan terbaru untuk UNISEL dan perkara ini dalam perbincangan. Saya yakin boleh dijayakan sebab Profesor Datuk Ridzuan juga dah bertemu dengan beberapa pihak berkepentingan dalam tempoh beberapa minggu awal.

“Reformasi untuk pendidikan ini adalah sesuatu berterusan dan apabila ada perlantikan baru tentunya memberi nafas baru, saya yakin kita dapat melihat reformasi ini berlaku pada lonjakkan lebih baik lagi. Ini keyakinan bagi pihak saya,” kata Nik Nazmi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Prof Dr Mohammad Redzuan di UNISEL di sini, hari ini.

Nik Nazmi turut meletakkan keyakinan dan harapan tinggi Prof Dr Mohammad Redzuan mampu mengangkat nama UNISEL sebagai salah sebuah universiti yang unggul di negara ini.

Prof Dr Redzuan semasa masih berkhidmat dengan Universiti Malaya terkenal sebagai seorang ahli akademik yang menjalankan beberapa kaji selidik khususnya dalam bidang politik.

Beliau bagaimanapun akhirnya dipecat apabila beberapa kaji selidik dijalankan beliau didapati tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Pemberhentian Mohd Redzuan itu dibuat kira-kira dua bulan sebelum kontrak beliau tamat.

EZY

Categories
SELANGOR

‘Black 505’: Nik Nazmi didakwa kali ketiga

SHAH ALAM 5 JAN: Exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi atas dakwaan menganjurkan perhimpunan ‘Black 505’ tanpa kebenaran di Stadium Kelana Jaya di Petaling Jaya, kira-kira tiga tahun lepas.

BERNAMA melaporkan Nik Nazmi, 34, yang didakwa untuk kali ketiga bagi kesalahan itu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ghazali Cha.

State assemblyman for Seri Setia and Deputy Speaker of the Selangor state assembly, Nik Nazmi Nik Ahmad arrives at the Court of Appeal in Putrajaya on April 25, 2014. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli

Mengikut pertuduhan, Nik Nazmi didakwa gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran program ‘Black 505’ di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di Petaling Jaya pada 8.30 malam, 8 Mei 2013.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum menurut Seksyen 9(5) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Nik Nazmi, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), didakwa kali pertama pada 17 Mei 2013. Beliau kemudian membuat permohonan untuk mengetepikan pertuduhan tersebut namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Nov 2013.

Pada 25 April 2014, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 6 Feb 2014, Nik Nazmi didakwa kali kedua terhadap pertuduhan sama.

Bagaimanapun pada 6 Mei 2014, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan Nik Nazmi daripada pertuduhan itu selepas hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Hakim tersebut juga mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya pada 25 April 2014.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah membenarkan jaminan RM1,000 terhadap Nik Nazmi dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 hingga 16 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan, manakala 19 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ketika ditemui pemberita setelah selesai prosiding, peguam Syahredzan Johan yang mewakili Nik Nazmi berkata pihaknya akan memfailkan permohonan minggu ini bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

AMK kecam tindakan Kerajaan Sarawak halang Nurul Izzah

Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad

Angkatan Muda KEADILAN mengecam tindakan kerajaan negeri Sarawak yang telah menghalang Ahli Parlimen Pantai, Nurul Izzah Anwar daripada memasuki negeri tersebut tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Sekali lagi kerajaan Sarawak telah menyalahguna kuasa untuk menghalang warga negara Malaysia sendiri sepertimana mereka menghalang Rafizi Ramli, Tony Pua dan Ambiga Sreenavasan.

Izzah SarawakTindakan ini bertambah mengecewakan kerana Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menterinya, Adenan Satem, sentiasa menggambarkan diri mereka sebagai kerajaan yang progresif dan terbuka, namun hakikatnya mereka tetap meneruskan budaya politik di bawah pentadbiran Taib Mahmud yang lalu.

Jelas kerajaan Barisan Nasional tidak kira di mana jua dan siapa sahaja pemimpinnya, tidak akan mampu berpegang pada prinsip demokrasi yang sebenar.

Tindakan yang memalukan ini hanya akan mencalarkan lagi kredibiliti mereka pada pandangan rakyat Malaysia.

* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ketua AMK KEADILAN

Categories
SELANGOR

STEM bantu pelajar lonjak prestasi akademik

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 NOV: Program pembangunan modal insan serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bakal dijalankan di Selangor dalam musim cuti persekolahan tahun ini untuk disertai golongan pelajar.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata Jatawankuasa Pendidikan memberi tumpuan bagi penganjuran kedua-dua program terbabit supaya pelajar di seluruh daerah beroleh manfaat daripadanya.

pelajar“Kita meneruskan program pembangunan modal insan supaya dapat disertai pelajar sekolah.

“Program STEM dan sebagainya juga diteruskan bagi memberi pengisian serta kesedaran kepada mereka,” katanya kepada Selangor Kini di sini, hari ini.

STEM adalah program membabitkan pendekatan disiplin dalaman dengan menerapkan konsep akademik menyeluruh di dalamnya serta digabungkan dalam aktiviti kemahiran komunikasi.

Pendidikan STEM yang berjaya membolehkan pelajar mengaitkan penggunaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dalam aplikasi dunia sebenar.

EZY

Categories
SELANGOR

Gandakan usaha tingkat prestasi UPSR 2016

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 NOV: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Selangor pada 2016 diyakini mampu mencatatkan keputusan lebih cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata penekanan Kerajaan Negeri bagi melahirkan generasi berilmu pada masa depan berupaya melahirkan pelajar cemerlang.

upsr-1“Kita mengharapkan supaya keputusan ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang,” katanya kepada Selangor Kini di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan UPSR tahun ini di Selangor membabitkan seramai 82,969 calon dengan catatan 7,354 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) mendapat keputusan 5A serta Sekolah Jenis Kebangsaan dengan 7A.

Katanya, keputusan UPSR sememangnya penting untuk langkah seterusnya tetapi jalan melakar masa depan lebih cemerlang masih panjang jika gagal memperoleh keputusan membanggakan kali ini.

“Kita harap adik-adik mendapat keputusan mungkin kurang cemerlang dan sebagainya tidak berputus asa kerana boleh menggunakan peluang pada masa hadapan untuk mencipta keputusan lebih baik,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

KEADILAN: Persekutuan sengaja besarkan isu Nurul Izzah

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 NOV: KEADILAN membidas tindakan‎ Kerajaan Persekutuan yang membesarkan isu gambar pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan pemberontak Sulu, Jamalul Kiram III.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata tidak wajar untuk menuduh Ahli Parlimen Lembah Pantai itu sebagai pengkhianat sedangkan beliau antara yang paling lantang mengecam insiden pencerobohan Lahad Datu.

“Perlu diingatkan KEADILAN dan rakan pembangkang antara yang paling mengecam pencerobohan di Lahad Datu kerana kami percaya kerajaan Malaysia tidak berjaya menangani dengan teratur dan baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

nik nazmiNik Nazmi berkata, Barisan Nasional (BN) sebenarnya cuba mengalih isu sebenar iaitu berkenaan pembebasan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gesaan sekumpulan pemantau daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“BN tidak seharusnya lari daripada perkara ini dan bagaikan sengaja hendak mengalihkan perhatian‎,” katanya.

Beliau turut mempertahankan tindakan Naib Presiden itu menghadiri program anjuran Manila yang menyokong Anwar dibebaskan.

Baru-baru ini, tercetus kontroversi selepas ‎gambar pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya terdedah.

Tindakan itu mengundang kritikan ramai pihak terutama pemimpin kerajaan yang menyatakan tindakan Nurul Izzah tidak wajar.

-NFN-

Categories
SELANGOR

KUIS dapat perhatian antarabangsa

Oleh: HAFIZAN TAIB

BANGI, 18 NOV: Penyertaaan peserta luar negara dalam persidangan anjuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menunjukkan kolej terbabit semakin diberi perhatian di peringkat antarabangsa.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata perkembangan terbabit adalah baik bagi KUIS sebagai persediaan menjadi universiti penuh pada tahun hadapan.

“Pembabitan peserta luar negara serta pensyarah daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) membuktikan usaha KUIS mandapat perhatian pelbagai pihak.

nik nazmi“Ia memberi kesan baik kerana kajian dibuat dan dikongsi dapat dimantapkan lagi,” katanya kepada Selangor Kini selepas merasmikan majlis penutupan Persidangan Antarabangsa Pengurusan dan Muamalah anjuran Fakulti Pemgurusan dan Muamalah KUIS, di sini, semalam.

Persidangan dua hari bertemakan ‘Empowering Management and Muamalah Through Knowledge Creation and Sharing’ menarik penyertaan 150 peserta termasuk Algeria, Iran, Mesir dan Nigeria.

Beliau berkata, isu ekonomi menyentuh soal pengurusan dan tatakelola dibincangkan dalam persidangan itu adalah perkara penting juga relevan masa kini.

KUIS2Katanya, isu berkenaan sering menjadi pilihan dan dibentangkan untuk dibincangkan pihak berkenaan baik di dalam atau antarabangsa.

“Jika kita kembali kepada ajaran Islam, ia menekankan sewajarnya supaya melihat nilai Islam dalam perkara ini.

“Dalam kemerosotan ekonomi di peringkat global kini, Malaysia sebagai negara pengeluar komoditi akan terkesan dengan isu sebegini,” katanya.

Seminar terbabit membincangkan peranan yang harus dimainkan usahawan masa kini dan dilihat sebagai faktor penentu dalam mengukuhkan kedudukan ekonomi sesebuah bangsa serta negara.

-NFN-

Categories
SELANGOR

BN hipokrit, larang pemimpin negeri tapi jemput Ketua Umno

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Alasan tidak mahu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sekolah disalah guna untuk kepentingan politik membuktikan sikap hipokrit Barisan Nasional (BN) apabila pada masa sama membenarkan Ketua Umno bahagian menghadiri majlis di dua lokasi terbabit.

Exco Pendidikan Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata Ketua Umno bahagian itu jelas hanya memegang jawatan politik bukannya jawatan rasmi kerajaan.

nik nazmi“Saya datang sebagai Exco Pendidikan Negeri bukannya Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) tetapi tidak dibenarkan masuk. Saya pernah lihat jemputan untuk Ketua Umno bahagian ke satu majlis,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Nik Nazmi (KEADILAN-Seri Setia) berkata, beliau hanya dapat memasuki IPTA ketika diberi peluang menghadiri satu wacana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama Datuk Saifuddin Abdullah dan Khairy Jamaluddin sebelum Ahli Parlimen Rembau itu dilantik sebagai menteri.

Selain itu, beliau hanya dapat masuk ke Universiti Malaya dengan menunggang motor dan memakai jaket pelajar untuk menghadiri majlis ilmu anjuran kedutaan United Kingdom.

Lebih mengecewakan, beliau turut tidak dibenarkan memasuki kolej pengajiannya iaitu Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin.

“Saya bekas pelajar di situ yang sekarang adalah Exco Pendidikan tetapi tidak dibenarkan masuk. Ini memang mengecewakan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Gambar jadi mainan politik, BN tak hormat sistem kenegaraan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Selepas tujuh tahun, Barisan Nasional (BN) masih gagal menerima hakikat bahawa Kerajaan Selangor kini ditadbir Pakatan Rakyat (Pakatan) dengan diterajui Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata BN juga menunjukkan sikap tidak menghormati sistem kenegaraan, suara rakyat dan institusi yang melantik Dato’ Menteri Besar.

nik nazmiKatanya, hal itu kerana BN tidak membenarkan pemimpin Kerajaan Negeri menghadiri majlis di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta menggantung potret beliau di pejabat di bawah persekutuan.

“Mereka tidak hormat sistem kenegaraan. Tidak kira siapa menang, jika di Kerajaan Negeri kita letak dua gambar iaitu Perdana Menteri dan Dato’ Menteri Besar kerana mengiktiraf sistem ini.

“Kita berharap ada pengiktirafan sama. Takkan gambar menjadi isu besar kerana itu mencerminkan penghormatan kepada sistem yang ada, suara rakyat termasuk institusi yang terbabit dengan perlantikan Dato’ Menteri Besar,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari.

Nik Nazmi berkata, fikiran sempit pemimpin BN itu menjadikan golongan pelajar dan pendidik menjadi mangsa apabila tidak dapat menjalin kerjasama dengan banyak pihak untuk berkongsi idea bagi meningkatkan taraf pendidikan serta kemudahan pembelajaran di IPTA juga sekolah di negeri itu.

Terdahulu, Nik Nazmi dalam sidang medianya berkata, beberapa mahasisawa dikenakan tindakan oleh pengurusan IPT masing-masing apabila menjemput beliau dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menghadiri satu majlis ilmu di sebuah universiti tempatan.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bajet 2016 Persekutuan mengecewakan, tiada tambah nilai baru

Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad

Bajet 2016 kerajaan Barisan Nasional tidak memberi apa-apa nilai baru kepada negara, kerana kita hanya menyaksikan strategi fiskal yang sama sahaja semenjak Perdana Menteri Najib Razak mula berkuasa.

Seperti biasa, golongan pertengahan diabaikan, dan walaupun golongan berpendapatan tinggi dikenakan cukai lebih, tetapi kerajaan tidak berbuat apa kepada sektor korporat sementara itu golongan berpendapatan rendah masih terus dibebankan dengan GST.

PENDIDIKAN GRAFIKTetapi apa yang paling merisaukan berkenaan Bajet 2016 adalah potongan sebanyak RM1.4 billion daripada bajet Pendidikan Tinggi.

Kerajaan akan mewajarkan tindakan ini dengan mengatakan bahawa ianya selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), yang menggalakkan pihak Universiti sendiri mencari dana kewangan.

Tetapi dengan potongan yang begitu besar pastinya universiti akan menghadapi kesukaran kerana pelan tersebut baru lagi diumumkan tahun ini dan universiti hanya diberi beberapa bulan untuk menyesuaikan diri.

Dalam pada itu, perbelanjaan pembangunan yang ditetapkan bagi bajet Pendidikan Tinggi merupakan yang terendah sejak Najib menjadi Perdana Menteri, dan pada kadar 12.04% daripada keseluruhan bajet, ia merupakan pengurangan yang ketara berbanding dengan ketetapan 34.55% daripada keseluruhan bajet pada tahun 2010.

Sudah sedia maklum bahawa kualiti institut pendidikan tinggi negara ini semakin merosot, walaupun kita mempunyai rakyat yang begitu berbakat dan bijak.

Isu pengaliran keluar pakar seringkali dibincangkan, sedangkan kerajaan sepatutnya meningkatkan lagi keyakinan terhadap IPTA, pengumuman bajet ini hanya mampu menggusarkan lagi keadaan.

Tindakan kerajaan itu akan membangkitkan pelbagai isu. Adakah universiti akan terkesan dengan kekurangan kemasukan pelajar? Adakah penyelidikan akan berkurangan? Adakah pelajar sendiri mendapat kurang perhatian kerana pihak Universiti sibuk perlu mencari dana sendiri dengan begitu banyak?

Tempat di IPTA dikurangkan sejak dua tahun berturut-turut meskipun keputusan pelajar yang layak ke IPTA terus meningkat. Ini membuatkan pelajar yang tidak mendapat tempat atau jurusan sesuai di IPTA terpaksa ke IPTS dan berharapkan pinjaman PTPTN. Peruntukan PTPTN pula telah dipotong antara 15 hingga 25 peratus.

Ini juga terjadi berikutan isu-isu berkenaan biasiswa MARA dan JPA yang memperlihatkan polisi diubah secara rambang, jumlah penerima biasiswa berkurangan dengan banyak dan kebajikan pelajar diabaikan hampir sepenuhnya.

Semua ini menjadi persoalan sama ada kerajaan telah berputus asa terhadap pendidikan tinggi dan lebih rela memperjudikan masa depan generasi muda demi menutup masalah-masalah kewangan negara akibat kegagalan tadbir urus kerajaan Najib Razak.

Bajet 2016 membuktikan bahawa Najib Razak hanya mementingkan diri dan langsung tidak cekap. Dengan hanya menumpukan perhatian untuk memperoleh undi golongan luar bandar, Barisan Nasional seakan-akan sudah mengisytiharkan perang terhadap golongan pertengahan.

* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor