Categories
SELANGOR

MB : Skim Tabung Amanah Perkuburan Akan Diwartakan

PETALING JAYA 6 JUN : Rakyat tidak perlu bimbang dengan pengurusan dana Skim Tabung Amanah Perkuburan yang diwajibkan ke atas mereka kerana Kerajaan Negeri akan memastikan segala urusan dilakuan secara telus dan terbuka.

Malah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri juga akan membentangkan di Dewan Undangan Negeri yang bersidang nanti untuk diwartakan selain memberi maklumat yang tepat kepada rakyat ke mana wang tersebut disalurkan.

“Kita akan memastikan wang yang dicarumkan akan digunakan untuk manfaat tanah perkuburan seperti penyediaan prasarana, penyelenggaraan, kecantikan kawasan dan sebagainya yang berkaitan.

“Secara ringkasnya, caruman yang dikumpulkan akan dibelanjakan khusus untuk perkuburan dan tidak akan ke tempat lain,” jelas Abdul Khalid dalam satu majlis dialog bersama penduduk di Dewan Sivik di sini malam tadi.

Menurutnya lagi, penyediaan tapak perkuburan juga merupakan satu tanggungjawab sosial dan Kerajaan Negeri sendiri begitu mengambil berat berkenaan perkara ini.

“Kita sendiri ada menyediakan wang khairat kematian sebanyak RM 2, 500 kepada keluarga si mati kerana kita mahu segala urusan berkaitan pengurusan mayat atau jenazah berjalan lancar.

“Atas sebab itu juga kita menggesa Jabatan Perancangan Bandar dan Desa untuk merangka satu pelan jangka panjang mengenai keperluan tapak tanah perkuburan sehingga tahun 2060,” ujarnya lagi.

Dalam Majlis Dialog Bersama Penduduk itu, hadirin turut dibentangkan dengan pelan Tanah Perkuburan Wilayah Bersepadu (PWB) bagi mengatasi isu kekurangan kawasan perkuburan yang disampaikan Timbalan Pengarahnya, Norasiah Bee Mohd Hanif.

Kerajaan Negeri mensyaratkan caruman Tabung Amanah Perkuburan sebagai syarat tambahan bagi kelulusan pemberimilikan dan tukar syarat kegunaan tanah kepada bangunan kediaman dan pembangunan bercampur.

Pihak Berkuasa Negeri juga bersetuju mengenakan bayaran sebanyak RM 300 atau RM 500 bagi setiap petak rumah bergantung kepada kawasan.

Selain kehadiran Abdul Khalid sebagai panel, turut hadir di majlis berkenaan ialah Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu dan Adun Subang Jaya dan Adun Subangjaya, Hannah Yeoh.

Categories
SELANGOR

Dua Minggu Sahaja Untuk Permohonan Dengan Pejabat Tanah

PETALING JAYA 6 JUN : Segala urusan di Pejabat Tanah di Selangor akan mengambil masa dua minggu sahaja untuk diproses, demikian ikrar yang dikeluarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menjawab soalan dari penduduk yang mengadu kelewatan Pejabat Tanah memproses permohonan berkenaan urusan tanah, Abdul Khalid menjelaskan Kerajaan Negeri akan melakukan penguatkuasaan berhubung perkara tersebut demi kepuasan pembayar cukai.

“Seharusnya segala urusan dilayani berdasarkan prinsip ‘First In First Out’ tetapi sebaliknya pula berlaku apabila ada yang memotong barisan sehingga menyebabkan mereka yang di hadapan terpaksa di belakangkan urusannya dan menunggu lebih lama.

“Tempoh masa urusan yang sama di Singapura cuma seminggu, jadi di sini mengambil kira penduduk yang ramai kita akan beri tempoh dua minggu kepada Pejabat Tanah untuk proses segala urusan.

“Jika masih lewat, maka pejabat tanah yang akan diminta membayar kepada rakyat yang membuat urusan tersebut,” ucap beliau dalam satu dialog bersama penduduk di Dewan Sivik di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata seharusnya rakyat juga tidak perlu lagi bersusah payah mengunjungi Pejabat Tanah untuk membuat urusan, sebaliknya Pejabat Tanah yang harus mengunjungi rakyat.

“Mindset ini yang kita harus ubah. Seharusnya kita yang pergi berjumpa pembayar cukai dan menyelesaikan masalah mereka, bukan mereka yang dah bayar kita tapi kemudian perlu susah payah pulak jumpa kita.

“Dengan cara ini, kita pun dapat melakukan kerja dengan cepat, masalah rakyat pun dapat kita selesaikan dengan lebih cepat dan menyeluruh,” jelas Abdul Khalid disambut tepukan gemuruh hadirin.

Majlis Dialog Skim Pemilikan Tanah Dan Tabung Amanah Perkuburan dengan Menteri Besar malam tadi turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Norasiah Bee Mohd Hanif.