Oleh : NORHAYATI UMOR
SUBANG JAYA, 25 NOV: Pemaju diarahkan supaya mendalamkan paya seluas sembilan ekar berhampiran Kompleks Beli-belah The Mines sebagai penyelesaian awal banjir di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Serdang.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Norhisham Ahmad Dahalan, berkata kerja pengorekan akan dilakukan secepat mungkin di atas tanah milik kerajaan itu.
“Saya akan berjumpa dengan pemaju petang ini untuk membincangkan perkara terbabit.
“Cadangan ini dijangka dapat mengurangkan masalah banjir yang berlaku ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPSJ, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Norhisham berkata, pihaknya bersedia menghadapi bencana banjir khususnya di kawasan rendah ekoran taburan hujan luar biasa kebelakangan ini.
Katanya, jawatankuasa dilantik sudah mengenal pasti saliran dan longkang tersumbat untuk memastikan kerja pembersihan dijalankan.
“Pada 1 dan 3 November lalu, 14 lokasi di kawasan MPSJ mengalami bencana banjir ekoran longkang bersaiz kecil tidak dapat menampung kapasiti aliran yang banyak.
“Kita juga memerlukan kolam tadahan, di samping menaik taraf longkang sedia ada kepada saiz lebih besar,” katanya.
Beliau juga berharap Kerajaan Negeri dapat menyuntik dana kepada MPSJ bagi menaik taraf sistem perparitan yang uzur.
-AA-