Categories
AGENDA SUKANKINI

Nur Dhabitah tidak abai pelajaran walau aktif latihan sukan

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri akan berusaha untuk menyeimbangkan aspek pembelajaran dan kerjaya selepas menyambung pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Komunikasi Media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Biarpun dijangka berdepan jadual padat pada tahun depan, atlet berusia 22 tahun itu menjelaskan bahawa beliau akan berbincang bersama jurulatih dan pensyarah supaya tumpuannya dalam kedua-dua aspek itu tidak terjejas.

“Saya akan berbincang dengan jurulatih saya khususnya mengenai jadual kelas di UKM. Saya juga tidak mahu ketinggalan dalam pendidikan. Pada akhirnya, pendidikan adalah amat penting bagi saya,” katanya dalam sidang media secara maya selepas menghadiri Majlis Amanat Naib Canselor Minggu Mesra Mahasiswa UKM hari ini.

Nur Dhabitah dijadual mewakili negara dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, United Kingdom, Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China serta beberapa kejohanan antarabangsa lain pada tahun depan.

Terdahulu, penerjun itu turut diberi penghormatan mengetuai bacaan ikrar baharu UKM bagi sesi akademik 2021/2022.

Nur Dhabitah berkata beliau mendaftar untuk melanjutkan pengajian di UKM menerusi sijil Pentauliahan Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Sebelumnya (APEL) yang mengambil kira pengalaman terdahulu seseorang individu.

Beliau yang menamatkan saingan dalam acara terjun papan anjal tiga meter (m) individu akhir di tempat keempat pada Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini, memilih UKM kerana yakin dengan persekitaran kondusif yang ditawarkan institusi pengajian tinggi itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Dhabitah beri usaha terbaik tapi belum berjaya dapat gangsa

SHAH ALAM, 1 OGOS: Penerjun muda negara Nur Dhabitah Sabri hampir menghadiahkan pingat buat negara apabila menduduki tempat keempat dalam pusingan akhir acara 3 meter papan anjal wanita.

Penerjun berusia 22 tahun itu menamatkan lima terjunan sebentar tadi dengan kutipan mata 326.15, hanya 17.6 mata di belakang pemenang pingat gangsa dari Amerika Syarikat Krysta Palmer.

Nur Dhabitah mara ke peringkat akhir selepas meraih tempat keenam dalam saingan separuh akhir semalam dengan kutipan mata 312.60.

Pingat emas dimenangi juara bertahan dari China Shi Tingmao yang mencatat 383.50 mata sementara rakan senegaranya Wang Han meraih perak dengan kutipan mata 348.75.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik: Nur Dhabitah ke pusingan akhir, buru pingat pertama

TOKYO, 31 JULAI: Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri terus berada pada landasan yang betul dalam usaha memburu pingat Olimpik Tokyo 2020, selepas layak ke akhir acara 3 meter (m) papan anjal wanita individu di Pusat Akuatik Tokyo.

Penerjun berusia 22 tahun, menunjukkan terjunan yang konsisten dalam kelima-lima terjunan, membolehkan beliau yang bermula pada tempat kesembilan pada terjunan pertama melonjak ke tempat keenam selepas lima terjunan, dengan mengumpulkan 312.50 mata keseluruhan pada peringkat separuh akhir hari ini.

Hanya 12 penerjun terbaik daripada 18, layak ke akhir yang dijadualkan pada 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) pada Ahad (1 Ogos).

Juara bertahan Shi Tingmao dari China, sekali lagi menunjukkan keupayaannya untuk mengungguli kedudukan dengan 371.45 mata, diikut rakan senegara Wan Han (346.85 mata) dan Jennifer Abel dari Kanada (341.40 mata).

Tingmao dan Wang Han menjadi pilihan untuk naik ke podium esok, hanya selepas seminggu memenangi pingat emas acara 3m papan anjal seirama Ahad lepas (25 Julai).

Ini merupakan kali kedua penyertaan Nur Dhabitah di Olimpik, selepas menduduki tempat kelima acara 3m papan anjal seirama bersama Cheong Jun Hoong dan tempat kesembilan dalam 10m platform pada Olimpik Rio 2016.

Nun Dhabitah layak ke separuh akhir selepas menempatkan dirinya dalam kalangan 18 penerjun terbaik pada pusingan awal semalam, dengan menduduki tempat ke-10 dengan 291.60 mata.

Namun demikian rakan sepasukan Ng Yan Yee, gagal layak ke hari ini selepas hanya menduduki tempat ke-20 dengan 251.95 mata.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan papan anjal: Nasib berbeza Dhabitah Sabri dan Yan Yee

TOKYO, 30 JULAI: Nasib berbeza buat dua penerjun negara di Pusat Akuatik Tokyo hari ini apabila Nur Dhabitah Sabri mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir manakala rakannya Ng Yan Yee terkandas di pusingan kelayakan acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Nur Dhabitah, 22, bermula dengan bergaya apabila menduduki ranking ketiga selepas tamat pusingan pertama dengan 67.50 mata, sebelum kedudukan mula merosot namun berjaya menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan mengumpul 291.60 mata.

Bagi Nur Dhabitah, ini dalah penampilan keduanya di pentas Olimpik dengan pencapaian di tempat kelima acara 3m papan anjal seirama ketika bergandingan dengan Cheong Jun Hoong  pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sementara, Yan Yee yang bermula agak kurang baik, gagal memperbaiki kedudukan pada penampilan ketiganya di Olimpik, sekali gus terlepas peluang ke separuh akhir apabila menamatkan saingan di tempat ke-20 dengan mengumpul 251.95 mata.

Bagaimanapun, Yan Yee yang pernah beraksi pada edisi London 2012 dan Rio 2016, berada dalam senarai penerjun simpanan untuk separuh akhir.

Penerjun China mempamerkan penguasaan mereka apabila juara bertahan Shi Tingmao mengungguli kedudukan selepas mengumpul 350.45 mata, diikuti rakan senegara yang juga bekas juara dunia Wang Han (347.25 mata) dan Jennifer Abel dari Kanada (332.40 mata).

Tingmao dan Wang Han mempunyai keyakinan tinggi di separuh akhir selepas meraih pingat emas acara 3m papan anjal seirama Ahad lepas.

Hanya 18 penerjun terbaik daripada 27 peserta di pusingan kelayakan mara ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia).

Seramai 12 penerjun terbaik layak beraksi di final pada Ahad.

— BERNAMA