Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Nyahkuman di tempat risiko, elak bazir sumber terhad

SHAH ALAM, 31 MAC: Proses nyahkuman secara rambang di jalan raya dan kawasan terbuka perlu dielakkan bagi mengawal pembaziran sumber terhad, kata EXCO infrastruktur dan kemudahan awam.

Ir Izham Hashim berkata proses tersebut lebih sesuai dilakukan jika sesuatu kawasan disahkan mempunyai kes positif jangkitan Covid-19.

“Sepatutnya kita fokus sumber yang terhad iaitu pengedaran topeng muka dan cecair pembasmi kuman untuk rakyat kerana masih ramai belum memiliki alat-alat ini. Jika perlu buat disinfeksi buatlah di tempat yang sah ada infeksi.

“Sama-sama kita menegur dan membantu di kala krisis ini dan ini bukanlah kenyataan politik,” tulisnya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Portal Malaysiakini sebelum ini melaporkan beberapa pakar perubatan menyifatkan tindakan nyahkuman di permukaan jalan tidak berkesan untuk menghapuskan Covid-19, malah ia hanyalah pembaziran sumber.

Anggota Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor Dr Christopher Lee melalui Twitter menyatakan proses nyahkuman di Petaling Jaya tidak akan mencapai tujuan mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.

Sebaliknya, beliau berkata ia hanya membazirkan sumber dan masa kerja selain meminta tindakan dibuat berdasarkan bukti.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM akan keluar garis panduan proses nyahkuman

PUTRAJAYA, 31 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan garis panduan dan nasihat mengenai pelaksanaan proses nyahcemar yang betul dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata proses tersebut akan dibincangkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pejabat majlis daerah.

“Kita akan lihat bagaimana proses nyahcemar boleh dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) KKM iaitu menggunakan bahan kimia yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia,” katanya pada sidang media harian perkembangan wabak Covid-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika mengulas kenyataan beberapa pihak yang mempertikai pelaksanaan proses nyahcemar oleh pihak berkuasa tempatan bermula semalam.

Tambah beliau, proses nyahcemar di tempat awam seperti pasar yang bermula Isnin dilaksanakan lebih awal daripada garis panduan yang akan dikeluarkan KKM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PNS, SSM laksana basmi kuman kekang Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) mengambil langkah proaktif bagi mencegah warga kerjanya terdedah kepada jangkitan Covid-19 dengan melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman di Menara PNS di Bangsar Selatan.

PNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa proses pembersihan dan pembasmian kuman itu dijalankan pada 5 hingga 8 Mac bertujuan memastikan persekitaran yang bersih untuk pekerja, penyewa dan pelawat.

“PNS juga mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani penularan Covid-19 dengan memeriksa suhu badan setiap warga kerja, penyewa dan pelawat sebelum memasuki Menara PNS dan menyediakan pembersih tangan di dua kaunter utama bangunan,” menurut kenyataan itu.

Syarikat itu turut mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) sebagai langkah persediaan untuk mengatasi krisis Covid-19 dan pasukan itu bertanggungjawab memantau keadaan selain memberi peringatan dan arahan tindakan kepada semua warga kerja dan penyewa.

Sementara itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan memaklumkan ibu pejabatnya di Menara SSM, Sentral Kuala Lumpur akan melalui kerja-kerja nyah kuman atau sanitasi menyeluruh pada Ahad ini.

“Bagi memastikan pelaksanaan sanitasi yang optimum, pelanggan SSM dinasihat untuk tidak melawat ibu pejabat SSM pada 12 dan 13 Mac. Tindakan ini diambil sebagai langkah pencegahan dan kesediaan terhadap COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Sebagai alternatif, orang ramai digalakkan untuk menggunakan kemudahan dalam talian SSM dan mengelak daripada menggunakan perkhidmatan kaunter di Menara SSM.

-BERNAMA