Categories
SELANGOR

Kg Baru Bukit Angkat Dapat Kemudahan Sukan

KAJANG, 21 MAC : Penduduk di Kampung Baru Bukit Angkat dan sekitarnya terus menikmati kemudahan secara berterusan dengan Kerajaan Negeri diterajui Pakatan Rakyat (PR) menyalurkan pelbagai bantuan demi kesejahteraan penduduk berkenaan.

Terbaru, gelanggang bolakeranjang di kampung itu yang dibina tanpa bumbung pada 2009 mengalami perubahan dalam tempoh singkat apabila pada awal tahun ini dinaiktarafkan dan kini siap berbumbung bagi memberi lebih keselesaan kepada penduduk khususnya golongan muda untuk bersukan dan beriadah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Baru Bukit Angkat, Fong Tiam Fah berkata, dengan terbinanya gelanggang bolakeranjang itu dengan dilitupi bumbung akan meningkatkan lagi minat anak muda di kampung itu untuk mengerakkan pelbagai aktiviti sukan.

Menurutnya, tindakan menaiktaraf gelanggang itu adalah jelas Kerajaan Negeri amt prihatin dengan keperluan penduduk yang memerlukan satu tempat beriadah yangsempurna dan lengkap.

“Sebelum ini walaupun gelanggang ini ada tetapi ia tidak berbumbung dan keadaan ini menimbulkan masalah kepada penduduk akibat cuaca panas

atau ketika hujan.

“Dengan kemudahan berbumbung kini penduduk khasnya anak muda akan rasa lebih selesa untuk menggunakannya. Saya selaku ketua kampung merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, Pembantu Khas Adun Kajang, Ong Seng Peng menjelaskan gelanggang bolakeranjang itu dinaiktarafkan dengan pemasangan  bumbung melibatkan kos sebanyak RM170,000.

Beliau berkata, gelanggang yang dibina pada 2009 itu mengalami proses pembinaan secara berperingkat menerusi peruntukan disediakan Kerajaan Negeri.

“Gelanggang bolakeranjang ini dibina Kerajaan Negeri pada 2009 kerana menyedari betapa perlunya penduduk tempatan diberi kemudahan untuk bersukan dan beriadah.

“Selaku Adun di kawasan ini, Lee Khim Sin sentiasa mendampingi penduduk tempatan dan menerusi usaha dilakukan maka kemudahan itu tersedia melalui peruntukan Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram diketuai Exconya, Ean Yong Hian Wah,” katanya.

Ong berkata, kemudahan gelanggang itu diharap digunakan sebaik mungkin oleh penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri tentunya akan menyalurkan bantuan dan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada rakyat di kampung itu khasnya dan Selangor amnya.