Categories
AGENDA GLOBAL

Harga minyak diunjur sekitar US$30 setong tahun ini

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Moody’s Analytics mengunjurkan harga minyak rendah sepanjang 2020 selepas kegagalan perjanjian mengurangkan pengeluaran antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan Arab Saudi dan Rusia yang menyebabkan harga jatuh menjunam, penurunan terbesar sejak 1991.

Pakar Ekonomi Tenaga Moody’s Analytics Chris Lafakis berkata peserta pasaran perlu bersedia dengan jangkaan harga minyak diniagakan sekitar US$30 setong.

Menurutnya, peserta pasaran menjangkakan OPEC+ (negara-negara OPEC tambah 10 negara pengeluar minyak bukan-OPEC termasuk Rusia) melanjutkan perjanjian pengurangan pengeluaran yang dijadualkan berakhir pada Mac.

“Tetapi berdepan dengan berita bahawa Rusia tidak akan menyertainya, Arab Saudi memutuskan untuk mengikut jejak langkahnya. Negara itu membayangkan bahawa ia akan meningkatkan pengeluaran melebihi 10 juta tong sehari,” katanya dalam satu kenyataan.

Lafakis berkata tindakan itu memberikan tamparan hebat kepada pengeluar minyak ditambah lagi dengan penularan Covid-19 yang menjejaskan permintaan terhadap perjalanan dan pengangkutan.

“Dunia kini berdepan dengan lebihan bekalan minyak mentah yang nampaknya berterusan sehingga tempoh beberapa bulan,” katanya sambil menambah untuk memulihkan semula harga minyak memerlukan tiga syarat.

Syarat pertama, katanya, kebimbangan global terhadap pandemik Covid-19 perlu reda, kerana kebimbangan akan menjejaskan dengan ketara aktiviti ekonomi global, terutamanya dalam sektor perjalanan dan pelancongan.

Keduanya, eksplorasi dan pengeluaran minyak perlu dikurangkan: terutamanya pengeluar dengan kos paling tinggi di dunia dengan kitaran proses yang sangat pantas perlu berhenti mencari minyak.

Ketiganya, perselisihan geopolitik antara Arab Saudi dan Rusia perlu ditamatkan.

“Kerjasama mereka telah menstabilkan harga minyak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi tanpa kerjasama itu, pasaran minyak akan menjadi tidak menentu yang mana hanya pengeluar dengan kaedah pengeluaran yang paling padu boleh meraih keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Dasar Monetarinya Ryan Sweet berkata impak daripada penurunan harga memberi kelebihan kepada perbelanjaan pengguna.

‘Bagaimanapun, implikasi terhadap pelaburan berkaitan tenaga adalah tidak menentu kerana ia bergantung kepada pulang modal harga minyak.

“Justeru itu, penurunan harga minyak boleh menjejaskan ekonomi suku ini dan suku akan datang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah, tekanan jualan

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit susulan tekanan jualan membabitkan saham-saham wajaran tinggi ketika peniaga menjejaki kerugian besar semalaman di Wall Street akibat kejatuhan harga minyak global serta penularan COVID-19.

Pada jam 9.03 pagi ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.79 mata kepada 1,422.37 daripada 1,424.16 pada akhir dagangan, semalam.

Sewaktu dibuka, FBM KLCI dibuka susut 8.3 mata kepada 1,415.86.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 410 berbanding 66 manakala 153 kaunter tidak berubah, 1,377 tidak diniagakan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 195.25 juta saham bernilai RM102.25 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikannya berkata kejatuhan mendadak harga minyak mentah pada Isnin menyebabkan kebanyakan ekuiti global mencatat penyusutan.

“Dalam keadaan yang menyaksikan aliran keluar dana asing yang berterusan, keadaan pasaran terus lemah dan berkemungkinan besar menyebabkan aktiviti jualan saham yang terus ketara di Bursa Malaysia dalam masa terdekat ini,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata jualan besar-besaran membabitkan saham di Amerika Syarikat turut menular di peringkat global susulan kebimbangan mengenai lambakan bekalan minyak mentah serta risiko kemelesetan global akibat Covid-19.

Di Bursa Malaysia, pasaran masih mengalami penyusutan akibat kejatuhan harga minyak mentah itu pada Isnin dengan indeks utama mencecah paras sokongan 1,455 dengan keadaan terus dipengaruhi oleh perkembangan sokongan berikutnya.

Beliau berkata, kegagalan kesepakatan di antara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang diketuai Arab Saudi, dengan Rusia pada Ahad lepas terbukti memberi kesan drastik kepada sektor minyak dan gas.

Sementara itu, Affin Hwang berkata minyak mentah Brent mencecah paras terendah harian sebanyak US$32 setong (susut 30 peratus semalaman) dan menyebabkan indeks Tenaga Malaysia merosot 25 peratus sewaktu ditutup pada Isnin.

Ia mengekalkan saranan “neutral” pada sektor terbabit namun mengurangkan harga sasaran bagi saham berkenaan atas alasan risiko premium lebih tinggi dengan mengambil kira ketidaktentuan jangka pendek.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.2330/2370 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Ringgit meneruskan penyusutan apabila dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi ini berikutan kebimbangan ketara membabitkan penularan Covid-19 dan kejatuhan harga minyak global, kata peniaga.

Pada jam 9.07 pagi, ringgit susut kepada 4.2330/2370 daripada paras 4.2130/2170 sewaktu ditutup pada Isnin.

Ketua Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata kejatuhan harga minyak itu memberi kesan meluas kepada pasaran kewangan berikutan kegagalan persetujuan bekalan minyak antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Rusia pada Jumaat.

“Pasaran kini dalam proses menerima kesan perang harga minyak yang ketara dan menjangkakan kalangan pengeluar bahan api itu akan mengoptimumkan bahagian pasaran masing-masing di tengah-tengah peningkatan permintaan global yang dipacu oleh perkembangan Covid-19 berkenaan,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Pada masa ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, meningkat 5.7 peratus kepada AS$36.32 setong.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5236/5297 daripada 5.5325/5395 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0895/0945 daripada 4.1086/1137.

Ia bagaimana pun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0565/0612 daripada 3.0428/0467 dan rendah berbanding euro kepada 4.8176/8238 daripada 4.7982/8044, sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Harga minyak dunia menjunam 30 peratus

MOSCOW, 9 MAC: Harga minyak mentah dunia menurun lebih 30 peratus pada Isnin, susulan kegagalan pengeluar minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mencapai kesepakatan mengenai pemotongan pengeluaran minyak yang lebih besar, lapor agensi berita Sputnik.

Sehingga 04:41 GMT, harga minyak mentah Brent untuk penghantaran Mei turun 28.69 peratus – kepada US$32.28 setong. Nilai niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pada April pula berkurangan 31.35 peratus kepada US$28.33 setong.

OPEC yang diketuai Arab Saudi telah mengadakan perjanjian mengenai pengurangan pengeluaran sejak 2016 dengan negara sekutu yang bukan merupakan negara anggota, diketuai Rusia.

Pada Jumaat OPEC dan pakatan pengeluarnya, dipanggil OPEC+, mengadakan mesyuarat di Vienna untuk membincangkan mengenai perkara itu.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat, OPEC+ bersetuju untuk menstabilkan pasaran minyak, tanpa menyentuh mengenai pemotongan pengeluaran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari, harga minyak dunia jatuh

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan ditutup rendah pada tengah hari ini sejajar dengan penurunan harga saham global selepas harga minyak jatuh menjunam sebanyak 30 peratus hari ini.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 44.75 mata atau 3.01 peratus lebih rendah kepada 1,438.35 daripada paras penutup 1,483.10 pada Jumaat minggu lepas.

Selepas dibuka turun 23.29 mata kepada 1,459.81 pagi ini, indeks tempatan bergerak antara paras 1,430.89 dan 1,459.81 sepanjang sesi pagi.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 1,112 berbanding 80, dengan 95 kaunter tidak berubah, 711 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 3.90 bilion saham bernilai RM1.82 bilion.

Menurut seorang peniaga, saham permodalan kecil, kewangan, tenaga dan perladangan merupakan antara kaunter yang terjejas teruk ekoran kegagalan perjanjian bekalan minyak antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Rusia.

“KLCI dijangka terus jatuh seiring dengan prestasi komoditi dan ekuiti global berikutan kesan berganda penurunan harga minyak mentah dan peningkatan penularan COVID-19 di Eropah,” kata Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa kepada Bernama.

Beliau berkata penularan Covid-19, kejatuhan harga minyak, prospek lemah eksport dan ketidakpastian tentang pelaksanaan biodiesel dan unjuran pengeluaran tinggi akan menjejaskan pasaran minyak sawit pada minggu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit terus dibuka rendah 4.1970/2020 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Ringgit meneruskan penurunan minggu lepas untuk dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini apabila para pelabur beralih kepada mata wang selamat berikutan kebimbangan terhadap penularan Covid-19 dan kejatuhan harga minyak global, kata para peniaga.

Pada jam 9.20 pagi, unit tempatan berada pada 4.1970/2020 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1700/1750 pada Jumaat minggu lepas.

Seorang peniaga berkata lebih 107,000 dijangkit virus itu di seluruh dunia setakat ini ketika ia semakin menular ke lebih banyak negara dan mengakibatkan lebih banyak gangguan ekonomi.

Ekonomi utama Eropah, Itali mengenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar di bahagian utaranya termasuk Milan, ibu kota kewangannya.

Sementara itu, harga minyak mentah jatuh lebih daripada 20 peratus selepas Arab Saudi, pengeksport utama dunia, memutuskan untuk meningkatkan pengeluarannya selepas kegagalan perjanjian pengurangan bekalan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan Russia.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit juga diniagakan rendah.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0482/0522 daripada paras penutup 3.0222/0267 pada Jumaat dan turun berbanding yen Jepun kepada 4.0364/0423 daripada 3.9643/9701.

Unit tempatan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.4922/5004 daripada 5.4156/4237 dan menguncup berbanding euro kepada 4.7732/7806 daripada 4.7088/7161 sebelumnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia susut 33.84 mata, minyak dunia jatuh mendadak

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan tekanan jualan selepas penanda aras global minyak mentah Brent jatuh menjunam sebanyak 20.63 peratus kepada US$35.93 setong susulan kegagalan perjanjian bekalan minyak antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia.

Saham berkaitan Petronas, PetChem dan PetGas jatuh 61 sen dan 44 sen setiap satu masing-masing kepada RM5.04 dan RM15.70.

Pada jam 9.02 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 33.84 mata atau 2.28 peratus kepada 1,449.26 daripada paras penutup 1,483.10 pada Jumaat minggu lepas.

Pada paras pembukaan, FBM KLCI dibuka rendah turun 23.29 mata kepada 1,459.81.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 427 berbanding 41, dengan 105 kaunter tidak berubah, 1,425 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 389.50 juta saham bernilai RM82.94 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata pasaran mendapati sukar untuk mengekalkan pemulihan kerana kenaikan sering terjejas oleh jualan berterusan di seluruh dunia, trend yang berlaku sejak penularan COVID-19.

“Memburukkan lagi keadaan kegagalan OPEC dan sekutunya untuk mencapai persetujuan mengehadkan pengeluaran, membayangkan satu gelombang baharu bekalan mungkin membanjiri pasaran pada April – membawa kepada penurunan harga minyak mentah,” kata firma penyelidikan itu.

Malacca Securities percaya kelemahan indeks utama akan berterusan dan pasaran akan kekal lemah dengan asas sekitar paras 1,495- 1,510 dalam persekitaran semasa.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 258.84 mata kepada 10,186.13, Indeks FBM Emas turun 321.48 mata kepada 10,798.87 dan FBM 70 berkurangan 408.30 mata kepada 12,309.28.

Indeks FBMT 100 turun 256.36 mata kepada 10,017.87 manakala FBM Ace susut 100.75 mata kepada 5,144.42.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 5.95 mata kepada 129.28, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 205.39 mata kepada 14,131.16 dan Indeks Perladangan berkurangan 109.99 mata kepada 6,623.05.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Rundingan OPEC gagal, harga minyak dunia merudum

NEW YORK, 7 MAC: Harga minyak mentah dunia merudum ke paras terendah pada Jumaat selepas perjanjian antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara sekutu diketuai Rusia, menemui jalan buntu, lapor agensi berita Xinhua.

West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran April menurun AS$4.62 atau 10.07 peratus, pada harga AS$41.28 setong di New York Mercantile Exchange.

Minyak mentah Brent untuk penghantaran Mei merosot AS$4.72 atau 9.44 peratus, kepada AS$45.27 setong di London ICE Futures Exchange.

Mesyuarat yang diadakan di Vienna itu berakhir tanpa sebarang kata putus mengenai tawaran tambahan pengeluaran.

Pada Khamis, OPEC mencadangkan pengeluaran tambahan sebanyak 1.5 juta tong sehari mulai awal bulan depan hingga akhir tahun ini.

– BERNAMA