Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PBT wajar kenakan kompaun pengunjung ingkar SOP

KLANG, 27 SEPT: Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan kompaun kepada pelancong ingkar tatacara operasi piawai (SOP) disokong bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata langkah itu perlu memandangkan jangkitan ketika ini tidak terkawal dan merisikokan ramai individu.

“Kita (PBT) terpaksa buat begitu. Mereka mempunyai kuasa bawah peruntukan MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk saman individu tak ikut SOP.

“Sekarang ada kawasan yang tidak dapat dikawal (ramai pengunjung). Kita tiada pilihan dan terpaksa keluarkan saman,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program PRO500 Trees Sentosa di Pusat Khidmat DUN Sentosa semalam.

Sementara itu Loy Sian turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak ghairah membawa anak-anak bercuti kerana penularan wabak masih tinggi.

“Buat masa ini tidak sesuai melancong. Kita pun belum masuk fasa tiga (Pelan Pemulihan Negara). Kalau mahu rentas daerah pastikan lengkap vaksin serta ikut SOP,” katanya.

Bermula minggu depan, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan mengenakan kompaun kepada pengunjung Pantai Bagan Lalang yang gagal mematuhi SOP.

Yang Dipertua Datuk Abd Hamid Hussain berkata individu ingkar akan dikompaun sehingga RM2,000 manakala RM10,000 bagi syarikat atau perbadanan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis diarah kompaun selebriti, ahli politik langgar SOP

PUTRAJAYA, 11 MEI: Polis perlu mengeluarkan kompaun serta-merta terhadap mana-mana individu termasuk orang kenamaan seperti selebriti dan ahli politik yang didapati melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat yang kerajaan seolah-olah memberi layanan istimewa kepada golongan berkenaan.

“Oleh kerana banyak isu berkaitan seolah-olah ada perbezaan antara ‘kayangan’ dengan bukan ‘kayangan’ dan walaupun ada tindakan dilaksanakan kepada yang dianggap ‘kayangan’ dan dikenakan kompaun, namun tidak dilakukan ‘on the spot’ (serta merta).

Kita berpandangan sesiapa sahaja terutama yang melibatkan VIP seperti selebriti dan ahli politik, kalau didapati ada pelanggaran SOP, pihak polis perlu keluarkan kompaun terus, tidak perlu tunggu sehingga berminggu-minggu untuk mendapatkan keputusan daripada Jabatan Peguam Negara dan sebagainya kerana di dalam akta, mereka boleh mengeluarkan kompaun di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri tiada individu sama ada yang berstatus kenamaan mahu pun rakyat yang kebal daripada tindakan undang-undang.

Mengulas mengenai tindakan untuk menutup sektor perkilangan, beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan penambahbaikan dari segi penilaian untuk mengesan kilang yang melanggar SOP.

Katanya setakat ini sejumlah 70 kilang diarah tutup kerana didapati melanggar SOP dan perintah yang dikeluarkan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata meskipun negara kini dalam tempoh darurat kesihatan, pelaksanaan PKP 3.0 memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatur strategi sekiranya jumlah pesakit Covid-19 meningkat secara mendadak.

Sehingga kini beliau berkata penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) mencecah 500 dan menjangkakan jika kes meningkat secara mendadak pada akhir bulan Mei atau pertengahan Jun, KKM memerlukan lebih 1,700 katil ICU bagi menampung jumlah pesakit.

“Dengan menggunakan ordinan darurat ini kita boleh tangguhkan pilihan raya umum, pilihan raya kecil atau pilihan raya regeri (PRN). Kita lihat implikasi PRN Sabah.

PKP 3.0 dilaksanakan untuk membantu KKM dan supaya rakyat boleh duduk di rumah bagi mengawal wabak ini dalam tempoh dua atau empat minggu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar SOP: Selebriti media sosial dikompaun RM1,500

PUTRAJAYA, 4 MEI: Seorang instafamous dikenakan kompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka dalam video adegan raya melibatkan anggota polis berpakaian uniform yang dimuat naik di laman sosial miliknya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali dalam kenyataan berkata kompaun kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara itu dikeluarkan selepas lelaki terbabit hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini, semalam.

Mengulas mengenai video tersebut, beliau berkata pihaknya mengesan ia dimuat naik individu terbabit pada 9.15 malam, Ahad lepas dan semakan mendapati lokasi adegan raya itu dilakonkan di Bukit Rimau, Presint 3, di sini.

“Video tersebut turut melibatkan kenderaan polis jenis Proton Preve serta kenderaan persendirian jenis Honda City milik lelaki tempatan dan anggota yang terlibat dalam adegan lakonan tersebut berpakaian penuh uniform,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Fadzil berkata dalam video berkenaan, individu terbabit tidak memakai pelitup muka selain dilihat mempersendakan alasan-alasan yang diberikan bagi tujuan rentas negeri.

Menurut beliau, dua anggota polis dan seorang anggota tentera yang terlibat dalam video tersebut sedang bertugas dalam pasukan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan IPD Putrajaya.

“Saya tidak pernah membenarkan video tersebut dirakam atau dikeluarkan dan tiada sebarang bayaran atau sagu hati diterima oleh pihak polis dalam hal ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

181 individu ditahan ingkar SOP – menteri

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Seramai 181 individu ditahan atas kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 93 dikompaun, 80 direman dan lapan lagi dijamin.

“Kesalahan melibatkan kegiatan aktiviti pusat hiburan adalah kesalahan tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 106, diikuti kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal (35), gagal menyediakan peralatan merekodkan butiran pelanggan (24), aktiviti perjudian (8), tidak memakai pelitup muka (5).

“Terdapat dua aktiviti rentas negeri/daerah tanpa kebenaran serta premis beroperasi lebih masa (1),” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 59 pendatang tanpa izin ditahan, manakala empat bot serta lima kenderaan dirampas semalam.

Beliau berkata semalam juga menyaksikan 873 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara, menjadikan kumulatifnya seramai 151,300 individu telah pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lepas.

Mengenai saringan wajib pekerja asing, Ismail Sabri berkata seramai 2,449 orang telah menjalani ujian saringan Covid-19 semalam dan 10 daripada mereka didapati positif Covid-19.

Secara kumulatif, seramai 640,997 pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 setakat ini melibatkan 33,205 majikan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan kediaman tiada kuasa kompaun penghuni ingkar SOP

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Pengurusan kondominium atau kawasan perumahan tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun kepada penghuni yang ingkar tatacara operasi piawai (SOP) seperti pemakaian pelitup muka.

Tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak berumur satu tahun yang disaman RM100 oleh pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam lif.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kuasa mengeluarkan kompaun itu adalah daripada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Setakat ini kita tidak memberikan kuasa kepada pengurusan kondominium dan pangsapuri atau mana-mana pejabat untuk mengambil tindakan. Kuasa pada peringkat pengurusan perumahan hanya berkaitan dengan peraturan di dalam kawasan tersebut seperti menjaga harta.

“Jadi apa dilakukan oleh pihak pengurusan di kondominium Ampang ini adalah salah dan tidak boleh dilakukan. Jadi saya harap mereka menarik balik kompaun RM100 yang diberikan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi tempoh PKP 2.0 ini supaya pemandu dan penumpang dalam satu kenderaan perlu tinggal dalam kediaman yang sama.

Sebaliknya, beliau berkata pemandu dan penumpang boleh datang daripada kediaman yang berbeza mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan yang ditetapkan, dan ia merangkumi semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan belum mempunyai ketetapan berhubung pengeluaran pasport vaksin terhadap individu yang bakal menerima suntikan vaksinasi terbabit.

Beliau berkata setakat ini kerajaan tidak mempunyai sebarang perbincangan untuk membuka sempadan negara susulan pengenalan pasport vaksin itu nanti yang memungkinkan orang ramai kembali melakukan perjalanan ke luar negara.

“Belum ada tarikh lagi untuk itu, kerajaan masih sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pasport vaksin terbabit.

“Hal ini kerana kerajaan tidak mengetahui vaksin apa yang diterima di negara luar untuk membolehkan kemasukan rakyat negara ini ke negara mereka. Jadi perkara ini masih terlalu awal diperkatakan,” katanya.

Beliau berkata perkara berkenaan akan diumumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKM kemudian.

Dalam perkembangan lain beliau berkata polis menahan 460 individu kerana mengingkari PKP semalam.

“Sejumlah 388 daripada mereka dikompaun sementara 70 direman dan dua individu dijamin semalam.

“Mengenai Op Benteng pula, seramai 23 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan sementara 11 buah kenderaan darat dirampas semalam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sudah tiba masa naikkan kompaun ingkar SOP – KPN

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Menurutnya, lebih memburukkan lagi keadaan apabila ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri tanpa alasan yang kukuh.

“Sekiranya kompaun RM1,000 itu dianggap kecil maka mereka yang degil ini pasti akan menerima padah apabila arahan menaikkan nilai kompaun ini diwartakan. Sudah tiba masanya untuk nilai kompaun itu dinaikkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata anggotanya telah diarahkan untuk mengeluarkan saman kepada mereka yang ingkar tanpa memberi ruang dilepaskan dengan amaran.

Abdul Hamid berkata sepanjang menjalankan tugas ketika PKP dilaksanakan, seramai 474 warga PDRM positif Covid-19 manakala 1,628 lagi menjalani kuarantin.

“Amat menyedihkan apabila petugas barisan hadapan yang dijangkiti ini terpaksa dirawat oleh satu kelompok lagi petugas barisan hadapan di hospital,” katanya.

Penularan Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak ketika ini, dengan jumlah kes harian baharu menghampiri 6,000 apabila sebanyak 5,725 kes dilaporkan semalam dan hari ini pula 5,728 kes dicatatkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Masih ramai tidak amal penjarakan fizikal, langgar SOP – menteri

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Tidak mengamalkan penjarakan fizikal antara kesalahan yang masih banyak dilakukan orang ramai walaupun ia antara tatacara operasi piawai diwajibkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata berdasarkan laporan polis yang mengetuai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PKPP, seramai 26 individu ditahan atas kesalahan itu semalam.

“Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (24), tidak memakai pelitup muka (20), lari dari pusat kuarantin (satu) serta premis beroperasi lebih masa (satu).

“Daripada jumlah itu 70 individu dikompaun, seorang direman dan seorang dijamin,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng melakukan 14 tangkapan melibatkan 25 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup.

Bagi kuarantin wajib sejak 24 Julai sehingga semalam, beliau berkata 24,961 individu dari 32 negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 67 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu, seramai 9,887 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 15,008 lagi individu discaj dan dibenarkan pulang.

Sejak 30 Mac, sebanyak 9,874 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon dilaksanakan melibatkan 12,970 premis terdiri daripada 2,708 pusat perniagaan, 5,706 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,606 tempat awam dan 354 pasar raya, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: Masih ramai ingkar jarak fizikal, tidak pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal adalah antara kesalahan masih banyak dilakukan orang ramai walaupun ia antara tatacara operasi piawai diwajibkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ia terbukti apabila daripada 131 tangkapan dibuat kerana ingkar PKPP semalam, dua kesalahan tersebut mencatat jumlah paling ramai ditahan iaitu 73 (aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal) dan 31 lagi tidak memakai pelitup muka

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan/catatan keluar masuk (20), langgar perintah kuarantin (2), premis beroperasi lebih masa (4) dan premis beroperasi tanpa lesen perniagaan (1).

“Bagi Operasi Benteng pula, seramai 67 pendatang tanpa izin dan empat tekong ditahan semalam kerana cuba memasuki negara ini secara haram melalui lorong-lorong tikus.

“Operasi turut membuat rampasan melibatkan satu bot dan empat kenderaan darat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata bagi kuarantin wajib sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 23,590 individu dari 32 negara telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Beliau berkata mereka ditempatkan di 68 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,162 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 14,362 lagi individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak 30 Mac, sebanyak 9,849 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon dilaksanakan melibatkan 12,965 premis yang terdiri 2,706 pusat perniagaan, 5,703 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,606 tempat awam dan 354 pasar raya.

-BERNAMA