Categories
AGENDA NASIONAL

Amirudin ucap takziah pemergian bekas MB Johor

SHAH ALAM, 22 DIS: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian atas pemergiannya.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Semalam, Bernama melaporkan Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas meninggal dunia di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam.

Beliau yang turut menyandang jawatan ketua bahagian Bersatu Ayer Hitam dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor selepas diserang strok ringan pada November lalu dan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia Selangor.

Osman dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum pada 2018 bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MB Johor sah letak jawatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Menteri Besar Johor, Osman Sapian telah meletakkan jawatan semalam.

Mahathir mengumumkan perkara itu dalam satu sidang medianya di Parlimen hari ini.

Katanya, Anggota Dewan Undangan Negeri Kempas itu menyerahkan dua surat peletakan jawatan kepadanya dalam satu pertemuan di Putrajaya semalam, dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor,  Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

“Buat sementara waktu, Johor tiada Menteri Besar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Osman merupakan menteri besar yang dipercayai paling singkat mentadbir Kerajaan Johor iaitu tidak sampai 11 bulan.

ADUN Kempas itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene pada 12 Mei tahun lalu, susulan kemenangan Pakatan Harapan (Pakatan) sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Osman, ketika dilantik merupakan Setiausaha Pakatan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor, menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin daripada Barisan Nasional (BN) sebagai menteri besar.

Pada PRU lalu, Pakatan memenangi 36 kerusi DUN berbanding BN yang mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi, sekaligus mendapat mandat parti itu membentuk kerajaan negeri.

Osman yang bertanding di kerusi DUN Kempas memperoleh 21,137 undi mengalahkan lawannya dengan majoriti 9,178 undi iaitu calon BN, Datuk Ramlee Bohani yang menerima 11,959 undi manakala calon PAS, Dzulkifli Suleiman menerima 2,321 undi.