Categories
AGENDA NASIONAL

Portal untuk penggembara mohon kuarantin dirumah dibuka mulai esok

SEPANG, 20 SEPT: Pengembara dari luar negara yang ingin menjalani kuarantin wajib di rumah atau kediaman boleh mengemukakan permohonan melalui Portal Home Quarantine Application (HQA) di laman web Kementerian Kesihatan (KKM) bermula esok, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Permohonan perlu dibuat dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum ketibaan ke Malaysia,” katanya, justeru pengembara yang akan tiba di Malaysia mulai 28 Sept boleh berbuat demikian melalui portal https://ecovid19.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa.

Sebelum ini, beliau berkata permohonan pengembara untuk kuarantin di rumah atau kediaman dibuat melalui emel [email protected], dan menyebabkan terdapat lebih 6,000 permohonan tertunggak.

“Dengan wujudnya portal HQA ini, pengurusan permohonan dapat dilakukan dengan lebih baik. Selepas ini tiada lagi urusan melalui emel. Hanya perlu pergi ke laman web KKM dan ke bahagian ‘Home Quarantine’ serta mengisi satu borang yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan ke Private Covid-19 Health Screening Centre di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, yang turut disertai Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Khairy berkata menerusi portal HQA, kelulusan bagi permohonan kuarantin akan diterima dalam tempoh tiga hari selepas pengembara menghantar permohonan lengkap.

Beliau berkata syarat untuk menjalani perintah kuarantin wajib di rumah atau kediaman akan diletakkan dalam portal tersebut dan antaranya ialah rumah atau kediaman tersebut mempunyai bilik dan tandas mencukupi bagi memastikan tiada pergaulan dengan ahli keluarga lain.

Beliau berkata KKM mempunyai kaedah tertentu untuk memastikan mereka yang kuarantin di rumah termasuk pengembara patuh pada arahan Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) antaranya menggunakan gelang pengawasan pengesan digital.

“Ini adalah projek perintis yang mana kita akan pakaikan mereka dengan gelang sepanjang tempoh kuarantin. Sebaik sahaja projek ini diuji terhadap beberapa orang yang disasarkan, kita akan lihat sama ada ia sesuai atau tidak,” katanya.

Mengenai lawatannya ke KLIA hari ini, Khairy berkata ia bertujuan meninjau persediaan pembukaan sempadan negara di bawah strategi Reopening Safely Malaysia.

Reopening Safely Malaysia adalah satu strategi untuk memulihkan negara dari krisis kesihatan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi yang dialami disebabkan krisis kesihatan.

“Sebab itu kita buat persiapan untuk Reopening Safely sempadan kita. Kita hendak melihat kepada persiapan kita di pintu masuk negara iaitu KLIA dan langkah-langkah yang dapat kita melaksanakan bersama terutamanya dengan MAHB apakah proses aliran yang lebih efisien, selamat dan teratur untuk mereka yang hendak masuk balik ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata antara penambahbaikan yang boleh dibuat di KLIA adalah mempermudahkan urusan pengembara dengan mengurangkan borang yang perlu diisi oleh mereka.

Katanya, perkara tersebut akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 untuk mempermudahkan prosedur sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau mengurangkan stesen-stesen yang perlu dilalui pengembara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Orang ramai perlu waspada panggilan palsu dakwa daripada ‘EAIC’

PUTRAJAYA, 10 DIS: Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan panggilan telefon mendakwa sebagai pihak Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan meminta sejumlah bayaran wang tunai bagi tujuan tertentu.

EAIC dalam kenyataan hari ini berkata ia susulan pihaknya menerima beberapa aduan daripada mangsa yang menerima panggilan palsu sejak kebelakangan ini.

“EAIC membuat laporan polis berhubung perkara ini dan berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menyiasat panggilan palsu ini bagi melindungi kepentingan orang awam serta menjaga reputasi EAIC,” katanya.

Orang ramai yang menerima panggilan meragukan itu dinasihatkan agar berhati-hati dan mendapatkan pengesahan daripada EAIC menerusi talian dan alamat dipaparkan di portal rasmi www.eaic.gov.my.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ perkenal portal kumpul data skim strata dalam talian

SHAH ALAM, 24 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Sistem Pengurusan eCOB berasaskan portal bagi mengumpul dan menyimpan data skim strata bersepadu perumahan bertingkat secara dalam talian.

Datuk bandarnya berkata sistem itu memudahkan Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBPJ memantau pelaksanaan tempoh mesyuarat agung tahunan dan laporan kewangan badan pengurusan bersama (JMB) atau komuniti (JMC).

“Sistem ini boleh dijadikan satu pembaharuan dalam urusan pentadbiran penyampaian perkhidmatan kerana ia merupakan sistem yang lebih efektif dan sistematik serta mudah untuk diuruskan.

“Segala maklumat yang diperoleh melalui portal itu juga dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan dasar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan MBPJ dalam agenda pembangunan serta transformasi kerajaan demi kesejahteraan penduduk strata di Petaling Jaya,” kata Dato’ Mohd Sayuthi Bakar dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan bagi memperluaskan penggunaan portal itu, Unit COB MBPJ akan mengadakan tiga siri seminar khusus dan latihan kepada JMB dan JMC mengenai cara penggunaannya.

Laman Portal eCOB boleh dilayari di https://skep.lphs.gov.my/mbpj dan untuk makluman lanjut boleh hubungi unit itu di talian 03-7960 1646.

Categories
AGENDA NASIONAL

SSM galak pelanggan guna sistem dalam talian

KUALA LUMPUR, 21 JUN: ​Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menasihatkan para pelanggan untuk memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian yang disediakan bagi mengelakkan terpaksa beratur panjang untuk berurusan di kaunter semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

SSM dalam satu kenyataan hari ini berkata bergantung kepada jenis transaksi, para pelanggan boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian Portal Ezbiz (https://ezbiz.ssm.com.my/) untuk urusan berkaitan entiti perniagaan tunggal dan perkongsian, Portal MyCOID (https://mycoid2016.ssm.com.my/) untuk urusan berkaitan entiti syarikat dan Portal MyLLP (https://www.myllp.com.my/) untuk urusan berkaitan entiti perkongsian liabiliti terhad.

Selain itu, para pelanggan juga boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian Portal e-Info (https://www.ssm-einfo.my) dan Portal MyData (https://www.mydata-ssm.com.my) untuk urusan berkaitan maklumat korporat syarikat dan perniagaan, Portal MBRS (https://www.ssm4u.com.my/Pages/default.aspx ) untuk urusan berkaitan serahsimpan penyata kewangan dan penyata tahunan dan Portal e-secretary (https://esecretary.ssm.com.my/) untuk urusan berkaitan pendaftaran setiausaha syarikat.

“Sekiranya perlu berurusan di kaunter, hanya para pelanggan yang mempunyai temu janji sahaja yang dibenarkan untuk hadir berurusan di pejabat SSM di seluruh negara.

“Borang temu janji boleh di dapati di portal rasmi SSM, www.ssm.com.my,” kata suruhanjaya itu.

-BERNAMA