Categories
SELANGOR

MBPJ peruntuk RM1.7 juta baik pulih Pangsapuri Permai

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

PETALING JAYA, 28 MEI: Penduduk sekitar kawasan Pangsapuri Permai kini mampu menarik nafas lega apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM1.7 juta bagi projek membaik pulih tembok pemisah pangsapuri terbabit.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, projek pemulihan itu mengambil masa selama 24 minggu bermula 6 Jun dan dijangka siap sepenuhnya pada 29 November.

Katanya, beberapa lawatan turut dilaksanakan dan mendapati pihak insurans memerlukan beberapa dokumen, namun mereka enggan memberi kerjasama susulan pihak pemaju terdahulu tidak menyediakannya.

“Oleh itu, perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan menetapkan MBPJ untuk menanggung kos insiden ini.

“Kami mengambil tanggungjawab ini supaya keselamatan penduduk setempat terjamin dan jangka hayat tembok yang diberikan MBPJ ialah 20 tahun tanpa penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan taklimat bagi Projek Penstabilan Tembok Penahan di Pangsapuri Permai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya; Ismail Shafie dan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Permai; Syed Abdul Rahman.

Jamaliah berkata, tembok penahan yang meliputi 110 meter panjang itu akan menjejaskan penduduk kawasan setempat sekiranya berlaku kes tanah runtuh yang lebih serius.

“Saya berharap projek ini akan siap menjelang 2020 supaya penduduk menikmati satu keadaan yang baharu pada tahun akan datang,” katanya.

Terdahulu, sebanyak enam kereta dilaporkan rosak selepas dinding pemisah blok di tempat letak kenderaan runtuh dalam kejadian di Pangsapuri Permai, Jalan Tropicana Selatan dan menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

 

Categories
SELANGOR

MBPJ disaran tuntas tangani isu mendapan Pangsapuri Permai

OLEH AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri mengarahkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memanggil semua pihak terlibat termasuk pemaju bagi menyelesaikan isu mendapan dan rekahan jalan di Pangsapuri Permai, PJU3, Petaling Jaya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, isu itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat EXCO pagi tadi yang berlangsung di Majlis Daerah Sabak Bernam.

“Kita akan buat keputusan berkaitan isu itu dan Kerajaan Negeri akan mengarahkan MBPJ menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya.

Difahamkan benteng pangsapuri 10 tingkat yang mula dibuka 13 tahun lalu runtuh sejak 30 Mei lalu dan menimbulkan kebimbangan penduduk setempat selain pernah mengakibatkan kerosakkan pada kenderaan penduduk.

Semalam, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha mengadakan lawatan dan melihat sendiri kesan runtuhan itu.

Katanya, pemaju tidak boleh lepas tangan berhubung aspek keselamatan penduduk dan beliau turut melahirkan kebimbangan keadaan akan menjadi lebih teruk jika ia tidak dibaik pulih segera.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri komited cari jalan selesai isu runtuhan Pangsapuri Permai

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Masalah mendapan dan rekahan jalan di Pangsapuri Permai, PJU3, Petaling Jaya akan dibincangkan ke dalam Mesyuarat Exco esok untuk tindakan susulan.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, Kerajaan Negeri akan mencari penyelesaian segera dan memastikan keselamatan penduduk sekitar terjamin serta meminta pemaju supaya bertanggungjawab terhadap isu berkenaan.

“Kita lihat keadaan semakin teruk dan tidak tahu berapa lama ia akan bertahan. Pemaju tidak boleh lepas tangan kerana soal tanggungjawab tiada had tempoh.

“Pada masa sama, saya akan berbincang dengan Pegawai Kewangan Negeri bagi mencari penyelesaian serta mendapatkan pandangan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Sabak Bernam esok,” katanya selepas melawat tapak kejadian.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin sudah bertemu penduduk bagi mendengar masalah itu.

Difahamkan, benteng pangsapuri 10 tingkat yang mula dibuka 13 tahun lalu runtuh sejak 30 Mei lalu.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk setempat selain pernah mengakibatkan kerosakkan pada kenderaan penduduk.