Categories
SELANGOR SUKANKINI

MB ucap tahniah kepada Ziyad

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kemenangan penuh bermakna atlet paralimpik Malaysia, Muhamad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki F20, pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London mendapat perhatian banyak pihak.

Kenangan manis dicipta anak kelahiran Gombak, Selangor itu turut mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menyampaikan ucapan tahniah menerusi Twitter.

“Tahniah Saudara @yardzolkefli di atas rekod baru dunia yang dicipta dalam kejohanan World Para Athletics 2017 di London. Syabas!” tulisnya.

Sabtu lalu, Muhamad Ziyad memecah satu lagi rekod dunia dalam acara yang berlangsung di Stadium London, Queen Elizabeth Olympic Park.

Beliau melakukan lontaran 17.29 meter (m), memperbaharui rekod dunia miliknya yang dilakukan pada temasya Sukan Paralimpik di Rio, tahun lalu iaitu 16.48m.

Pingat perak diraih atlet dari Ecuador, Stalin David Mosquera dengan jarak 16.61m, manakala pemenang pingat emas Paralimpik 2012 Tod Hodgetts dari Australia membawa pulang gangsa dengan lontaran 15.94m.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Ziyad teruja sambutan luar biasa rakyat Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 23 SEPT: Pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 Muhammad Ziyad Zolkefli gembira dengan sambutan dan sokongan yang diberikan rakyat Malaysia setibanya beliau bersama kontinjen di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Tanpa berselindung, beliau terharu dengan kejayaan di Rio yang nyata merubah sedikit sebanyak kehidupannya walaupun pernah memenangi pingat gangsa di London, pada 2012.

“Dahulu, saya menang pingat gangsa tetapi tidak semeriah ini sambutannya. Ramai wartawan dan orang ramai yang mahu bergambar dengan saya. Satu penghormatan yang sangat luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Majlis Menyambut Kepulangan Atlet Paralimpik Rio 2016.

img_20160922_172756_109Katanya, kejayaan merangkul emas sangat membanggakan baginya tambahan beliau sudah berusaha gigih sejak awal tahun demi mencapai matlamat itu.

“Saya memang gigih berusaha, banyak yang saya korbankan. Saya korbankan diri untuk Paralimpik dari Januari hingga September lalu dengan gigih berusaha.

“Harapan saya ke sana mahu mencuba yang terbaik. Balingan kelima saya yang membanggakan dan memecahkan rekod dunia kali kedua

“Itu adalah satu yang luar biasa buat rakyat Malaysia yang menyokong saya,” katanya.

Menyentuh soal insentif, Muhammad Ziyad berkata, beliau masih belum memikirkan sebarang perancangan dan hanya mahu menikmati cuti yang diberikan selama dua minggu.

Dalam temasya Paralimpik Rio, Muhammad Ziyad mencipta rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak lontaran 16.84m untuk pingat emas kedua negara.

Sebelum itu, beliau turut berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Paralimpik 2012 di London.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kepulangan wira paralimpik Rio 2016 disambut meriah

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 22 SEPT: Hampir 1,000 rakyat Malaysia membanjiri Kompleks Bunga Raya, di sini, bagi menyambut kepulangan wira-wira negara daripada temasya Sukan Paralimpik Rio, Brazil 2016.

Kepulangan mereka sangat dinantikan susulan persembahan cemerlang dalam kejohanan yang bermula pada 7 September dan melabuhkan tirai, pada 18 September lalu.

Mereka yang dibawa pulang menaiki pesawat Airbus A380-800 penerbangan Fly Emirates dari Dubai ke Kuala Lumpur selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 3.05 petang.

Ketibaan mereka disambut dengan kalungan bunga oleh pimpinnan negara termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

img_20160922_172927_112Malaysia berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu gangsa menerusi acara 100 meter T36 lelaki (cerebral palsy), lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran), lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) dan lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran).

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menyumbangkan pingat emas bersejarah itu dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) selepas mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadamkan rekod Sukan Paralimpik 12.25s milik Roman Pavlyk dari Ukraine yang dilakukan di Beijing, pada 2008.

Selepas itu, pemenang pingat gangsa pada Sukan Paralimpik 2012 di London, Muhammad Ziyad Zolkefli mencipta rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak lontaran 16.84m untuk pingat emas kedua negara.

Abdul Latif Romly meneruskan langkah cemerlang itu apabila meraih pingat emas ketiga Malaysia selepas memecahkan rekod dunia dalam acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan jarak lompatan 7.60m.

Sementara, Siti Noor Radiah Ismail menghadiahkan pingat gangsa menerusi acara lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran) dengan rekod baharu Sukan Para Asia menerusi lompatan sejauh 5.20m, mengatasi catatan rekod lama 5.10m.

Pencapaian tiga pingat emas dan satu gangsa itu meletakkan Malaysia di kedudukan ke-36 dalam kalangan 170 negara yang menyertai temasya Paralimpik Rio.

China mengungguli carta pungutan pingat dengan meraih 107 pingat emas, 81 perak dan 51 gangsa, diikuti Great Britain (64-39-44) dan Ukraine (41-37-39).

-NFN-

Categories
SUKANKINI

Paralimpik: 3 emas 1 gangsa pencapaian terbaik Malaysia

KUALA LUMPUR: Pencapaian 3 pingat emas dan 1 gangsa adalah yang terbaik buat skuad olahraga sepanjang Malaysia menyertai temasya Sukan Paralimpik, kata ketua jurulatih negara, R Jaganathan.

“Ini pencapaian terbaik dalam temasya Sukan Paralimpik. Selain memenangi 3 pingat emas dan 1 gangsa, atlet juga berjaya mencipta 2 rekod dunia, 1 rekod Paralimpik dan 2 rekod Para Asia,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil kerja keras dan pengorbanan semua atlet.

“Kejayaan ini juga disebabkan doa seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat kejayaan atlet kita di sini (Rio de Janeiro). Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia.

“Saya juga berharap sokongan akan terus diberikan kepada kami selepas ini,” katanya.

pemenang-pingat-emas-paralimpik-rio-2016

Pada edisi ke-15 temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil, Jaganathan berkata, sejumlah 9 atlet olahraga melayakkan diri secara merit.

Misi mencari pingat emas pertama terkabul pada 10 September lalu melalui Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy).

Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.07s, sekali gus memadam rekod Sukan Paralimpik 12.25s milik Roman Pavlyk dari Ukraine yang dilakukan di Beijing pada 2008.

Sejam selepas kemenangan Mohamad Ridzuan, langkah cemerlang atlet Malaysia diteruskan Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran).

Lebih manis, pemenang pingat gangsa pada edisi ke-14 di London pada 2012 itu mencipta rekod baharu dunia dalam percubaan pertamanya dengan jarak lontaran 16.40m dan memperbaiki lontaran dengan jarak 16.84m pada cubaan ke-5.

Kejayaan itu sekali gus memadam rekod dunia dan Sukan Paralimpik milik Todd Hodgetts dari Australia, iaitu 16.29m yang juga dilakukan di London.

Aksi atlet paralimpik Malaysia terus cemerlang, pada hari berikutnya (11 September) apabila Abdul Latif Romly meraih pingat emas ketiga negara melalui acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran).

Beliau memecahkan rekod dunia sebanyak 3 kali dalam lompatan ke-2, ke-3 dan ke-5 dengan jarak 7.47m, 7.54m dan 7.60m.

Kelmarin, Siti Noor Radiah Ismail menghadiahkan pingat gangsa menerusi acara lompat jauh wanita T20 (masalah pembelajaran) dengan rekod baharu Sukan Para Asia menerusi lompatan sejauh 5.20m.

Seorang lagi atlet wanita, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin walaupun terlepas peluang meraih pingat gangsa dalam acara 400m T20 wanita (masalah pembelajaran), tetapi beliau berjaya mencipta rekod baharu Sukan Para Asia dengan catatan 58.55s.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Pingat emas Ziyad hadiah kelahiran bapa

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Muhammad Ziyad Zolkefli Othman, seorang bekas penjual kuetiau berjaya menjadi penyumbang emas acara lontar peluru di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil, pada 11 Septmber lalu.

Bapanya, Zolkefli Othman melahirkan rasa bangga atas kejayaan anaknya itu kerana menunaikan janji kepada beliau untuk menghadiahkan pingat emas buat keluarga.

“Masa saya hantar Ziyad di KLIA pada 1 September lalu, hari itu adalah hari jadi saya. Dia berjanji kepada saya akan membawa hadiah pingat emas. Kami sekeluarga sangat gembira dengan kejayaannya.

14322727_1463993180283945_7441967595086967044_n“Sebelum dia ke Majlis Sukan Negara, Ziyad berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman menjual kuetiau.,” kata Zolkefli dipetik Bernama.

Ziyad, 26, melalui acara F20 (masalah pembelajaran) turut mencipta rekod dunia baharu dengan lontaran sejauh 16.84 meter pada percubaan kelima beliau di temasya sukan berprestij itu, pada 11 September lalu.

Zolkefli berkata, Ziyad anak sulung dari empatnberadik dan beliau memang meminati sukan sejak di sekolah rendah.

Zolkefli juga menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya seperti Ziyad supaya sentiasa mendekati anak masing-masing kerana mereka mempunyai kelebihan luar biasa.

Selain Ziyad, dua lagi atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi turut menyumbang emas kepada kontinjen negara menerusi acara 100m T36 lelaki (celebral palsy) dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual) dengan catatan 7.60m dalam lompatan kelima.

-NFN-

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Abdul Latif cipta emas ketiga di Rio, pecah rekod dunia

SHAH ALAM, 12 SEPT- Atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly, menghadiahkan pingat emas ketiga negara di Sukan Paralimpik Rio apabila menewaskan pesaingnya yang lain dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual) dengan catatan 7.60 meter (m) dalam lompatan kelima.

Atlet yang berasal dari Perlis itu dalam lompatan kedua dan ketiga dan keempatnya sahaja berjaya memecahkan rekod dunia bagi acara tersebut dengan catatan 7.47 m dan 7.54m.

Memetik Astro Awani, lompatan pertamanya dibatalkan, manakala lompatan keempat pula sekadar mencatatkan 6.79 m.

latifPada Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak lalu, Abdul latif mencatatkan lompatan sejauh 7.46 m mengatasi catatan peribadi terbaiknya 7.35 m yang dilakukannya di Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) 2015, di Doha.

Beliau antara atlet yang disebut-sebut sebagai prospek pingat untuk negara sebelum pemergian kontinjen negara ke Rio.

Terdahulu, Malaysia meraih emas pertama dalam acara 100m T36 (cerebral palsy) yang disumbangkan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Pingat emas kedua negara diraih Muhammad Ziyad Zolkefli dengan rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Categories
SELANGOR

Komited bangun sukan OKU, lahirkan ramai atlet paralimpik

Oleh: NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Kerajaan Selangor menyumbang bantuan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Orang Pekak Selangor bagi menampung perbelanjaan atlet persatuan itu yang menyertai Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) ke-18, bermula 13 Jun ini.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri turut menaja dua buah bas untuk kegunaan atlet dan pegawai ke acara berkenaan.

“Kerajaan Negeri kini dalam proses untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang sukan kerana melihat ramai atlet yang berbakat dalam bidang ini. Tahun ini, saya dan Exco Sukan, Dr Yunus Hairi bercadang memberi tumpuan kepada sukan Orang Kurang Upaya (OKU).

01“Setakat ini, kita dapati persatuan ini adalah yang paling aktif di Malaysia dan Kerajaan Negeri akan membantu usaha murni ini,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan cek, di Pejabat Persatuan Orang Pekak Selangor, di Bandar Sri Permaisuri, di sini, semalam.

Rodziah berkata kejayaan atlet OKU yang memenangi pingat Perak dan Gangsa pada sukan Paralimpik di London 2012 patut dijadikan contoh.

“Mohd Ziyad Zulkefli, atlet olahraga menang pingat gangsa, manakala Hasihin Nawawu iaitu atlet memanah menang pingat perak. Kita lihat mereka ini mempunyai potensi dan wajar dijadikan contoh kepada atlet lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden SOPMA negeri, T Henry Jayaraj, berkata pihak persatuan sangat menghargai sumbangan terbabit dan berharap atlet berjaya membawa balik pingat seterusnya mengharumkan nama negeri dengan adanya sokongan daripada Kerajaan Selangor.

“Dengan sokongan ini, ia akan meningkatkan semangat pemain dan akan berusaha untuk membawa balik pingat,” katanya.

02Selangor kali ini mengambil bahagian dalam lima acara sahaja iaitu olahraga, futsal, badminton, tenpin dan bola sepak, manakala Sopma ke-18 tahun akan diadakan di Melaka bermula 13 hingga 20 Jun ini.

Majlis perasmian SOPMA ke-18 akan diadakan di Stadium Hang Tuah pada 16 Jun ini, manakala majlis penutup turut berlangusng di lokasi sama, pada 20 Jun ini.

Sukan itu membabitkan kira-kira 1,000 atlet kurang upaya pendengaran termasuk pegawai dari seluruh negara.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Atlet Paralimpik Antara Penerima Darjah Kebesaran

KLANG 11 DIS : Atlet paralimpik, Hasihin Sanawi dan Muhammad Ziyad Zolkefli merupakan antara 98 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke 67 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kedua-dua mereka ternyata teruja dan tidak menduga menerima kurniaan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafudin Idris Shah (S.I.S) dalam satu majlis yang diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah pagi tadi.

Hasihin, 29, pemenang pingat Perak dalam acara memanah di Sukan Paralimpik London 2012 lalu berasa sangat bangga dan berbesar hati dengan darjah yang diterima.

“Sebagai atlet paralimpik, saya juga rasa terharu kami diberi penghargaan sebegini oleh DYMM Sultan Selangor.

“Ini juga akan menjadi suntikan semangat untuk saya dan atlet paralimpik lain untuk berusaha gigih lagi bagi menghadapi kejohanan Paralimpik Myanmar tahun hadapan,” jelas beliau.

Turut berasa bangga, Ziyad, 22, berkata kurniaan darjah itu merupakan pengiktirafan tertinggi yang dicapai beliau dalam usia yang masih muda.

“Selepas majlis pagi ini, saya akan ke Kuantan Pahang pula untuk mewakili negeri dalam Kejohanan Paralimpian.

“Pasti saya lebih bersemangat untuk mencapai kejayaan menaikkan nama negeri dan tidak lupa untuk negara selepas ini,” ucap Ziyad yang menerima Pingat Gangsa dalam acara Melontar Peluru di Sukan Paralimpik London lalu.

Kedua-dua mereka merupakan atlet sepenuh masa di bawah Majlis Paralimpik Malaysia.

Antara penerima lain ialah Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima darjah kebesaran ialah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga bekas Datuk Bandar Shah Alam iaitu Datuk Ramli Mahmud.

Beliau yang kini merupakan Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor mendapat Darjah Kebesaran Datuk Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) yang membawa gelaran Datuk Setia.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran kaum kerabat diraja Sultan Sharafuddin selain kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isterinya, Puan Sri Salbiah Tunut.

Turut hadir ialah ahli-ahli Exco Negeri, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta tetamu-tetamu khas yang lain.

Categories
NASIONAL

Tiada Pencen : Menteri Sukan ‘Cacat Pemikiran’ Nafi Keupayaan Atlet Paralimpik Negara

SHAH ALAM 7 SEPT: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek disifatkan sebagai ‘dangkal dan cacat pemikiran’ apabila enggan memberi layanan samarata terhadap atlet paralimpik negara yang memenangi pingat dalam temasya sukan terbesar dunia itu, kata Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Faizal Che Yusuf.

Shabery dipetik berkata standart sukan paralimpik dan sukan olimpik jauh berbeza ketika ditanya adakah atlet paralimpik yang menang pingat untuk negara akan turut diberi pencen sepertimana pemenang pingat olimpik negara yang lain.

Menurut Faizal, kenyataan Menteri tersebut begitu mengguris hati Orang Kurang Upaya(OKU)di negara ini.

“Kenyataan beliau yang dilihat seolah-olah memandang rendah kepada sukan paralimpik. Ternyata pandangan beliau dibuat secara tidak tidak berhati-hati selain menggambarkan ketidaksediaan kerajaan mengiktiraf kedudukan sukan paralimpik di peringkat antarabangsa, ia sekaligus memperkecilkan sumbangan yang diberikan oleh atlet-atlet paralimpik negara,” katanya yang juga Ahli Majlis Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia.

Tambahnya, pihak kerajaan dan Menteri tentunya sedar sukan paralimpik adalah sukan terbesar dunia yang melibatkan OKU dan kedudukannya sama tinggi dengan sukan olimpik.

Penyertaan atlet-atlet dari Malaysia tentu sekali membawa nama negara apatah lagi bila kemenangan diraih, pingat dibawa pulang.

Jelas Faizal, Akta Orang Kurang Upaya 2008 secara jelas mengiktiraf potensi dan sumbangan OKU dalam negara. Selain itu, kesamarataan kepada OKU sebagai warga negara adalah juga diiktiraf oleh Akta 2008 tersebut.

“Layanan yang berbeza kepada atlet-atlet paralimpik adalah jelas suatu perlanggaran kepada penguatkuasaan Akta 2008 sekaligus suatu diskriminasi terhadap OKU,” jelasnya.

Justeru, selaku wakil kepada OKU umumnya dan atlet-atlet paralimpik khususnya, saya menggesa untuk pihak Menteri dan kerajaan Malaysia mengkaji sehalus-halusnya layanan yang seharusnya diberikan kepada atlet-atlet paralimpik agar ia sama dengan atlet-atlet olimpik negara.

Persoalan saiz kedua-dua sukan tersebut tidak sepatutnya timbul disebabkan atlet-atlet paralimpik dengan kecacatan yang ada masih mampu bersaing di peringkat antarabangsa hingga mampu membawa pulang ingat untuk negara.

“Kejayaan membawa pingat perak bukanlah mudah. Tentunya ia diraih setelah usaha yang bersungguh-sungguh dilakukan.

“Pengiktirafan kerajaan dalam sukan kepada OKU tentunya akan membuka ruang kepada tanggapan yang lebih baik terhadap OKU oleh masyarakat seluruhnya,”katanya lagi.