Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan warga emas menangis gembira selesai lengkapkan dua dos vaksin

KUALA KRAI, 8 JULAI: Pasangan suami isteri warga emas tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila selesai melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 yang dilaksanakan pasukan vaksinasi bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai di Kampung Sungai Takut, Pasir Kelang, di sini.

Siti Haminah Abdullah, 74, berkata dia bersama suami Manaf Mamat, 86, pernah terfikir tidak akan menerima suntikan vaksin memandangkan mereka tinggal di kawasan pedalaman serta tidak mampu untuk pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) di masjid kampung berkenaan yang terletak dua kilometer dari kediaman mereka.

Siti Haminah berkata suaminya tidak boleh bergerak kerana uzur dan hanya berharap kepada dirinya untuk membantu sebarang urusan berikutan anak mereka bekerja di luar Kelantan.

“Kami terima dos pertama pada 16 Jun lepas, bersyukur kerana ‘misi’ (jururawat) datang lagi hari ini bersusah payah hingga terpaksa mengharungi sungai menaiki feri bagi memastikan kami menerima dos kedua suntikan,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya.

Pasangan suami isteri warga emas itu antara 548 penduduk di Pasir Kelang yang terletak di kawasan pedalaman Kelantan menerima dos kedua suntikan vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di kampung berkenaan.

Manaf pula tidak dapat menahan tangisan kesyukuran kerana tidak sangka jangkaannya sebelum ini tersasar apabila proses vaksinasi yang dilalui sangat pantas dan mudah, tidak seperti khabar angin yang didengari sebelum ini.

“Ada orang kata suntikan vaksin lambat terutamanya di kawasan pedalaman, sekarang tidak betul kerana saya dan penduduk kampung ini telah selesai suntikan kedua, tiada apa masalah, sakit dan sebagainya.

“Saya bangga kerana kesungguhan kerajaan terutamanya petugas Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai sudi datang rumah ke rumah untuk memberikan suntikan kepada penduduk seperti saya yang uzur tidak boleh bergerak,” katanya.

Manaf turut mengingatkan orang ramai terutamanya golongan muda supaya memberanikan diri mengambil suntikan vaksin.

“Jangan takut untuk ambil vaksin, penyakit ini datang daripada Allah dan kita perlu berusaha untuk memutuskan rantaian wabak ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah pihak berkuasa proaktif bantu mangsa banjir di pedalaman

KUANTAN, 6 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menitahkan pihak berkuasa supaya lebih proaktif menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap di pedalaman.

Seri Paduka bertitah, baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membaca beberapa status meminta pertolongan yang dimuat naik di media sosial seperti Twitter oleh mereka yang terdesak meminta bantuan.

“… ada pihak yang mengatakan mereka terperangkap di satu tempat dan tidak ada bantuan. Saya harap kita dapat segera bantu mereka dan pastikan mereka ini selamat.

“Pihak berkaitan perlu lebih aktif dan yang mana mempunyai helikopter boleh memainkan peranan lebih aktif meninjau kawasan supaya dapat mempercepatkan bantuan pada waktu kecemasan,” titah Seri Paduka.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah berkenan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke pusat pemindahan sementara (PPS) Wisma Belia untuk menyantuni mangsa banjir dengan diiringi oleh anakanda, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Seri Paduka yang mengenakan pakaian seragam tentera juga menzahirkan simpati dan dukacita kepada mangsa banjir di Pahang dan Malaysia amnya dan berharap rakyat menerima bantuan sewajarnya untuk meringankan beban mereka berdepan situasi sukar ini.

“Kita semua sedang menghadapi ujian besar dan saya berharap semua yang terlibat dapat bersabar. Bagaimanapun, dalam keadaan ini, saya berharap semua pihak dapat menjaga tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan Covid-19 supaya tidak ada petugas atau mangsa (banjir) dijangkiti,” katanya.

Pada program itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan barangan bantuan seperti sabun antibakteria dan makanan ringan kepada 178 mangsa daripada 43 keluarga yang ditempatkan di PPS tersebut.

Sementara Al-Sultan Abdullah menyantuni mangsa banjir, Raja Permaisuri Agong pula meneruskan rutin menyinsing lengan baju bagi menyediakan juadah kepada mangsa banjir, di PPS Sri Damai yang menempatkan 128 orang daripada 49 keluarga.

Antara juadah yang disediakan dengan bantuan pelajar tahun akhir diploma penyediaan makanan Kolej Universiti Yayasan Pahang ialah ayam masak kicap halia, kobis masak lemak, sardin goreng dan telur asin.

Pelajar Izzudin Mat Zin, 20, mengakui kagum dengan kecekapan Raja Permaisuri Agong memasak dalam jumlah yang banyak dan dalam kesibukan memasak, berupaya menyelia dapur dengan teratur membolehkan semua hidangan disiapkan dalam tempoh segera.

“Saya juga mendapat ilmu baharu apabila Raja Permaisuri Agong menegur cara saya memotong bahan mentah. Tak sangka, walaupun sibuk menjaga dua juadah yang sedang dimasak, Seri Paduka masih dapat memerhatikan cara saya membuat kerja,” katanya.

Rakan sekelasnya, Muhammad Ariff Hashim, 23, pula menyifatkan peluang memasak bersama Seri Paduka sebagai peluang untuk belajar resepi Tunku Azizah yang sememangnya dikenali dalam dunia masakan.

-BERNAMA