Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Malaysia kekal dasar pelaburan dan perdagangan terbuka

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Malaysia akan terus mengamalkan dasar pelaburan dan perdagangan terbuka, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata dasar tersebut berperanan penting dalam usaha negara ke arah penyepaduan lebih kukuh dengan ASEAN selain memanfaatkan saiz penduduk di rantau ini yang berjumlah lebih 600 juta orang.

“Dalam konteks ekonomi global yang semakin terhubung, Malaysia juga akan terus memanfaatkan budaya pembiayaan untuk melonjakkan lagi kelebihan daya saing kita.

“Dalam aspek ini, Malaysia telah berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, yang menyaksikan 18 perjanjian berjaya dimeterai, manakala pemimpin dari dunia Islam bersetuju menyalurkan lebih banyak pelaburan langsung untuk tujuan pembangunan ekonomi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap ketika sesi pleno bertajuk ‘Pengagihan Semula Kekayaan – Kemakmuran Bersama’ sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 pada 20 Disember 2019. Foto BERNAMA

Mohamed Azmin berkata kerjasama yang ditempa semasa sidang kemuncak itu adalah dalam bidang media, pusat kecemerlangan, pertukaran belia, pertahanan dan keselamatan, serta jaminan makanan.

“Antara lain, satu perjanjian telah ditandatangani antara Felcra Bhd dengan satu daripada pemilik ladang ternakan dan tenusu terbesar Qatar, Baladna Food Industries, untuk usaha sama tenusu berskala besar bagi meningkatkan lagi jaminan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata pertukaran dokumen melibatkan pembuat komponen aeroangkasa Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) dan Turkish Aerospace Industries (TAI) turut diadakan di luar acara sidang kemuncak tersebut.

“Semua inisiatif ini dilaksanakan kerajaan untuk membangunkan daya tahan dan memajukan sumber pertumbuhan endogen, seiring dengan harga komoditi lebih baik dan ringgit yang lebih stabil, akan mengorak laluan ke arah peningkatan prospek ekonomi Malaysia,” katanya.

Mohamed Azmin berkata penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Tahun Melawat Malaysia pada 2020 akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan, khususnya bagi industri pelancongan.

“Justeru, inisiatif dasar yang berterusan akan memperkukuh lagi asas ekonomi Malaysia selain terus menyokong ringgit,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan sentiasa memastikan usaha bersepadu dijalankan untuk mendorong Malaysia ke arah mencapai pertumbuhan lebih mampan dan saksama sejajar agenda kemakmuran bersama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia lulus RM149 bilion pelaburan hingga September

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Malaysia menjadi lebih selektif dalam agenda pelaburannya dan menarik pelaburan berkualiti dalam ekosistem sasaran yang dijangka memberi kesan signifikan kepada ekonomi domestik, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata Malaysia mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan sebanyak RM149 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama bagi sembilan bulan pertama tahun ini.

“Ini adalah 4.4 peratus lebih tinggi berbanding RM142.6 bilion yang diluluskan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Pelaburan ini membabitkan 4,025 projek dan akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 93,841,” kata Darell.

Kebanyakan pelaburan itu adalah daripada sumber domestik yang menyumbang RM82.7 bilion atau 55.5 peratus daripada jumlah pelaburan.

Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang 44.5 peratus atau RM66.3 bilion.

“Jumlah FDI yang diluluskan bagi tiga sektor utama ini meningkat 6.5 peratus kepada RM66.3 bilion pada Januari hingga September 2019 daripada RM62.2 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.

Daripada segi sektor, sektor perkhidmatan menarik RM85 bilion melibatkan 3,299 projek yang diluluskan berbanding RM74.9 bilion merangkumi 2,931 projek yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Projek ini dijangka menjana lebih 38,800 peluang pekerjaan.

Daripada jumlah itu, 72 peratus atau RM61.2 bilion adalah daripada sumber domestik, manakala baki 28 peratus atau RM23.8 bilion lagi adalah pelaburan asing.

Sektor pembuatan meluluskan 671 projek bernilai RM57.7 bilion bagi sembilan bulan pertama 2019 berbanding 467 projek dengan pelaburan sebanyak RM57.5 bilion pada Januari-September 2018.

Pelaburan domestik berjumlah RM18.5 bilion atau 32.1 peratus, peningkatan 81.7 peratus daripada RM10.2 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, sektor utama menyumbang RM6.3 bilion atau 4.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada Januari hingga September 2019.

Sub sektor perlombongan terus mendahului dengan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM5.9 bilion, diikuti perladangan dan komoditi sebanyak RM275.2 juta dan pertanian RM135.1 juta.

Pelaburan asing mendominasi pelaburan yang diluluskan bagi sektor itu yang berjumlah RM3.3 bilion manakala sumber domestik menyumbang RM3 bilion.

“Di sebalik pertikaian perdagangan berterusan yang menyaksikan pertumbuhan yang perlahan, kita akan mengekalkan haluan dan terus menarik rakan strategik untuk melabur di Malaysia.

“Ini akan menjana limpahan positif kepada ekonomi menerusi ekosistem pertumbuhan rantaian bekalan tempatan dan meningkatkan tenaga kerja rakyat Malaysia,” kata Darell.

Sehingga September 2019, beliau berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang berunding secara aktif melibatkan 682 projek dengan cadangan pelaburan sebanyak RM37.6 bilion.

Ini termasuk 242 projek dalam sektor pembuatan (RM26.6 bilion) dan 440 projek dalam sektor perkhidmatan (RM11.0 bilion).

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor yakin ulangi rekod pelaburan dua digit tahun ini

SHAH ALAM, 6 NOV: Selangor yakin mampu mengulangi rekod nilai pelaburan dua digit seperti yang dilakukan pada 2018, selepas berjaya mencatatkan nilai pelaburan RM5.97 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata nilai itu direkod melalui 132 projek perkilangan yang diluluskan Kerajaan Negeri.

“Nilai pelaburan dicatat ini adalah projek perkilangan yang diluluskan bagi tempoh setengah tahun 2019 jika dibandingkan dengan nilai pelaburan dicatat bagi tempoh sepanjang 2018.

“Kerajaan Negeri yakin nilai pelaburan berjumlah dua digit akan mampu dicapai pada akhir 2019, berdasarkan beberapa cadangan projek lagi yang diterima dan masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalakan 2020 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada tahun lalu, sebanyak 241 projek perkilangan diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM18.95 bilion.

Chang Khim berkata berdasarkan soal selidik dilakukan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), sebanyak 90 peratus daripada bilangan projek yang diluluskan pada 2018 sudah dilaksanakan.

“Secara dasarnya, mana-mana cadangan projek yang lulus perlu mendapatkan surat kelulusan penempatan projek di Selangor dalam tempoh enam bulan daripada tarikh projek berkenaan diluluskan MIDA.

“Selain itu, sebanyak 241 projek perkilangan yang diluluskan MIDA di Selangor pada 2018 adalah projek perkilangan membabitkan 138 projek baharu dan sebanyak 103 projek adalah pengembangan atau penambahan pelaburan sedia ada,” katanya.

Chang Kim berkata Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sentiasa memantau dan menjalinkan hubungan erat dengan semua syarikat yang mendapat kelulusan projek perkilangan itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Infrastruktur lengkap pikat pelabur Jepun, China ke Selangor

SHAH ALAM, 5 NOV: Ekosistem dan infrstruktur lengkap yang ditawarkan di Selangor menjadi daya penarik kepada pelabur asing untuk melabur di negeri termaju itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata keadaan itu turut menjadi tarikan kepada negara kuasa ekonomi dunia seperti Jepun dan China untuk melabur di Selangor.

“Ada tiga kilang dari China yang mahu memulakan tapak baru dan memilih Malaysia dengan nilai pelaburannya bernilai lebih RM3 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin ketika merasmikan sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2019 pada Oktober lalu memaklumkan negeri itu mampu mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM10 bilion pada tahun ini disokong oleh pertumbuhan ekonomi berterusan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia jangka pelaburan lebih US$100 juta di Rusia

PETALING JAYA, 17 OKT: Delegasi perniagaan Malaysia yang baru-baru ini menghadiri Sidang Kemuncak Pelaburan Volga & Hari Halal Sedunia 2019 di Samara, Rusia menjangkakan pelaburan bernilai lebih US$100 juta dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Ini berikutan permintaan tinggi terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia daripada Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS) yang termasuk Rusia.

Presiden Kumpulan Mofaz Sdn Bhd, Mohamed Fauzy Abdul Hamid yang mengetuai delegasi swasta itu berkata, mereka telah menandatangani perjanjian pelaburan bernilai US$21 juta dalam pelbagai sektor seperti pertanian, keusahawanan, fintech, perkhidmatan perundingan dan kesihatan.

“Kami melihat ini sebagai pasaran baharu dalam dunia tanpa sempadan yang tidak patut dibazirkan.

“Walaupun ada permintaan besar untuk produk dan perkhidmatan halal bagi memenuhi keperluan umat Islam di CIS, iaitu kira-kira 30 juta dari 162 juta penduduk, kami juga melihat potensi dalam segmen pelancongan kesihatan yang boleh dengan mudah dimanfaatkan oleh syarikat Malaysia, ” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pasca acara itu yang diadakan dari 3-5 Oktober.

Delegasi itu yang terdiri daripada 54 penggiat perniagaan, telah bekerjasama dengan Persatuan Perniagaan Islam Antarabangsa Rusia (IAIB) dan Dewan Perniagaan ASEAN.

Sementara itu, Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, dewan itu akan terus bekerjasama dengan IAIB untuk menganjurkan Sidang Kemuncak & Ekspo Halal ASEAN di Rusia, dijangka diadakan pada April 2020.

“Sebagai badan yang masih muda dan agresif yang ditubuhkan pada tahun lepas, kami mahu membantu kerajaan untuk berhubung dengan negara dan pihak yang mahu bekerjasama dengan Malaysia, sama ada dalam sosial dan ekonomi.

“Mempunyai kira-kira 500 ahli setakat ini, kami berharap lebih banyak perniagaan tempatan akan menyertai kami di mana kami akan membantu untuk memudahkan perjalanan mereka untuk mengembangkan jenama dan eksport mereka di peringkat global,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia wujud saluran khas mudah pelaburan dari China

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Malaysia merancang untuk mewujudkan “saluran khas” yang diterajui Kementerian Kewangan untuk memudahkan lebih banyak pelaburan dari China, kata Menterinya, Lim Guan Eng.

Beliau berkata “saluran khas” itu akan dapat menggandakan pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dalam sektor pembuatan dari China kepada RM8.8 bilion daripada RM4.4 bilion dicatatkan pada suku pertama tahun ini.

“Kita akan dapat menggunakan institusi sedia ada (untuk mewujudkan saluran itu).

“Saya fikir apabila saya pergi ke China untuk misi pelaburan (pada bulan ini), kami akan memberikan butirannya kepada pelabur China,” katanya sambil mengesahkan lawatan beliau akan datang ke Shenzhen bulan ini, hari ini.

Guan Eng berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kerjasama Ekonomi Jalur dan Laluan Malaysia-China 2019 di sini.

Berhubung misi pelaburan Shenzhen, beliau yakin Malaysia dapat menawarkan untuk menjadi lokasi selamat kepada syarikat China, terutama perang perdagangan yang meningkat antara AS dan China.

“Apabila kita bercakap mengenai perang perdagangan, itu pada dasarnya antara AS dan Shenzhen, pasaran pembuatan dan eksport di China.

“Memandangkan pelabur pembuatan dari China mencari lokasi selamat, saya fikir kita dapat menawarkannya kepada mereka,” katanya.

Guan Eng turut yakin Malaysia akan dapat menawarkan campuran yang lebih sesuai dalam pembuatan dan kepakaran kepada pelabur China.

“Mereka tidak begitu mengetahui apa yang ditawarkan Malaysia, malah apa yang kita boleh tawarkan ialah campuran yang sesuai.

“Oleh itu, kita mahu mempromosikan Malaysia dan membolehkan pelabur China mengetahui bahawa kita lebih baik, bukan sahaja dari segi campuran pembuatan tetapi juga kos, berbanding negara lain,” katanya.

Ditanya berhubung perkembangan terkini terbitan bon Panda, beliau berkata pada masa ini, harga masih tidak menarik bagi Malaysia untuk meraih wang daripada bon, tetapi perbincangan mengenai perkara itu masih diteruskan.

“Jika ada sebarang pengumuman lanjut, kami akan mengumumkannya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

75 projek perkilangan diluluskan suku tahun 2019

SHAH ALAM, 31 JULAI: Sebanyak 75 projek perkilangan di Selangor diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membabitkan nilai pelaburan RM1.521 bilion, bagi tempoh Januari sehingga Mac tahun ini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM954,109,774 adalah pelaburan tempatan dan RM567,463,792 pelaburan asing.

“Sebanyak 51 projek adalah projek baru dengan nilai pelaburan RM1,126,208,695 dan bakinya adalah projek pembesaran atau kepelbagaian dengan nilai pelaburan RM395,364,871.

“Usaha menarik pelaburan ke negeri ini dilaksanakan secara berterusan dan Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor merangka pelbagai strategi membabitkan jangka pendek dan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Burong, Dato’ Mohd Shamsudin Lias, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Chang Khim berkata, strategi jangka masa pendek adalah menjenamakan dan mempromosikan kawasan perindustrian yang berpotensi melalui media cetak atau elektronik.

Selain itu, katanya, pengemaskinian dan penyediaan buku panduan pelaburan bagi membantu pihak industri menyelesaikan isu berbangkit dan mengadakan mesyuarat Industrial Park Management Committe di setiap Pihak Berkuasa Tempatan.

“Bagi strategi jangka masa panjang, kita melaksanakan perancangan pelan strategik sektor perindustrian, meningkatkan usaha promosi dan mewujudkan jaringan hubungan dengan agensi berkaitan.

“Kita juga mencadangankan pengkelasan kawasan perindustrian mengikut standard perindustrian luar negara dengan menyediakan kawasan kondusif mengikut keperluan,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor lulus 281 projek perkilangan sehingga Mac

SHAH ALAM, 31 JULAI: Sebanyak 281 projek perkilangan di Selangor diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Selangor bagi tempoh April 2018 hingga Mac tahun ini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, projek itu diluluskan dengan nilai pelaburan RM19.656 bilion.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 43 peratus adalah pelaburan tempatan, manakala 57 peratus daripada pelaburan asing.

“Jumlah kos yang digunakan Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sepanjang usaha mencari pelabur bagi tempoh Januari hingga Disember 2018 adalah RM20.592 juta dan kos yang dibelanjakan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini adalah RM7.109 juta.

“Antara usaha dilaksanakan Invest Selangor bagi menarik pelabur asing adalah melalui acara seperti mempromosi Selangor di International Business Summit 2019; program pembangunan dan latihan usahawan secara ‘online’, misi promosi pelaburan ke luar negara serta pembabitan dalam pameran tempatan juga luar negara,” katanya pada sesi pertanyaan lisan, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Dato’ Mohd Imran Tamrin berhubung usaha Kerajaan Negeri menarik pelaburan antarabangsa ke Selangor.

Chang Kim berkata, antara usaha lain adalah babit urus dengan pelabur sedia ada melalui program dialog, lawatan kilang, penyelesaian masalah, penerbitan bahan promosi pengiklanan, penerbitan artikel dan Investment Guide Book.

“Daripada segi peratus perbelanjaan berbanding nilai pelaburan diluluskan, bagi tahun lalu, Invest Selangor hanya membelanjakan sebanyak 0.1 peratus bagi menarik pelaburan berjumlah RM18.947 bilion.

“Manakala bagi 2019, sebanyak 0.4 peratus kos dibelanjakan untuk menarik pelaburan berjumlah
RM1.522 bilion,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelaburan asing langsung Selangor meningkat 400.7 peratus

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 MAC: Peningkatan sebanyak 400.7 peratus pelaburan langsung asing (FDI) di Selangor pada tahun 2018 berbanding tahun sebelumnya mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negeri termaju itu.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pada tahun 2018 Selangor menerima sebanyak RM10.837 billion pelaburan langsung asing berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM2.164 billion.

“Pencapaian yang sangat memberangsangkan ini juga turut diterjemahkan menerusi keyakinan yang ditunjukkan oleh pelabur asing apabila FDI menunjukkan peningkatan sebanyak 400.7 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan tahap keyakinan yang tinggi oleh pelabur terhadap Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Ucapan di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua, Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2019 di sini, hari ini.

Baginda turut berkenan dengan usaha Invest Selangor mewujudkan Selangor Talent Portal Application.

Titah baginda, aplikasi itu dapat dijadikan sebagai landasan dan rujukan kepada pelabur untuk mendapatkan sumber tenaga kerja mahir bersesuaian dengan kehendak syarikat.

Selain itu, aplikasi terbabit juga menjadi landasan kepada graduan yang baru menamatkan pengajian untuk mendapatkan pekerjaan bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran dimiliki.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor berjaya catat pelaburan RM14 bilion

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 FEB: Selangor mencipta rekod apabila berjaya mencatat pelaburan keseluruhan berjumlah RM14 bilion, pada tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jumlah itu sekali gus melebihi sasaran RM7 bilion yang ditetapkan Kerajaan Negeri, sebelum ini.

“Sehingga September tahun lalu, pelaburan di Selangor berjumlah RM8 bilion dan baru-baru ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) secara lisan menyebut kemungkinan angka keseluruhan tahun lalu mencapai RM14 bilion.

“Bagaimanapun, kita perlu tunggu pengumuman rasmi daripada MIDA,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 anjuran Persatuan Hokkien Malaysia di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Katanya, jumlah itu menunjukkan prestasi baik dalam tempoh 10 tahun, pencapaian kedua tertinggi selepas kali terakhir memperoleh jumlah pelaburan hampir RM15 bilion, pada 2014.

Katanya, hasil pelaksanaan program yang stabil dan berintegriti yang dilaksanakan Kerajaan Negeri mendorong lebih banyak pelaburan ke Selangor.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak boleh berpuas hati terhadap pencapaian sedia ada dan perlu meningkatkannya untuk memastikan Selangor terus kekal sebagai negeri termaju, di Malaysia.

“Justeru, tahun ini kami akan memberi fokus kepada pembangunan berkelompok dalam industri tertentu untuk menarik lebih banyak pelaburan masuk,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor jangka catat pelaburan tertinggi dalam sejarah

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 15 FEB: Selangor dijangka mencatatkan pencapaian pelaburan tertinggi dalam sejarah, iaitu lebih RM12 bilion bagi tahun 2018.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jumlah itu merekodkan peningkatan dua kali ganda berbanding 2017, iaitu sebanyak RM5.29 bilion.

“Pada 2017, Selangor mencatatkan pelaburan RM5.29 bilion, manakala sehingga September 2018, kita berjaya mencacatkan peningkatan 3.2 peratus, iaitu RM8 bilion.

“Dalam pertemuan kurang rasmi, saya dimaklumkan sehingga Disember, jumlah itu terus meningkat lebih dua kali ganda menjadikan pelaburan diterima lebih RM12 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Pagi Bersama Penjawat Awam sempena program Jelajah Maju Bersama daerah Hulu Langat, di Dewan Utama Demesne di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, penjawat awam perlu membuka mata untuk menggerakkan tenaga bersama bagi mengekalkan kejayaan berkenaan.

Katanya, angka dicatatkan itu tidak akan kekal selamanya dan perlu bersiap sedia menghadapi situasi baharu yang melanda dunia, pada masa akan datang.

“Angka dicatatkan negeri itu termasuk sumbangan 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), justeru angka ini perlu menggerakkan cita-cita negeri untuk bertarung di arena lebih luas dan bersedia ke pentas antarabangsa serta serantau supaya dapat membawa nama negeri juga Malaysia ke peringkat lebih maju,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak mendesak semua pihak mengekalkan status kejayaan yang dikecapi, namun jika negeri terus maju pastinya pelbagai program lebih baik dapat dilaksanakan.

“Seperti juga pelaksanaan penubuhan institut pekerja, yang bukan sahaja boleh melihat isu kebajikan tetapi apakah cabaran baru yang perlu ditangani dan diselesaikan secara bersama.

“Menjadi harapan besar kita untuk menerapkan sentimen tidak terlalu selesa atau lalai dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

“Justeru, saya menyeru kepada diri sendiri dan penjawat awam supaya lebih bersedia dengan perubahan atau cakna bagi mengadaptasi kemajuan bersama, sekali gus mencipta kejayaan yang dicemburui dan dijadikan contoh kepada negeri lain,” katanya.

Tahun ini, Kerajaan Negeri terus mengintai pelaburan RM7 bilion melalui sektor pembuatan.

Angka itu disasarkan mengikut keadaan dunia yang tidak menentu ketika ini.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Sasar pelaburan RM7.5 bilion pada 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 30 JAN: Selangor menyasarkan pelaburan RM7.5 bilion untuk dicapai, pada tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, sasaran itu adalah ramalan konservatif memandangkan ketidak tentuan ekonomi global, pada masa kini.

“Sektor pelaburan dan perindustrian memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan kestabilan ekonomi Selangor.

“Pelaksanaan dasar mesra pelabur dan kestabilan dasar Kerajaan Negeri, sekali gus menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kedatangan pelabur untuk melabur di sini dan kami akan menyediakan persekitaran serta ekosistem mesra perniagaan yang membantu mereka mengembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Selangor Investors Appreciation Award 2018 yang diadakan di Hotel Sheraton, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, Selangor berjaya menarik lebih 7,600 projek pembuatan, mewujudkan lebih 380,000 peluang pekerjaan di negeri dan negara serta mengumpulkan projek pelaburan RM191.67 bilion.

Katanya, pada 2017, Selangor menyumbang RM270 bilion Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencakupi 23 peratus daripada keseluruhan KDNK negara.

“Tahun lalu, sasaran Kerajaan Negeri adalah RM7 bilion, namun berjaya menarik RM8.25 bilion seperti dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi sektor perkilangan.

“Rekod prestasi penting ini menunjukkan Selangor kekal sebagai destinasi pelaburan paling digemari di Malaysia, sekali gus membuktikan Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan kewangan stabil melalui pengukuhan aspek tadbir urus yang menghasilkan perkhidmatan cekap dan dasar berkesan,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 500 peserta menyertai majlis itu membabitkan agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pelabur dalam dan luar negara.

Majlis yang diadakan setiap dua tahun sekali itu bertujuan menghargai syarikat, agensi kerajaan, PBT dan pelabur atas sokongan mereka serta pencapaian cemerlang dalam memacu ekonomi Selangor juga Malaysia.