Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga tidak berubah 4.0490/0520 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Ringgit mencatatkan prestasi tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dagangan dibuka hari ini memandangkan pelabur masih tidak memasuki pasaran bagi menunggu pemangkin tempatan baharu.

Pada 9.02 pagi, ringgit dibuka pada 4.0490/0520, sama seperti ketika ditutup semalam.

Penganalisis berkata walaupun kalangan pakar ekonomi dan bank pusat mengunjurkan ekonomi lebih baik pada 2021, namun pelabur masih bimbang mengenai kenaikan kes pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

“Meskipun vaksin mencatatkan perkembangan yang amat baik, tetapi masih wujud pengenaan langkah kawalan pergerakan untuk mengekang penularan pandemik itu,” katanya.

Beliau berkata di peringkat luaran, tindakan Rizab Persekutuan AS terus membeli bon sehingga ia menyaksikan kemajuan ekonomi yang lebih ketara dilihat sebagai langkah untuk menstabilkan pasaran kewangan AS selepas pandemik ini berakhir.

Fed AS pada masa ini membeli bon pada kadar US$120 bilion sebulan.

“Ini menunjukkan pemulihan ekonomi adalah lemah sehingga awal 2021 sebelum ia perlahan-lahan mencatatkan peningkatan semula,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0464 daripada 3.0469/0518 ketika ditutup semalam dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4698/4743 daripada 5.4722/4806.

Ringgit juga stabil berbanding euro kepada 4.9365/9414 daripada 4.9418/9487 dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.9155/9188 daripada 3.9197/9253 semalam.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKNS Peruntuk RM3.4 Juta Penuhi Tanggungjawab Korporat

SHAH ALAM 5 SEPT : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan sejumlah RM3.4 juta bagi memenuhi tanggungjawab korporat sosialnya pada tahun ini.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata PKNS daripada jumlah itu sebanyak RM2.2 juta wang zakat diperuntukkan bagi membantu mereka yang memerlukan termasuk asnaf fakir dan miskin, muallaf dan fisabilillah.

“PKNS juga membelanjakan sejumlah RM 1.2 juta khusus untuk menyempurnakan program-program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR),” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika sambutan Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Anjuran PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Majlis berkenaan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut diraikan ialah penerima bantuan program CSR iaitu Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) di Acheh yang menerima sumbangan sebanyak RM495, 608.

Selain itu, turut menerima sumbangan ialah Sekolah Agama Menengah Harapan Jenjarom, Kuala Langat yang menerima sumbangan sebanyak RM20,000 bagi membina bangunan sekolah dua tingkat.

Kesemua sumbangan disampaikan Menteri Besar yang diiringi Pengurus Besar PKNS, Othman Omar di hadapan kira-kira 1, 500 tetamu.