Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Op Sumber Air berjaya kawal pencemaran, henti tugas LPA

SHAH ALAM, 30 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya menangani lima kes pencemaran utama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Op Sumber Air bermula 18 Mac sehingga 30 Jun.

Agensi itu memaklumkan lima kod kuning dan lima kod merah diaktifkan ekoran insiden pencemaran loji pembersihan air (LPA) selain pemantauan setiap hari selama sebulan bermula 1 Jun di kawasan sensitif seperti di Sungai Selangor, Sungai Langat serta empangan.

“Luas mengeluarkan 84 notis pemberitahuan kesalahan dan lima kompaun pemberitahuan kesalahan bagi premis yang gagal mematuhi Enakmen Luas 1999.

“Manakala Jabatan Alam Sekitar Selangor melalui maklumat diterima mengeluarkan tujuh kompaun dan tujuh notis arahan terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sepanjang Op Sumber Air ini,” katanya dalam kenyataan.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya menangani lima kes pencemaran utama menerusi Op Sumber Air bermula 18 Mac sehingga 30 Jun. Foto: Luas

Luas memaklumkan lima insiden tumpahan minyak berjaya ditangani segera sekaligus mengelakkan henti tugas LPA utama di Sungai Selangor, Labohan Dagang, Bukit Tampoi, Sungai Labu dan Salak Tinggi.

Katanya, tindakan bersepadu bersama agensi lain mengurangkan tempoh masa henti tugas LPA terlibat dengan insiden pencemaran kod merah.

“Op Sumber Air dilaksanakan tidak terhad hanya ketika musim perayaan atau waktu tertentu.

“Pemantauan 24 jam tanpa henti dilaksanakan Luas bersama Air Selangor bagi memastikan kelangsungan sumber dan bekalan air terawat,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tindakan lebih tegas pihak ganggu bekalan air

SHAH ALAM, 17 APRIL: Premis kolam ikan yang melepaskan aliran air ke Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat loji pembersihan terpaksa dihenti tugas, akan dikenakan tindakan lebih tegas, kata Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu memaklumkan pihak tersebut didapati melakukan perbuatan tersebut susulan siasatan bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), sebaik Kod Merah Kecemasan Pencemaran Sungai Negeri Selangor diaktifkan.

“Pensampelan kualiti air dilaksanakan untuk dianalisa Jabatan Kimia dan siasatan mendapati premis yang sebelum ini diberikan surat arahan pada Februari lalu untuk memberhentikan kerja serta-merta juga membuat kerja pembersihan namun pencemaran masih berulang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadapnya dengan pemberhentian operasi serta-merta sehingga menyediakan sistem rawatan sisa buangan yang sempurna dengan tiada pelepasan discaj (bahan penyingkiran) berbau ke Sungai Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Air Selangor memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 11 malam tadi.

Syarikat utiliti itu berkata tindakan tersebut dibuat berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor, namun kesemua loji kembali beroperasi jam 6.30 pagi tadi.

Categories
AGENDA

Kilang cemar Sungai Selangor diheret ke mahkamah

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri bertegas untuk membawa pemilik kilang yang mencemarkan Sungai Selangor ke mahkamah, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata kertas siasatan dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pihak berkenaan ekoran pencemaran air sehingga tiga loji rawatan air (LRA) ditutup semalam.

“Kilang berkenaan juga disita dan dikompaun Majlis Daerah Kuala Selangor,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Loy Sian berkata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dan Luas terus memantau sepanjang sungai termasuk di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat bagi mengelakkan pencemaran berulang.

Semalam Air Selangor memaklumkan tiga LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) terpaksa dihenti tugas pada 9.40 pagi apabila mengesan pencemaran minyak pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Bagaimanapun, selepas tindakan pantas beberapa agensi terlibat, tiga LRA berkenaan berfungsi semula pada 11.55 pagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Akta 655 dipinda bendung pencemaran sumber air

PUTRAJAYA, 28 JAN: Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) akan dipinda bagi mempertingkatkan penguatkuasaan dalam membendung insiden pencemaran sumber air, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr A. Xavier Jayakumar.

Beliau berkata Jawatankuasa Tindakan dan Pemantauan Pencemaran Sumber Air dalam mesyuarat pertamanya di sini hari ini bersetuju Akta 655 itu dipinda bagi memantapkan aspek penguatkuasaan antaranya berkaitan kuasa menahan orang dan merampas kenderaan yang disyaki mencemarkan lurang kumbahan.

“Jawatankuasa juga mahu denda lebih tinggi dikenakan bagi kesalahan pembuangan kumbahan dan sebagainya ke lurang kumbahan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu, yang ditubuhkan susulan insiden pencemaran sumber air melibatkan Sungai Selangor pada Julai tahun lepas.

Ia dianggotai wakil Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC); Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Polis Diraja Malaysia; Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta wakil beberapa negeri.

Jawatankuasa itu berperanan menyelaras kerjasama antara agensi yang terlibat dalam melaksanakan penguatkuasaan selaras dengan bidang kuasa masing-masing secara bersepadu.

Xavier berkata pindaan itu dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Oktober depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian itu sedang menggiatkan usaha mengumpul data syarikat industri bagi mengekang insiden pencemaran sumber air di Selangor.

Bagi tujuan itu, katanya Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) diarahkan mengumpul data berkaitan jenis perusahaan dan sisa buangan dari perusahaan bagi tindakan segera dapat diambil terhadap pihak berkenaan sekiranya berlaku pencemaran di loji IWK.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jadikan insiden pencemaran air sebagai iktibar

GOMBAK, 6 OKT: Kejadian pencemaran air di Sungai Selangor di Bestari Jaya dan Sungai Semenyih perlu dijadikan iktibar supaya sumber air utama sentiasa selamat untuk kegunaan seharian.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pencemaran yang berlaku mengakibatkan jutaan akaun pengguna terjejas selain kerugian dalam pelbagai sektor susulan kebergantungan terhadap penggunaan air.

Katanya, semua pihak perlu bertanggungjawab untuk memelihara dan memulihara sungai yang satu ketika dahulu pernah menjadi sumber pengangkutan utama serta dijadikan tempat tinggal.

“Walaupun semakin moden dan maju tetapi air sungai masih menjadi keperluan utama kita.

“Saya beri contoh kejadian (pencemaran) yang melanda sehingga jutaan akaun (pengguna) terganggu dengan kes terbaru di Semenyih.

Amirudin Shari menyampaikan ucapan perasmian sempena Program Cintai Sungai Kita Sempena Hari Sungai Sedunia Peringkat Majlis Perbandaran Selayang 2019, di Ulu Yam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kalau kita kira satu rumah ada tiga orang ia sekurang-kurangnya mengakibatkan satu juta orang terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Program Cintai Sungai Kita Sempena Hari Sungai Sedunia Peringkat Majlis Perbandaran Selayang di GIBS Ecotourism Resort, Ulu Yam.

Amirudin berkata, jika pencemaran sumber air utama berlaku di Sungai Selangor dan Sungai Kuala Langat, ia mungkin dapat diselesaikan tetapi turut menghakis kepercayaan pengguna ekoran pencemaran bau yang mengundang rasa tidak selesa.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah mengarahkan semua agensi utama di peringkat negeri seperti Pengurusan Air Selangor Berhad, Indah Water Konsortium, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Pengairan dan Saliran untuk duduk bersama bagi mencari langkah terbaik supaya bergerak seiring pemantauan.

Selain itu, Kerajaan Negeri sedia mengumumkan pemberian insentif dalam pembentangan belanjawan akan datang kepada pihak yang membantu menyalurkan maklumat berhubung pencemaran air sungai serta mengenakan hukuman denda maksimum kepada pesalah.