Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada keperluan mendesak guna air Tasik Putrajaya

SHAH ALAM, 3 NOV: Selangor tidak terdesak untuk menggunakan air Tasik Putrajaya ketika kecemasan terutama apabila berlaku pencemaran sumber air.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata kolam di sekitar Semenyih masih mampu menampung bekalan air dalam tempoh empat hingga lima hari.

“Memang Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ada membuat permohonan kepada kementerian untuk menggunakan bekalan air dari Tasik Putrajaya sebagai sumber kecemasan, namun sehingga kini masih belum ada jawapan balas.

“Kalau dapat (bekalan air Tasik Putrajaya), itu dikira bonus, jika tak dapat pun kita mampu tangani masalah kekurangan bekalan air seperti yang diumumkan Dato’ Menteri Besar menerusi Belanjawan Selangor 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pada Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk mengatasi isu pencemaran air mentah di negeri ini.

Empat projek diyakini mampu mengurangkan sehingga 90 peratus risiko henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 termasuk LRA Rantau Panjang serta LRA Semenyih 1 dan 2.

Projek itu meliputi projek perintis rawatan biologikal bagi pemuliharaan kualiti air Sungai Gong serta pemantauan dan pengawasan 24 jam melalui Skuad Pantas di kawasan sensitif sumber air.

Ia turut merangkumi projek menambah bilangan stesen telemetri kualiti air bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk berisiko dan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) 600 di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Giat usaha atasi pencemaran, yakin selesai isu gangguan air

SHAH ALAM, 31 OKT: Gangguan bekalan akibat pencemaran sumber air mentah dijangka dapat diatasi melalui pelbagai langkah yang bakal dilaksana tahun depan.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata masalah tersebut bukan hanya menghantui rakyat Selangor, malah membimbangkan Kerajaan Negeri.

Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 30 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita yakin langkah tambahan bagi menyelesaikan isu pencemaran air mentah yang kerap berlaku di Sungai Selangor dan Sungai Langat dapat diatasi sepenuhnya tahun hadapan.

“Oleh itu, kita akan adakan pertemuan dengan pihak berkaitan bagi memaklumkan langkah-langkah yang akan dilakukan Kerajaan Negeri,” kata Ir Izham Hashim mengulas pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini semalam.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM200 juta pada 2021 untuk melaksana projek mengatasi pencemaran sumber air yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka usaha tersebut mampu mengurangkan sehingga 90 peratus risiko henti tugas loji rawatan air.

Projek berkenaan ialah:

– Projek perintis rawatan biologikal bagi pemuliharaan kualiti air Sungai Gong

– Pemantauan dan pengawasan 24 jam melalui Skuad Pantas di kawasan sensitif sumber air

– Menambah bilangan stesen telemetri kualiti air bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk berisiko

– Projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) 600 di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar: Sistem rawatan berpusat tingkat kecekapan sisa buangan industri

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Pelaksanaan sistem rawatan industri berpusat dijangka mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sisa buangan perindustrian, sekali gus menaik taraf kualiti sumber air di negara ini.

Pakar kualiti air dan permodelan Dr Zaki Zainudin berkata langkah itu juga dapat memastikan setiap kilang mematuhi piawaian pelepasan sisa buangan ke dalam sungai yang ditetapkan, selain memudahkan pemantauan pihak berkuasa dan kerajaan negeri.

“Saya dapati banyak kawasan perindustrian di Malaysia belum lagi melaksanakan sistem rawatan industri berpusat kerana ketika ini setiap kilang mempunyai sistem rawatan air sisa sendiri yang mereka rawat dan lepaskan dalam sungai. Namun kita tidak pasti adakah setiap kilang itu betul-betul mengikut piawaian.

“Sekiranya kita laksana sistem rawatan industri berpusat ini, jika berlaku pelepasan sisa secara haram oleh sesebuah kilang, adalah lebih mudah untuk dikesan dan diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa webinar sempena Hari Alam Sekitar Negara yang disiarkan secara langsung di Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia semalam.

Zaki berkata sistem berpusat ini juga membolehkan proses pelaksanaan rawatan air buangan menjadi air yang boleh digunakan semula untuk tujuan lain.

Proses rawatan itu, katanya, boleh menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri dan sekali gus membantu memulihkan alam sekitar.

“Kalau kita boleh menggunakan sistem teknologi maju, kita boleh jual balik air terawat ini kepada industri untuk kegunaan mereka dan sebenarnya proses ini boleh menjana pendapatan contohnya kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Friends of Rivers Malaysia, Mansor Abd Ghani menekankan kepentingan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menjaga sumber air negara melalui aktiviti gotong-royong bersama komuniti.

Katanya sejak tiga tahun lepas, pihaknya dengan kerjasama komuniti setempat telah membersihkan 52 lokasi denai sungai setiap minggu, dalam usaha membantu masyarakat menghargai keindahan sungai yang boleh dijadikan tempat beriadah.

Langkah itu, katanya, bertepatan dengan sasaran kerajaan untuk mewujudkan 10,000 kilometer denai sungai kebangsaan menjelang 2030, sebagai ekosistem dan kualiti air yang baik untuk kegunaan masyarakat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ganjaran RM20,000 pemberi maklumat sungai tercemar

SHAH ALAM, 21 OKT: Kerajaan Negeri menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada pemberi maklumat berkaitan dalang yang melakukan pencemaran sungai.

Dato’ Menteri Besar berkata ganjaran tersebut diberi jika bukti dikemukakan membawa kepada penangkapan penjenayah alam sekitar serta disabitkan kesalahan di mahkamah.

“Pihak berkuasa tidak mungkin dapat memantau keadaan di sepanjang lembangan sungai pada setiap masa atau tempat, jadi kita memerlukan kerjasama masyarakat untuk salur maklumat.

“Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini dapat menarik kerjasama semua pihak untuk bersama-sama mengatasi isu pencemaran sungai,” kata Dato Seri Amirudin Shari pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Berhubung dakwaan pencemaran sungai yang kerap berlaku di Selangor kebelakangan ini, beliau berkata Kerajaan Negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut.

Isnin lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2,3 dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran bau.

Susulan itu lebih 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis buka kertas siasatan kes cemar Sungai Selangor

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran bau di Sungai Selangor yang mengakibatkan gangguan bekalan air kepada 1.2 juta akaun atau hampir lima juta pengguna di Lembah Klang, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata siasatan oleh pihak polis sedang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas).

Menurutnya, siasatan masih di peringkat awal dan sampel air perlu diambil untuk dianalisis bagi mengetahui punca atau lokasi sebenar pencemaran itu berlaku.

“Proses ini memakan masa dan memerlukan bantuan pakar dan forensik. Kami sedang menyiasat dengan bantuan Luas dan Jas untuk mengenal pasti mereka yang terlibat

“Tindakan tegas dari sudut undang-undang akan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau bagi menjalankan sebarang pengeluaran.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam dilaporkan berkata Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang dihentikan tugas akibat pencemaran sumber air mentah pada pukul 2 pagi semalam.

Menurutnya, siasatan awal pihak berkuasa mendapati bahan pelarut (solvent) merupakan bahan punca kepada pencemaran bau sama dengan kejadian pada awal September lepas, bagaimanapun punca sebenar pencemaran masih dalam siasatan.

Jelasnya, beberapa kawasan kilang dikenal pasti menjadi punca pencemaran berkenaan dan tidak menolak kemungkinan bahan pelarut itu dibuang oleh kilang haram yang beroperasi di sekitar Selangor.

Awal pagi semalam, sejumlah 1,196,457 akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual setelah empat LRA Sungai Selangor itu dihenti tugas, ekoran pencemaran sumber air mentah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pencemaran air: Wakil rakyat gesa siasatan unsur sabotaj, khianat

SHAH ALAM, 19 OKT: Unsur sabotaj dan khianat perlu disiasat berhubung pencemaran sumber air yang kerap berlaku di Selangor, kata Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Mohd Najwan Halimi berkata langkah itu perlu memandangkan masalah berkenaan kerap berlaku sehingga menyusahkan orang ramai.

“Kekerapan berlakunya insiden henti tugas tidak berjadual mutakhir ini perlu disiasat dan tindakan tegas wajib diambil Kerajaan Negeri,” katanya di Twitter hari ini.

Dalam ciapan hantaran yang sama, beliau berkata insiden itu berlaku ketika rakyat melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Bekalan air baru pulih selepas insiden paip pecah, tiba-tiba pagi ini sumber air dicemar sekali lagi.”

Awal pagi tadi, pencemaran dikesan di Sungai Selangor hingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2, Sungai Selangor Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan sekitar wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air dijangka pulih dalam tempoh 24 jam – menteri

KUALA SELANGOR, 19 OKT: Pengguna di tujuh wilayah terjejas dijangka menerima bekalan air sepenuhnya dalam tempoh 24 jam, kata menteri alam sekitar dan air (Kasa).

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata empat loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas susulan pencemaran bau akan beroperasi dalam masa dua jam lagi.

“Insya-Allah… dalam tempoh 24 jam air akan dibekalkan. Ketika ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) giat menggerakkan bantuan air melalui lori tangki ke kawasan terjejas.

Hee Loy Sian bersama Tuan Ibrahim Tuan Man (dua, kanan) memeriksa sampel air selepas sidang media isu pencemaran bau air Sungai Selangor di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Cuma keutamaan (bantuan lori tangki) kepada tempat kritikal seperti hospital dan pusat dialisis. Kita jangka ia (henti tugas) tidak mengambil masa lama,” katanya pada sidang media di LRA Sungai Selangor Fasa 2 di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal pakar Air Selangor menemukan bau seakan-akan pelarut dan tidak menolak kemungkinan pencemaran berpunca daripada tiga kawasan kilang.

“Walaupun punca sebenar masih disiasat tetapi berdasarkan kajian awal mendapati ia berbau solven dan Jabatan Alam Sekitar (Jas) sudah mengambil sampel untuk dihantar ke makmal.

“Sebelum ini (bau) semasa pencemaran di Sungai Langat lebih tinggi iaitu mencapai sembilan TON (Nombor Bau Nilai Ambang) tetapi kali ini tiga TON,” katanya.

Menurutnya Lembaga Urus Air Selangor (Luas) melepaskan Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) 600 sebanyak 285 juta liter dan mengepam 336 juta liter air kolam alternatif untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pencemaran muka sauk LRA Rantau Panjang catat sifar TON

SHAH ALAM, 19 OKT: Pencemaran muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang berada pada tahap sifar TON (kiraan kadar pencemaran) setakat 12 tengah hari.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2 dan Sungai Selangor Fasa 3 pula mencatatkan tahap 1 TON.

“LRA hanya boleh beroperasi apabila pencemaran pada tahap 0 TON tiga kali ujian berturut-turut. Ini bagi memastikan tiada sisa pencemaran di hulu sungai,” kata agensi melalui Facebook.

Air Selangor menggalakkan pengguna terjejas mengambil bekalan air bersih di pili awam atau Pusat Khidmat Setempat manakala bantuan lori tangki diutamakan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis atau upacara kematian.

Awal pagi tadi, pencemaran dikesan di Sungai Selangor hingga menyebabkan empat LRA dihenti tugas.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Maklumat gangguan bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi agensi termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Categories
AGENDA NASIONAL

Industri risiko punca cemar air perlu disenarai dalam perundangan

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Industri yang berisiko menyebabkan pencemaran kepada sumber air mentah dan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) termasuk industri penternakan, perlu dikawal dan disenaraikan dalam perundangan.

Pakar Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air Ir Dr Zaki Zainudin berkata langkah ini dapat mengawal pembangunan di lembangan sungai dan mengelakkan pencemaran daripada terus berlaku.

“Pengurusan lembangan sungai sangat penting, mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Ini kerana pembangunan di lembangan sungai berlaku secara berterusan jadi akan sentiasa ada punca pencemaran yang baharu.

“Kalau kita dapat senaraikan industri yang berisiko dan menghalang mereka masuk ke kawasan (berdekatan sumber air mentah dan muka sauk LRA), ini merupakan satu langkah proaktif,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, semalam.

Mengambil contoh Akta Alam Sekeliling 1974, Zaki berkata terdapat seksyen dalam akta itu yang menyenaraikan aktiviti dibenarkan dengan syarat tertentu.

Katanya, ini susulan pencemaran yang berpunca daripada ladang ternakan tidak tersenarai dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, di bawah akta sama, bertujuan mengawal pelepasan sisa industri.

Pada Isnin, Bernama melaporkan Kementerian Alam Sekitar dan Air menyatakan sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik yang tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, iaitu punca pencemaran di sungai berkenaan.

Pencemaran itu menyebabkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guna air tasik tampung bekalan akibat loji henti tugas

SHAH ALAM, 4 OKT: Kerajaan Negeri bercadang mengambil air Tasik Putrajaya bagi menampung bekalan susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan penilaian awal, bekalan sumber air tersebut mampu menampung keperluan sekurang-kurangnya tujuh hari.

“Kita pernah kemukakan cadangan ini jika berlaku pencemaran sungai, malahan telah buat hitung kira mampu bertahan lebih kurang tujuh hari.

“Dengan komitmen diberi menteri (Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man) kita akan dapat atasi atau menampan masalah ini,” katanya pada sidang media tadi.

Berhubung kos mengambil air tasik, Amirudin berkata Selangor akan berbincang dengan Kerajaan Pusat sekiranya ada kesepakatan kerana pencemaran sungai turut beri kesan kepada kawasan Putrajaya.

Sebanyak 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas dua Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata langkah tersebut susulan pencemaran Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pencemaran air: Suhakam gesa penalti lebih berat

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan dilaksanakan termasuk penalti lebih berat terhadap pelaku pencemaran sumber air.

Suhakam dalam kenyataan hari ini mencadangkan perkara tersebut bagi mengelak kejadian seperti pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang baru-baru ini yang menjejaskan bekalan air di 1,292 kawasan di Lembah Klang daripada berulang.

“Suhakam maklum kerajaan negeri Selangor telah mengambil tindakan terhadap kilang yang didakwa bertanggungjawab ke atas pencemaran tersebut, namun Suhakam bimbang Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 tidak dikuatkuasakan dengan baik bagi melindungi kesihatan awam dan alam sekitar.

“Pencemaran air yang berulang menunjukkan jurang besar undang-undang ini masih belum ditangani,” kata Suhakam yang turut meminta undang-undang berkaitan dikaji semula.

Suruhanjaya itu turut menggesa entiti perniagaan untuk bertanggungjawab dalam memastikan hak asasi manusia dalam mendapat bekalan air bersih dipelihara dan dilindungi.

Ekoran pencemaran minyak daripada sebuah kilang pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Susulan itu, empat pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang direman enam hari bermula semalam.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat desak perketat akta elak pencemaran air

SHAH ALAM, 4 SEPT: Undang-undang berkaitan pencemaran air perlu diperketatkan bagi menghalang kejadian sedemikian terus berulang sehingga menjejaskan ramai pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Wakil rakyat Kota Anggerik berkata Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 harus dipinda segera supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan terhadap pesalah pencemaran air.

Najwan Halimi berkata pindaan membolehkan hukuman penjara dan jumlah denda dipertingkatkan berikutan peruntukan sedia ada kurang tegas sehingga banyak pihak berani melanggar undang-undang.

Mengulas gangguan air di tujuh wilayah sejak semalam kepada SelangorKini, beliau juga mencadangkan Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan dengan Putrajaya bagi mengetatkan akta berkenaan.

“Kita cadangkan rundingan bersama Kerajaan Persekutuan bagi meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 supaya hukuman penjara diwajibkan,” kata Najwan, yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air bagi Dewan Negeri Selangor.

Beliau juga menjelaskan jawatankuasa berkenaan sudah membentang saranan tersebut pada Julai lalu dan berharap ia dilaksanakan segera susulan kekerapan gangguan air menyusahkan rakyat.

“Difahamkan, kilang yang menjadi punca kali ini pernah dikenakan kompaun atas kesalahan sama. Mungkin denda sebelum ini mampu dibayar, jadi mereka ulang kesalahan sama,” katanya yang turut mencadangkan denda sehingga RM1 juta.