Categories
AGENDA NASIONAL

Penganjur sukan permotoran dikompaun RM20,000 gagal patuhi SOP

SEPANG, 10 APRIL: Penganjur sukan permotoran dikompaun RM20,000 kerana didapati gagal memastikan penjarakan fizikal ketika menganjurkan perlumbaan drag di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Imran Abd Rahman yang mengesahkan perkara itu hari ini berkata penganjur telah mendapatkan permit bagi melaksanakan acara itu di litar berkenaan namun gagal memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Kami kompaun penganjur kerana gagal mengawal peserta, melaksanakan penjarakan fizikal dalam pematuhan SOP,” katanya ketika dihubungi susulan tular satu video memaparkan sebuah kenderaan polis hadir ke litar berkenaan bagi menyuraikan peserta yang hadir ke acara itu.

Mengulas video berkenaan, Imran berkata pihak polis telah diminta hadir menyuraikan peserta yang enggan bersurai meskipun acara telah selesai.

“Selepas polis sampai orang ramai memberikan kerjasama dan bersurai dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya yang menurutnya kenderaan polis tiba di litar pada kira-kira 9 malam.

Penganjur program berkenaan, MUSC Motorsports menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook turut mengesahkan yang mereka telah dikompaun kerana gagal melaksanakan acara tersebut dalam ketetapan norma baharu.

“Kegagalan kami mengawal penjarakan sosial mengakibatkan beberapa kali acara ini terhenti sehingga akhirnya kami terpaksa akur dikenakan kompaun.

“Justeru, kami memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat tanpa kami menyalahkan mana-mana pihak sama ada agensi penguat kuasa, penyedia litar iaitu SIC, rakan-rakan program, pasukan drag, pengunjung dan semua pengikut Musc Drag Racing,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis akan panggil penganjur himpunan mahkamah

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil penganjur penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhimpun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam, susulan ingkar arahan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata penganjur akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sebelum ini, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur perhimpunan untuk membawa rombongan pada minggu lepas.

“Ya, kami memang membenarkan pihak penganjur membawa rombongan tetapi bersyarat iaitu dengan mematuhi SOP penjarakan sosial. Apabila kami teliti kejadian semalam, ia bercanggah dan terang-terang melanggar SOP (rombongan tidak patuh SOP penjarakan sosial di mahkamah),” katanya pada sidang media selepas merasmikan IPD Sentul yang baharu, hari ini.

Mazlan berkata pihaknya mengeluarkan arahan dan nasihat kepada orang ramai supaya mematuhi dan menjaga penjarakan sosial sewaktu berada di kompleks mahkamah berkenaan.

Beliau berkata individu yang melanggar SOP ketika hadir menyokong Najib akan dikenal pasti menerusi bantuan rakaman kamera litar tertutup di kompleks mahkamah.

Mazlan berkata masyarakat seharusnya lebih peka tentang perkembangan terkini penularan wabak Covid-19 yang belum ada penghujungnya dengan kes baharu jangkitan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.

“Apabila perkara seperti ini (tidak patuh SOP) berlaku, PDRM dan pihak Kementerian Kesihatan akan dipersalahkan, sedangkan Perdana Menteri kita (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah memberitahu supaya menjaga diri sendiri namun mereka tidak mempedulikannya.

Dalam situasi ini, kami tidak mahu mengeruhkan keadaan dan tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mereka yang didapati tidak patuh SOP di kompleks mahkamah itu,” katanya lagi ketika mengulas pandangan orang ramai mengapa polis tidak mengambil tindakan segera untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP.

Beliau berkata siasatan akan diteruskan dan akan dilengkapkan sebelum ia diserah kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selajutnya,” katanya.

Orang ramai semalam melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan penularan Covid-19 dan kewujudan kluster baharu berikutan himpunan orang ramai yang tidak mematuhi penjarakan sosial dan pematuhan SOP di Kompleks Mahkmah Kuala Lumpur semasa mengikuti keputusan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan Najib.

-BERNAMA