Categories
AGENDA NASIONAL

Pengilang bantah PKP penuh, pertimbang nasib 25,000 pekerja

SHAH ALAM, 20 MEI: Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) membantah cadangan penutupan penuh sektor ekonomi bagi mengekang perebakan Covid-19.

Presidennya berkata hampir 5,000 syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bernaung di bawah persatuan itu masih terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas.

“Ahli kami menanggung kerugian sejak pandemik melanda malah sedang bangkit perlahan-lahan meneruskan perniagaan mulai awal 2021 mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Selain itu warga pengilang yang bernaung di bawah persatuan masih perlu membayar pinjaman, sewaan premis dan hampir 25,000 gaji pekerja,” kata Datuk Azman Yusoff menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau sebarang keputusan melaksanakan PKP penuh perlu mengambil kira nasib pekerja sekiranya pengilang tidak mampu lagi menanggung kerugian.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan PKP penuh dalam bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dato’ Seri Amirudin Shari bersedia menuruti arahan sedemikian namun menegaskan pertimbangan menyeluruh kepada aspek lain termasuk kesihatan mental dan kehilangan pendapatan.

Beliau menegaskan nyawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan berbanding penjanaan ekonomi tetapi PKP harus diiringi pelbagai aspek lain termasuk pendidikan dan kesihatan mental.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

FMM gesa kerajaan selaras usaha penguatkuasaan PKP

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk menyelaraskan usaha penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut garis panduan standard dan menurut tatacara operasi piawai (SOP) am yang diumumkan bagi pelaksanaan di seluruh negara.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari, Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata FMM sentiasa menekankan bahawa untuk memutuskan rantaian jangkitan perlu ada jalinan usaha bersepadu antara sektor awam dan swasta.

“Pada masa sama, FMM juga ingin mengulangi bahawa perintah penutupan serta merta perniagaan yang tidak mematuhi SOP dan keadaan operasi perlu dibuat dengan mengambil pertimbangan beberapa cabaran utama dihadapi industri.

“Ini termasuk mereka yang memerlukan kerjasama penuh daripada pemegang kepentingan utama lain seperti majlis tempatan berkaitan pematuhan kepada Akta 446 mengenai penginapan pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Soh juga berkata industri kecewa dengan pengumuman pada Khamis lepas apabila sektor yang diluluskan untuk menyambung perniagaan sebelum ini seperti tekstil, pakaian dan kasut tidak dimasukkan ke dalam senarai perkhidmatan penting.

“Ini juga termasuk keseluruhan rantaian bekalan, termasuk runcit dan industri/sektor lain yang mungkin menyokong secara tidak langsung perkhidmatan penting, serta syarikat berorientasikan eksport utama.

“Sektor-sektor ini tidak boleh berterusan ditutup dalam tempoh PKP yang dilanjutkan ini kerana ia akan menjejaskan dengan teruk perniagaan mereka,” katanya.

– BERNAMA