Categories
NASIONAL

Projek CAR Undang Kanser, Leukimia, Bahayakan Kandungan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR), yang dirancang pembinaannya melalui beberapa perkampungan di Rawang mampu menyebabkan penyakit kanser, leukimia dan membahayakan kandungan.

Demikian menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, kepada dihubungi TVS hari ini.

Menurut beliau, walaupun terdapat sesetengah pihak yang mendakwa radiasai atau pendedahan Electro Magnetic Field (EMF) yang dihasilkan pencawang itu nanti berada di tahap rendah.

“Seperti isu rokok, masa mula-mula dahulu, walaupun tahu rokok membahayakan kesihatan, tetapi sesetengah menganggapnya cuma kesan kecil kerana keuntungan, tak mengapa.

“Ia ada dua kajian, serupa juga isu Lynas, satu kata ok satu kata membahayakan penduduk.

“Bagi saya, lebih baik kita tidak mengambil risiko sekarang kerana pihak yang menanggung deritanya nanti adalah masyarakat kampung terlibat,” katanya.

William turut mengulangi pendirian sama sebelum ini agar Tenaga Nasional Bhd (TNB) mempertimbangkan tiga laluan alternatif yang  dicadangkan oleh Konsultan yang dibentuk Kerajaan Negeri.

Tiga laluan alternatif itu adalah Rawang Perdana dengan kos RM11.09 juta, jalan besar Rawang dengan kos RM17.50 juta dan laluan bawah tanah mengikut pelan asal yang dikemukakan TNB dengan kos RM226.25 juta.

Menurut beliau alasan kewangan dan soal teknikal yang diberikan oleh TNB tidak boleh diterima.

“Kalau soal teknikal jadi alasan, sedangkan ke bulan pun manusia boleh pergi dan balik.

“Di negara kita sendiri, kita boleh lihat projek Bakun, Terowong Smart Kuala Lumpur dan beberapa lagi projek canggih berteknologi tinggi yang ada.

“TNB juga tak wajar menimbulkan soal kewangan pada ketika keselamatan dan kesihatan rakyat jadi taruhan,” katanya lagi.

Selain itu beliau turut menganggap kejadian menara pencawang eletrik di Kampung Lim Kim Sai pada 2007 tidak boleh dibiarkan berlaku sekali lagi di kampung-kampung lain.

Projek CAR  yang dimulakan pada 2005, melibatkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 60 kilometer dari Bukit Tarek di Rawang dan Kampung Chubadak, Sentul.

Bagaimanapun projek tersebut tergendala dengan jarak berbaki 1.5 kilometer di Kampung Terentang susulan bantahan penduduk di situ.

Categories
SELANGOR

Projek CAR : TNB Harus Fikirkan Kepentingan Masyarakat Setempat


PETALING JAYA, 9 OGOS : Kerajaan Selangor telah mengemukakan tiga cadangan laluan alternatif bagi Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) yang tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan Kampong Sungai Terentang, Rawang.

Oleh itu, pemimpin Kerajaan Selangor mengharap agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil kira kepentingan penduduk kampung itu apabila melaksanakan CAR.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri tidak boleh mengenepikan kepentingan masyarakat tempatan dan faktor sosial di dalam melaksanakan projek.

“Ini kerana keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah fokus utama.

“Sebab itu, kita adakan banyak perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), wakil penduduk dan pemimpin masyarakat, ADUN dan Ahli Parlimen sebelum ini,” jelas beliau di dalam satu kenyataan media.

Cadangan Projek CAR ini bermula pada tahun 2004 dan melibatkan pembinaan menara arus 275 KV transmisi menerusi kawasan Kampung Sungai Terentang.

Bagaimanapun projek itu mendapat bantahan keras penduduk setempat kerana sebelum ini satu menara pencawang tersebut tumbang pada tahun 2007 di Kampung Lee Kim Sai yang terletak di Rawang.

Pada tahun 2008, kerajaan Selangor di bawah pimpinan Abdul Khalid mengarahkan projek ini dihentikan atas pertimbangan keselematan penduduk.

Hari ini, Naib Presiden Tenaga Nasional Berhad, Datuk Rozimi Remeli berkata, Selangor dan Lembah Klang akan menghadapi gangguan bekalan tenaga elektrik jika projek CAR terus tergendala.

Manakala MP Selayang Willian Leong berkata tiga laluan alternatif itu dirangka oleh kerajaan negeri dan pakar perunding dari Australia.

?Kami menggesa TNB bekerjasama segera dengan kerajaan negeri untuk menyelesikan perkara ini. Keselamatan dan kesihatan penduduk tidak ada tolak ansur dalam keadaan ini.

“TNB mempunyai kepakaran sendiri dan diharapkan mereka tidak hanya memikirkan mengenai kos dan keuntungan semata-mata,” katanya.

 Tiga laluan alternatif itu adalah Rawang Perdana dengan kos RM11.09 juta, jalan besar Rawang dengan kos RM17.50 juta dan laluan bawah tanah mengikut pelan asal yang dikemukakan TNB dengan kos RM226.25 juta.

Sementara itu, Adun Rawang, Gan Pei Nei mendesak agar Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin supaya turun sendiri melihat kawasan pembangunan dan memikirkan nasib penduduk di kawasan Rawang.

Jelasnya, kerajaan negeri menekankan kesan sosial, ekonomi dan teknikal demi memastikan pembangunan yang dibuat memberikan keselesaan kepada penduduk dan bukannya berkisar kepada keuntungan semata-mata.