Categories
NASIONAL SELANGOR

Muhyiddin Dan Peter Chin Gagal Fahami Kepentingan Penstrukturan Semula Air Selangor

KUALA LUMPUR, 8 OKT : Proses penstrukturan semula industri air Selangor telah dimulakan pada tahun 2006, semasa pentadbiran Kerajaan Pusat Umno-BN sendiri, namun fakta ini gagal diterima pemimpin gagasan itu sekarang.

Perkara ini gagal difahami oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air, (Kettha) Datuk Peter Chin kata MP Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berkata, usaha ini telah dilakukan apabila Parlimen, yang dulu dikuasai Umno-BN meluluskan undang-undang penyusunan semula industri air.

“Saya mendpati TPM (Muhyiddin) dan Menteri KETTHA (Peter Chin) tidak faham kerana usaha ini (penstrukturan semula industri air) berlaku pada tahun 2006 semasa Parlimen meluluskan undang-undang penyusunan semula air.

“Tujuannya adalah supaya perkara-perkara ini dapat dimiliki negeri kerana negeri bersifat membangunkan dan tidak mementingkan kepada keuntungan sebaliknya mengutamakan kecekapan pengurusan,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor.

Bercakap pada sesi Perbahasan Bajet 2013 di Dewan Rakyat, Abdul Khalid menegaskan, penstrukturan semula industri air penting untuk pertumbuhan ekonomi Selangor.

“Dengan cara ini kita akan dapat menentukan harga-harga utiliti dibuat pada kadar yang terbaik dan rakyat akan dapat,” katanya.

Kemelut penstrukturan semula industri air telah berlarutan lebih tiga tahun apabila kerajaan pusat berlengah-lengah untuk membenarkan kerajaan Selangor mengambil alih operasi air terawat daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Categories
SELANGOR

Projek CAR : TNB Harus Fikirkan Kepentingan Masyarakat Setempat


PETALING JAYA, 9 OGOS : Kerajaan Selangor telah mengemukakan tiga cadangan laluan alternatif bagi Projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) yang tidak menjejaskan keselamatan dan kesihatan Kampong Sungai Terentang, Rawang.

Oleh itu, pemimpin Kerajaan Selangor mengharap agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil kira kepentingan penduduk kampung itu apabila melaksanakan CAR.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri tidak boleh mengenepikan kepentingan masyarakat tempatan dan faktor sosial di dalam melaksanakan projek.

“Ini kerana keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah fokus utama.

“Sebab itu, kita adakan banyak perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), wakil penduduk dan pemimpin masyarakat, ADUN dan Ahli Parlimen sebelum ini,” jelas beliau di dalam satu kenyataan media.

Cadangan Projek CAR ini bermula pada tahun 2004 dan melibatkan pembinaan menara arus 275 KV transmisi menerusi kawasan Kampung Sungai Terentang.

Bagaimanapun projek itu mendapat bantahan keras penduduk setempat kerana sebelum ini satu menara pencawang tersebut tumbang pada tahun 2007 di Kampung Lee Kim Sai yang terletak di Rawang.

Pada tahun 2008, kerajaan Selangor di bawah pimpinan Abdul Khalid mengarahkan projek ini dihentikan atas pertimbangan keselematan penduduk.

Hari ini, Naib Presiden Tenaga Nasional Berhad, Datuk Rozimi Remeli berkata, Selangor dan Lembah Klang akan menghadapi gangguan bekalan tenaga elektrik jika projek CAR terus tergendala.

Manakala MP Selayang Willian Leong berkata tiga laluan alternatif itu dirangka oleh kerajaan negeri dan pakar perunding dari Australia.

?Kami menggesa TNB bekerjasama segera dengan kerajaan negeri untuk menyelesikan perkara ini. Keselamatan dan kesihatan penduduk tidak ada tolak ansur dalam keadaan ini.

“TNB mempunyai kepakaran sendiri dan diharapkan mereka tidak hanya memikirkan mengenai kos dan keuntungan semata-mata,” katanya.

 Tiga laluan alternatif itu adalah Rawang Perdana dengan kos RM11.09 juta, jalan besar Rawang dengan kos RM17.50 juta dan laluan bawah tanah mengikut pelan asal yang dikemukakan TNB dengan kos RM226.25 juta.

Sementara itu, Adun Rawang, Gan Pei Nei mendesak agar Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin supaya turun sendiri melihat kawasan pembangunan dan memikirkan nasib penduduk di kawasan Rawang.

Jelasnya, kerajaan negeri menekankan kesan sosial, ekonomi dan teknikal demi memastikan pembangunan yang dibuat memberikan keselesaan kepada penduduk dan bukannya berkisar kepada keuntungan semata-mata.