Categories
AGENDA NASIONAL

Lesen terbang mungkin ada kaitan ‘penipuan dalam talian’

KOTA BHARU, 1 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menolak kemungkinan kegiatan menjual ‘lesen terbang’ secara dalam talian mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’.

Ketua Pengarahnya Datuk Zailani Hashim berkata ia selepas pihaknya melakukan penyamaran serta melakukan pembayaran kepada sindiket berkenaan, namun akhirnya wang itu didapati lesap begitu sahaja.

Beliau berkata JPJ sedang giat menyiasat serta memantau dengan teliti bagi mengesan dan mengambil tindakan selanjutnya terhadap sindiket berkenaan.

“Isu lesen terbang ini bukan baharu, apabila ada kes kita akan selesaikan termasuk dengan mengambil inisiatif melakukan penyamaran dan sebagainya. Kita bayar dekat sindiket berkenaan (untuk mengesannya), namun wang itu lesap.

“Kita juga ada melakukan semakan dengan Cyber Security Malaysia (CSM) untuk melihat ‘domain’ bagi mengesan URL terlibat, itu penyelesaian yang kita akan lakukan apabila ia melibatkan penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Penguatkuasaan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2022 JPJ Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini malam tadi, yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Zailani berkata JPJ turut berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan pemantauan ke atas tawaran bagi memiliki lesen terbang itu.

“Jabatan kami ingin menegaskan, tidak ada satu situasi pun mana-mana orang di negara kita boleh mendapatkan lesen melalui bayaran kepada pihak-pihak berkenaan. Setakat tahun ini juga, tiada kes membabitkan ‘scammer’ sindiket berkenaan dikesan,” katanya.

Beliau berkata JPJ juga tidak akan berkompromi mahupun melindungi anggotanya yang melakukan sebarang bentuk salah laku, salah guna kuasa dan tidak berintegriti.

“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM ke atas anggota saya jika berlaku sebarang bentuk salah laku, salah guna kuasa dan tidak berintegiriti, saya tidak akan melindungi mahupun berkompromi ke atas anggota saya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, seorang pempengaruh media sosial menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial mendakwa wujud tawaran menerusi media sosial mendapatkan ‘lesen terbang’ atau lesen memandu tanpa perlu mengikut prosedur sah.

Menerusi video berdurasi dua minit enam saat itu, individu berkenaan mendakwa kegiatan itu didalangi sindiket dianggotai pelbagai pihak termasuk pegawai JPJ sendiri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiru suara keluarga, rakan taktik baharu tipu orang ramai

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Meniru suara rakan dan ahli keluarga merupakan taktik baharu dikesan digunakan penjenayah penipuan dalam talian untuk memperdaya mangsa kononnya bagi meminjam wang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata selepas memperkenalkan diri, suspek akan memberitahu bahawa nombor telefon yang digunakan itu adalah nombor baharu mereka.

“Penjenayah kemudian memberikan nombor akaun yang bukan milik ‘rakan’ atau ‘ahli keluarga’ mangsa bagi tujuan mendapatkan wang yang ingin dipinjam itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Katanya, mangsa mula sedar ditipu apabila menghubungi rakan atau ahli keluarganya itu dengan nombor asal dan mendapati sebenarnya tiada permintaan pinjaman wang dibuat.

Sebanyak 20 kertas siasatan telah dibuka iaitu melibatkan penjenayah menggunakan modus operandi penyamaran dan ia melibatkan kerugian sebanyak RM250,000, katanya.

Nik Ezanee juga berkata sebanyak 78 laporan diterima membabitkan kerugian hampir RM7 juta berkaitan jenayah siber dan multimedia dari Januari sehingga kini.

ACP Nik Ezanee Mohd Faisal pada sidang media berhubung kejayaan polis menumpaskan beberapa kes samun, pecah rumah, pelacuran dan perjudian dalam talian di sekitar Petaling Jaya di Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya pada 28 April 2020. Foto BERNAMA

Sementara itu dalam perkembangan lain, Nik Ezanee memaklumkan empat lelaki tempatan ditahan dalam tiga serbuan berasingan kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah pusat gimnasium di Lebuh Bandar Utama, Petaling Jaya, di sini.

Beliau berkata tangkapan terhadap tiga suspek kejadian yang berlaku 6 pagi Selasa lalu itu dibuat selepas penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.

“Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki memasuki premis itu melalui tangga kecemasan di tingkat bawah yang menempatkan parkir kenderaan dan mengambil barang-barang di premis itu,”katanya.

Katanya dua suspek masing-masing berusia 19 dan 22 tahun ditahan dalam serbuan pada 1 tengah hari di sebuah flat di kawasan Kayu Ara, Petaling Jaya, kelmarin.

Manakala pada 4.30 petang hari sama katanya, dua lagi serbuan dibuat masing-masing di kawasan Pelangi Damansara dan Flora Damansara dan polis menahan dua suspek berusia 18 dan 40 tahun.

Nik Ezanee berkata dua suspek dalam serbuan pertama yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari manakala dua lagi suspek direman dua hari, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah premis berkenaan dirampas dan polis percaya tiga kes pecah pusat gimnasium di Lebuh Bandar Utama, Kota Damansara dan Taman Tun Dr Ismail berjaya diselesaikan, katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: 150 kes tipu penutup hidung dan mulut di Selangor, rugi RM1.9 juta

SHAH ALAM, 16 APRIL: Sebanyak 150 kes penipuan dalam talian berkaitan penjualan penutup hidung dan mulut direkodkan di Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas sehingga semalam dengan jumlah kerugian menjangkau RM1.9 juta.

Jurucakap Ops COVID-19 Polis Selangor ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata seramai 22 individu ditahan dan 17 kertas siasatan dibuka berhubung kes penipuan itu.

Beliau berkata dua daripada individu yang ditahan itu telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

“Siasatan mendapati kebanyakan mangsa yang ditipu itu membeli penutup hidung dan mulut untuk kegunaan sendiri namun ada juga yang mendapatkannya bagi tujuan dijual semula,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu nombor akaun penjual barangan secara dalam talian di laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi memastikan ia bukan sindiket penipuan.

Pada masa sama, Muhammad Yazid yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor berkata sepanjang pelaksanaan PKP dari 18 Mac hingga semalam, jenayah siber di negeri ini menunjukkan peningkatan 53.8 peratus, iaitu 283 kes berbanding 184 kes pada tempoh sama tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, penipuan dalam talian mencatatkan 102 kes berbanding hanya 26 kes bagi tempoh sama tahun lepas manakala penipuan skim pinjaman tidak wujud merekodkan 66 kes berbanding 60 kes pada 2019. Penipuan e-dagang juga naik daripada 47 kes kepada 89 kes sepanjang PKP ini,” katanya.

Muhammad Yazid mengingatkan orang ramai bahawa polis atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri tidak akan membuat panggilan meminta individu mendedahkan butiran diri serta nombor akaun mereka.

“Sekiranya orang ramai ada menerima panggilan kononnya daripada pihak berkuasa dan meminta butiran peribadi termasuk nombor akaun bank, putuskan talian serta merta bagi mengelakkan ditipu,” katanya.

-BERNAMA