Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Waspada penjenayah siber, elak anak jadi mangsa

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Isu eksploitasi kanak-kanak menggunakan Internet boleh membarah memandangkan kanak-kanak serta remaja hari ini membesar dengan gajet yang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk kandungan tidak sesuai dalam talian.

“Sajian internet” saban hari kepada kanak-kanak terutamanya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibimbangi memberi implikasi negatif kepada minda serta rohani mereka.

Malahan, situasi ini turut membebankan ibu bapa dengan tanggungjawab untuk memastikan keselamatan anak mereka daripada menjadi mangsa eksploitasi penjenayah siber.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memainkan peranan untuk membanteras jenayah siber termasuk yang melibatkan kanak-kanak.

Dalam satu jawapan bertulis kepada Bernama, MCMC memaklumkan, dalam mewujudkan persekitaran digital selamat untuk kanak-kanak dalam talian, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merangka satu Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara untuk mencapai matlamat perlindungan kanak-kanak.

Ianya termasuk merangka inisiatif dan tindakan secara holistik bagi membendung eksploitasi serta jenayah terhadap kanak-kanak, sama ada dalam talian mahupun luar talian. Ia juga memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

Jalin kerjasama untuk ketatkan penguatkuasaan

Dalam aspek penguatkuasaan pula, MCMC sentiasa menjalin kerjasama baik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), KPWKM serta Interpol di peringkat antarabangsa dalam operasi penguatkuasaan secara bersama.

“Ini merangkumi aspek penguatkuasaan dan tindakan sekatan terhadap kandungan atau laman-laman sesawang yang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak,” jelas MCMC.

Selain itu, MCMC turut menasihati para ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengikuti perkembangan mengenai risiko dan ancaman dalam talian serta perisian kawalan yang boleh digunakan untuk memantau aktiviti penggunaan Internet oleh anak-anak mereka.

Ibu bapa juga harus membuka ruang berkomunikasi dengan anak-anak serta memberi kebebasan kepada anak-anak untuk menceritakan pengalaman atau masalah mereka tanpa dipersalahkan.

Beri perlindungan pada kanak-kanak

Bagi memastikan kanak-kanak di Malaysia terus dilindungi dalam alam persekitaran digital, MCMC turut meneliti pelbagai aspek bagi memperkukuhkan perlindungan kanak-kanak dalam talian.

Ianya termasuk pemantapan inisiatif keterlibatan bersama kementerian, agensi kerajaan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan parental control tools oleh ibu bapa atau penjaga.

Agensi itu juga memantapkan kawal selia serta kerjasama bersama kementerian, agensi kerajaan dan agensi penguatkuasaan seperti PDRM di samping menyediakan platform dari aspek tindakan intervensi di peringkat teknikal dan dasar serta aktiviti penguatkuasaan.

MCMC juga senantiasa melakukan pemantapan kolaborasi pelbagai fungsi antara agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung keselamatan kanak-kanak di Internet.

“Selain itu, MCMC turut melaksanakan pemantapan platform advokasi dan kesedaran sedia ada seperti Klik Dengan Bijak (KDB) dan Malaysian ICT Volunteer (MIV).

“Ini bagi memupuk budaya penggunaan aplikasi dan perkhidmatan media baharu, secara bijaksana dan berhemah serta bekerjasama dengan pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam menjalankan penyelidikan berkenaan dengan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dalam talian,” kata MCMC.

Berhubung bilangan laman sesawang pornografi kanak-kanak yang disekat setakat ini, difahamkan antara tahun 2015 sehingga Julai 2021, sejumlah 407 laman berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak disekat melalui kerjasama MCMC, PDRM dan Interpol.

Manakala bagi peruntukan undang-undang yang ada di negara ini untuk menangani isu kanak-kanak dikesploitasi menerusi talian adalah Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Kanun Keseksaan.

Bukan tanggungjawab kerajaan sahaja

Dalam pada itu, MCMC menegaskan, langkah mengawal selia akses terhadap sesuatu kandungan di Internet bukan menjadi tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata tetapi juga melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa.

Oleh yang demikian, MCMC menggerakkan inisiatif berbentuk kesedaran di seluruh negara seperti KDB dan MIV bagi mendidik serta menggalakkan masyarakat agar mengamalkan kawalan kendiri, menggunakan Internet secara berhemah serta memupuk budaya penggunaan media baharu secara bijaksana.

Inisiatif Parental Control Tools turut digerakkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet (ISP) bagi mengupayakan pengguna Internet, khususnya golongan ibu bapa, dengan kemudahan untuk memantau dan menyaring kandungan yang diakses oleh keluarga serta anak-anak, bagi mengelakkan penularan kandungan yang tidak diingini.

“Turut dilaksanakan ialah jalinan kerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menerusi penganjuran seminar perlindungan kanak-kanak dalam talian pada Mac 2021 dalam usaha membina kebingkasan kanak-kanak ketika dalam talian.

“Jika ada pengguna yang ternampak sesuatu kurang elok dalam media sosial, maklumkan kepada pihak berkuasa untuk perhatian mereka. Pengguna juga boleh membantu dengan memberikan tip penting kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan,” tegas MCMC.

Kesan besar pada psikologi kanak-kanak

Berkongsi pandangan, Dr Norhayati Mohd Noor, Pensyarah Kanan Kaunseling (Keluarga & Perkahwinan) , Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, naluri kanak-kanak yang suka kepada perkara yang menyeronokkan dan banyak pergerakan tingkah laku turut mendorong kesan negatif internet kepada psikologi mereka.

Menurut beliau, psikologi kanak-kanak sentiasa menerima apa sahaja yang dilihat dan didengar dengan pancainderanya.

“Tahap kebolehan dan kemampuan kognitif menganalisis dan menapis maklumat yang diterima hasil dari apa yang dilihat dan didengar oleh kanak-kanak masih rendah.

“Oleh itu, apa jua maklumat yang dipaparkan media massa yang ada di internet sudah pasti kanak-kanak tidak boleh membezakan mana yang positif mana yang negatif tanpa bimbingan orang dewasa,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas situasi kanak-kanak zaman kini yang lebih terancam serta mudah untuk dipergunakan serta dieksploitasi menerusi dalam talian, Norhayati mengakui kewujudan masalah berkenaan dan bersetuju bahawa sebahagian besar kehidupan kanak-kanak terancam dengan gajet dan internet.

Beliau menambah, persekitaran kehidupan kanak-kanak sama ada di rumah, di sekolah atau di mana-mana pun, sentiasa terdedah dengan gajet dan internet terutama semasa Pandemik Covid-19, selain sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pun melalui atas talian.

“Kita boleh lihat sehingga iklan dan apa juga drama serta media massa memaparkan kehidupan seolah-olah tidak sempurna tanpa gajet.

“Oleh yang demikian gambaran di dalam kognitif kanak-kanak hanya tertanam keseronokan hidup dengan gajet. Bagi kanak-kanak, tanpa gajet kehidupan ini tidak seronok dan tidak bermakna,” katanya.

Norhayati berkata, berdasarkan pengalaman beliau dalam mengendalikan ketagihan dalam kanak-kanak semasa sesi kaunseling keluarga, kanak-kanak mempelajari sikap tantrum (pemarah) dan menangis yang melampau sebagai cara mereka mahukan keinginan mereka terhadap gajet dipenuhi oleh ibu bapa.

“Maka hal demikian juga akan membentuk satu sikap yang berpanjangan iaitu pada satu masa kanak-kanak ini menjadi remaja dan orang dewasa yang tiada kemahiran mengawal diri dan sekaligus menjadikan mereka seorang yang panas baran,” katanya.

Mudah terdedah jadi mangsa

Norhayati berkata, sama ada kanak-kanak ataupun tidak, kecenderungan akan dipergunakan atau boleh menjadi mangsa eksploitasi adalah bergantung kepada di mana kanak-kanak itu berada dan siapa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut.

“Seperti yang kita tahu kanak-kanak adalah individu yang lemah dan mudah mendapat simpati dari orang dewasa terutama masyarakat di Malaysia. Sering kali kita lihat ramai kanak-kanak sejak sekian lama dijadikan pengemis atau peminta sedekah, Malah ramai ibu-ibu warga asing menggunakan anak-anak sebagai alat menagih simpati pada orang ramai.

“Malah jika kita lihat ada yang diviral melalui internet, kanak-kanak sering menjadi alat untuk ibu bapa mendapatkan simpati dalam mendapatkan bantuan terutama dari segi kewangan. Maka apa yang saya hendak katakan berkemungkinan besar kanak-kanak boleh dieksploitasi atau dipergunakan memang tinggi,” katanya.

Beliau juga tidak menolak akan berlaku pada masa akan datang pelbagai aktiviti perniagaan yang tidak sihat menggunakan kanak-kanak.

“Apa yang membimbangkan mungkin akan berlaku di Malaysia menjual gambar-gambar kanak-kanak kepada pelaku pornografi yang sudah berlaku di luar negara.

“Yang membimbangkan saya juga ada individu perseorangan yang mencari sumber kewangan atas kerja NGO menggunakan kanak-kanak dalam mendapat simpati. Bentuk eksploitasi yang lain adalah kanak-kanak ini yang masih tidak dapat berfikir dalam membezakan dan masih hidup dengan permainan boleh dijadikan duta iklan dalam menjual alat-akat permainan yang tidak sihat,” katanya.

Pada masa yang sama, Norhayati berkata, undang-undang seperti Akta Kanak-kanak 2001 yang memberi fokus kepada keselamatan dan perlindungan kepada kanak-kanak dari salah laku seksual dan juga aktiviti keganasan kepada kanak-kanak sewajarnya dilihat semula.

“Perlu lihat semula bagaimana akta ini turut mampu melindungi dan menjaga keselamatan kanak-kanak bukan sahaja dari segi keselamatan fizikal tetapi juga dari segi keselamatan emosi dan keselamatan mental terutama yang boleh menyebabkan kesihatan mental kanak-kanak terjejas teruk.

“Peranan dan tanggungjawab ibu bapa kepada perlindungan anak-anak sewajarnya diperhalusi dengan lebih terperinci terutama dalam pengurusan penggunaan gajet dan internet anak-anak mereka di rumah. Penguatkuasaan undang-undang ke atas ibu bapa yang mengabaikan keselamatan anak-anak dari segi emosi dan mental seharusnya diambil kira sebagai pengabaian tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA

Isu pengguna era digital lebih mencabar

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Krisis pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia menjadikan transformasi digital ‘mengambil tempat’ lebih cepat daripada apa yang dijangkakan termasuklah urusniaga secara e-dagang di Malaysia.

Analisis oleh GlobalData, sebuah syarikat konsultan yang berpangkalan di United Kingdom pada September tahun lepas menyatakan pasaran e-dagang Malaysia dianggarkan mencatat pertumbuhan 24.7 peratus pada 2020 dan nilai pasarannya dijangka mencapai RM51.6 bilion menjelang 2024.

Dengan pembelian secara dalam talian menjadi trend baharu, ia pastinya menjadi petanda positif kepada perkembangan ekonomi negara dan membantu memudahkan urusan jual beli meskipun dalam keadaan yang terhad dan tidak boleh bersemuka disebabkan pandemik.

Risiko pengguna siber

Kelaziman baharu ini menjadikan masyarakat semakin sebati dengan perniagaan secara dalam talian yang berfungsi melalui persekitaran digital atau siber.

Namun begitu dari satu sudut, bagaimana pula dengan isu kepenggunaan era digital yang pada masa sama boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko dan cabaran?

Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga Ketua Advanced Communication Research Unit (ACRU) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Khairie Ahmad, berdasarkan statistik Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) di bawah CyberSecurity Malaysia, penipuan dalam talian mendominasi laporan yang melibatkan insiden siber.

Sejak dua tahun kebelakangan ini (2020 dan 2019), statistik penipuan dalam talian mewakili lebih daripada 70 peratus laporan insiden siber berbanding tahun-tahun sebelumnya (2018, 2017 dan 2016) dengan purata sekitar 48 peratus.

Tidak setakat itu, berdasarkan angka terkini pada Januari dan Februari 2021, penipuan dalam talian mewakili 65.1 peratus daripada keseluruhan 1916 insiden yang dilaporkan kepada MyCERT.

Mengulas lanjut beliau berkata terdapat dua aspek komunikasi yang dikaitkan dengan isu kepenggunaan apabila melibatkan urus niaga secara dalam talian atau e-dagang .

“Pertama ialah bagaimana sesuatu produk atau perkhidmatan dikomunikasi (dipromosikan). Terdapat kemungkinan maklumat barangan boleh diubah atau pengguna ditipu apabila maklumat atau imej produk dilakukan dengan teknologi aplikasi atau perisian tertentu bagi tujuan mengelirukan. Ini termasuklah aspek teknikal teknologi komputer seperti penyamaran produk dan akaun.

“Kedua ialah isu ketidakcekapan komunikasi dalam kalangan pengguna sendiri. Antara perkara yang boleh dikaitkan ialah kurangnya kemahiran untuk mengenal pasti keabsahan dan kesahihan maklumat e-dagang. Keadaan menjadi lebih buruk apabila pengguna cetek ilmu kepenggunaan.

“Kurangnya pengalaman pembelian secara dalam talian, tidak cekap mencari maklumat atau bertanyakan maklumat kepada penjual serta tidak pandai membuat perbandingan dan menilai komunikasi produk juga boleh mengheret pengguna ditipu. Adakalanya pernyataan berbentuk manipulasi tidak mampu dikesan oleh pengguna,” katanya kepada Bernama.

Terdapat ramai pengguna yang tidak sedar keupayaan komunikasi dalam talian juga mampu menyaring dan mengekstrak maklumat peribadi mereka tanpa disedari.

Maklumat berkenaan seterusnya boleh dijadikan sebagai komoditi dan dijual kepada pihak ketiga mengakibatkan pengguna mungkin diganggu, ‘terpaksa’ menerima maklumat atau promosi barangan lain sama ada secara dalam talian mahupun secara konvensional.

Generasi ‘born digital’

Mohd Khairie menambah, menurut laporan agensi kewangan terkemuka Deloitte pada Oktober 2020, kumpulan pengguna yang berusia di antara 21 hingga 40 tahun merupakan penggerak utama e-dagang di Asia Tenggara termasuklah Malaysia.

“Berdasarkan tinjauan oleh Deloitte ini, maka dapat dirumuskan e-dagang bukan sahaja didominasi oleh generasi ‘born digital’ malahan turut melibatkan ‘immigrant digital’ berikutan arus perkembangan teknologi semasa yang memberi impak kepada seluruh peringkat masyarakat dan usia.

“Ramai yang menganggap hanya golongan ‘born digital’ atau generasi muda yang lahir dan membesar dalam persekitaran kehidupan digital lebih cenderung terhadap e-dagang. Hakikatnya, mereka yang lahir sebelum era Internet juga sangat aktif dalam e-dagang sekaligus menjadikan isu hak kepenggunaan era digital atau siber ini lebih mencabar,” jelasnya.

Berkongsi pandangan mengenai ‘born digital’, Prof Madya Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan, Kampus Rembau, Dr Masitah Ahmad berkata walaupun istilah itu dikaitkan dengan generasi yang sejak lahirnya dilengkapi kemudahan teknologi digital, Internet, telefon pintar, komputer dan sebagainya, realiti masyarakat Malaysia hari ini tanpa mengira peringkat umur majoritinya sedang menuju ke arah itu.

Ia berikutan kesan krisis pandemik Covid-19 yang membataskan banyak aktiviti secara bersemuka dan menjadikan Internet dan ruang digital satu-satunya platform untuk masyarakat terus kekal berhubung, bekerja, menjalankan aktiviti jual beli dan lain-lain.

Tinjauan Pengguna Internet 2020 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati pengguna Internet meningkat sebanyak 1.3 peratus pada 2020 kepada 88.7 peratus berbanding 87.4 peratus pada 2018.

Aktiviti secara dalam talian yang dijalankan termasuklah komunikasi mesej (98.1 %), media sosial (93.3%), menonton video (87.3%), komunikasi suara/video (81.1%) dan untuk mendapatkan maklumat (74.3%).

“Antara isu yang dikaitkan dengan generasi ‘born digital’ ialah lambakan maklumat. Keadaan ini jika diteliti akan membolehkan sesiapa sahaja sebagai contoh menjadi ‘doktor perubatan’ atau ‘pakar kesihatan’ hanya dengan menggunakan maklumat yang diakses dari Internet. Perkara ini jika gagal ditangani boleh mengundang kepada kegiatan tidak bermoral seperti sindiket penipuan jualan produk dan perkhidmatan yang memberi ancaman kepada pengguna di era siber.

“Penipuan yang dijalankan ini juga secara tidak langsung boleh membawa kepada tersebarnya maklumat yang tidak sahih atau berita palsu yang berisiko memberi pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat. Lebih malang apabila masyarakat sebagai pengguna gagal menganalisis maklumat dan percaya membuta tuli apa yang disajikan sehingga menjadikan mereka mangsa jenayah siber,” katanya.

Masitah pada masa sama berkata tidak keterlaluan jika dikatakan ‘born digital’ turut dikaitkan dengan isu penggodam mahupun ‘scammer’ lebih-lebih lagi jika ilmu dan ‘kelebihan’ yang ada pada golongan ini tidak digunakan untuk tujuan dan pada jalan yang betul.

“Justeru, di samping kerajaan dan pihak berwajib perlu menyediakan garis panduan dan etika sewajarnya bagi mencegah penyalahgunaan teknologi digital dan Internet, senario kepantasan perkembangan teknologi digital hari ini turut menuntut peranan ibu bapa dan masyarakat untuk mendidik dan memantau terutama generasi muda mengendalikan platform digital,” katanya.

Lindungi hak pengguna era e-dagang

Dalam pada itu, Mohd Khairie berkata Malaysia mempunyai beberapa akta yang mampu mengekang penipuan dalam talian dan menjamin hak pengguna termasuklah dalam era digital namun yang perlu diberi penekanan ialah aspek penguatkuasaan.

Selain Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan Akta Perdagangan Elektronik 2006 (E-dagang) sebagai antara yang mampu melindungi pengguna dari segi jaminan maklumat, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 ( Akta 709) juga berupaya menjamin keselamatan dan kerahsiaan maklumat peribadi pengguna.

“Di samping agensi-agensi terlibat perlu membina keupayaan kepakaran berkaitan aspek jaminan digital, agensi penguatkuasaan pula wajar dilengkapkan dengan pegawai yang pakar dari aspek pendigitalan atau keselamatan siber bagi melindungi hak pengguna. Unit komunikasi siber yang memantau hal ehwal kepenggunaan digital wajar mempunyai strategi untuk menyakinkan pengguna di samping menyediakan persekitaran e-dagang yang selamat dan sejahtera.

“Walaupun era Internet menyediakan wadah mencari dan mengesahkan maklumat, namun pengguna lazimnya mengambil sikap ambil mudah dalam membuat sesuatu pilihan atau keputusan pembelian dalam talian. Jika dahulu pendidikan kepenggunaan disaran untuk dipupuk kepada pelajar sekolah namun dengan senario hari ini pendidikan kepenggunaan wajar dilaksanakan di semua peringkat.

“Teknologi komunikasi bersifat dinamik serta pantas berinovasi. Pendidikan kepenggunaan berteraskan digital seperti pembangunan aplikasi berbentuk kesedaran dan pendidikan berpotensi meningkatkan kecelikan kepenggunaan digital dan ia wajar dilakukan kerajaan, organisasi kepenggunaan dan seluruh masyarakat,” katanya sambil menambah aplikasi bersifat penilaian kendiri celik kepenggunaan digital mampu menyediakan ekosistem yang lebih kondusif.

Jenayah siber pintar

Sementara itu, menyifatkan tahap kemajuan jenayah siber kini memasuki fasa ‘jenayah siber pintar’ di mana sindiket menggunakan data pengguna untuk memanipulasi mangsa, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata ramai mangsa jenayah siber khususnya dalam platform e-dagang mudah dimanipulasi bukan kerana mereka tidak mempunyai kesedaran sebaliknya penjenayah sudah berevolusi ke satu tahap berbeza.

Data Hootsuite pada Januari tahun ini menunjukkan pengguna siber di Malaysia adalah antara pengguna tertinggi platform e-dagang di dunia dengan kedudukan keempat dari sudut kadar penembusan dan ketujuh dari aspek penggunaan perbankan digital.

“Justeru, pengguna perlu sentiasa peka dengan sebarang urusan dalam e-dagang antaranya dengan memberi perhatian terhadap ketulenan profil sesebuah iklan, maklumat perniagaan yang berdaftar, akaun bank penerima yang wajib selari dengan nama profil iklan e-dagang, menyemak maklumat akaun atau nombor telefon di aplikasi Semak Mule PDRM serta merujuk kepada orang sekeliling sebelum membuat pembelian secara dalam talian.

“Mereka yang menjadi mangsa jenayah siber perlu segera membuat laporan polis dan menyertakan maklumat perbankan, nombor telefon dan lain-lain, menukar kata laluan akaun perbankan digital dan email, melaporkan kepada pihak jabatan perlindungan data peribadi atau MCMC sekiranya maklumat peribadi disalah guna oleh pihak ketiga.

“Tindakan membuat makluman rasmi di media sosial peribadi juga dapat membantu sebagai memberi peringatan kepada rakan-rakan lain agar tidak menjadi mangsa jenayah siber seterusnya,” katanya sambil menambah kadar kebergantungan pengguna di Malaysia yang tinggi terhadap e-dagang terutama sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuntut pengguna menjadi lebih peka dengan sebarang tawaran barangan yang tidak masuk akal serta hebahan kesedaran jenayah siber.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH NASIONAL

Polis: Waspada jenayah siber, 28,508 kes tipu rugi RM2.4 bilion

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Polis sekali lagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan taktik digunakan penjenayah siber, dan menegaskan pihak berkuasa itu tidak sekali-kali akan membuat panggilan telefon kepada individu untuk menyelesaikan kes jenayah.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika menjelaskan perkara itu, berkata polis hanya akan membuat panggilan untuk membuat janji temu hadir ke balai polis bagi sebarang urusan rasmi.

“Sebarang urusan yang berkaitan dengan akaun, tangkapan, laporan polis dan kes jenayah hanya diselesaikan di pejabat, balai polis, atau mahkamah. Pihak polis tidak pernah menelefon mana-mana individu untuk selesaikan kes malah untuk sebarang urusan rasmi mereka (individu terlibat panggilan) perlu ke balai polis.

Oleh demikian, saya ingin mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berhati-hati dengan modus operandi yang digunakan penjenayah siber,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Pengukuhan Siasatan Jenayah dan Pelancaran Portal dan Aplikasi Semak Mule dan Maktab PDRM Cheras, di sini, semalam.

Ditanya mengenai kes penipuan pembelian dalam talian, Acryl Sani berkata individu yang tertipu semasa pembelian dalam talian dinasihat untuk ke balai polis bagi membuat laporan kerana polis memerlukan maklumat mengenai nombor akaun yang digunakan penjenayah siber.

“Ada mangsa yang kena tipu pembelian dalam talian iaitu nilai tidak besar tetapi mereka tidak melaporkannya kepada polis dan menganggap perkara yang menimpa mereka tidak besar serta serius,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas sahaja sejumlah 28,508 pelbagai kes penipuan dalam talian melibatkan 18,130 akaun keldai dilaporkan dengan jumlah kerugian mencecah RM2.4 bilion.

“Pada awal tahun ini sehingga September lepas pula, polis menerima 14,000 pelbagai kes penipuan dengan kerugian lebih RM400 juta,” katanya.

Sehubungan itu, Acryl Sani berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman mengambil inisiatif membangunkan aplikasi mudah alih Semak Mule untuk membolehkan masyarakat menyemak akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai rekod jenayah secara sahih.

“Masyarakat boleh akses aplikasi ini di mana jua mereka berada untuk membuat semakan awal sebelum mereka menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang ingin menggunakan aplikasi itu boleh memuat turun Semak Mule di platform Google Playstore.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Tingkat keselamatan siber, elak penggodam curi data

PADANG BESAR, 3 OKT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang berusaha meningkatkan keselamatan siber secara berfasa untuk membendung kegiatan penggodam, penipu dan pencuri data peribadi.

Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata ini kerana kes penipuan siber dan jenayah komersial yang direkodkan di seluruh negara dilihat amat membimbangkan kerana ia bukan hanya melibatkan golongan kanak-kanak dan belia tetapi juga golongan berjawatan tinggi, profesional dan berpendidikan tinggi.

Beliau berkata menurut sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 9,215 kes jenayah komersial direkodkan di seluruh negara membabitkan nilai kerugian mencecah RM717.2 juta bagi tempoh Januari hingga April.

“Jumlah penipuan siber yang diterima oleh CyberSecurity Malaysia untuk tempoh Januari hingga Ogos pula mencatatkan sebanyak 5,697 insiden berbanding 4,671 insiden pada tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 22 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup dan penyampaian sijil Seminar Keibubapaan Siber: Ke Arah Fasih Digital di Institut Kemahiran Mara (IKM) dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amiruddin Wahab.

Zahidi berkata Hasil Kajian Garis Asas Kesedaran Keselamatan Siber terhadap penggunaan teknologi dan Internet menunjukkan bahawa 50 peratus pelajar sekolah menengah berinteraksi melalui laman media sosial tanpa pemantauan ibu bapa manakala satu daripada empat pelajar menghadapi masalah penyisihan, ugutan dan gangguan dalam talian.

Katanya, berdasarkan sumber Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula menyatakan 94 peratus kanak-kanak terdedah kepada pornografi dalam talian.

“Ini sangat membimbangkan kerana anak-anak kita walaupun duduk di rumah dengan pintu berkunci dan diawasi di depan mata, namun realitinya mereka sedang menjelajah dunia melalui peranti yang mempunyai akses dalam talian tanpa kita sedari.

“Anak-anak kita yang masih belum matang boleh secara tidak sengaja mendedahkan data-data peribadi yang boleh mengundang kepada berlakunya jenayah siber,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: 150 kes tipu penutup hidung dan mulut di Selangor, rugi RM1.9 juta

SHAH ALAM, 16 APRIL: Sebanyak 150 kes penipuan dalam talian berkaitan penjualan penutup hidung dan mulut direkodkan di Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas sehingga semalam dengan jumlah kerugian menjangkau RM1.9 juta.

Jurucakap Ops COVID-19 Polis Selangor ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata seramai 22 individu ditahan dan 17 kertas siasatan dibuka berhubung kes penipuan itu.

Beliau berkata dua daripada individu yang ditahan itu telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

“Siasatan mendapati kebanyakan mangsa yang ditipu itu membeli penutup hidung dan mulut untuk kegunaan sendiri namun ada juga yang mendapatkannya bagi tujuan dijual semula,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu nombor akaun penjual barangan secara dalam talian di laman web www.ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi memastikan ia bukan sindiket penipuan.

Pada masa sama, Muhammad Yazid yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor berkata sepanjang pelaksanaan PKP dari 18 Mac hingga semalam, jenayah siber di negeri ini menunjukkan peningkatan 53.8 peratus, iaitu 283 kes berbanding 184 kes pada tempoh sama tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, penipuan dalam talian mencatatkan 102 kes berbanding hanya 26 kes bagi tempoh sama tahun lepas manakala penipuan skim pinjaman tidak wujud merekodkan 66 kes berbanding 60 kes pada 2019. Penipuan e-dagang juga naik daripada 47 kes kepada 89 kes sepanjang PKP ini,” katanya.

Muhammad Yazid mengingatkan orang ramai bahawa polis atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri tidak akan membuat panggilan meminta individu mendedahkan butiran diri serta nombor akaun mereka.

“Sekiranya orang ramai ada menerima panggilan kononnya daripada pihak berkuasa dan meminta butiran peribadi termasuk nombor akaun bank, putuskan talian serta merta bagi mengelakkan ditipu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia-China mahu tingkat kerjasama tangani jenayah siber

BANGKOK, 28 NOV: Malaysia dan China mahu mempertingkatkan kerjasama untuk menangani jenayah siber rentas sempadan yang semakin berleluasa dan membimbangkan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerjasama dua hala untuk membendung jenayah bukan tradisional penting untuk mengurangkan kerugian.

“Dalam perbincangan tadi, kita minta supaya Malaysia dan China bekerjasama untuk mengekang perkara ini (jenayah siber) yang memerlukan inisiatf dan langkah tertentu,” katanya kepada Bernama.

Sebelum itu, Muhyiddin mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Menteri Keselamatan Awam China Wang Xiaohong di luar sesi Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-13 (AMMTC) dan mesyuarat berkaitan di Bangkok.

Antara isu yang dibangkit dalam pertemuan itu termasuk kerjasama dua hala khususnya dalam menangani penipuan dalam talian, judi haram dan scam.

Baru-baru ini, Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang berpusat di China dan menahan 680 warga China yang menjalankan operasi aktiviti berkenaan di Cyberjaya.

Sindiket yang beroperasi sejak enam bulan lalu itu menjalankan aktiviti penipuan yang menyasar penduduk China sebagai mangsa.

Sementara itu, Muhyiddin juga mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Menteri Keselamatan Awam To Lam.

Beliau berkata Malaysia dan Vietnam akan bekerjasama untuk menangani isu pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia.

“Saya sudah membangkitkan soal pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Malaysia dan meminta bantuan dan kerjasama agar perkara ini dapat dikekang atau dihapuskan.

“Isu ini besar di Malaysia. Beberapa operasi sudah dilancarkan dan ramai nelayan Vietnam ditangkap tetapi isu ini masih berterusan. Sehubungan itu, kita minta kerjasama Vietnam agar perkara ini dapat ditangani,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin mahu penubuhan kumpulan kerja bersama Malaysia dan Vietnam dapat dipercepatkan supaya agenda penting khususnya dalam bidang keselamatan dan jenayah rentas sempadan dapat diuruskan dengan lebih terancang.

Sementara itu, Muhyiddin berkata AMTCC adalah landasan penting untuk menangani jenayah tradisional dan bukan tradisional secara positif dan berkesan.

“Tiada sebuah negara dapat menyelesaikan jenayah secara bersendirian kerana ia tidak hanya berlaku di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

“ASEAN dan tiga rakan dialog – China, Jepun dan Korea Selatan akan mempergiatkan kerjasama untuk menangani jenayah rentas sempadan. Kita memerlukan kerjasama rapat.

“Kita memerlukan langkah-langkah susulan dalam pelbagai bentuk agar dapat bersama menghadapi isu besar secara bersama,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Jenayah siber di Malaysia masih belum reda

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Kerugian yang dilaporkan ekoran jenayah siber mencecah RM309.67 juta bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, dan penipuan dalam talian di negara ini masih belum reda.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, angka bagi tujuh bulan pertama tahun ini agak membimbangkan berbanding kerugian RM398.6 juta yang direkodkan tahun lalu berhubung rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan dan kehilangan wang serta barangan berharga.

Ini bukanlah tentang si bodoh yang kehilangan wang dan barangan berharga, sebaliknya penjenayah bermulut manis yang licik dalam permainan mereka untuk memperdayakan mangsa tidak bersalah dan naif.

MCCA, ditubuhkan tahun lalu untuk menyokong hak pengguna internet di negara ini, mendapati selain ‘love scam’, penjenayah turut terbabit dalam ‘parcel scam’ mengakibatkan sesetengah mangsa kerugian antara RM200,000 dan RM1 juta untuk mendapatkan ‘hadiah mewah’ yang dijanjikan kepada mereka.

“Penipuan dalam parcel scam bermula dengan e-mel yang dihantar oleh warga asing mendakwa mempunyai keluarga di Malaysia atau bersedia untuk melawat Malaysia.

“Kemudian, selepas beberapa kali berbual, mangsa diminta untuk menerima kiriman berisi wang atau hadiah barangan berharga,” katanya.

Penipuan itu berkait rapat dengan ‘love scam’ dengan scammers (penipu) menggunakan interaksi peribadi dan emosi untuk menerjah minda separa sedar mangsa dan meraih kepercayaan mereka.

Siraj berkata scammers ini, sebahagian besar daripada mereka warga Nigeria, cenderung untuk menjalin hubungan dengan wanita tempatan dan memperdaya mereka untuk menjadi rakan subahat bagi melakukan jenayah siber.

Masalah itu bermula beberapa hari selepas ‘kiriman diterima’ di mana mangsa akan mendapat panggilan telefon kononnya daripada jabatan kastam atau mana-mana institusi kewangan yang mendesak mangsa membayar sejumlah wang untuk mendapatkan kiriman itu, jika tidak, mereka perlu menanggung akibatnya.

“Mereka malah mempergunakan wanita tempatan untuk bertindak sebagai orang tengah meminta bayaran pemprosesan daripada mangsa dan menakut-nakutkan mangsa kononnya jika mereka tidak melunaskan bayaran itu, mereka akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Ditanya punca golongan profesional turut menjadi mangsa, Siraj berkata mereka kekurangan maklumat dan kesedaran mengenai ‘scammers’ serta kaedah penipuan itu, selain mereka cenderung untuk menjadi pengguna tegar media sosial.

“Profesional seperti doktor dan jururawat lazimnya mempunyai kehidupan sosial yang agak kurang disebabkan jadual tugas mereka yang sibuk, justeru mereka seringkali menggunakan media sosial untuk berkongsi perjalanan hidup seharian.

“Apabila kehidupan peribadi didedahkan dan mereka pula tidak banyak mengetahui tentang taktik scammers, mereka mudah menjadi sasaran,” katanya.

Sementara itu, Siraj menegaskan bukan sahaja individu terbabit yang kehilangan wang akibat jenayah siber, sebaliknya negara turut menanggung kerugian ekonomi.

“Kerugian ini disebabkan jumlah jenayah siber semakin meningkat dan angka ini boleh memberi kesan negatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

MCCA menegaskan walaupun kerajaan Malaysia serius dalam menangani masalah itu, namun ia masih jauh kebelakang dalam aspek pecegahan, termasuk pendidikan dan kesedaran.

Beliau menarik perhatian kad SIM bagi komunikasi mudah alih dan data dapat diperoleh dengan mudah di kedai serbaneka malah oleh warga asing, menyediakan akses internet mudah bagi penjenayah untuk melakukan modus operandi mereka.

Di samping itu, Siraj juga berkata undang-undang yang meliputi jenayah siber dan komunikasi serta memberi tumpuan kepada kandungan e-mel, perlu diperketatkan dan pengguna siber perlu didedahkan kepada sisi buruk internet menerusi pelbagai platform media.

Bagi keselamatan pengguna internet pula, Siraj berkata mereka boleh bermula dengan memadamkan sebarang e-mel ‘spam’ yang menawarkan kiriman bernilai tinggi dan mengelak daripada berkomunikasi dengan e-mel atau mesej yang meragukan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jenayah siber catat kerugian RM67.6 juta

LABUAN, 23 APR: Kes jenayah siber menyebabkan kerugian RM67.6 juta melalui 2,207 aduan direkodkan seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Shakib Ahmad Shakir.

Shakib berkata, tiga kes tertinggi membabitkan kes penipuan panggilan yang merekodkan RM26.8 juta (773 kes), penipuan belian dalam talian RM4.2 juta (811 kes) dan African Scam berjumlah RM14.9 juta (371 kes).

Katanya, kes jenayah siber (komersial) pinjaman tidak wujud (E-Financial Fraud) merekodkan 212 kes melibatkan kerugian berjumlah RM21.5 juta dan antara kerugian adalah melalui penipuan dalam talian, penipuan kad kredit, kecurian identiti dan pencerobohan data.

Shakib berkata, jumlah kerugian yang tinggi itu menimbulkan kebimbangan kepada kementerian dan agensi-agensi di bawahnya.

“KKMM bertekad memerangi jenayah siber susulan kebimbangan peningkatan jumlah jenayah siber dalam pelbagai cara.

“Jenayah siber merupakan ancaman serius kepada rakyat berikutan penipuan ini berpotensi mengakibatkan kehilangan ratusan ribu ringgit hasil titik peluh mereka,” katanya ketika merasmikan Taklimat Kesedaran Pencegahan Jenayah Siber dan Antipemerdagangan Orang peringkat Labuan di Ujana Kewangan, hari ini.

Taklimat ini merupakan satu daripada komitmen KKMM dalam melaksanakan tindakan dan agenda promosi dan publisiti meningkatkan kesedaran orang ramai melalui pendidikan jenayah telekomunikasi dan cara mengelak dan melindungi diri menjadi mangsa jenayah telekomunikasi sekali gus membanteras jenayah ini.

Shakib berkata, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersil terdapat sejumlah 13,058 aduan penipuan dilaporkan pada tahun 2017 berbanding 10,394 tahun lepas, penurunan kepada 2,663.

“Saya dimaklumkan bahawa jenayah tipu panggilan (telecommunication fraud) adalah jenayah paling kerap berlaku di Labuan dengan 16 aduan direkodkan pada 2017 dan meningkat kepada 19 aduan tahun lepas, peningkatan 35 peratus,” katanya.

Shakib berkata, KKMM akan terus bekerjasama dengan rakan strategik – media, Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi dan jabatan di bawah KKMM seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Katanya, KKMM terbabit dengan kempen publisiti dan promosi untuk Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) sejak 2017.

“Kempen tersebut bertujuan menyelaras penyampaian dan penyaluran maklumat dalam pelbagai bentuk dan saluran kepada orang awam,” katanya.

Katanya fungsi MAPO adalah sebagai platform menyelaras aktiviti publisiti dan promosi MAPO secara bersepadu, berkongsi maklumat dan pengukuhan bersama.

– BERNAMA