Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 3,381 kes baharu, hampir 99 peratus tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Hampir 99 peratus iaitu 98.9 peratus atau 3,344 kes daripada jumlah keseluruhan 3,381 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah dalam kategori satu dan dua, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau dalam kenyataan berkata daripada kes COVID-19 yang dilaporkan hari ini hanya 37 kes iaitu 1.1 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Sebanyak 319 kes merupakan kes import melibatkan 284 warganegara dan 35 bukan warganegara. Kes sembuh yang dilaporkan hari ini ialah 3,447 kes,” katanya.

Ini merupakan hari keempat berturut-turut kes baharu COVID-19 mencatatkan peningkatan selepas ia menurun di bawah 3,000 kes pada Isnin.

Menurutnya sebanyak enam kluster baharu dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM)  hari ini manakala kadar kebolehjangkitan seluruh negara adalah 0.96.

Dr Noor Hisham berkata maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https: //covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, beliau berkata sebanyak 56 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir pada hari ini.

Daripada jumlah itu, 33 kes merupakan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit (sembilan) dan acute gastroenteritis (AGE) (14).

Kata Dr Noor Hisham setakat 3 petang hari ini tiada kes baharu COVID-19 yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir dan ini menjadikan jumlah kes positif dalam kalangan mangsa banjir kekal 465  kes.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

223 penyakit berjangkit dikesan di lebih 50 PPS Kelantan

KOTA BHARU, 28 DIS: Sebanyak 223 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir di lima daerah di Kelantan sejak kejadian banjir besar pada 17 Dis lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata kesemua kes itu dikesan sejak 17 hingga 26 Dis lepas di lebih 50 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka dalam tempoh itu.

“Kes itu dikesan hasil ujian saringan di PPS yang dibuka di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas sebelum ini.

“Antara penyakit yang dikesan adalah penyakit jangkitan kulit (95), jangkitan saluran pernafasan (79), radang usus akut atau gastroenteritis (11), demam yang tidak bersimptom (lapan) dan selebihnya lain-lain penyakit biasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Persekutuan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata orang ramai diingatkan supaya mendapatkan bekalan air dan makanan yang bersih bagi mengelak dijangkiti penyakit kencing tikus, kolera, tifoid dan keracunan makanan semasa banjir.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia sentiasa siap sedia hadapi penyakit berjangkit

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Pengalaman Malaysia berdepan dengan krisis kesihatan seperti virus Zika, Influenza dan Nipah pada masa lepas membolehkan negara ini sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang penularan penyakit berjangkit.

Ketua dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Perubatan Kecemasan Universiti Malaya Prof Madya Datuk Dr M. Rishya berkata berdasarkan pengalaman itu, dengan beberapa penambahbaikan mengikut panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan Covid-19 di negara ini dapat dikawal dan dikendalikan dengan baik.

“Kita pernah diuji dengan penyakit seperti Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) ataupun Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sebelum ini, jadi kesiapsiagaan dapat dilakukan dengan cepat melalui garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia dan WHO,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program televisyen ‘The Nation’, di Wisma Bernama hari ini.

Beliau berkata antara langkah kesiapsiagaan yang dilakukan itu ialah pengasingan pesakit, mengehadkan kontak kepada staf yang merawat sahaja dan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap.

“Contoh, sekiranya pesakit mempunyai tanda-tanda positif Covid-19 dan mempunyai sejarah ke China, mereka perlu laporkan diri ke tempat khas di luar jabatan kecemasan…dan jika disahkan positif mereka akan ditempatkan dalam bilik berasingan bagi tujuan pemantauan yang lebih lanjut,” katanya.

Pada masa sama Dr Rishya menasihati masyarakat supaya tidak panik kerana jumlah jangkitan Covid-19 di negara ini masih rendah dan mereka perlu menjaga kesihatan diri serta mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

– BERNAMA