Categories
BERITA UTAMA

Belanjawan 2021: Tumpu masalah capaian internet terhad di luar bandar

SHAH ALAM, 20 OKT: Masalah capaian internet terhad di luar bandar perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan Selangor 2021 memandangkan majoriti mahasiswa kini mengikuti pembelajaran dalam talian.

Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias), Mohamad Khairuddin Zahari berkata liputan internet yang bermasalah menyebabkan mahasiswa terpaksa membatalkan kelas secara maya.

“Keadaan ini sudah tentu merencatkan pembelajaran mereka serta dikhuatiri mengganggu aspirasi Kerajaan Selangor untuk memartabatkan pendidikan negeri.

“Justeru, Pepias mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan pusat komuniti atau belia di kawasan luar bandar bagi memudahkan pelajar mendapat capaian internet,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkang supaya guru di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diberi tambahan taraf pendidikan.

“Pepias mencadangkan supaya guru ini diberi latihan sebaik mungkin termasuk memiliki diploma pendidikan dalam meningkatkan kualiti pengajaran.

“Ini sedikit sebanyak membantu dalam melahirkan lebih ramai pelajar di Selangor yang kompeten dan dinamik,” katanya.

Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor selama dua jam bermula jam 3 petang pada 30 Oktober ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini turut mengumpulkan semua cadangan rakyat sempena belanjawan menerusi portal https://www.amirudinshari.com/selangor2021.

Categories
EKONOMI SELANGOR

MB: Lonjak pendapatan rakyat melalui pertanian

SERI KEMBANGAN, 28 JAN: Kerajaan Negeri sedang meneliti mekanisme sesuai untuk melonjakkan pendapatan rakyat khususnya miskin bandar menerusi program pertanian, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata projek perintis akan diteliti jika kajian berkenaan mampu dilaksanakan sesuai dengan kos.

“Saya dikunjungi pelabur bagi membincangkan perkara ini untuk kita lihat bagaimana Kerajaan Negeri boleh membantu golongan ini dan akan diumum lebih lanjut jika ia sesuai dilaksanakan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Perkampungan Menara Gading Selangor (PMGS) 2020, di Universiti Putra Malaysia, di sini.

Mengulas seramai 12,281 pelajar di negeri ini didapati tidak meneruskan persekolahan, termasuk atas faktor tiada minat, masalah keluarga, berkahwin, takut ke sekolah dan bekerja, Amirudin berkata Selangor menyediakan beberapa pusat latihan teknikal antaranya Kolej Antarabangsa Inpens.

“Mereka ini bukan tidak mahu bersekolah tetapi disebabkan tiada sokongan sosial,” katanya.

Dalam perasmian program PMGS itu, Amirudin menyarankan mahasiswa lebih dinamik dan tidak menunggu sebaliknya mencipta pekerjaan sebelum tamat pengajian.

Katanya, hal itu kerana cabaran dan peluang pekerjaan terhad masa kini serta pelajar tidak boleh selesa dan perlu berani berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0.

Categories
AGENSI SELANGOR

PEPIAS pandang serius isu remaja tidak sekolah

SHAH ALAM, 15 NOV: Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) memandang serius isu kanak-kanak dan remaja yang tidak meneruskan pembelajaran di negeri ini.

Presidennya, Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata data dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari baru-baru ini menunjukkan seramai 12,281 kanak-kanak dan remaja tidak bersekolah.

Katanya daripada jumlah itu, 549 remaja didapati tidak minat meneruskan pembelajaran manakala 183 memilih untuk bekerja.

“Melalui pengamatan kasar dan tinjauan lapangan PEPIAS bersama beberapa badan bukan kerajaan lain, antara punca sampingan yang berlaku adalah faktor kemiskinan, masalah keluarga, tidak berwarganegara dan masalah sosial di kawasan sekitar.

“Justeru, PEPIAS mengajak semua pihak untuk meneruskan fokus menggiatkan lagi usaha melanjutkan pelajaran dalam masyarakat setempat,” katanya kepada SelangorKini.

Ahmad Fahmi berkata PEPIAS konsisten memberi kesedaran dan pengetahuan asas kepada pelajar di sekolah rendah dan menengah berhubung kepentingan belajar melalui program advokasi, khidmat sosial serta motivasi.

Katanya terdapat keperluan untuk memperbanyakkan lagi bidang alternatif yang boleh diterokai remaja masa kini antaranya kemahiran vokasional atau IKTISASS dan lain-lain.

“Namun, antara kelemahannya adalah akses atau penyaluran maklumat khusus kepada ibu bapa mahupun masyarakat terhadap bidang alternatif ini.

“Oleh itu, PEPIAS merasakan pentingnya peranan “orang tengah” menghubungkan antara Kerajaan Negeri dan masyarakat setempat supaya maklumat disampaikan tepat dan mutakhir,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Fahmi berkata program motivasi di sekolah dan Perkampungan Menara Gading merupakan platform memberdaya remaja serta membuka ruang juga peluang untuk melanjutkan pendidikan ke tahap seterusnya.

“Akhirnya, dalam mengejar arus industri 4.0 ke arah pembangunan Negeri Pintar, usaha pendidikan harus dipandang serius dan dibangun secara kolektif daripada semua pemegang taruh,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

PEPIAS ucap tahniah Amirudin dilantik Dato’ Menteri Besar baharu

Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) merakamkan ucapan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Tuan Hj Amirudin Bin Shari atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang Baharu.

PEPIAS begitu berbangga dengan pencapaian dan sumbangan beliau di Negeri Selangor Darul Ehsan. Semoga agenda Smart State terus dipacu dibawah tampuk kepimpinan beliau.

YAB Tuan Amirudin pernah bersama-sama PEPIAS kehadapan dalam membincangkan topik pembangunan belia di negeri Selangor dalam Kongres Mahasiswa Selangor (KGMS) 2017 anjuran PEPIAS pada tahun 2017 ketika beliau menjawat portfolio sebagai Exco Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan & Pembangunan Usahawan.

Pelbagai inisiatif telah dibentangkan kepada Pihak PEPIAS ketika Sesi Townhall tersebut dan kita bersedia untuk berganding bahu mengembleng usaha membina belia negeri Selangor untuk terus terampil menerajui zaman.

Tahniah kami ucapkan dan selamat berkhidmat!

Tidak dilupakan, tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada YB Dato Seri Azmin bin Ali, diatas perkhidmatan yang amat cemerlang sepanjang menerajui Negeri Darul Ehsan. Semoga kecemerlangan pentadbiran Negeri Selangor dapat diteruskan dan ditingkatkan dimasa akan datang.

“Generasi Penerus Harapan Ummah”

OLEH: Abdullah Izzuddin Bin Abdul Hamid, Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) Sesi 2017/2018