Categories
SELANGOR

Mengapa firma asing dibayar RM20 juta rangka PPPM?

zairil khir johari ongkian mingKUALA LUMPUR, 24 SEPT: Mengapa sebuah firma pengurusan diupah RM20 juta untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM)?

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming meminta Menteri Pendidikan 1 Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab kerana firma antarabangsa itu tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan.

Tegas mereka, Malaysia sudah mempunyai pakar tempatan yang amat berkemampuan untuk merangka pelan pembangunan pendidikan seperti Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD), Dr Faridah Abu Hassan dan Pengarah NKRA dan NKEA Pendidikan, Tengku Azian Tengku Shariman, serta barisan pegawai di Kementerian Pendidikan dan di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

“Mengapa JPM tidak memilih untuk menggunakan kepakaran dan tenaga kerja dalam kementerian dan PEMANDU untuk menyediakan PPPM 2013-2025? Apakah sebab Kementerian memilih untuk bazirkan RM20 juta mengupah pakar perunding yang mahal?” soal Zairil.

Semalam, Muhyiddin memberitahu firma Amerika Syarikat itu dibayar RM4,705,400 untuk fasa pertama dan RM15,860,000 untuk fasa kedua menyediakan PPPM.

Pelan tersebut mendapat kritikan dari pelbagai pihak kerana tidak membawa perubahan menyeluruh dan hanya menumpukan perubahan pentadbiran.

“Ada kemungkinan bahawa satu dua rakan kongsi utama McKinsey dulu terlibat dalam perundingan untuk projek-projek pendidikan tetapi pengalaman mereka tentu jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan panel pakar yang menyertai pasukan petugas projek serta panel-panel penilai bebas,” kata Dr Ong.

Mereka juga mendakwa peranan firma McKinsey itu tidak didokumenkan dalam blueprint berkaitan.

“Jika bukan kerana soalan kepada Parlimen dan sidang media ini, pihak Kementerian tidak akan diminta untuk mendedahkan peranan dan kos mengupah McKinsey,” dakwa mereka.

Menurut Dr Ong, RM20 juta yang dibayar kepada McKinsey itu boleh membiayai pembinaan 4 sekolah baru bernilai RM5 juta setiap satu.