Categories
PBT SELANGOR

Wujud garis panduan khas PBT, elak kekeliruan tuntutan GST

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 28 JULAI: Kastam Diraja Malaysia digesa mewujudkan satu garis panduan khusus kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhubung sebarang proses dokumen tuntutan pembayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, cadangan itu diperlukan bagi memudahkan sebarang bentuk proses tuntutan.

“Ia adalah bertujuan supaya PBT jelas apa yang boleh dituntut dan tidak supaya dapat mengelak kekeliruan berlaku.

“Kerana apa yang kita tuntut daripada Kastam adalah hasil kutipan daripada masyarakat untuk rakyat iaitu digunakan untuk pembangunan serta kemudahan. Jadi, jika Kastam lambat membayar balik ia akan menjejaskan operasi perjalanan PBT seterusnya menjejaskan khidmat kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penuh, di sini, hari ini.

ydp-mpaj-abd-hamid-hussainHamid berkata, pihaknya sudah membuat permohonan tuntutan RM5 juta, namun permohonan itu ditolak Kastam.

“Setakat ini, nilai berkenaan belum dibayar balik dan kita sudah membuat penghantaran semula tuntutan itu kepada mereka.

“Sebelum ini, apabila kenyataan dibuat oleh Kastam bahawa tuntutan itu tidak boleh dibayar balik kerana kita salah tuntut, saya rasa itu adalah maklumat tidak tepat kerana ia seakan tuntutan RM5 juta kami itu semuanya palsu.

“Jadi, apa yang dapat kita jelaskan adalah nilai itu mungkin terdapat sedikit kesilapan yang tidak disengajakan atau berlaku sedikit kekeliruan. Oleh itu, Kastam perlu laksanakan satu garis panduan untuk mengelak perkara ini berulang,” katanya.

Selain itu, Hamid turut menolak dakwaan Kastam kononnya PBT tidak memberi maklum balas berkaitan isu terbabit kerana pihaknya sentiasa memberikan kerjasama kepada agensi itu jika terdapat sebarang kekeliruan.

Penduduk Kecewa Aduan Tidak Dipedulikan JKR

AMPANG 6 JULAI : Penduduk Taman Kencana kecewa aduan mengenai kerosakan lampu jalan di Jalan Bunga Raya, di sini sejak tiga bulan lalu tidak diambil peduli oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Seorang penduduk, Osman Ali, 65 berkata, ketiadaan lampu jalan menyebabkan kawasan rumahnya tidak selamat dan menjadi sasaran pencuri.

“Kereta anak saya dicuri di hadapan rumah ini dan keadaan kawasan ini yang gelap pada waktu malam kerana lampu jalan di jalan utama rosak,” katanya.

Sementara itu, ketiadaan lampu jalan di satu selekoh tajam di persimpangan laluan ini ke Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) mengundang bahaya kepada pengguna pada waktu malam.

Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Supiramany Sinnapayal berkata, beliau sudah mengajukan masalah ini kepada JKR tetapi pelbagai alasan diberikan.

“JKR memberitahu kelewatan ini disebabkan tiada alat mencukupi bagi memperbaiki lampu jalan ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, JKR seharusnya bertanggungjawab dengan menyediakan lampu jalan sementara sehingga lampu jalan ini diperbaiki memandangkan jalan ini dibawah pengurusan JKR sendiri,” katanya lagi.

Adun Teratai, Jenice Lee pula mendakwa JKR lepas tangan dan bersikap sambil lewa kerana perkara ini boleh dibincangkan bersama MPAJ.

“MPAJ menawarkan diri untuk membantu dalam masalah ini tetapi tiada tindakan selanjutnya diambil oleh JKR,” katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP Selangor.

Seorang lagi penduduk, Asiah Jusoh, 58, berkata, jalan ini turut menjadi laluan pelumba haram pada setiap hujung minggu.

Selain itu, dalam isu berlainan, Jenice berkata, jalan ini yang baru diturap oleh JKR dua minggu lalu tidak memenuhi spesifikasi kerana terlalu nipis.

“Spesifikasi yang ditetapkan adalah 40 milimeter(mm) tetapi kenapa JKR hanya menurap kira-kira 20mm sahaja?” soalnya.