Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra teliti rancangan, kos bawa pulang rakyat terkandas

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kementerian Luar Negeri diminta meneliti rancangan dan kos membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini Wisma Putra mengenal pasti 10,484 orang yang terlibat serta berpotensi dikaitkan dengan situasi itu membabitkan pelajar dan pekerja.

“Kerajaan sedang berusaha untuk memudah cara kepulangan mereka namun terdapat beberapa kekangan peraturan negara asing termasuk larangan pesawat asing untuk mendarat di negara mereka,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) ketika sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata dianggarkan 457,000 rakyat Malaysia berada di luar negara dan 387,702 orang daripadanya berdaftar dengan perwakilan Malaysia.

Ismail Sabri berkata Kerajaan menyeru mereka yang masih tidak berdaftar untuk berbuat demikian dalam masa terdekat.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP turut mencadangkan supaya Tabung Covid-19 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diperluaskan dan menyeru orang ramai menderma bagi membantu usaha membawa pulang rakyat Malaysia.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS bantu asnaf terjejas kerja di Mydin, Proton

SHAH ALAM, 1 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya membantu golongan asnaf di negeri ini memperoleh pekerjaan di beberapa syarikat terkenal termasuk Pasaraya Mydin (Mydin) dan Proton.

Dalam kenyataan agensi agama negeri itu memaklumkan langkah itu diambil bagi membantu mereka yang terputus punca pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Baru-baru ini, LZS membawa calon berpotensi dari kalangan asnaf untuk ditemuduga di Mydin selain sebahagian anak asnaf kami tampilkan di Proton untuk diberi peluang pekerjaan,” katanya.

LZS menyeru majikan memerlukan pekerja boleh menawarkan peluang pekerjaan kepada asnaf zakat Selangor di [email protected].

“Anak asnaf juga berkemampuan dan punya kebolehan sendiri. Mereka menjadi harapan untuk membantu dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing. Kami (LZS) hanya berkongsi tip sahaja selebihnya atas usaha mereka sendiri,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pasca PKP: Pelancongan domestik dijangka berkembang

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Aktiviti pelancongan domestik negara dijangka berkembang 30 peratus bagi tempoh enam bulan hingga setahun, pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kanan Domestik dan Acara Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata berdasarkan dapatan kajian agensi itu, pelancong tempatan dilihat lebih berani untuk melancong dalam negara semasa tempoh itu.

Jelasnya, corak pelancongan domestik juga dijangka berubah dengan segmen pelancongan keluarga menjadi pilihan utama.

“Sebaik sahaja Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengumumkan sektor pelancongan domestik dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun, kita lihat rakyat mula melancong di dalam negara selepas tarikh itu.

“Malah kajian mendapati trend melancong selepas ini, orang pilih melancong dengan keluarga. Oleh itu, pemain industri perlu bersedia dengan produk dan tawaran yang sesuai dengan permintaan segmen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Seminar Pasca PKP Pemulihan Sektor Pelancongan dan pelancaran portal pelancongan domestik ditofa.com, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) Datuk Mohd Khalid Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif ditofa.com Haffiz Halim.

Mengenai portal ditofa.com, Ammar berkata platform digital yang dibangunkan oleh anak tempatan itu adalah sebagai usaha membantu pemain industri bagi memasarkan serta mempromosi produk dan tawaran pelancongan mereka, khususnya selepas berdepan impak penularan Covid-19.

Beliau berkata portal itu bukan sahaja memudahkan tempahan hotel dan penginapan, malah ia menyediakan tawaran menarik bagi kategori Umrah, lokasi tarikan pelancong dan aktiviti pelancongan lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

24,000 aduan kebajikan, buang pekerja semasa PKP

SHAH ALAM, 22 JUN: Kementerian Sumber Manusia menerima 24,000 aduan mengenai kebajikan dan pembuangan pekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menterinya.

Datuk Seri M Saravanan berkata perkara itu akan diselesaikan secara berperingkat kerana Jabatan Tenaga Kerja memerlukan masa lebih panjang menyiasatnya, lapor Berita Harian.

“Kementerian memberi jaminan mengambil langkah segera bagi mempercepat dan menyelesaikan semua aduan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga mendapat aduan berhubung sebahagian majikan enggan membayar Program Subsidi Upah (PSU) kepada pekerja melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) diluluskan.

Saravanan menegaskan PSU adalah hak pekerja dan sekiranya majikan ingkar pekerja boleh membuat aduan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas sambut penumpang dibenar masuk lapangan terbang

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Petugas yang menyambut atau menerima penumpang kini dibenarkan memasuki bangunan terminal lapangan terbang berkuat kuasa 19 Jun lepas, demikian menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Menurut kenyataan pengendali lapangan terbang itu, pengecualian tersebut adalah sejajar dengan kelonggaran sekatan berperingkat bagi mereka yang melakukan perjalanan udara di Malaysia.

“Kelonggaran lain termasuk mengecualikan langkah penjarakan sosial yang ketat di pintu berlepas bagi melancarkan proses terbabit mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.

Di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, hanya penumpang dengan dokumen perjalanan yang sah dibenarkan masuk ke ruang terbabit.

MAHB bagaimana pun menegaskan, pengecualian itu hanya diberikan selepas semua langkah keselamatan berkaitan usaha membendung penularan Covid-19 telah dilaksanakan di lapangan terbang.

“Langkah-langkah keselamatan sedia ada adalah memadai, bukan hanya bagi mengelak penularan virus itu tetapi melindungi semua tetamu dan komuniti di lapangan terbang,” katanya.

Sejajar kelonggaran sekatan perjalanan udara dan jangkaan kehadiran lebih ramai pengunjung di pintu masuk itu, MAHB telah meningkatkan usahanya bagi melindungi orang ramai dan kalangan komuniti di kawasan berkenaan.

Kesemua usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan yang beroperasi di lapangan terbang, rakan syarikat penerbangan dan pengendali serta pihak peruncit.

Sebahagian besar perniagaan di lapangan terbang itu juga telah menyambung operasi masing-masing bagi memastikan pengunjung mendapat pengalaman perjalanan yang lancar serta selesa.

“Selain kekal komited terhadap usaha memastikan keberkesanan langkah-langlah keselamatan itu, kami juga mengambil peluang ini untuk mengingatkan semua pengunjung agar bertindak sewajarnya bagi menjadikan Malaysia selamat serta bebas daripada penularan Covid-19,” katanya.

– BERNAMA