Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Bicara di mahkamah terbuka ditangguh esok hingga 26 Januari

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Semua pendengaran dan perbicaraan kes jenayah di mahkamah terbuka bermula esok hingga 26 Januari ini ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan penetapan tarikh perbicaraan atau pendengaran yang baharu akan dimaklumkan kemudian.

“Dalam keadaan kes-kes yang mendesak, persetujuan Hakim Besar Malaya atau Hakim Besar Sabah dan Sarawak untuk menjalankan perbicaraan atau pendengaran kes di mahkamah terbuka hendaklah diperolehi terlebih dahulu,” demikian menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya semalam mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) selama dua minggu bermula esok.

PKPMP memaklumkan, bagi pengendalian kes jenayah di semua peringkat mahkamah (Mahkamah Persekutuan, Rayuan, Tinggi, Sesyen dan Majistret ) pengurusan kes akan dijalankan menggunakan teknologi komunikasi jarak jauh iaitu melalui platform sidang video dan e-mel.

Menurut PKPMP perbicaraan atau pendengaran kes sivil di mahkamah seluruh negara ini juga dikendalikan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

“Bagi pendaftaran kes baharu, pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan lebih awal kepada mahkamah bagi tujuan persediaan dan tarikh sebutan yang seterusnya hendaklah ditetapkan selepas tamat tempoh PKP,” katanya.

Menurut PKPMP, permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 pula akan dijalankan seperti biasa mengikut jadual bertugas yang telah ditetapkan manakala pelanjutan reman di bawah Seksyen 259 KTJ akan dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

“Bagi kesalahan yang boleh dijamin, Pengarah Mahkamah Negeri hendaklah memastikan urusan jamin dapat diproses seperti biasa dan penggunaan sistem e-Jamin adalah digalakkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Anwar gesa Putrajaya segera bantu golongan terkesan

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan perlu menyalur peruntukan segera sejumlah RM500 juta bagi meringankan beban golongan terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua pembangkang berharap bantuan tersebut akan mengelak lebih banyak perniagaan ditutup sekaligus menyebabkan ramai hilang pekerjaan serta dihempap kemiskinan.

“Banyak perniagaan seperti PKS atau IKS masih belum menerima subsidi upah dan perniagaan mereka di ambang penutupan kerana tidak lagi tertampung kesan pandemik.

“Selain itu kerajaan juga mesti segera melaksanakan semula moratorium pinjaman sehingga diberitahu kelak,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan.

Anwar turut mengingatkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di beberapa buah negeri.

“Pusat pemindahan sementara banjir perlu dipantau rapi selain mesti melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) ketat untuk mencegah kewujudan kluster baharu,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata rakyat berhak serta memerlukan kepimpinan lebih baik dan tegas dalam saat getir ini.

“Inilah masanya untuk menonjolkan kepimpinan yang bertanggungjawab dan kerajaan harus sedar dari berkhayal supaya keadaan tidak semakin memburuk,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 231 individu ingkar arahan PKP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 231 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 225 telah dikompaun manakala enam lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), aktiviti pusat hiburan (63), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (13) dan lain-lain (4),” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi Op Benteng, sejumlah 29 lagi imigran berjaya ditahan dan 10 kenderaan darat dirampas manakala 110 sekatan jalan raya dilakukan semalam.

Katanya sebanyak 23 operasi sanitasi awam dilaksanakan semalam yang meliputi 25 zon di 10 negeri.

Ketika memperincikan barangan keperluan asas, Ismail Sabri berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam telah melakukan 640 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (458), pemborong (150) dan pengilang (32).

“Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 534 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKP Pemulihan (PKPP) dan mendapati kesemua premis telah mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

243 individu ditahan ingkar arahan PKP, 26 direman

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Seramai 243 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 217 daripadanya dikompaun manakala 26 individu direman, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Antara kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (79), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (48), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (40), rentas negeri/daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (20) dan lain-lain (56),” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata Operasi Benteng semalam berjaya menahan 32 pendatang tanpa izin, dua tekong serta merampas 10 kenderaan darat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas sehingga semalam seramai 75,212 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 75 hotel serta 18 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,711 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 405 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 64,096 individu telah dibenarkan pulang,” katanya sambil menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Mengenai Ops Sanitasi Awam Covid-19 semalam, katanya sebanyak 35 operasi sanitasi meliputi 11 zon merah, lima zon jingga, tujuh zon kuning dan dua zon hijau melibatkan lapan negeri dan juga Labuan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata berdasarkan pemantauan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap 12 jenis bekalan barangan, mendapati ia mencukupi untuk menampung keperluan pengguna.

Beliau berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 753 pemeriksaan khas PKPP dan mendapati hanya satu premis yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) tersebut.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: 4,560 kesalahan pelbagai akta direkod sejak PKP bermula

PUTRAJAYA, 17 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah merekodkan 4,560 kesalahan di bawah pelbagai akta dengan nilai rampasan berjumlah RM60,691,736 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu hingga semalam.

Menurut kenyataan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP hari ini, sebanyak 440,549 premis perniagaan diperiksa pada tempoh tersebut merangkumi kedai runcit, pasar raya, kedai makan, kedai kek dan roti, kedai pakaian, bengkel kenderaan serta lain-lain premis.

“Sebanyak 3,377 kesalahan telah dikompaun sepanjang tempoh PKP ini dengan kutipan kompaun berjumlah RM1,495,752,” menurut kenyataan itu.

Kesalahan tertinggi adalah di bawah Akta Timbang dan Sukat dengan 2,431 kes, diikuti dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebanyak 1,289 kes serta Akta Kawalan Bekalan 1961 sebanyak 367 kes.

Menurut kenyataan itu, sejak PKP bermula sehingga kini, 12 barang keperluan harian pengguna iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka dipantau secara harian di seluruh negara.

Orang ramai disaran membuat aduan jika terdapat isu berhubung harga dan bekalan kepada Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Pembelajaran maya: Sejauh mana kita bersedia?

Oleh Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Kalau tidak tularnya kisah pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin dari Pitas, Sabah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menjawab peperiksaan secara dalam talian, pasti ramai pihak yang masih ‘terlena’ bahawa tidak semua individu mempunyai akses mudah kepada pembelajaran secara maya.

Krisis pandemik Covid-19 lebih-lebih lagi ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas menyaksikan bagaimana rakyat khususnya golongan murid, pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi terpaksa mengadaptasi norma baharu sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) mahupun pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Kini selepas beberapa bulan melalui norma baharu, adakah golongan ini semakin selesa menggunakan aplikasi seperti Zoom, Skype, MS Team, Google Hangout, Google Meet, Whatsapp dan sebagainya?

Dan paling utama, bagaimana pula keberkesanannya berbanding kaedah secara bersemuka?

Pandemik percepat adaptasi

Pengerusi Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia (PTPM) Prof Madya Dr Mahizer Hamzah berkata pandemik Covid-19 sebenarnya telah mempercepatkan penerimaan masyarakat negara ini terhadap pembelajaran secara maya yang sebelum ini dijangka mengambil masa yang lebih lama.

“Berdasarkan situasi semasa hari ini golongan terlibat seperti murid, pelajar, penuntut universiti, tenaga pengajar serta ibu bapa sudah boleh menerima pembelajaran secara maya sebagai antara pendekatan yang boleh digunakan baik untuk PdPc mahupun PdP.

“Pandemik ini juga telah membuka mata banyak pihak mengenai faktor-faktor yang perlu diberi pertimbangan sekiranya pembelajaran secara maya perlu dilaksanakan sepenuhnya jika penularan Covid-19 berpanjangan.

“Ini termasuklah kemampuan ibu bapa menyediakan peranti yang bersesuaian dan akses Internet untuk kegunaan pembelajaran anak, kesediaan guru melaksanakan pengajaran sepenuhnya secara dalam talian, bahan pengajaran yang mencukupi, sistem penjadualan serta alternatif lain kepada pelajar dan guru yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan ini,” katanya kepada Bernama.

Wujud pelantar digital

Menyifatkan proses menerima pembelajaran secara maya lebih mudah berbanding memastikan ia kekal dilaksanakan, Mahizer yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata untuk itu, kumpulan minat khas (SIG) yang diwujudkan secara sukarela oleh guru menjadi antara platform untuk menyokong dan menggalakkan rakan-rakan dalam bidang pendidikan untuk terus menerbitkan bahan pengajaran sendiri secara dalam talian.

Di samping usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang giat menerbitkan video-video pengajaran untuk TV Pendidikan dan EduWebTV, pelancaran pelantar pembelajaran digital secara tunggal baharu yang dikenali sebagai DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia) pada 15 Jun lepas bagi menggantikan platform Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE), turut dilihat sebagai satu langkah ke hadapan.

Tambah Mahizer, DELIMa yang disokong oleh tiga rakan strategik iaitu Apple, Microsoft dan Google bukan hanya sekadar pelantar kepada proses pengajaran dan pembelajaran tetapi juga bertindak sebagai ruang perkongsian dan koloborasi antara guru.

“Namun begitu, untuk jangka masa panjang satu pelantar pembelajaran digital yang dapat menyokong pengajaran, pembelajaran serta sistem pentaksiran yang sesuai dengan keperluan pendidikan negara perlu diwujudkan.

“Masih ramai guru yang memerlukan bimbingan baik dari segi teknikal mahupun reka bentuk instruksional yang sesuai dalam pembinaan bahan digital dan ini memerlukan sistem sokongan yang kukuh bagi membantu mereka,” katanya.

Berpendapat Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri perlu diperkasa untuk membantu dalam aspek latihan dan nasihat terutama dalam bidang teknikal dan rekabentuk instruksional, beliau berkata pusat sokongan daerah yang dilengkapi kemudahan untuk latihan, peralatan serta tenaga pengajar yang berkelayakan bagi membantu guru serta sekolah di peringkat daerah juga wajar diwujudkan.

“Repositori (pusat penyimpanan dan penyelanggaraan data) bahan pembelajaran digital yang mengumpulkan semua bahan digital yang telah dibina oleh guru juga perlu diwujudkan agar ia boleh diakses oleh lebih ramai guru dan pelajar,” katanya.

Adil untuk semua

Berkongsi pandangan, Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata masih banyak perkara yang perlu diperhalusi dalam memastikan penyampaian ilmu secara maya benar-benar berkesan.

Walaupun pelajar dan tenaga pengajar kini sudah semakin selesa, beliau berkata itu bukan justifikasi tunggal untuk menyatakan pendidikan negara berada tepat di landasannya.

“Paling utama adalah kesamarataan dan keadilan untuk semua pelajar mendapat akses pembelajaran. Jika ada pelajar di kampung atau pedalaman, hatta di bandar sekali pun yang tidak mampu mendapat akses Internet yang baik, itu saya anggap tidak adil.

“Dan bayangkan jika situasi pembelajaran secara maya atau apa saja kaedah baharu yang digunapakai ini terus dilaksanakan sepenuhnya, sudah pasti golongan ini akan terus ketinggalan,” katanya.

UIAM sebagai contoh mengambil inisiatif membantu penuntut yang terkandas di kampung atau negara asal bagi memastikan pengajian mereka tidak terganggu.

Ini termasuk melalui program kesihatan mental yang mana pihak universiti akan menghubungi penuntut bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan situasi normal baharu di samping memohon pengecualian daripada kementerian untuk penuntut terlibat bagi kes-kes tertentu.

Mengulas lanjut mengenai keberkesanan PdPc dan PdP secara dalam talian, Dzulkifli berkata ia tidak terhad kepada isu tahap capaian dan kepantasan Internet sebaliknya kaedah pentaksiran hasil kerja pelajar juga perlu dititikberatkan.

“Di sinilah integriti dan sifat amanah pelajar dan pengajar itu akan diuji memandangkan dalam normal baharu, peperiksaan akhir dan kerja kursus (khususnya di pusat pengajian tinggi dan universiti) bukan lagi satu-satunya penentu pencapaian pelajar.

“Kalau diberikan peperiksaan secara terbuka dalam talian pun akan tetap ada masalah kerana sudah terbukti terdapat kes apabila bukan pelajar yang sepatutnya menjawab peperiksaan itu. Perkara ini bukan hanya berlaku di Malaysia bahkan di kebanyakan institusi pendidikan yang melaksanakan pembelajaran secara maya,” katanya.

Penambahbaikan berterusan

Profesor Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar dari Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia pula berpandangan penambahbaikan hendaklah dilakukan secara berterusan bagi memastikan keberkesanan norma baharu ini.

Paling utama, jelas beliau, capaian atau akses terhadap Internet yang berkelajuan tinggi perlu dipertingkatkan memandangkan pembangunan prasarana ini penting bagi mengelak sebarang gangguan akibat kelemahan perkhidmatan.

“Peralatan yang digunakan hendaklah yang bersesuaian dan dalam keadaan terbaik. Ini termasuklah komputer, WebCam dan mikrofon berkualiti tinggi kerana ia penting untuk memastikan proses komunikasi yang berlaku tidak ada gangguan,” katanya sambil menambah pemilihan perisian yang sesuai antara yang perlu diberi perhatian.

Untuk memastikan kelangsungan norma baharu ini, kerajaan dan penyedia perkhidmatan internet perlu sentiasa memastikan liputan yang bersesuaian termasuklah penambahbaikan teknologi yang digunakan seperti daripada 4G kepada 5G.

“Guru atau tenaga pengajar perlu sentiasa meneroka ilmu dan belajar kemahiran baharu sama ada dari segi peralatan yang digunakan ataupun perisian yang bersesuaian agar penyediaan bahan bantu mengajar dapat dihasilkan dengan baik.

“Pada masa yang sama mereka juga haruslah kreatif dan inovatif dalam mengendalikan platform PdPc dan PdP dalam talian agar dapat menarik minat pelajar dan menjadikan mereka terus bermotivasi untuk terus belajar,” katanya.

Pusat Kecemerlangan Hatimurni (Hatimurni) mengambil inisiatif menjalankan kelas secara digital bagi mengelak pelajar pusat itu tercicir dalam sukatan pelajaran. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengenai bebanan emosi yang mungkin dihadapi oleh pelajar kesan daripada normal baharu ini, Timbalan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama) Prof Dr Mansor Abu Talib berkata ia secara umum dapat diurus dengan baik.

“Walaupun tiada data rasmi untuk menyokong kenyataan ini, secara teorinya saya percaya pada peringkat sekarang, pelajar sudah mula dapat beradaptasi berbanding waktu awal dahulu.

“Memang diakui proses PdPc atau PdP secara bersemuka adalah yang terbaik namun dalam keadaan pandemik ini, kita perlu ada alternatif lain,” katanya sambil menambah tekanan yang dihadapi pelajar lebih kepada isu luaran seperti liputan dan kepantasan wifi untuk melaksanakan tugasan secara maya.

 

  • Laporan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Ogos lepas mendedahkan sekurang-kurangnya satu pertiga pelajar terkesan di seluruh dunia kerana tidak memiliki akses pendidikan maya apabila sekolah ditutup akibat penularan Covid-19.
  • Laporan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) turut menyatakan secara keseluruhannya, dianggarkan 463 juta kanak-kanak berdepan kekurangan kelengkapan atau akses elektronik bagi meneruskan pembelajaran jarak jauh di samping kira-kira 1.5 bilion kanak-kanak di seluruh dunia terkesan dengan perintah berkurung atau penutupan sekolah disebabkan pandemik itu.
  •  Berdasarkan data terkumpul dari kira-kira 100 negara bagi mengukur akses awam kepada internet, televisyen dan radio termasuk garis perbezaan geografi, perbezaan ketara didapati membabitkan akses kanak-kanak kepada pendidikan, dengan jumlah terkesan berkurangan di Eropah berbanding Afrika atau beberapa bahagian di Asia.
  • Laporan itu turut menyatakan daripada keseluruhan pelajar seluruh dunia yang tidak memiliki akses pendidikan maya, 67 juta adalah di timur dan selatan Afrika, barat dan tengah Afrika (54 juta), Pasifik dan Asia Timur (80 juta), Asia Barat dan Afrika Utara (37 juta), Asia Selatan (47 juta) dan di Amerika Latin dan Caribbean (13 juta).
  • UNICEF turut melaporkan kanak-kanak yang memiliki akses mencukupi juga berdepan cabaran lain bagi pendidikan jarak jauh, sama ada kurang ruang belajar yang baik di rumah atau kurang sokongan teknikal apabila komputer berdepan masalah.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

85 peratus projek pembinaan terhenti semasa PKP diteruskan semula

KUANTAN, 25 JULAI: Sebanyak 85 peratus projek pembinaan di seluruh negara membabitkan kontrak kerajaan yang terhenti ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diteruskan semula setakat ini, kata Menteri Kanan (Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata baki 15 peratus lagi masih belum dapat diteruskan kerana kontraktor terlibat menghadapi masalah seperti kekurangan bekalan bahan binaan atau tenaga kerja selain ada yang mengalami masalah aliran tunai.

“Kita juga telah memberikan lanjutan masa secara automatik selama tiga bulan bagi semua projek pembinaan membabitkan kontrak kerajaan mengambil kira faktor mereka tidak boleh bekerja semasa pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lepas.

“Jika mereka memerlukan lebih masa, mereka perlu membuat permohonan dan kita akan menilai sebab dan asas permohonan sebelum memberi lebih banyak tempoh lanjutan, berbanding tiga bulan yang telah ditetapkan,” katanya.

Fadillah berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Projek Jambatan Baharu Tanjung Lumpur di sini hari ini, yang menghubungkan Bandar Putra dan bandar Kuantan, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.

Beliau berkata kementerian juga mengambil maklum permasalahan yang dihadapi kontraktor terlibat untuk dijadikan input dalam melaksanakan dasar dan bantuan kerajaan kepada pihak terlibat pada masa hadapan, mengambil kira ini merupakan kali pertama negara berhadapan dengan situasi seumpamanya.

Mengulas mengenai pembinaan jambatan berkenaan, Fadillah berkata jambatan sepanjang 451 meter yang melibatkan kos sebanyak RM155.8 juta itu dijangka siap pada 25 Sept ini dengan status kemajuan kini sebanyak 93 peratus.

“Kerajaan juga telah meluluskan projek jejambat bernilai RM47 juta dari persimpangan Bukit Setongkol ke Kemunting di Jalan Kuantan-Gambang bagi mengurangkan kesesakan di jalan masuk jambatan apabila ia dibuka kelak,” katanya.

Pembinaan jambatan kedua Tanjung Lumpur itu bermula Ogos 2016 dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan di jambatan sedia ada, selain memendekkan perjalanan dari Gambang ke Tanjung Lumpur, tanpa pengguna perlu melalui bandar Kuantan.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP buka ruang peniaga cuba bidang baharu

SHAH ALAM, 22 JULAI: Langkah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan premis perniagaan dilarang beroperasi, menyebabkan peniaga perlu mencari alternatif lain demi menampung kehidupan.

Peniaga restoran dari Petaling Jaya, Harliana Mohd Tahir berkata berdepan kerugian dan harus menyesuaikan diri dengan norma baharu tidak melemahkan semangatnya mencuba bidang perniagaan lain.

“Saya mula mencari pendapatan sampingan dengan membuat kerepek dan pelbagai jenis biskut serta menjualnya menerusi dalam talian.

“Ini sesuatu yang baharu kerana perlu memasarkan secara dalam talian. Bagaimanapun, kita harus akur kerana PKP untuk memutuskan rantaian Covid-19, perniagaan perlu diteruskan walaupun perolehan tidak seperti sebelumnya,” kata pemilik Restoran Hliana Kitchen kepada SelangorKini.

 

Meskipun agak kekok pada peringkat awal tetapi Harliana, 41, tidak mahu menjadikan PKP sebagai alasan tidak meneruskan perniagaan kerana sambutan terhadap tempahan biskut dan kerepak amat memberangsangkan.

Mengulas kelonggaran diberikan kerajaan apabila membenarkan premis dibuka dalam tempoh PKP Pemulihan, beliau berkata antara cabaran adalah kehadiran pengunjung yang tidak ramai sekali gus menyukarkan bagi membayar sewa kedai dan gaji pekerja.

“Ini antara cabaran yang terpaksa saya hadapi tetapi pada masa sama dapat mencipta perniagaan baharu (jualan kerepek dan biskut),” katanya.

Berniaga lebih lima tahun lalu, kini Harliana banyak memberi fokus kepada jualan pelbagai jenis kuih seperti kuih tart nenas, samperit susu, biskut jambu dan kerepek pisang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tingkat penguatkuasaan pastikan semua sektor patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Pihak berkuasa perlu meningkatkan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan mereka bagi memastikan semua sektor di negara ini mematuhi sepenuhnya tatacara operasi piawai (SOP) seperti yang disarankan kerajaan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr N Ganabaskaran berkata tanpa pemeriksaan berkala kakitangan penguat kuasa, SOP akan dipandang ringan yang menyaksikan orang ramai akan merasakan keadaan sudah kembali normal.

“MMA ingin mengingatkan masyarakat awam Malaysia bahawa pandemik Covid-19 belum diisytiharkan berakhir. Masih terdapat kes yang aktif dalam negara dan hampir semua orang berisiko dijangkiti jika langkah pencegahan tidak diambil.

“Oleh itu, kita tidak boleh terleka. Ia adalah tanggungjawab bersama. Semua orang mempunyai peranan dalam perjuangan menentang Covid-19. MMA yakin kita akan berjaya jika kita semua memainkan peranan masing-masing,” menurutnya dalam kenyataan.

Dr Ganabaskaran berkata persatuan itu mendapati bahawa tahap pematuhan terhadap SOP telah menurun dengan begitu mendadak sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan timbul kebimbangan apabila jumlah kes baharu Covid-19 meningkat semula kepada dua digit selain kluster baharu dikesan.

“Ekonomi Malaysia masih terjejas selepas tiga bulan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Satu lagi PKP mungkin lebih menjejaskan. Sesetengah perniagaan mungkin tidak akan pulih. Keluarga mungkin tertekan akibat beban kewangan susulan kerugian yang dialamai dan ini boleh membawa kepada isu kesihatan.

“Kita tidak boleh melaksanakan satu lagi PKP, oleh itu adalah lebih baik jika kita semua memainkan peranan masing-masing sebagai sebuah negara dan mematuhi sepenuhnya langkah berjaga-jaga yang mudah dalam SOP. Ia adalah untuk kebaikan kita sendiri,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kejohanan antarabangsa buat skuad olahraga tahun ini

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Skuad olahraga negara bakal memulakan latihan trek dan padang dalam masa beberapa hari lagi, namun mungkin terpaksa menunggu sehingga tahun depan untuk beraksi pada sebarang kejohanan antarabangsa.

Ia berikutan kebanyakan kejohanan utama hanya dijangka bermula tahun depan, selain keadaan pandemik Covid-19 di negara lain yang masih belum selamat sepenuhnya untuk perjalanan ke luar negara.

Ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abd Jalil, berkata atlet negara yang baru kembali dari kem latihan semalam sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, turut memerlukan lebih kurang tiga bulan untuk mengembalikan semula prestasi masing-masing.

“Jadi kemungkinan besar, kita hanya akan mengadakan kejohanan domestik pada Disember, sebelum mula menyertai kejohanan di luar negara selepas itu, bergantung kepada situasi Covid-19 dan kebenaran kerajaan. Kita juga belum menerima apa-apa jemputan untuk kejohanan luar negara setakat ini.

“Buat masa ini, kita akan fokus kepada penyesuaian, ujian kecergasan dan membina kekuatan fizikal. Tak guna untuk kita paksa atlet kerana tiada kejohanan utama sehingga tahun depan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Seramai 24 atlet Program Podium dan 10 atlet pelapis telah melaporkan diri di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sehingga hari ini, manakala beberapa lagi atlet dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.

Kesemua atlet itu dijadual menjalani ujian calitan Covid-19 esok dan perlu menunggu sehingga keputusan tersebut sebelum memulakan latihan di MSN.

Mohd Manshahar mengingatkan bahawa semua atlet wajib mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan oleh MSN dan pihaknya pada setiap masa demi keselamatan semua pihak.

“Ia termasuk dari aspek jarak sosial, pemeriksaan suhu sebelum latihan dan menjaga kebersihan. Sebagai contoh, ketika latihan di trek, mereka perlu mengosongkan satu lorong di antara dua atlet,” katanya.

Beberapa atlet negara seperti Lee Hup Wei, Nauraj Singh Randhawa, Andre Anura Anuar dan Muhammad Hakimi Ismail, adalah dalam usaha merebut tiket ke Sukan Olimpik Tokyo yang ditangguh ke Julai, 2021.

Persekutuan Olahraga Dunia menangguhkan semua kejohanan kelayakan Sukan Olimpik sehingga 30 November ini dan mengumumkan jendela kelayakan temasya itu akan disambung semula pada 1 Disember, dengan tarikh akhir ditetapkan pada 31 Mei 2021 untuk 50km jalan kaki dan maraton manakala 29 Jun 2021 bagi acara lain.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kebersihan kendiri semasa PKP punca zoonosis berkurang

SHAH ALAM, 6 JULAI: Amalan kebersihan kendiri dalam kalangan masyarakat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyumbang penurunan kes penyakit zoonosis di negara ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata zoonosis adalah penyakit berjangkit yang berlaku antara haiwan dan manusia seperti Leptospirosis (kencing tikus), Rabies, Brucellosis, Japanese Encephalitis, Q Fever dan Malaria Knowlesi.

“Ia boleh disebabkan oleh pelbagai patogen penyakit seperti virus, bakteria, kulat dan parasit. Setiap tahun dijangkakan satu daripada tiga orang di dunia akan dijangkiti zoonosis.

“Jika dibandingkan prevalnes penyakit zoonosis dari tahun-tahun lepas didapati terdapat penurunan kes penyakit ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata sempena sambutan Hari Zoonosis Sedunia 2020, Kementerian Kesihatan (KKM) berharap penglibatan orang ramai dalam pencegahan penyakit itu dipertingkatkan menerusi amalan kebersihan kendiri tinggi.

“Kita perlu selalu mencuci tangan dengan sabun dan air bersih terutamanya selepas mengendalikan haiwan, lindungi diri bagi mencegah daripada digigit nyamuk, pinjal dan kutu.

“Masyarakat perlu elakkan digigit atau dicakar haiwan, masak, simpan dan kendalikan makanan dengan cara betul, selamat serta pastikan daging atau bahan mentah lain dimasak secukupnya sebelum dimakan,” katanya.

Sehingga Jun lalu, penyakit leptospirosis merekodkan 1,484 kes berbanding 5,217 tahun lalu manakala rabies (dua berbanding enam kes), brucellosis (tiada kes berbanding 10), JE (tujuh berbanding 36), Q Fever (tiada kes) dan Malaria Knowlesi (1,156 berbanding 3,222).

Categories
AGENDA NASIONAL

Hamzah: Tindakan terhadap pendatang tanpa izin semasa PKP ikut undang-undang

PELABUHAN KLANG, 6 JULAI: Tindakan terhadap pendatang tanpa izin ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan berlandaskan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kepentingan rakyat negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menegaskan tindakan itu bukan suatu diskriminasi seperti didakwa agensi berita asing, beliau berkata kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

“Agensi berita asing itu mengatakan kita begitu garang dan tegas (terhadap pendatang tanpa izin), saya rasa itulah kehendak rakyat. Rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

“Jadi, kita jangan ambil peduli media asing yang suka memutarbelitkan cerita. Kita (kerajaan) tangkap pesalah mengikut tatacara operasi piawai serta berlandaskan undang-undang negara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penerimaan Kapal Ronda Generasi Baru (NGPC) dan meninjau pembinaan Kapal Ronda Luar Pesisir (OPV) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dokumentari Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” berdurasi 20.25 minit yang mendakwa berlaku diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia mengendalikan langkah menangani pandemik Covid-19.

Pada masa sama, Hamzah berkata kerajaan tidak melarang warga asing untuk bekerja di negara ini namun kemasukan mereka haruslah mengikut undang-undang dan mempunyai dokumen serta permit pekerjaan yang sah.

“Untuk merealisasikan pembangunan di negara ini, kita memerlukan pekerja untuk melakukan kerja-kerja berat dan biasanya pekerja asinglah yang sanggup mengisi pekerjaan ini.

“Disebabkan itu kerajaan perlu lebih mengutamakan kepada penguatkuasaan undang-undang kerana rakyat nak lihat semua penduduk di negara ini patuh dengan apa yang ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA