Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri berangkat ke majlis kesyukuran ulang tahun keputeraan

KUANTAN, 31 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan ke-61 Seri Paduka di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini, semalam.

Keberangkatan tiba Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 6.30 petang disambut oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut berangkat ialah anakanda-anakanda Seri Paduka berdua termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan adinda Seri Paduka iaitu Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir ialah Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang turut memimpin bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Selamat, Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan, barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut menunaikan Solat Maghrib yang diimamkan Imam 1 Mohd Khalil Mohd Zari dan solat hajat yang dipimpin oleh Imam Besar Datuk Badli Shah Alauddin bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Seri Paduka serta memohon Malaysia dilindungi daripada musibah.

Seri Paduka yang berbaju Melayu hijau turut berkenan bertakbir raya bagi Hari Raya Aidiladha.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Ismail Kamus

SHAH ALAM, 8 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pendakwah terkenal Datuk Ismail Kamus yang meninggal dunia, tengah malam tadi.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga bersabar serta tabah menghadapai dugaan dan suasana pilu itu.

“Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham sebagai pendakwah dan pengasas Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia amat dihargai oleh Seri Paduka Baginda berdua.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” titah Seri Paduka melalui hantaran di Instagram Istana Negara.

Allahyarham yang meninggal dunia di kediamannya di Ampang kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat pada jam 11 pagi.

Allahyarham berusia 72 tahun sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan serta jangkitan kuman di paru-paru.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap Selamat Hari Wesak, rai kebiasaan baharu

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan ucapan Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di negara ini.

Baginda berdua bertitah penularan wabak Covid-19 bukan sahaja membawa cabaran baharu kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan kepercayaan, malah turut mewujudkan suasana baharu dalam kehidupan harian.

“Semoga hari yang bermakna kepada penganut agama Buddha ini disambut dengan kebiasaan baharu dan dengan mengutamakan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat.

“Bersabarlah menghadapi cabaran ini dan marilah bersama memainkan peranan membantu memerangi wabak Covid-19,” menurut baginda berdua dalam hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri bebas Covid-19, selesai kuarantin 14 hari

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selesai menjalani kuarantin diri selama 14 hari dan disahkan bebas Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka berdua dan ahli keluarga berada dalam keadaan sihat walafiat dan menzahirkan penghargaan kepada rakyat atas doa dan keprihatinan semua terhadap kesejahteraan dan kesihatan Seri Paduka sekeluarga.

Seri Paduka berdua dan keluarga menjalani kuarantin diri di Istana Negara seperti dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan pengesahan beberapa kakitangan Istana Negara positif Covid-19 oleh pihak KKM dua minggu lepas.

“Berikutan kes-kes positif tersebut, sejumlah 116 kakitangan Istana Negara turut diarahkan oleh KKM menjalani saringan dan kuarantin diri selama 14 hari yang juga berakhir pada hari ini (Khamis, 9 April 2020),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah, yang amat prihatin terhadap perkembangan terkini wabak Covid-19, mengulangi titah agar rakyat mematuhi semua nasihat dan perintah yang dikeluarkan KKM dan pihak berkuasa, khususnya perintah kuarantin diri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seri Paduka turut menzahirkan perasaan amat sedih kerana masih ada rakyat Malaysia yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan atas kepentingan diri sendiri. Ini menyebabkan peningkatan kes-kes Covid-19 positif dan pertambahan kawasan-kawasan zon merah.

“Marilah kita bersama memainkan peranan membantu meratakan lengkungan jangkitan Covid-19 ini dengan terus berada di rumah. Jika perlu keluar untuk membeli barang keperluan, pakailah penutup hidung dan mulut serta amalkan jarakan sosial,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada KKM, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, khususnya para wira dan wirawati di barisan hadapan, atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira penat lelah.

Peratusan tinggi pesakit Covid-19 yang pulih dan peratusan kematian di Malaysia yang rendah membuktikan bahawa kerajaan mempunyai tatacara pengendalian pandemik di antara yang terbaik di dunia.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa-mangsa Covid-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan.

“Seri Paduka Baginda Berdua turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama berdoa memohon ihsan Allah S.W.T semoga Malaysia sentiasa di dalam lindungan dan rahmat-Nya dan pandemik ini diakhiri dengan segera,” kata Ahmad Fadil.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri perkenan tidak dibayar Emolumen Diraja enam bulan

KUALA LUMPUR, 31 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkenan baginda bertujuan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 serta menyahut keputusan pemotongan dua bulan gaji perdana menteri dan menteri Kabinet.

“Perkenan Seri Paduka Baginda berdua turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi terhadap perkembangan terkini pandemik ini dan situasi kewangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata tersebut sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada doktor dan petugas kesihatan, khususnya barisan hadapan atas khidmat, bakti dan pengorbanan tanpa penat lelah dan mengira masa menjalankan tanggungjawab membendung pandemik itu.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan agensi kerajaan berkaitan di atas pengiktirafan yang diberikan oleh firma perkhidmatan kewangan terkemuka di dunia baru-baru ini berkenaan tata cara pengendalian Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama Seri Paduka berdua, berdoa memohon ihsan Allah SWT semoga Malaysia sentiasa dalam lindungan dan rahmat-Nya dan pandemik ini diakhiri dengan berkesan dan segera.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Agong titah rakyat jaga keselamatan, kesihatan diri

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat  memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan diri susulan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang melanda beberapa negara termasuk Malaysia.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang menzahirkan kebimbangan berikutan pengesanan empat kes koronavirus di Malaysia sehingga semalam, bertitah rakyat perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, terutama sekali bagi mereka yang menetap atau mengembara di kawasan terjejas dengan wabak itu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka berdua menyeru rakyat mengambil inisiatif bagi memahami wabak ini dengan lebih mendalam serta sentiasa mengikuti nasihat dan saranan langkah pencegahan sepertimana digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini termasuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan serta sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung,” katanya dalam satu kenyataan Istana Negara hari ini.

Beliau berkata, Seri Paduka berdua turut menitahkan orang ramai untuk mengikuti perkembangan terkini wabak itu dengan membaca pelbagai maklumat yang disebarkan melalui mana-mana saluran rasmi KKM.

Al-Sultan Abdullah turut menasihati semua rakyat sentiasa merujuk kepada panduan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri Malaysia mengenai keputusan terbaharu pihak berkuasa Republik Rakyat China pada 23 Jan, 2020 untuk melanjutkan penggantungan perjalanan keluar ke tujuh bandar lain, di samping Wuhan di wilayah Hubei.

Bandar-bandar itu adalah Huanggang, Ezhou, Chibi, Xiantao, Qianjiang, Zhijiang dan Lichuan.

Setakat ini, KKM mengesahkan empat warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura disahkan positif koronavirus.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera dan pemantauan berterusan KKM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Singapura dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam usaha memastikan langkah pencegahan dan kawalan  sewajarnya dilaksanakan secara berkesan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan penghargaan kepada Kementeian Luar Negeri khususnya Kedutaan Besar Malaysia di Beijing yang menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan untuk menjangkau rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan misi diplomatik Malaysia yang lain di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi’an serta Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar Pasukan Bertindak Pantas (RRT) dan Pasukan Penilaian Pantas (RAT) negara dimantapkan dan diperkuatkan untuk menjalankan aktiviti pengesanan kontak dan penyaringan penumbang antarabangsa di lapangan terbang.

Dalam perkembangan berkaitan, Seri Paduka berdua amat kesal atas tindakan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan palsu, yang kemudiannya ditularkan oleh segelintir pihak lain tanpa usul periksa.

Ahmad Fadil menegaskan Seri Paduka berdua berharap setiap rakyat memainkan peranan untuk tidak mencetuskan rasa cemas atau mengganggu ketenteraman dalam kalangan rakyat dengan menyebarkan maklumat belum dipastikan kesahihannya atau yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Seri Paduka Baginda berdua menggesa semua rakyat memberikan kerjasama penuh kepada warga Kementerian Kesihatan dan mengelak daripada melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu perjalanan kerja petugas kesihatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap selamat sempena Krismas

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menyampaikan ucap selamat kepada masyarakat beragama Kristian di seluruh negara yang menyambut Krismas hari ini.

“Selamat Hari Krismas dan selamat Tahun Baharu kepada anda serta keluarga tersayang.

Semoga musim perayaan ini membawa keamanan, kemakmuran dan kegembiraan kepada semua,” titah Seri Paduka berdua dalam hantaran pada akaun Instagram Istana Negara.

BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong dan Permaisuri ucap takziah kepada keluarga TPM

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan ucapan takziah kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga atas pemergian bapanya, Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmood.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka berdua yang kini berada di London, untuk rangka lawatan khas ke United Kingdom sehingga 16 Dis, berharap Dr Wan Azizah dan seluruh keluarga tabah menghadapi suasana pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah S.W.T dan ditempatkan bersama solihin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Ismail, 93, meninggal dunia pada 2.30 pagi tadi akibat sakit tua.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Mariah Khamis, empat anak perempuan termasuk Dr Wan Azizah dan seorang anak lelaki.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agong, Permaisuri berangkat pulang ke ibu negara

TOKYO, 24 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat pulang ke ibu negara hari ini, selepas berada di sini sejak Isnin, bagi menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja Naruhito yang berlangsung pada Selasa lalu.

Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat meninggalkan hotel penginapan di sini pada 9.45 pagi waktu tempatan (kira-kira 10.45 pagi waktu Malaysia) untuk menaiki pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di sini.

Turut mengiringi Seri Paduka berdua ke lapangan terbang ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Kennedy Jawan dan isteri Datin Josepine Anak Dagang serta Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di sini Mohd Ishrin Mohd Ishak.

Lawatan sulung Seri Paduka berdua ke sini selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah atas jemputan kerajaan Jepun, bagi menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja Naruhito selaku Maharaja ke-126 negara matahari terbit itu, yang berlangsung di Istana Imperial di sini.

Upacara pertabalan Maharaja Jepun kali terakhir diadakan pada 12 November 1990, iaitu bagi Maharaja Akihito, 85, yang dimasyhurkan pada Januari 1989.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lalu, bagi menggantikan ayahanda baginda yang melepaskan takhta atas faktor kesihatan, sekali gus menjadi Maharaja pertama berbuat demikian dalam era pemerintahan negara itu.

Pemasyhuran itu menandakan bermulanya era baru Jepun, iaitu ‘Reiwa’ yang bermaksud harmoni dan tertib, yang mengakhiri era ‘Heisei’ bererti mencapai keamanan di bawah pemerintahan Maharaja Akihito.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Duta Besar Malaysia terharu Agong cemar duli bersantap di rumah

TOKYO, 23 OKT: “Saya gemuruh sebenarnya memasak untuk Raja Permaisuri Agong kerana nama baginda memang tersohor dalam bidang masakan,” akui Datin Josepine Anak Dagang yang berpeluang menjamu juadah masakannya kepada Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Josepine yang jugaisteri kepada Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Kennedy Jawan berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan kesudian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah mencemar duli bersantap pagi di kediaman mereka di Kedutaan Malaysia di sini, pada Rabu.

Bagi menghargai perkenan Seri Paduka berdua, Josepine berkata juadah yang disediakan ialah nasi lemak, rendang daging, sotong masak kicap, udang masak lemak dan karipap selain turut menyajikan mi goreng, kuih lapis dan seri muka yang disediakan rakyat Malaysia di situ.

“Bimbang jika masakan saya tidak menepati citarasa Seri Paduka berdua kerana saya bukanlah tukang masak yang hebat. Saya mengagumi kehebatan Tunku Azizah dalam bidang masakan sehingga mempunyai sebuah buku masakan baginda dan pernah mencuba resipi di dalamnya.

“Tetapi saya beranikan juga untuk memasak hari ini kerana tahu peluang seperti ini tidak mudah diperoleh,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di sini.

Josepine berkata beliau dimaklumkan kesudian Seri Paduka berdua mencemar duli ke kediamannya pada petang semalam, dan sejak itu segera membuat persediaan termasuk membeli barang basah dengan bantuan kakitangan dan isteri rakyat Malaysia di sini.

Sementara itu, Kennedy berkata beliau memberanikan diri untuk mengundang Al-Sultan Abdullah bersantap pagi di kediamannya secara spontan dan terharu apabila Seri Paduka dengan pantas menzahirkan perkenan untuk memenuhi undangan tersebut.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berada di sini sejak Isnin selepas berkenan mencemar duli memenuhi undangan kerajaan Jepun untuk menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja Ke-126 mereka, Maharaja Naruhito yang berlangsung di Istana Imperial di sini, semalam.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan sebagai Maharaja pada 1 Mei lalu selepas ayahanda baginda Maharaja Akihito, 85, melepaskan kedudukan tertinggi dalam hierarki pemerintahan negara matahari terbit itu atas faktor kesihatan.

Pemasyhuran itu menandakan bermulanya era baharu Jepun, iaitu ‘Reiwa’ yang bermaksud harmoni dan tertib dan mengakhiri era ‘Heisei’ bererti mencapai keamanan di bawah pemerintahan Maharaja Akihito.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri berangkat tiba di Tokyo

TOKYO, 21 Okt: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Tokyo hari ini, bagi menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito yang dijadualkan esok.

Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di sebuah hotel di sini pada 7.40 petang waktu tempatan (kira-kira 6.40 waktu Malaysia), disambut Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Kennedy Jawan dan isteri Datin Josepine Anak Dagang.

Terlebih dahulu, pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di sini pada 5.30 petang (waktu tempatan).

Kehadiran Seri Paduka berdua adalah atas jemputan kerajaan negara matahari terbit itu, bagi menyaksikan upacara bersejarah buat negara tersebut yang akan berlangsung di Istana Imperial yang terletak di pusat bandar Tokyo.

Kunjungan Seri Paduka berdua ke Jepun juga merupakan yang pertama sejak Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai lepas.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang dijadualkan berada di sini selama empat hari, juga akan berangkat ke Majlis Santapan Malam anjuran Maharaja Naruhito dan Maharani Masako selain Jamuan Teh Diraja pada Rabu.

Upacara pertabalan Maharaja Jepun kali terakhir diadakan pada November 1990, iaitu bagi Maharaja Akihito, 85, yang dimasyhurkan pada Januari 1989.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lepas bagi menggantikan ayahanda baginda yang melepaskan takhta atas faktor kesihatan, sekali gus menjadi Maharaja pertama berbuat demikian dalam tempoh 200 tahun.

Pemasyhuran itu menandakan bermulanya era baharu Jepun, iaitu ‘Reiwa’ yang bermaksud harmoni dan tertib sekali gus mengakhiri era ‘Heisei’ bererti mencapai keamanan di bawah pemerintahan Maharaja Akihito.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri bakal saksi upacara pertabalan Maharaja Jepun

TOKYO, 20 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah antara Ketua Negara dan kenamaan dari seluruh dunia yang akan menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito di Istana Imperial di sini, Selasa ini.

Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka berangkat tiba di Tokyo menerusi pesawat khas pada petang esok, dengan ditemani pegawai Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.

Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Kennedy Jawan berkata keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke upacara bersejarah itu adalah atas undangan kerajaan Jepun dengan Seri Paduka berdua dijadualkan berada di sini selama empat hari.

“Kehadiran baginda berdua mencerminkan keakraban hubungan antara Malaysia dan Jepun memandangkan banyak kolaborasi dilakukan bagi memperkukuhkan hubungan itu dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, politik dan ekonomi.

“Perkara ini dapat dilihat menerusi banyaknya pertukaran lawatan berlaku antara kedua-dua negara sejak kebelakangan ini,” katanya semasa ditemui di Pejabat Kedutaan Malaysia di sini, hari ini.

Kennedy berkata upacara pertabalan akan berlangsung di bilik paling elegan di Istana Imperial, ‘Seiden Matsu-no-Ma’ yang dijadualkan pada 1 tengah hari waktu tempatan Selasa, (kira-kira 12 tengah hari waktu Malaysia) sebelum menghadiri Majlis Santapan Diraja di ‘Hemei-Den’ (Dewan Bankuet Negara) pada sebelah petang.

Pada hari sama (Selasa), Tunku Azizah juga akan mencemar duli menghadiri program anjuran Persatuan Pandu Puteri Jepun di sebuah hotel di sini, yang mana baginda sememangnya diketahui amat aktif dalam persatuan dan aktiviti Pandu Puteri.

Pada Rabu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadualkan menghadiri Jamuan Teh Diraja anjuran Maharaja Naruhito dan Maharani Masako di Istana Akasaka sebelum menghadiri Majlis Santapan Malam anjuran Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe di sebuah hotel di sini.

Kennedy juga memaklumkan bahawa Maharaja Naruhito pernah berkunjung ke Malaysia sekitar tahun 2017 semasa bergelar Putera Mahkota Jepun.

Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lepas, menggantikan ayahanda baginda Maharaja Akihito yang melepaskan takhta atas alasan kesihatan dan menjadi Maharaja pertama berbuat demikian kerana pada kelazimannya mereka kekal pada kedudukan tertinggi hierarki negara matahari terbit itu sehingga akhir hayat.

Pemasyhuran Maharaja Naruhito memulakan era baharu Jepun yang dikenali sebagai ‘Reiwa’ yang bermaksud harmoni dan tertib, sekali gus mengakhiri era Maharaja Akihito iaitu ‘Heisei’ yang bererti mencapai keamanan bermula sejak 1989.

-BERNAMA