Categories
PBT SELANGOR

Bazar Ramadan: MBSJ buka permohonan permit, ada 1,251 petak niaga

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) membuka permohonan permit bazar Ramadan bermula hari ini sehingga 31 Januari 2022.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategiknya berkata permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang www.mbsj.gov.my atau mengimbas kod bar poster yang dimuat naik di Facebook, Instagram dan Twitter MBSJ.

“Peniaga berminat perlu mendaftar sebagai pengguna my@mbsj sebelum meneruskan permohonan di mana semua urusan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian iaitu mendaftar, muat naik dokumen sokongan dan proses pembayaran,” kata Azfarizal Abdul Rashid.

Beliau berkata sebanyak 1,251 petak niaga disediakan tahun ini di 18 lokasi bazar Ramadan membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara dan Serdang atau Seri Kembangan.

“MBSJ ingin mengingatkan kepada semua peniaga untuk membuat permohonan lebih awal sebelum tarikh tutup bagi mengelak kesulitan dan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kelewatan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman sesawang dan platform sosial MBSH atau hubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-80264324.

 

Categories
ADN SELANGOR

Mohon permit, patuhi SOP jika buat aktiviti di hutan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Orang ramai diingatkan supaya mendapatkan kebenaran atau permit daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang aktiviti di hutan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali berkata tindakan itu bagi memastikan keselamatan mereka terjamin jika berlaku perkara tidak diingini.

“Jika mendapat kebenaran maklumkan juga kepada pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung atau balai polis berdekatan supaya jika terjadi apa-apa, gerakan untuk menyelamat dapat segera dilaksanakan,” kata Saifuddin Shafii kepada Selangorkini.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberi dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) selain kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Meskipun kita sudah masuk fasa yang membenarkan aktiviti rekreasi tetapi kita perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi keselamatan diri dan orang lain,” katanya.

Awal bulan ini, kerajaan melonggarkan SOP bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi termasuk negeri bawah fasa satu PPN.

 

Categories
NASIONAL

Selangor catat permohonan permit warga asing tertinggi

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Selangor mencatatkan permohonan permit masuk warga asing paling tinggi iaitu 2,527, sehingga 5 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ia diikuti Johor (1,757), Kuala Lumpur (1,568) dan Perak (1,247).

Katanya, sehingga kini sejumlah 27,127 permohonan diterima dengan 10,145 daripadanya sedang diproses.

“Pahang pula merekodkan 568 permohonan, Kelantan (497), Kedah (478), Pulau Pinang (401), Negeri Sembilan (360), Terengganu (341), Labuan (107), Melaka (95), Perlis (65), Putrajaya (55), Sarawak (52) dan Sabah (27).

“Berdasarkan permit masuk sedia ada, warga asing yang menetap di Malaysia untuk tempoh melebihi lima tahun secara berterusan di atas pas jangka panjang layak untuk memohon permit masuk.

“Kelulusan permit masuk itu bagi melayakkan seseorang mendapatkan taraf sebagai pemastautin tetap,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai berkenaan jumlah permohonan permit masuk di setiap negeri yang masih dalam proses mengikut tahun permohonan dibuat.

Katanya, permit masuk dikeluarkan Jabatan Imigresen di bawah Seksyen 10 Akta Imigresen 1959/63 bagi membolehkan seseorang warga asing untuk tinggal, di Malaysia selepas tamat satu tempoh pas yang dipegang sebelum ini.

Categories
PBT SELANGOR

Mohon permit tapak Deepavali dalam talian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan landasan dalam talian bagi permohonan permit tapak Deepavali 2018, bermula 12 September ini.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan berkata, pemohon boleh mengakses permohonan, pada bila-bila masa dalam tempoh 10 hari di pautan elesen.mbpj.gov.my, sebelum atau pada 21 September ini.

Pihak Berkuasa Tempatan itu turut menyediakan kaunter bantuan permohonan dalam talian di Lobi Menara MBPJ, bermula 12 hingga 14 September ini, pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Pemohon permit tapak diingatkan supaya membawa salinan kad pengenalan, gambar berukuran passport dan salinan bil elektrik atau bil air.

“MBPJ memperuntukan tiga lokasi tapak meliputi 56 petak membabitkan Jalan SS9A/13, Sungei Way (18 petak), Pasar Jalan Othman (18 petak) dan Jalan PJU 10/3A, Damansara Damai (20 petak),” katanya.

orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.mbpj.gov.my atau kunjungi laman sosial MBPJ antaranya Facebook: @petalingjayacitycouncil, Twitter& Instagram: @pjcitycouncil atau hubungi Jabatan Perlesenan (Bahagian Penjaja), Tingkat 6, Menara MBPJ di talian 03-79541560 / 7960 4667.