Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Thaipusam: Tiada permit penjaja dikeluar sekitar Batu Caves, pengunjung diingat patuh SOP

SHAH ALAM, 15 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak mengeluarkan permit petak niaga sempena sambutan Thaipusam pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata sebarang aktiviti penjaja sekitar kawasan luar Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves adalah tidak dibenarkan.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan arahan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Thaipusam yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“MPS akan membuat pemantauan sepanjang perayaan ini berlangsung dan penjaja yang didapati menjalankan aktiviti tanpa permit akan dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang 3 Penjaja (MPS) 2007,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan tujuh unit tong sampah Roll On Roll Off (RoRo) dan 26 unit tong sampah ditempatkan di kawasan titik panas bagi mengawal kebersihan sepanjang perayaan itu.

“MPS ingin mengingatkan pengunjung untuk sam-sama mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dan menjaga kebersihan kawasan persekitaran sepanjang perayaan berlangsung,” katanya.

Pada Rabu Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung tidak melebihi 6,000 orang setiap hari, pengunjung untuk ‘paal koodam’  pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Kerajaan juga tidak membenarkan gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

 

Categories
PBT SELANGOR

Bazar Ramadan: MBSJ buka permohonan permit, ada 1,251 petak niaga

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) membuka permohonan permit bazar Ramadan bermula hari ini sehingga 31 Januari 2022.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategiknya berkata permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang www.mbsj.gov.my atau mengimbas kod bar poster yang dimuat naik di Facebook, Instagram dan Twitter MBSJ.

“Peniaga berminat perlu mendaftar sebagai pengguna my@mbsj sebelum meneruskan permohonan di mana semua urusan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian iaitu mendaftar, muat naik dokumen sokongan dan proses pembayaran,” kata Azfarizal Abdul Rashid.

Beliau berkata sebanyak 1,251 petak niaga disediakan tahun ini di 18 lokasi bazar Ramadan membabitkan zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara dan Serdang atau Seri Kembangan.

“MBSJ ingin mengingatkan kepada semua peniaga untuk membuat permohonan lebih awal sebelum tarikh tutup bagi mengelak kesulitan dan tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kelewatan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman sesawang dan platform sosial MBSH atau hubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-80264324.