Categories
EXCO SELANGOR

Karnival bola sepak jemputan PNSB gilap bakat pemain muda

SHAH ALAM, 2 NOV: Karnival Bola Sepak Jemputan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Tahun 2019 terus menjadi medan kepada kanak-kanak mempamerkan bakat di samping membangun daya juang tinggi dan memperbaiki kemahiran sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, penganjuran program sebegini juga membolehkan pemain memupuk perpaduan dan mengeratkan silaturrahim dalam kalangan peserta.

“Saya ingin menasihatkan semua peserta supaya bermain dengan penuh semangat kesukanan.

“Semua perlu ingat bermain menggunakan otak, bukan menggunakan lutut. Jika bermain dengan lutut maka akan timbul insiden kaki ke muka pihak lawan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Dato’ Sri Ahmad Omar menyepak bola gimik perasmian pada Program Karnival Bola Sepak Jemputan PNSB 2019 di Padang C MBSA Seksyen 14, Shah Alam.2 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis yang berlangsung di Padang C Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 14, di sini.

Karnival tahunan anjuran Kelab Bolasepak PNSB sejak tahun 2006 ini disertai 32 pasukan terdiri daripada akademi bola sepak seluruh Selangor dengan tiga kategori dipertandingkan iaitu Bawah 12 Tahun, Bawah 10 Tahun dan Bawah 8 Tahun.

Juara Bawah 12 Tahun bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM500 beserta piala sementara Bawah 10 Tahun dan Bawah 8 Tahun masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300 dan piala.

Dalam majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Dato’ Sri Ahmad Omar berkata, PNSB turut menubuhkan Akademi Bola Sepak Young Starz sejak April 2007.

Katanya, sehingga kini seramai 150 orang pelatih aktif dan 250 orang pelatih berdaftar sebagai ahli.

“Penubuhan Young Starz yang bernaung di bawah Kelab Bola Sepak PNSB bertujuan memberi peluang kepada semua peserta berumur 8 hingga 12 tahun dan remaja 14 hingga 17 tahun menggilap bakat serta potensi ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor agih 753 lembu korban sempena Aidiladha

mb korban

SABAK BERNAM 10 OKT: Kerajaan Selangor menyumbangkan 753 lembu bernilai RM2,259,000 untuk diagih ke setiap daerah, masjid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di seluruh negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata lembu  yang setiap satu seberat 200 kilogram itu diperoleh daripada penternak tempatan termasuk PKPS Livestock Farm Sdn Bhd dan sebahagian lagi diimport dari Thailand.

Ia dibiayai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), Worldwide Holdings (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Sempena sambutan Aidiladha itu, katanya, PKPS diamanahkan untuk menguruskan pengagihan yang dijadual bermula serentak di semua daerah antara 12 Oktober sehingga 14 Oktober.

“Antara pemantauan PKPS ialah membuat tagging setiap lembu bagi mengelakkan tidak berlaku penukaran di lokasi penghantaran. Tugas memantau dilaksanakan 28 kakitangan PKPS,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyerahan Lembu Korban 2013 di Ladang PKPS Jelutong Jati, selain turut meninjau ladang lembu yang dibangunkan PKPS.

Turut hadir sama ialah Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Ali Ahmad dan Exco Permodenan Pertanian, Sallehen Mukhyi dan exco lain, Dr Yunus Hairi dan Dr Daroyah Alwi.

– FZL