Categories
SELANGOR

Selangor agih 753 lembu korban sempena Aidiladha

mb korban

SABAK BERNAM 10 OKT: Kerajaan Selangor menyumbangkan 753 lembu bernilai RM2,259,000 untuk diagih ke setiap daerah, masjid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di seluruh negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata lembu  yang setiap satu seberat 200 kilogram itu diperoleh daripada penternak tempatan termasuk PKPS Livestock Farm Sdn Bhd dan sebahagian lagi diimport dari Thailand.

Ia dibiayai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), Worldwide Holdings (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Sempena sambutan Aidiladha itu, katanya, PKPS diamanahkan untuk menguruskan pengagihan yang dijadual bermula serentak di semua daerah antara 12 Oktober sehingga 14 Oktober.

“Antara pemantauan PKPS ialah membuat tagging setiap lembu bagi mengelakkan tidak berlaku penukaran di lokasi penghantaran. Tugas memantau dilaksanakan 28 kakitangan PKPS,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyerahan Lembu Korban 2013 di Ladang PKPS Jelutong Jati, selain turut meninjau ladang lembu yang dibangunkan PKPS.

Turut hadir sama ialah Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Ali Ahmad dan Exco Permodenan Pertanian, Sallehen Mukhyi dan exco lain, Dr Yunus Hairi dan Dr Daroyah Alwi.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Abbas Tidak Pernah Di Arah Kurangkan Pengeluaran Air Terawat

SHAH ALAM 13 OGOS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak dakwaan kononnya Kerajaan Negeri mengarahkan Konsortium Abbas Sdn. Bhd. (Abbas) untuk mengurangkan pengeluaran air terawat di negeri ini.

Diminta mengulas kenyataan yang dibuat Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed, beliau berkata dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

“Kita sama sekali tidak pernah mengeluarkan arahan untuk menyekat pengeluaran air terawat.

“Rasanya lebih elok di bulan Ramadhan ini kita jangan buat fitnah kerana hanya akan mengurangkan pahala sahaja,” sindir Abdul Khalid sewaktu sidang media di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Bukit Jelutong Lebuhraya Guthrie pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi yang juga mengetuai jawatankuasa air bagi memantau operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) turut menafikan perkara itu.

“Tidak ada arahan untuk tujuan itu, sama sekali tidak benar,” ujarnya ringkas.

Dua hari lalu, Mohd Zin mendakwa tindakan Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) mengarahkan Abbas mengurangkan pengeluaran air terawat menyebabkan berlakunya krisis air di kawasan Kajang dan Balakong.