Categories
NASIONAL SELANGOR

PKPS buka ladang sawit 335 hektar

Ladang PKPS

SHAH ALAM, 14 OKTOBER: Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangopr (PKPS) membuka ladang penanaman sawit seluas 335 hektar yang dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini.

Ladang PKPS Jelutong Jati ini diusahakan selepas Kerajaan Negeri mewartakan tanah Hutan Simpan Sungai Karang pada Mei tahun 2012 dengan pajakan untuk tempoh 21 tahun.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Ali Ahmad, meskipun pada awal projek ini mendapat bantahan daripada beberapa NGO alam sekitar memandangkan ianya melibatkan hutan simpan, sebenarnya tanah seluas 10,700 ekar telah dikhususkan untuk Hutan Perhilitan di kawasan berhampiran.

Selain itu, pihak NGO turut membantah kawasan ini yang dikhuatiri mudah terbakar.

“Polisi PKPS kita mengurus air, bukan mengalirkan air. Setiap satu pokok sawit memerlukan 90 liter air sehari. Tidak munasabah kita keringkan semua air. Kita menumpukan kepada untuk menyimpan air.

“Kita mempunyai parit-parit dan kunci air. Di sini kita mempunyai kunci air di Jalang menghala Sungai Besar yang akan mengawal paras air. Kita akan pastikan pasras air tidak rendah. Kita akan kawal menggunakan culvart jalan kerajaan,” katanya pada sesi penerangan.

Sebagai usaha mendepani kejadian kebakaran, PKPS menubuhkan dua PKPS Rapid Fire Team yang mendapat latihan daripada jabatan bomba selain menempatkan pekerja di ladang sawit.

Selain itu, PKPS berhasrat untuk membina sebuah kilang sawit di kawasan sama berkapasiti 30 tan per jam pada tahun 2014 dan mula beroperasi pada tahun 2016.

Turut dimaklumkan PKPS bercadang membina reban ayam di Ulu Tinggi dan rumah sembelihan di Rawang.

Menurutnya lagi, jika usaha ini berjaya dilaksanakan, pekebun kecil dan penduduk sekitar daerah Sabak Bernam bakal memperoleh manfaat peluang pekerjaan.

Categories
SELANGOR

Selangor agih 753 lembu korban sempena Aidiladha

mb korban

SABAK BERNAM 10 OKT: Kerajaan Selangor menyumbangkan 753 lembu bernilai RM2,259,000 untuk diagih ke setiap daerah, masjid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di seluruh negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata lembu  yang setiap satu seberat 200 kilogram itu diperoleh daripada penternak tempatan termasuk PKPS Livestock Farm Sdn Bhd dan sebahagian lagi diimport dari Thailand.

Ia dibiayai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), Worldwide Holdings (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Sempena sambutan Aidiladha itu, katanya, PKPS diamanahkan untuk menguruskan pengagihan yang dijadual bermula serentak di semua daerah antara 12 Oktober sehingga 14 Oktober.

“Antara pemantauan PKPS ialah membuat tagging setiap lembu bagi mengelakkan tidak berlaku penukaran di lokasi penghantaran. Tugas memantau dilaksanakan 28 kakitangan PKPS,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyerahan Lembu Korban 2013 di Ladang PKPS Jelutong Jati, selain turut meninjau ladang lembu yang dibangunkan PKPS.

Turut hadir sama ialah Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Ali Ahmad dan Exco Permodenan Pertanian, Sallehen Mukhyi dan exco lain, Dr Yunus Hairi dan Dr Daroyah Alwi.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKPS Tandatangan Ikrar Integriti Korporat

ikrar integirit PKPS 02

SHAH ALAM, 21 FEB : Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjadi agensi Kerajaan Negeri ketiga yang memeterai Ikrar Integriti Korporat (CIP) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini ikrar tersebut telah ditandatangani oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ikrar integriti ini disifatkan sebagai langkah positif oleh PKPS untuk menerapkan gaya urus tadbir korporat yang baik dan bersih dalam mencapai matlamatnya.

Menurtutnya, ia sekaligus menunjukkan PKPS serius dan komited dalam usaha membanteras gejala rasuah.

“Ia merupakan satu usaha untuk menentukan perjalanan urusniaga dan pentadbiran PKPS dibuat dengan tatakelola yang baik termasuk satu usaha untuk pencegahan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya semasa Majlis Menandatangani CIP oleh PKPS dan SPRM di sini petang tadi.

Hadir sama Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Ali Ahmad dan Pengarah SPRM Selangor, Jaafar Mahad.

Ikrar Integriti Korporat ini adalah sebagai langkah awal untuk mendidik semua penjawat awam dan sektor swasta khususnya warga kerja mengenai jenayah rasuah dan kesan negatif terhadap sesebuah organisasi.

Categories
SELANGOR

SELCAT: Ambil Iktibar Daripada Kerugian PKPS

SHAH ALAM, 7 MAC : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) menyarankan setiap badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri supaya mengambil iktibar daripada kelemahan pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Agro Industries Sdn Bhd bagi mengelakkan kerugian.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Khim berkata, kerugian yang berlaku dalam perbadanan tersebut bermula pada tahun 2005 sehingga 2006 adalah disebabkan oleh kelemahan pengurusan dan pemasaran ekoran ketiadaan tenaga pakar dan khidmat profesional untuk mengambil alih perniagaan sedia ada apabila membuka anak syarikat lain.

Beliau merujuk kepada kerugian yang dialami tiga anak syarikat PKPS Agro Industries Sdn Bhd iaitu Premium Agro Products Sdn Bhd (PAPSB), Premium Sanitised Products Sdn Bhd (PSPSB) dan Premium Bioherbs.

Selain itu, Teng turut menyifatkan ketidakcekapan pentadbiran ahli lembaga pengarah yang dilantik sebelum ini bagi menguruskan ketiga-tiga anak syarikat berkenaan juga antara faktor utama yang menyumbang kepada kerugian yang berlaku dalam syarikat terbabit.

“Saya berharap badan berkanun dan anak syarikat lain supaya mengambil kes ini sebagai satu iktibar di mana kalau kita tidak dapat memberi fokusk kepada sesuatu perniagaan, maka masalah seperti PKPS Agro ini akan berlaku dan menyebabkan kerugian.

Ia melibatkan kepada kebijaksanaan pengurusan untuk membuat keputusan sebelum membuka sesuatu cabang perniagaan. Apabila kertas cadangan itu dibentangkan di hadapan jemaah menteri, mereka memberi kepercayaan penuh kepada pengurusan,” katanya.

Sesi pendengaran awam SELCAT berhubung isu PKPS Agro Industries Sdn Bhd hari ini diwakili Bekas Pengurus Besarnya, Md Zahary Malek, Pengurus Besar PKPS, Ali Ahmad dan Timbalan Pengurus Besar PKPS (Pembangunan Perniagaan) Aqmal Azam Ahmad.

Difahamkan, PKPS Agro Industries Sdn Bhd memiliki tiga projek di bawah tiga anak syarikatnya dengan nilai projek berjumlah RM90.3 juta secara keseluruhannya, di mana dana tersebut diperolehi daripada Kementerian Kewangan.

Antara projek tersebut adalah projek pemprosesan salad dan jus buah-buahan bernilai RM30.1 juta, projek baja organik bernilai RM10 juta serta projek mengekstrak bahan aktif daripada herba tempatan mengamalkan teknologi nano bernilai RM50.2 juta.

Bagaimanapun, ketiga-tiga projek ini gagal diselenggarakan dan tidak mencapai sasaran PKPS sehingga mengakibatkan perbadanan itu terpaksa menanggung hutang sejumlah RM40.1 juta sehingga kini.

Namun, menurut pengurus besarnya, pihak PKPS akan berusaha mencari rakan perniagaan yang berpotensi untuk membangunkan semula anak syarikat terbabit bagi menjana keuntungan dan mengurangkan bebanan hutang yang terpaksa dibayar.

Sehubungan itu, Teng menyarankan Kementerian Kewangan supaya meneliti semula geran pinjaman yang diberikan kepada mana-mana anak syarikat kerajaan mahupun badan berkanun bagi mengatasi kerugian yang akan ditanggung sekiranya sesuatu projek itu gagal mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Kementerian Kewangan perlu melihat semula geran di mana nampaknya begitu mudah untuk diluluskan tetapi jaminan untuk memperolehi kembali pinjaman tersebut nampaknya begitu sukar.

Kementerian juga tiada kepakaran untuk ambil alih perniagaan sedia ada. Jadi, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama untuk memastikan wang rakyat ini dapat digunakan sebaik-baiknya bagi mengurangkan ketirisan,” tegasnya.